11 September 2017

Mempertahankan It dan Versi Andy Muschietti


Hujah ini penuh dengan spoilers.

"Your hair is winter fire, January embers, my heart burns there, too." - Ben

"Beverly didn't die, because she is not afraid of you anymore!" - Bill

Ya, ini bukan sebuah ulasan tapi sebuah hujah pertahanan yang panjang. Sebab ini sudah menjadi suatu yang sedikit peribadi buat aku. Sesiapa yang mengikuti blog ini pun akan menyedari, aku jarang-jarang malah sudah tidak pernah lagi mengulas filem luar, apatah lagi, filem Hollywood, kerana (1) aku rasakan banyak filem Malaysia khususnya Melayu yang kurang mendapat pendedahan dan apresiasi dalam penulisan (kritikan sudah mati kata orang sastera), malah dilupai dan hanya diingat-ingat dengan satu dua ayat "ulasan" manusia Melayu di Twitter yang di"kicau-semula"; (2) sudah banyak blog/grup FB dengan ulasan baik yang mengerjakan filem luar dan Hollywood, jadi buat apa aku nak tambahkan lagi warnanya yang kelihatan semua sudah sedia akur dan faham dengan ulasan yang baik.

Tapi It, aku terpaksa membuat sedikit pusingan-U.

It, dan ya, sebagai peminat novel Stephen King (aku terhenti pada fasa King dilanggar kereta; selepas itu, seperti watak budak Losers' Club dalam It, aku melupai King lalu membaca novel-novel Inggeris lain) dan juga amat mengikuti filem-filem adaptasi King, aku rasa ada beberapa perkara yang mungkin sengaja tidak dihebohkan atau dilupai oleh kebanyakan kutukan terhadap filem ini. Aku mengaku, ya, babak-babak konon seramnya, lagi-lagi pada babak Pennywise dan lembaga jadi-jadiannya muncul, perasaan takut itu tidak ada (dengan sedar, kebanyakan imej lembaga It yang berubah-ubah bentuk mengikut prasedar ketakutan mangsanya selain bentuk utama badut dari neraka itu, mengambil homaj filem-filem seram 80-an, selain menghomaj mini siri asal adaptasi ini sendiri; seperti tangan terbuka dengan kuku menghomaj sarung tangan pisau Nightmare of Elm Street, tali dari singki melilit Beverly menghomaj adegan dawai pendakap gigi di dalam bilik air Poltergeist 2, keranda terbuka menghomaj mini siri Salem's Lot, hantu Georgie yang menggelupur menjadi It menghomaj sebuah babak The Thing, tilam berkepala dan berdarah menghomaj tilam berdarah Hellbound: Hellraiser II, pintu tertutup yang gelap menghomaj babak pintu-ruang gelap House, budak Losers' Club memasuki perigi dan lorong bawah tanah menghomaj Goonies), apatah lagi, menurut undang-undang filem seram, jika hantu itu dipaparkan dan dipaparkan berkali-kali (sepertimana dalam Pontianak Harum Sundal Malam, sepertimana Muschietti lakukan dalam Mama sebenarnya), perasaan takut itu akan hilang - apatah lagi, jika kita bandingkan dengan babak awal kemunculan Pennywise dalam versi mini siri 1990 arahan Tommy Lee Wallace (pengarah Fright Night II yang sangat diunderratedkan) yang hanya berdurasi kurang 90 saat, babak awal dalam versi Muschietti ini, dengan amat menurut sumber asalnya, memaparkan dialog panjang antara Pennywise dengan Georgie (peminat seram biasa akan mengamuk: larilah bodoh! - tapi ini benar-benar terjadi dalam novel!).

Pada masa itu lagi, aku sedar, oh oh, buckle up your seat, pengadaptasian yang setia pada novel lwn. karya interpretasi penulis-pengarah ala The Shinning sedang muncul.

Persoalan ini, khususnya filem-filem adaptasi Stephen King sudah menjadi semacam debat nasional, antara peminat novel kipas matinya dengan pengkritik filem (ya, ini menyebabkan mengapa terdapat beberapa novel Stephen King dilihat lebih sesuai disiri/minisirikan daripada difilemkan; contoh jelas boleh dilihat dengan adaptasi baik Salem's Lot dan The Stand yang aku tidak berapa suka). Lihat sahaja dengan The Shinning, yang sampai hari ini King dan peminat tegarnya membencinya (aku OK dengan versi Kubrick ini). Hal ini sudah tentu meletakkan sikap penonton filem seram "peduli hape" dengan kata-kata pembaca buku totok dan pengarang terkenalnya. Malah, untuk tunjuk pandai, King sendiri telah mengarah filem Maximum Overdirve yang lahanat nak mampus, memaparkan orang tua ini hanya boleh menulis dan bukan membikin filem. Apatah lagi dengan skrip asalnya yang lembik, Sleepwalkers (dengan rakan kongsi King paling dekatnya, pengarah Mick Garris). Kalau hendak dibandingkan, sudah tentu The Shinning Kubkrick jauh lebih creepy dan menggunung daripada filem It.

Kita tahu King mempunyai masalah ini kerana King menulis dengan gayanya, ala komik, yang walaupun boleh melewah dengan kata-kata, King sebenarnya penulis komik, lebih-lebih lagi amat mendekati bentuk komikal tulisan Lovecraft (yang seakan-akan menulis dengan terkekeh melihat dan merasa pembacanya akan rasa takut dengan apa yang dihidangkan, sedangkan imejan dan garapan langgamnya sangat komikal) yang banyak berevolusi dalam bentuk tulisan komik-komik Tales from the Crypt (sebab itu King melakukan homaj, Creepshow I dan II). Seram King, sebenarnya, walau segelap dan segila mana, mempunyai inti yang terlihat sengaja mencuit (novel-novel awalnya, seperti Carrie dan Salem's Lot tidak ada gaya ini), seakan-akan suatu amusement buat King. It bukanlah The Exorcist, yang ditulis oleh Friedkin to scare the hell out of you dan takes it's literary subject too seriously. Ada momen-momen, seperti yang kita lihat dalam Loser's Club, saat-saat manusia dan just being kids. Ini yang sebenarnya yang ingin King berikan (tema sekumpulan budak ini berulang dalam kepengarangan King, seperti novela The Body dan novel Dreamcatcher).

Sesiapa yang sudah membaca It pun tahu, walaupun terdapat primer seram dalam bentuk "It" itu, yang sesiapa yang sudah membacanya akan tahu dengan mitos Si Kura-kura Maturin yang bersengketa dengan It secara abadi di dalam Macroverse, tetapi tujuan keseraman subtle novel ini ialah hal-hal seram lain, paparan realiti masyarakat Derry, yang ada dipaparkan secara sepintas lalu dalam versi mini siri tetapi disampaikan dengan jelas dan baik dalam versi filem 2017 ini. Seram, Bagi King, yang membentuk "it" (ia) - suatu ketakutan tanpa nama ini - sebenarnya ialah ketidakpedulian dan kejahilan (yang kebanyakannya dilakukan oleh orang dewasa). Inilah mengapa terdapat "banyak kematian tetapi kuota kanak-kanak lebih lagi" kerana King percaya, seperti kebanyakan pengarang sastera, jiwa kanak-kanak itu luhur dan bersih (innocent). Tujuan It ialah membunuh keluhuran (death to innocence) yang dimakan melalui "rasa takut". "Rasa takut" membuatkan kita menjadi kemab, dungu dan tidak peduli, orang Melayu kata, "Katak di bawah tempurung". Kanak-kanak mempunyai intuisi dan kepedulian yang paling kuat, dan masih bersih seperti kain putih - inilah sebab It cenderung mengacau-memakan mereka.

Ketidakpedulian dan kejahilanlah yang sebenar-benarnya memakan pekan Derry, seperti yang dinyatakan oleh Mike dalam satu dialog, "My Pa' told me there is a curse in this town, something is feeding from the town's folk". "Makan" di sini ialah proses "terhakis"nya suatu nilai murni yang selari, yang merupakan satu bayangan/metafora besar masalah sosiorealiti Amerika yang sedang eating up America alive. Mengapa adpatasi ini tiba-tiba muncul? Ya, pembikin dan King merasakan, Amerika seperti Derry, jahil dan lupa, lalu mengundi dengan bodoh sekali untuk Donald Trump menjadi presiden. Lembaga berbentuk Donald Trump merupakan satu daripada bentuk jadi-jadian It. Apa yang Trump bawa? Dengan jelas, kata herdik dan mengancam - membuli. Buli merupakan imejan jelas dalam novel dan filem It. Tetapi sebenarnya terdapat beberapa penyakit sosial di dalam Derry yang berjaya dikemukakan dalam filem terbaharu ini.

Antara penyakit sosial jelas yang dipaparkan ialah sikap rasisme terhadap orang kulit hitam, budak-budak "tak nampak normal" ala nerds, mangsa seks sebelum baligh, dan nanti (babak ini berlaku pada awal novel), homofobia (isu AIDS ada disampaikan dalam dialog oleh Eddie dalam filem menandakan kejahilan ini bermula sedari kecil dipupuk oleh orang dewasa). Perasaan ketidakpeduli membina rasisme, dan rasisme membuatkan masyarakat itu tidak utuh bersama (slogan 1Malaysia anyone?). Kebersamaan dan "perkongsian memori" (yang akan kita lihat perlu berlaku dalam bab kedua filem ini) yang dapat membunuh ketidakpedulian dan kejahilan, yang dapat membunuh It. 

Sebagai pembina metafora, dan penjalin, malah disusun begitu rupa oleh Chase Palmer, Cary Fukunaga dan Gary Dauberman, bagi aku, sudah cukup menggetar. Sebagai peminat novel ini, beberapa bahagian dan babak filem ini yang merealisasikan teks novel telah, ya, membuat aku menangis, lebih-lebih lagi dengan kejelasan persahabatan-keintiman antara watak-watak Losers' Club. Ya, berlaku beberapa perubahan, supaya setiap kemunculan seram/It itu mempunyai justifikasi terhadap watak yang ditakutkan (dalam novel, ayah Mike tidak mati). Ramai akan sedar mengapa filem ini (juga novel) berbentuk ini, hantu itu mengacau seorang demi seorang, seperti seorang boogyeman (rujuk homaj baik yang dilakukan oleh Mushietti terhadap Nightmare on Elm Street, bukan sahaja cara tangan dibuka oleh It tetapi papan tayangan siri kelima francais itu di papan pawagam - ini juga persoalan mengapa Pennywise lebih berbentuk komikal, seperti mana Freddy Krueger yang menyerang para remaja di dalam mimpi pada siri-siri seterusnya. Dan maaf Lynn, anda amat salah apabila meminta Pennywise diberikan lebih banyak ruang, ini sangat-sangat bertentangan dengan gaya kemunculannya dalam novel). Malah, dalam novel It (juga dalam satu babak dalam versi mini siri), hantunya berbentuk serigala jadi-jadian setelah Losers' Club, khususnya sewaktu "Bip-bip" Richie menonton filem I Was A Teenage Werewolf di dalam pawagam. It asal King menghomaj hantu-hantu dari dunia seram Universal Classics (It menjadi hantu-hantu itu), sebagai bentuk jadi-jadian yang muncul sebagai mimpi ngeri kanak-kanak menurut era itu (1950-an). Sudah tentu, jika hantu-hantu ini muncul pada zaman serba canggih dan laju ini, takde siapa pun yang peduli (memohon Muschietti untuk melakukan pemaparan takut-takut ala J-horror agak bingai kerana ini bukan seram Asia). Malah persoalan "takut" ini perlu dihadapi oleh Losers' Club (dan kita, pembaca dan penonton), malah berjaya pun pada akhirnya dihadapi.

Terdapat tiga bahagian yang aku sedar tidak disentuh oleh skrip filem ini, yang berkemungkinan akan dikembangkan pada bab kedua (bersabarlah Lynn) filem ini. Pertama, dengan bagusnya, babak orgi seks antara Beverly dengan kesemua budak lelaki Losers' Club (ikidyounot!) pada bahagian mereka di bawah betung air selepas berjaya membuat It berundur. Babak ini, untuk beberapa peminat novel ini, terbahagi dua, dan aku sendiri merasakan babak ini mengarut dan tidak perlu (babak ini sebenarnya seperti memaparkan bagaimana utuh-dekatnya kumpulan ini, juga menujukkan perasaan nafsu-ghairah ini dapat menenggelamkan rasa takut, juga sebagai penanda orang Barat untuk anak-anak mereka menjadi dewasa), dan bagusnya, babak ini tidak dilaksanakan, namun bagi kipas mati novel ini, penulis skrip dan pengarah berjaya "membayangkan" ia mungkin/tak mungkin berlaku kerana mereka tiba-tiba dipotong terus pada bulan September. 

Kedua, bahagian Bill (yang ini dipaparkan dalam mini siri) menampilkan kehebatannya bercerita, khususnya kisah-kisah fantasi dan kesatria. Hal ini mengembang pada babak Bill yang dewasa sebagai seorang penulis terkenal (King ler tuh) yang kemungkinan diubah nanti dalam versi filem ini. Namun, menariknya, terdapat sedutan indah hal ini terhadap persoalan cinta segi tiga Bill-Bev(erly)-Ben. Bill mungkin boleh menulis prosa, tetapi Ben, mengarang puisi! Dalam dunia sastera, diketahui, tingkat puisi jauh lebih tinggi daripada prosa (yakni novel atau cepen). Objek intiman di sini, bagi Bill dan Ben ialah Beverly. Ben yang menulis puisi kepada Bev, bukan Bill, yang Bev kelihatan tampak kemungkinan Bill yang menulis (hal ini tidak dipaparkan dalam filem) kerana kehebatannya bercerita. Hal ini juga memaparkan bagaimana genius Ben ini sebenarnya, dalam diam. Ben bukan sahaja menulis puisi, tetapi dia seorang penyiasat dan sejarawan. Di sini, satu lagi poin kuat yang ingin disampaikan oleh King. Hanya dengan sejarah (dan mengenal sejarah), manusia di Derry boleh kenal dan melawan It. Sejarah ialah formula akhir yang ditemui Ben, yang melengkapkan cerita mengapa It perlu dibunuh. Sejarah juga, dalam sosiorealiti Amerika dan kita, menjadi alat utuh memerangi kejahilan dan ketidakpedulian.

Ketiga, satu "ritual of chud" yakni suatu babak panjang ala psiko-prasedar campur surreal antara watak-watak Losers' Club dengan It, yang mana, mereka seakan-akan berperang jiwa ala prasedar dengan It. Babak inilah muncul mitos Kura-kura dengan dunia macroverse itu dan asal usul It diperkenalkan (dan seperti biasa, seperti kisah Lovecraft dan sebuah kisah seram murahan Tales from the Crypt, It jatuh ke bumi, berbilion-bilon tahun dahulu dari langit, menghentam ke bumi seperti sebuah meteor dan tinggal di kawasan bernama Derry, dengan nama seorang lelaki, Robert Gray - ini yang kau nak dipaparkan Lynn?). Aku tahu, babak ini benar-benar diinginkan oleh peminat besar King dan novel ini, entah bagaimana pembikin 2017-18 ini akan pull this thing off. Aku sedar Muschietti sengaja tidak lakukan pada bab pertama filem ini, kerana penghuraian dan logosnya terhadap filem perlu dibina dahulu (sebab ini filem, bukan novel). Kita harap-harapkan sahaja, kemungkinan, ia boleh diangkat pada bab yang seterusnya.

Ada banyak pengkritik (seperti Peter Bradshaw) yang merasakan filem ini bukan filem tetapi sebuah mini siri yang panjang. Aku turut mengaku, ya, It ini sebuah mini siri yang ditayangkan di medium pawagam. Aku rasa hal ini tidak ada masalah, lagi-lagi kita generasi yang dapat merasai filem penjang pecah tiga Lord of the Rings dan The Hobbit, yang sebenarnya sudah lama bermula dengan Fritz Lang dengan filem bisu empat jam siri Dr. Mabusenya atau Sergei Bondarchuk dengan adaptasi filem War and Peacenya. Ada yang akan kata, rangka masa pendek yang cukup mini siri asal It jauh lebih berkesan daripada filem ini. Ya dan tidak. Ya pada kemungkinan kemunculan Tim Curry aka Pennywise (bagi aku yang tidak takut dengan badut, hal ini tidak menakutkan langsung) tetapi sebagai peribadi, aku amat-amat menolak mini siri itu sebagai klasik (walaupun runut bunyinya sempurna dan adegan jungkar balik masa sekarang-masa lampaunya berjaya menangkap roh novelnya) kerana kemunculan bentuk It sebenarnya, seekor labah-labah kaku dari zaman 1950-an B-movie menghancurkannya (bandingkan sahaja dead light dalam versi baharu dengan dead light entah apa-apa dari mini siri, merapu habis). Jadi bagi aku, selagi bab keduanya tak terhidang untuk mengikat novelnya (bagi aku, riwayat budak-budak ini sudah tersingkap baik), aku rasa tak adil untuk menghukum filem ini poyo daripada mini siri asalnya.

Produksi filem sah-sah jauh lebih baik daripada versi mini siri, apatah lagi dengan lakonan para pelakonnya (kita teringat versi mini siri jauh lebih baik kerana (1) kita kecil waktu itu menotonnya (2) kita dicengkam wabak nostalgia yang selalu menghukum yang lama lebih baik daripada yang baharu), yang juga aku tidak berapa setuju apabila dinyatakan, ada dua tiga watak yang tidak dikembangkan dengan baik (Richie, Stanley, Mike dan Eddie) yang bagi aku sudah cukup, menurut motivasi-plot asal dalam novel, malah dengan jelas, rangka naratif Billy-Ben-Bev lebih utama dalam novel dan jelas terhidang dalam filem (serta mini siri dahulu!). Malah, kali ini watak Eddie lebih ternampak muncul daripada watak lain. Riche ialah Richie dan begitulah dia, dengan mulut lepasnya (lancangnya mulut budak pelakon daripada siri Stranger Things ini sampai dipotong-potong oleh LPF, yang aku teringat bagaimana sari katanya memahami kata-kata nistanya dengan betul, bukan macam Uthaya Sankar SB yang naif apabila menterjemah "asshole" secara langsung sebagai "lubang dubur"(!), sedangkan sari kata Melayu dalam filem ini jelas-jelas menterjemahkannya sebagai "bangang" - "Bangang" betulkan kau Uthaya?) yang kita akan tahu akan berkarya sebagai seorang pelawak terkenal waktu besar nanti. Stanley juga mempunyai perwatakan yang lebih jelas, dengan rasa terperangkapnya dengan agama-tradisi Yahudinya dan akal rasionalnya "Everything that you see is unreal!", malah Mike lebih jelas perkembangannya mendepani pembulinya. Orang jadi silap apabila menyatakan watak dalam mini siri lebih bulat kerana mereka sebenarnya mennonton babak dewasa-kanak-kanak terus-menerus, dan bagi aku, apa yang sudah ditimbulkan oleh penulis skrip filem ini sudah cukup adil terhadap kesemua watak Losers' Club.  

Aku tidak sabar-sabar lagi, menunggu untuk melihat Ben berubah rupa dewasa nanti (masih membujang walaupun diangkat sebagai bujang terlajak dan playboy paling laris di Amerika), babak si homoseks yang mati di bawah jambatan dimakan It, banjir besar Derry, kemunculan semula Henry Bowers, Stanley di dalam bilik air, suami Bev yang ganas-kejam seperti ayahnya, dan bagaimana usaha "memori bersama" diguna pakai (yang dewasa akan melupai Derry dan It, lalu Mike terpaksa mengingatkan mereka atas sumpah setia yang mereka lakukan, 27 tahun dahulu), dan mungkin, ritual of chud dan kura-kura gergasi. 

Trivia: Secara sengaja, bentuk kepala Pennywise yang dilakonkan oleh Bill Skarsgard berupa mentol, yang membesar di dahi dan ubun lalu menirus ke dagu, lalu kebanyakan antagonis atau penghalang Losers' Club merupai bentuk kepala dan alis mata seperti Pennywise, termasuk Henry Bowers, ibu Eddie dan anak gadis ahli farmasi. Filem ini merupakan sebuah lagi filem coming of age yang mengambil perisa budak-budak 80-an dengan basikal BMX dan mandi lombong/tepi sungai, homaj jelas yang diambil oleh siri Stranger Things yang seperti It, turut menangkap era Goonies, Gremlins, Explorers, D.A.R.Y.L., Flight of the Navigator, Stand by Me,  dan E.T. tersebut.

2 comments:

Anonymous said...

biasa2 je filem ni hmmm kbai!

-ajami hashim

fadz said...

Siaplah ko Ajami, tunggulah Tombiruo nanti, filem adaptasi juga tu! Jaga jaga! Hahahaha