7ujuh seperti kebanyakan filem seram Amerika (dan Indonesia) sedang merokonstruksi era 70-80-annya. Mengapakah hal ini berlaku? Tahun ini sahaja, terdapat dua filem besar klasik yang diulang kaji di Barat; Halloween dan Suspiria. Kedua-duanya klasik dalam legasinya. Kini, kita bertanya Raja Mukriz, pengarah filem ini, dan Ellyna Ahmad, penulis skrip ini, untuk apa seram 70-80-an direkonstruksi, jika, secara jelas, Malaysia tidak mempunyai filem seram yang signifikan pada era itu (mungkin hanya Rahsia, Toyol, Perkahwinan Berdarah dan Misteri Rumah Tua?, walaupun 80-an).
Jadi, tampaknya, Raja Mukriz terpaksa membina daripada pasir, dalam hal ini, merujuk filem seram Barat. Dengan menurut plot ringkas itu, seperti filem-filem William Castle yang awal (dan terus dimainkan hingga sekarang), di sini juga sekumpulan remaja era 70-an(?) dicampakkan ke sebuah ruang-latar (selalunya rumah) yang akan, detik demi detik, mengganggu gugat sekumpulan daripada mereka secara luaran dan dalaman oleh sesuatu. Bijaknya, terdapat subteks (yang sengaja) dalam hal ini, walaupun goyang, akan pengenalan dekadensi dan hedonisme hidup anak-anak muda Melayu era itu (pasca 1969, era DEB bermula) dan akibat tragedi daripadanya. Pada awal-awal ini, dengan jelas, penceritaan filem ini lancar membentuk premisnya. Seorang daripada rakan presidennya sendiri menyatakan, "Kau akan mewarisis tampuk presiden-presiden sebelummu." Lalu secara tidak sengaja, membentuk satu alegori akan sekumpulan budak yang boleh mewakili sebuah syarikat, pertubuhan mahupun parti politik yang "akan" jatuh daripada tempatnya kerana pewarisnya telah mengambil jalan yang salah (dengan menerima hedonisme ala Barat) namun terus menafikan (in denial) kesalahan/dosa yang mereka lakukan.
Semua ini menarik jika penulis dan pengarahnya pandai memperkembangkan premis ini dan cuba bermain-main sedikit dalam keklisean genrenya. Namun kata hanya tinggal kata. Awal-awal lagi dalam filem ini, seperti sudah memberi signifikan kepada Raja Mukriz sendiri, mata Orang Asli memandang tajam terus kepadanya (kita), memberi amaran: jangan kau langkah masuk sesuatu yang kau tak tahu.
Dalam era 60-70-an, secara rambangnya, terdapat tiga bentuk generik filem seram yang dibikin, yang semacamnya, masih diteruskan pada abad ini. Pertama ialah jenis character driven dan serius, yang dibawa oleh filem seperti The Exorcist, Rosemary's Baby, Carrie, Don't Look Now dan Night of the Living Dead, yang mana terdapat sekumpulan watak yang penonton peduli akannya kerana perwatakannya dibentuk garap secara bulat dan bermanusia yang jelas. Filem sebegini masih laku dibikin sekarang, malah filem beginilah yang diambil cakna oleh Blum House dalam pembikinan filem seram bajet rendah mereka (dan diharap Kuman Pictures menurut sama). Penonton peduli kerana kemanusiaan watak-watak ini jelas, maka kesakitan dan keresahan watak ialah keresahan dan kerisauan penonton, dari awal hingga akhir. Jenis filem seram kedua ialah filem yang menggerakkan gaya cerita slasher (bunuh-membunuh) dengan menempatkan seorang watak sebagai watak penonton boleh merujuk dan menurut (yang lain boleh mampus). Yang penting di sini ialah satu-satunya watak akhir itu, (survivor) selalunya wanita; Halloween, Alien dan Texas Chainsaw Massacre, yang penonton mahukan, dan mengikut, supaya kembara watak itu sekurang-kurangnya dapat keluar daripada neraka yang disediakan buatnya, walaupun jika dia keluar nanti dia akan menjadi traumatik selama-lamanya. Ketiga ialah filem yang mendekati itu, tetapi lebih mindless lagi, menitikberatkan (1) gaya seram (2) efek seram dan (3) pembukaan/penyiasatan cerita asal muasal titik punca hantu. Filem sebegini selalunya dipandang rendah oleh pengkritik biasa kerana naratifnya menitikberatkan mumbo jumbo. Namun amat diangkat oleh pengkritik filem seram kerana keberanian dan inovasi horror feelnya, dengan kenyataan klise ini: style over substance. Semuanya kerana "horror ride" itu, tidak lain tidak bukan (selain paling mendekati ideologi HP Lovecraft), dan antara filem yang ditandai dengan bentuk ini ialah Suspiria, The Beyond dan Evil Dead.
7ujuh mempunyai masalah untuk mengidentifikasikan dirinya dengan ketiga-tiga jenis itu, walaupun secara jelas, ia lebih cenderung pada jenis ketiga. Namun, oleh sebab cara penceritaannya yang terlalu banyak meminjam (ada kefahamn jelas antara rip off dengan merujuk atau homaj) efek dan tanda seram filem Barat lama secara rambang, dengan pengarahan yang jelas-jelas lemah konteksualnya, ia tidak membawa kita ke mana-mana. Dengan gah teknik dan syot, jelas memang ada pada Mukriz dan sinematografi, tetapi feel dan depth? Latar jadi latar sahaja, dikacau pula dengan runut bunyi ala Syamsul Yusof yang tidak habis-habis berbunyi, lagu bercampur bunyi khas. Bayangkan, terdapat babak yang jelas boleh jadi creepy apabila kedengaran gemercing suara "hantu" itu mendekati, tetapi hal ini tidak menjadi kerana syot, ritma antara syot, adunan bunyi dengan skor yang terus menenggelamkan rasanya. Malah, beberapa jump cutnya merunsingkan. Sekejap ke situ, sekejap ke sini? Adakah filem ini begitu diarah potong oleh LPF sehingga jadi begini adanya? Aku tidak setuju. Aku rasakan, gore adalah satu hal dalam efek seram, tapi kreativiti dalam garapan saspens adalah satu hal yang lain (Hitchcock tidak memerlukan darah dan ganas untuk menakutkan kau). Malah, dalam kebingitan runut bunyi filem seram Syamsul Yusof pun, Syamsul faham apa itu susunan - penyediaan debar - debaran naik - debaran dilepaskan dengan kejutan - penyeleraian debar. Dalam filem ini, hal asas seram sebegitu pun langsung tidak diaplikasikan, malah merabai-rabai entah ke mana-mana. Malah, terlalu banyak syot "kelip-kelip mata" ala meniru sekuen mimpi The Exorcist yang tidak menjadi. Ini menyedihkan kerana terdapat set piece seram bikinan dalam filem ini yang menjanjikan, seakan memberikan "ah, sesuatu yang menyeramkan akan berlaku", tetapi hal itu tidak terjadi. Ditambah pula dengan dialog seorang watak yang menjengkelkan, "Jangan beritahu Tok Batin, nanti dia tahu."
Hal ini suatu tragedi, kerana potensi dalam filem ini jelas ada - seni pengarahan, solekan dan busana (selain rambut palsu mereka) dan lakonan. Malah, secara bacaan lapisan, filem ini juga boleh diteliti sebagai suatu psikologi ngeri, bahawa "halusinasi" yang dibina atas rasa "perlakuan bersalah" itu yang tidak mahu diucapkan menjadi punca fatalis sendiri. Namun, atas pengarahan Mukriz yang terburu-buru, tidak mahu mengambil masa membina mood set pieces dan kepedulian untuk merungkaikan rapuh psikologi watak-wataknya satu per satu, ia menjadi terbuang begitu sahaja. Jadilah filem ini suatu enigma yang memakan dirinya sendiri kerana telah membalas renungan Orang Asli yang tajam itu, dan terus melangkah melanggar pantang larangnya.
Klasifikasi: P13, Beberapa babak aksi seks rambang, minum arak, ambik dadah, stone dan ganas yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.
DITONTON DI MM Cineplex, eCurve.
DITONTON DI MM Cineplex, eCurve.
No comments:
Post a Comment