"Ayah I pernah cerita ada hantu yang wajahnya sama macam I." - Dilaila
"Inspektor, tapi dia bukan isteri saya!" - Jefri
Pada suatu pagi di sebuah sofa di dalam sebuah rumah agam di Bukit Fraser yang sejuk-sejuk feeling-feeling English highlands, Jefri (Zul Ariffin) yang tak solat subuh baru menyedari isterinya (Elizabeth Tan) hilang. Bila dia bertemu dengan Inspektor Azman (Rosyam Nor) yang baru sahaja dipindahkan dari Bukit Aman, Imam Aziz (Namron) datang ke rumahnya tanpa bagi salam, dan membawa balik isterinya. Tapi kali ini, isteri yang dibawa balik oleh tok imam itu bukan Dilaila yang dia kenal.
Membaca premis ini sahaja kita dapat bayangkan suatu misteri Hitchcock yang membangkitkan beberapa tema Hitchcockian yang kita biasa dapat ikuti dalam filem-filemnya, namun khususnya watak "lelaki yang disyak wasangka" yang biasa dalam filem Hitchcock seawal The Lodger (1927) dan 39 Steps (1935). Permainan plot ini menjadi menarik apabila Syafiq cuba menuruti gerak mesin Hitchcock untuk menyiksa Jefri demi mencari identiti sebenar wanita (Sasqia Dahuri) yang tiba-tiba mengaku sebagai isterinya; atau Jefri sendiri sudah mula kehilangan siumannya?
Secara premisnya, ada yang dapat dipuji daripada percubaan baharu Syafiq menyelami tradisi filem ngeri ini, yang seawalnya merupakan kunjungan khusus cerpen klasik Edgar Allan Poe, "The Tell-Tale Heart". Dari titik itu, Syafiq seperti Robert Zemeckis mengguna pakai elemen seram-hantu dalam salutan sebuah cerita misteri Hitchcock (ramai peminat Hitchcock membenci cantuman dua genre ini - seram-hantu dan ngeri), yang merupakan suatu red herring yang tersendiri dalam filem ini. Interteks plot utamanya tentang siapa sebenar watak tersebut akan membuat kita teringat akan mesin lakonan Jodie Foster yang tidak sangka suaminya berubah perangai dalam Sommersby (1993) atau paling terkini, Forgotten (2017) sebuah filem Korea yang berdasarkan dongeng Perancis, Bluebeard (apa ke jadah dengan orang Perancis dan pengambilan identiti orang? Man in the Iron Mask anyone?).
Tolak segala pinjaman interteks ini, tolak lagi dengan siapa sebenar betul atau salah di akhir cerita; yang lebih menarik dalam premis yang dibina oleh Syafiq ini adalah inovasinya menghasilkan filem ini dalam dua versi(!) di serata pawagam. Terdapat dua versi cerita yang berakhir dengan bentuk dan jalan pengakhiran yang berbeza, dengan sebab-akibat yang berbeza. Yang mana paling betul? Yang mana paling benar? "Benar" di sini menjadi persoalan yang penting. Ketidaktentuan Jefri, yang berkali-kali cuba berhujah dan memberi bukti kepada polis tentang Dilaila - penentu dan penilai kebenaran - menjadi suatu gelongsor yang memeningkannya, membuatnya menyoal dan menyoal kembali sama ada dia yang sudah hilang faham terhadap realiti sekelilingnya. Inilah tujuan sebenar filem ini dihasilkan oleh Syafiq: ketidaktentuan terhadap kebenaran.
Hal ini menarik dalam dua bentuk, (1) dalam era milenial yang keadaannya nirnilai (hilang nilai), yang orang selalu ungkapkan sebagai pascamoden, suatu objektifikasi terhadap suatu kebenaran itu sudah tiada - mungkin kebenaran itu masih ada (hakikat agama, kewujudan Tuhan) tetapi manusia dalam keadaan zaman ini yang tersungkur merangkak untuk menjumpainya; (2) persoalan absurditi dalam kebenaran ini berkait rapat dengan keadaan ketidakpercayaan masyarakat umum terhadap keadaan sistem (khususnya pra-PRU14?) dan pemerintahan, dengan fitnah di atas fitnah di atas fitnah, sehingga sesiapa yang mencari kebenaran tersebut, dan berhadapan dengan penentu dan penilainya, akan kembali menyoal diri.
Persoalan (2) bagi aku lebih menarik dalam hal Syafiq hasilkan ini, mengungkapkan gelora dan semangat anak muda ini, angst dan tidak puas hatinya terhadap keadaan politik dan realiti kelilingnya. Dan hal ini menimbulkan manifestasi Syafiq terhadap "dua versi", seperti mana "game book" yang mampu memberi sebab-akibat akhir yang ditentukan oleh "pilihan" kita masuk ke pawagam mana - yang akhirnya kedua-dua konklusinya "benar", kedua-dua konklusinya tetap membungkam rasional dan jiwa.
Premis ini menarik dan cantik, dan mesin ngeri yang menggerakkan protagonis Jefri mencari kebenaran juga nampak mengujakan, namun dalam rentak gerak rollercoaster dari Musytari ini, terdapat sisi-sisi lubang plot dan persoalan-persoalan, yang jika mula dikupas dan ditanyakan, akan patahlah tiang, akan hancurlah struktur yang Syafiq bina setakat ini. Hal ini sedikit disesali kerana filem ini berpotensi cemerlang - namun hal ini tidak berlaku kerana momok yang mengganggu ini. Ditambah pula dengan campakan dialog filem ini yang menurut glosari skema Yusof Haslam, sangat lantang dan polos, menenggelamkan potensi baris dialog yang dapat berperanan untuk memberi makna berlapis. Pemilihan ini mungkin disengajakan oleh Syafiq dalam dunia kita yang tidak mengenali siapa Arena Wati tetapi kenal sangat Aliff Syukri, yang tidak peduli pun dengan Risalah untuk Kaum Muslimin tetapi gila sakan dengan lagu Haram.
Hal ini ditambah pula dengan lakonan biasa seisi keluarga para pelakon filem ini, yang hanya berfungsi sebagai mesin (memang, ini kebiasaan Hitchcock juga) yang menentukan gerak dan liang sebab-akibat, khsususnya Zul Ariffin yang tak habis-habis hanya tahu melalak tanpa kedalaman emosi. Hal ini tidak dibantu oleh Sasqia yang hanya berfungsi seperti patung. Namun menariknya, walaupun kurang dialog dan kemunculan, Elizabeth Tan memberikan aura yang diperlukan untuk membina latar Dilaila yang misterius, dan tusukan matanya amat jujur. Begitu juga dengan Namron. Pujian yang lebih jelas harus diberikan kepada Rosyam Nor yang memegang peranan inspektor yang kurang mampu mempercayai Jefri dengan hidup sekali. Pada waktu Zul dan Rosyam bertekak, kita dapat lihat ruang tekanan Rosyam yang boleh simpatetik kemudian meluat dalam sesaat.
Syafiq juga kurang menyerlah dengan momokan hantu yang dipaparkan dalam filem ini. Walaupun kita (spoiler) fahami bahawa peranan kelibat ini hanya psikologikal pada wataknya, teknik kejutan yang diberikan, dengan susun gerak dan kemunculannya, tiada apa yang istimewa dan hanya dibantu oleh hentakan sistem suara yang melampau.
Sehubungan itu, masalah suntingan dan arahan Syafiq kali ini ialah momen jeda. Momen dalam filem ini terlalu pantas, Syafiq kurang memberi kita ruang untuk melihat protagonisnya merefleksi diri. Syafiq jelas terperangkap unutk memberikan "kemudahan" kepada penonton biasanya, yang khuatir tidak mampu diberikan ruang pernafasan yang sedikit sofistikated - semuanya perlu bergerak seperti sebuah novel pulp, seperti kartun Looney Tunes yang hanya memerlukan watak-watak pipih untuk mengerakkan cerita. Namun bukan semuanya buruk dengan suntingan filem ini. Suntingan keseluruhan yang tiba-tiba psychedelic, tiba-tiba tukar babak ala Star Wars menimbulkan seakan sikap setiap babak itu diikat-ikat seperti perca-perca yang dijahit pada kain yang panjang, menguatkan tujuan ketidaktentuan dalam pencarian kebenaran bagi Syafiq, walaupun eksperimentasi ini tidak jelas struktur perancangannya secara luas dan mungkin mengganggu ritma tontonan.
Dalam kecacatan itu, filem ini tampil pesona dengan busana, warna dan set produksi yang menimbulkan mood yang baik. Sinematografi Indra Che Muda hanya bersikap fungsional pada struktur cerita dan tidak mahu menimbulkan stilistik yang perlu. Namun aku amat suka dengan skor muzik filem ini yang dengan peminjaman rentak lagu Rasa Sayang (yang sendirinya bercakap tentang pinjaman dan pencampuran antara budaya - yang juga ketidaktentuan identiti, yang akhirnya menimbulkan persoalan jati diri) yang berjaya menimbulkan rasa dan emosi yang bersahaja, merisaukan dan mendebarkan akhirnya.
Klasifikasi: P13, Beberapa babak aksi ganas yang memerlukan bimbingan ibu bapa atau penjaga.
DITONTON DI MM Cineplex, eCurve.
DITONTON DI MM Cineplex, eCurve.
No comments:
Post a Comment