10 December 2018

Tiga Filem Baik Malaysia 2018

Dalam tahun 2018 ini, semacam meledaknya beberapa filem tempatan (bermula dengan Dukun) yang mampu memperlihatkan suatu "era baharu" perfileman Malaysia, walaupun mungkin berlaku dalam tempoh yang singkat (aku anggarkan akan berakhir pada tahun 2025 jika tiada pembaharuan dan rekayasa seterusnya dilakukan terhadap akal dan gerak laku produksi termasuk tiga penunjang pembudayaan wayang; INSTITUSI-KARYAWAN-PENONTON yang aku pernah sebut dalam "Pembudayaan Wayang pada Era Malaysia Baharu: Memulihara dan Memelihara Seluloid Seterusnya", Dewan Budaya November 2018). Filem-filem ini seharusnya diraikan, walau dalam kekecilannya, atas nama keikhlasannya dan jiwa semerbak.

Mencari Rahmat



Masalah utama filem ini ialah teknikal persembahannya. Pertama, filem ini mengambil format drama televisyen (ruang bingkai, syot dan susunan letak, gaya) dengan sikap pelestarian talking heads. Talking heads ini pula berkaitan dengan sumber pembikinan filem ini, yakni suatu adaptasi karya drama teater Oscar Wilde, The Importance of Being Earnest. Maka, dengan sengaja pengarah dan penulis skripnya, Al Jafree Md Yusop menyusun letak persembahan lakonan dan gerak lakunya ala stagy. Terdapat sebuah lagi teknik persembahan campuran, yakni animasi, dimuatkan dalam dua babak monolog panjang (gaya sama jika kita pernah menonton Harry Potter and the Deathly Hollows Part I [2010], bandingkan sikap eksposisi ini dengan babak full animation yang hanya bergerak tanpa perlu sangat bermonolog dalam Run Lola Run [1998]). Walaupun penggayaan ini memperkaya namun boleh sahaja canggung dan kelihatan kureng bagi yang tidak mampu (aku pernah menonton filem adaptasi novel Ulysses yang penuh dengan monolog dari awal sehingga akhir) menurut; tetapi mereka yang sanggup melepasi kekurangan atau kecanggungan ini, you are in a litte treat.

Ini adalah kerana Al Jafree telah menghasilkan antara komedi paling menyengat tahun ini, bersatirakan dua jenis kelas budaya yang mungkin tak mampu bagi orang seperti aku mengalaminya, selain di televisyen (hence the style). Pertama ialah kelas budaya chenta-korporat anak Dato' dan Datin Melayu yang selalu bermain-main di siaran televisyen kita. Kedua ialah parodi buat-buat bagi budaya drama televisyen Melayu itu sendiri, yang secara sengajanya, Al Jafree memerangkap watak-watak orang kaya "berbudaya" ini dalam bingkai pentasnya yang langsung tidak berjaya keluar lebih daripada pagar batu rumah-rumah orang kaya yang digambarkan. Segalanya interior, malah paling luar pun hanya bermain-main di taman sekangkang kera banglo mana-mana rumah Dato' Datin serata Malaysia.

Keterperangkap watak-watak ini ialah keterperangkap "minda" penonton dan pembikin drama televisyen yang sedang dihentak dan diejek oleh Al Jafree (kadangkala dengan jelas dalam dialognya). Menarik lagi, beliau menggunakan bahasa baku "yang sampai!" seakan-akan kita, kini, sedang menonton high drama, sekali gus sekali lagi mengejek-ejek semangat pelaksanaan Dasar Kebudayan Kebangsaan. Keterperangkap ini sekali lagi memerangkap jengkel budaya sosial golongan atasan yang hanya "memilih tangkap" budaya-budaya tertentu sebagai budaya yang menyamai statusnya (lebih-lebih lagi budaya Barat). Di sini, kelihatan ironi sikap xenofobia golongan kaya ini terhadap apa-apa yang "asing" atau "di luar" yang dirasakan tiada menempatkan pada status yang ada dengan mereka, dan betapa ironi berganda apabila sesuatu yang di luar ini kemudian (dalam hal ini, spoiler, watak Rahmat), pada peleraian filem, memunculkan makna imej yang membilas bayang diri sendiri. Maka sindiran Al Jafree ini menjadi suatu pokok wacana yang lebih besar, membongkar balik kefahaman kita melihat strata-strata status dan kelas sosial bikinan sesebuah masyarakat, apatah lagi dalam pemilihan dan pembudayaan tentang apa itu budaya tinggi dan budaya rendah, dan apatah lagi hipokrisi yang muncul di belakangnya, serta garisan halus di antara kedua-duanya yang hanya dapat digaul-selam dengan rasa yang jauh lebih penting: hati/naluri.

Kelangsungan filem komedi satira ini menjadi, malah menutup mata kita terhadap sikap staginess-nya adalah atas lakonan-lakonan cemerlang para pelakonnya, khusus Namron, Amerul Affendi, Eric Fuzi, Azman Hassan, Nadiah Aqilah, Adibah Noor dan Sharifah Amani. Sebagai sebuah filem yang dipentaskan, kumpulan pelakon ini berjaya mencitrakan wataknya pada tempatnya, yang walaupun dengan sedar dan tahu pembawaan mereka "dibuat-buat", namun jauh lebih berkesan dan ekstrem daripada mana-mana Dato' Datin dan anak-anaknya yang pernah digambarkan dalam drama Melayu kontemporari. Atas lakonan merekalah, kita penonton, dapat menonton sebuah "drama televisyen yang dipentaskan" ini dengan sungguh menyeronokkan, terkikih dan terhibur dengan setiap masuk keluar kacau-mengacau dan drama emosi yang diluahkan. Runut bunyinya biasa namun membantu, khususnya pada beberapa pemilihan lagu yang sesuai membina suasana. Suntingannya menurut beberapa filem jenis teater yang pernah dihasilkan, seperti Boys in the Band (1970), Who's Afraid of Virginia Woolf (1966) dan Cat on a Hot Tin Roof (1958), yang kebanyakannya bermain dengan penggambaran latar dalam. Pengarahan menjadi kekuatan dalam cara pengawalan sekuen dan tempo penyampaian, menjadikan suara dialog dan mimik laku suatu rapsodi yang membentuk sebuah simfoni untuk diraikan.

Polis Evo 2



Joel Soh dan Andre Chiew mengambil baton daripada Ghaz Abu Bakar, dengan pengekalan tulisan skrip layar Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf, bermisi untuk menunjukkan bahawa sekuel selalunya bigger, badder, better. Mungkin filem sekuel ini bigger dan badder tetapi mungkin tidak better, apabila keseluruhan filem ini terasa seperti sebuah lagi episod misi kes yang perlu diselesaikan oleh dua polis-gerak khas bujang lapuk, Zizan Razak dan Shaheizy Sam demi menentang kejahatan dunia, kali ini dalam bentuk puak jihad ekstrem ala Al Maunah wal Jemaah Islamiyah. Apa yang berlaku ialah, tanpa terduga, dua polis kesukaan ramai (yang sudah menjadi jenama yang baik) ini terserempak dengan plot jahat Hasnul Rahmat aka Saif ala Noordin Mohammad Top hendak mengsandera masyarakat kampung pulau terpencil Pantai Timur selagi guru agung mereka tidak dikembalikan. Filem terbina dengan bergaya sekali dengan susunan semula babak-babak Black Hawk Down atau Alamo apabila plot memerangkap hero kita di sebuah pulau yang diperangkap oleh penjahat. Maka serang hendap dan terkepung merupakan cabaran dan cara penyelesaian yang perlu dihadapi oleh sekumpulan kecil hero-hero Malaya ini. 

Kali ini, dengan lebih banyak lagi aksi perlawanan, tembak-menembak, malah babak serangan kampung pada awal filem amat grandeur dalam sejarah filem Melayu yang sukakan babak-babak penjarahan (Semerah Padi ada satu). Malah, susun letak beberapa babak sandera dan serangan hendap mempunyai kesan kejutan dan resah yang amat baik, penimbulan suatu semangat ngeri yang seluruhnya baik dan sepatutnya. Bidang ini jelas sudah menjadi profesional para pembikinnya. Bagaimana dengan cerita? Mungkin ada beberapa persoalan lubang plot, seperti contohnya kita tertunggu-tunggu untuk kumpulan penyelamat tiba hingga akhirnya, walaupun kita memahami pengakhiran filem hendak menunjukkan klise si kecil melawan si besar akhirnya (dengan banyak peluh dan darah) dan seperti selalu, polis penyelamat memang selalunya lambat. Hal ini ditambah lagi dengan pedalaman watak dan sejarah untuk membina mitos baharu atau ruang baharu dalam citra Khai-Sani, walaupun kali ini kita dapat melihat sisi-sisi jiwa gelap Sani dalam hal ini. Namun Zizan tidak terdaya untuk mendalami emosi dan perwatakan yang sepatutnya untuk Sani, untuk membawa kedalaman watak yang menemui ruang gelap point of no return itu, menjadikan lagi kedalaman perwatakannya dalam filem ini sedikit sia-sia. Dunia Khai-Sani kali ini tidak berkembang, hanya mungkin bertambah dengan selesa demi kemunculan francais crossover pasaran Indonesia dengan watak berkesan Raline Shah, menjadikan siri ini semacam bergerak ke arah siri francais Lethal Weapon pula (makin lama makin bertambah wataklah, kata filem itu). 

Secara teknikal, segala-galanya cukup serba-serbi; suntingan, kareografi, pengarahan seni, busana, solekan, efek khas, dan sinematografi. Hilang feel stail, tempo dan warna Ghaz dengan pelataran warna naturalisme, tanah-bumi-pasir dan sikap no holds barred dalam ganas dan aksi kali ini (wajah  dan perilaku Hasnul Rahmat memainkan peranan dalam hal mewajarkan gaya ini). Erra Fazira terselit sebagai ketua SAC yang cuba menyelamatkan orang pulau secepat mungkin dan cuba mencari jalan menumpaskan pengganas sandera pulau itu. Ramai rasanya yang mengalir air mata apabila seorang watak dari wayang gambar Paskal terkorban. Tangkap kelibat Dennis Yin bekas penari Showdown Elecoldxhot. Eh, dah lama Sofi Jikan tak keluar wayang. Dan jangan lepaskan peluang mengira berapa kali product placement Dashing keluar di layar kali ini.

Guang



Filem tulisan (bersama-sama Ismail Kamarul dan Al Kuan) dan arahan sulung Shio Chuan Quek ini mengembalikan tradisi Kami (1982) Patrick Yeoh yang membariskan ramuan melodrama ala neorealisme dan secubit kisah pari-pari dengan sinematografi paling cantik dibikin untuk tahun 2018, menceritakan kisah perhubungan dua adik-beradik yatim piatu di tengah kota, dengan abangnya yang autisme, Guang (lakonan cemerlang Kyo Chen) dijaga oleh adiknya Didi (lakonan baik Ernest Chong) supaya pada suatu hari nanti Guang boleh berdikari menjaga dirinya sendiri. 

Shio Chuan sangat bijak dalam kawalan dan menyelenggara susunan filem, lebih-lebih lagi agar dinamisme perhubungan abang-adik yang canggung (adik menjaga abang, abang lebih adik daripada adik) ini tersampai untuk penyediaan beberapa babak-babak bikin nangis yang sengaja. Hal ini dibantu oleh Emily Chan yang membentuk perhubungan dengan Guang yang kemudian menjadi picu peleraian untuk Didi (penjelasan latar dan motivasi perhubungan seterusnya).

Filem ini juga berkenaan ciptaan simfoni, yang akan menurut dan mengikut hasil misi Guang "mangkuk kaca". Hal ini menyelami "citra indah" lain yang wujud dalam anak-anak autisme, juga tema mengilas air yang dalam agar dapat melihat mutiara yang tertanam di dalamnya. Moralnya mudah: jika kita beri peluang, kesabaran dan simpati - mana-mana manusia akan menghasilkan lagu yang mampu menyentuh jiwa. Premis ini mungkin biasa jika keadaan adik-beradik ini dalam ruang status golongan menengah, namun atas keadaan kelas sosial rendah adik-beradik ini, kesan menyentuhnya lebih terkesan, lebih-lebih lagi dalam hal buakan psikologi Didi menghadapi konflik desakan hidup sekali gus memahamkan sifat semula jadi abangnya yang tidak memahami realiti tersebut. Hal ini menimbulkan sifat bittersweet, dalam ruang dan perkembangan yang jelas sederhana kecil.

Malah filem ini yang jelas cemerlang dalam lakonan dan garapannya mungkin kecil dari segi naratif, menurut kisah-kisah kecil biasa dunia filem Iran yang bertradisikan Bycicle Thieves (1948). Paling penting di sini ialah dinamisme lakonan, dan dinamisme ini jelas muncul buat kedua-dua pelakon utama. Mungkin penceritaannya boleh diikat ketat lagi kerana kedesakan filem untuk memanjangkan ceritanya untuk 88 minit jelas terasa, lebih-lebih lagi dalam kejujuran latar mengapa Guang terikat dengan muzik dan bunyi-bunyian. Beberapa imej filem ini amat padu menjadi imejan sinema contoh bagi tahun 2018, yang sedikit sebanyak turut bercakap tentang keadaan sosial serba salah dalam ekonomi dan keselesaan hidup. Jukstaposisi Didi di tempat kerjanya yakni di ruang bermeja snoker yang kosong, yang hanya terdengar bunyi suasana lagu dan bola melanggar bola, kemudian kosong menjadi perbandingan jelas yang indah terhadap tempat kerja (spoiler) Guang yang penuh dengan "nada" dan bising bunyi. Imej ini jelas terjawab pada babak akhir, dengan tanpa suara, Guang di kelilingi berpuluh-puluh piano yang sekali gus imej "tanpa bunyi" ini melahirkan suatu melodi menyenakkan jiwa, antara citra abang (budaya dan seni yang mencapai langit) dengan adiknya (budaya yang sia-sia). Tuhan sudah memilih kita atas lahiriah jiwa kita sendiri, namun kita tetap dapat berabang-adik apabila kita memahami letak duduk hakikat perbezaannya.

Berdasarkan daripada filpen Shio Chuan Quek dengan judul yang sama. 

No comments: