Hal yang lebih penting, Bordwell juga menyarankan kajian filem (termasuk kritikan) supaya berbalik pada aspek spesifikasi medium, yakni melihat filem dengan mengambil kira mis-en-scene, suntingan, bunyi, dan sebagainya. Hal ini adalah kerana kritikan dan kajian filem sebelum itu, lebih menekankan aspek kandungan (cerita) semata-mata. Bagi Bordwell, teks atau kandungan filem mengambil kira spesifikasi medium kerana filem ialah medium seni yang berdiri dengan sendiri.
Tradisi
lama “interpretasi” pengaruh “grand theory” (yakni falsafah kebenuaan)
melahirkan makna atau maksud yang lebih kurang sama, contohnya, interpretasi terhadap
filem seram rata-ratanya dibuat menggunakan kerangka psikoanalisis (umpamanya,
mentafsir fenomena seram dengan merujuk konsep seperti “the abject” dan
“repressed desire”), dan hal ini akan melahirkan makna yang sama untuk
semua filem seram, termasuklah filem seram Eropah (Eurohorror), seram
Jepun, dan seram Melayu. Maka, hal ini sangat preskriptif (sudah ditentukan) dan
reduktif sifatnya, yakni pengkritik atau pengkaji cuma “memasukkan ke dalam
acuan yang sedia ada”, yang Bordwell panggil sebagai “priori interpretative
grids”.
Maka,
kaedah yang Bordwell sarankan, seperti “historical poetics” lebih deskriptif
sifatnya, yang Bordwell sifatkan sebagai “comprehension” dan
tidak berapa pada “interpretative” seperti mana ahli puitika (seperti
Bordwell) akan menunjukkan fungsi, cara dan efek sesuatu aspek, yang terdapat
dalam “Ozu and the Poetics of Cinema”.
Noel
Caroll (pengikut tegar Bordwell) yang muncul dengan bukunya, The Philosophy of
Horror; or Paradoxes of the Heart, cuba menolak psikoanalisis dalam
mengkaji fenomena sinema seram – mengapakah seram sangat popular sedangkan
ramai yang takut dan tidak sukakan hantu dan perkara yang menakutkan? Jadi,
Caroll gunakan kaedah yang lebih “kognitif”; contohnya, melihat mainan strategi
plot dan struktur naratif teks seram yang banyak memberikan penonton rasa seram
dan takut (seperti strategi melambatkan sesuatu penemuan atau pendedahan), dan
“modes of narration” yang digunakan, contohnya, mod “restricted
narration” yang mengehadkan akses penonton terhadap maklumat naratif filem;
dalam kata lain ini adalah proses “penghadapan naratif”. Hal ini pula akan
menyentuh aspek spectatorship, yakni penonton membuat pengindentifikasian dengan watak
dalam filem. Hal ini diterokai dengan melihat konsep tertentu seperti “paradoks
emosi” atau paradoks “menyayangi” antara penonton dengan watak dalam filem.
Semua ini dipinjam daripada falsafah analitis yang disebutkan.
Strategi-strategi ini tidak muncul secara bebas tetapi dibantu oleh aspek
stilistik sinema yang saling berinteraksi bagi membentuk filem sebagai satu
sistem yang koheren dan menyeluruh. Contohnya, penggunaan syot POV ataupun
suntingan POV yang berfungsi memberi efek bagi menakutkan penonton, berserta
aspek bunyi dan lain-lain. Semua ini dilakukan dengan “close analysis”
secara terperinci. Maka, pendekatan Caroll terhadap sinema seram telah menolak
konsep psikoanalisis seperti “the abject” dan “repressed desire”
yang melibatkan interpretasi.
Maka,
buku Bordwell, Making Meaning: Inference and Rhetoric in the Interpretation
of Cinema, menyarankan aspek spesifikasi medium sinema itu sendiri. Sebab
itulah juga, Bordwell dengan sinisnya meletakkan judul bukunya, Making
Meaning, yang membawa pengertian bahawa maksud dan makna yang diungkapkan dalam
filem sering kali maknanya “dicipta” atau “dihasilkan” oleh pembuat maknanya
(baca: pengkaji, sarjana, pengkritik, pengulas), sehingga tahap makna dan
maksud sering kali “digali” dan “dikeluarkan” (excavated) daripada teks
filem, walaupun sesebuah filem itu tidak membawa maksud asal yang begitu.
Hal
inilah yang agak sukar sebenarnya – untuk menentukan “garis pemisah” (demarcation)
antara makna yang boleh dilahirkan dan yang tidak boleh (yang mungkin kurang
berasas atau relevan). Walau bagaimanapun, Bordewell bukanlah tokoh pertama
yang cuba menolak amalan “interpretasi” ini. Pengkritik seni dan budaya Amerika
yang tersohor, Susan Sontag, telah terlebih dahulu menyuarakan perkara yang
sama dalam eseinya yang cukup berpengaruh, “Against Interpretation” (1964),
yang beliau sarankan agar penulisan, kritikan, dan kajian terhadap filem perlu
mengambil kira aspek medium itu sendiri, seperti aspek bentuk (form),
stail, estetik, dan sejarah.
Buku
Making Meaning Bordwell ini terus dikritik dengan hebat. Kritikan ini
juga berpunca daripada kesalahfahaman terhadap perkara yang dimaksudkan oleh
Bordwell tentang istilah “interpretasi” itu sendiri.
Bordwell
tidak seratus peratus menolak “interpretasi” kerana ia masih perlu bagi filem.
Malah, analisis beliau sendiri melibatkan interpretasi tetapi tidaklah sampai
pada tahap “mengada-adakan” atau “meletakkan” sesuatu yang tidak ada ke dalam
teks sesuatu filem. Bordwell sendiri telah mengenal pasti beberapa jenis dan
tahap makna atau maksud yang sering kali diungkapkan dalam filem, seperti “referential”
(rujukan), “eksplisit” (hal yang dinyatakan dengan sangat jelas, tersurat) ,
“implisit” (hal yang dinyatakan secara tidak langsung, tersirat), dan
“simptomatik” (tanda).
Bagi
Bordwell, “comprehension” melibatkan makna “referential” dan
“eksplisit”, manakala “interpretation” melibatkan “implisit” dan
“simptomatik”. Bagi Bordwell, itulah yang membezakan antara interpretasi yang
sah dan boleh dipakai dengan yang kurang sah dan boleh ditolak. Hal ini memang
menunjukkan yang interpretasi ialah “makna yang dilahirkan” oleh orang yang
mentafsir sesuatu karya itu.
Dalam
kesemua kritikan yang dikenakan terhadap buku Bordwell ini, yang paling menarik
datang daripada V.F. Perkins. Perkins menulis eseinya yang panjang lebar dalam
majalah filem UK-Movie dengan tajuk “Must We Say What They Mean?: Film
Criticism and Interpretation”. Esei itu agak pedas dan berbisa. Perkins berasa
keliru dan skeptikal dengan penjelasan Bordwell, seolah-olah kaedah puitikanya
sangat bertentangan dengan “interpretasi”, sedangkan Bordwell tidak menolak
interpretasi seratus peratus.
Sebenarnya,
Bordwell menghuraikan bahawa dia sebenarnya tidak menolak terus “interpretasi”
tetapi cuma ingin meletakkannya dalam konteks “ “historical inquiry” yang lebih
luas dan tepat kedudukannya. Perkins mencabar Bordwell dengan contoh Bordwell
terhadap makna “eksplisit” yang diberikannya untuk filem The Wizard of Oz.
Dialog yang berbunyi, “There’s no place like home” yang sebenarnya bagi
Perkins, jika diamati, banyak menyampaikan elemen formal, naratif, dan “performance”nya
yang membawa maksud secara ironi. Menurut Perkins lagi, dalam banyak keadaan,
“deskripsi” boleh melahirkan analisis yang bersifat atas dasar permukaan (surface),
dan tidak diartikulasikan (maksudnya).
Buku
Perkins, Film as Film: Understanding and Judging Movies yang dianggap “groundbreaking”
dalam pengajian filem dan lapangan kritikan filem sangat menarik untuk
diterokai, terutamanya dalam hal berkaitan “interpretasi”. Memang Perkins ialah
jaguh “interpretasi” tetapi jika diamati buku Perkins ini (pada pandangan
Norman), tidak banyak bezanya dengan apa-apa yang diperkatakan oleh Bordwell
dalam Making Meaning. Sebab itulah judulnya Film as Film, yakni
Perkins juga melihat filem dengan mengambil kira persoalan spesifikasi medium
(dan juga bagaimana khalayak penonton terlibat secara langsung dengan filem).
Perkins juga tidak mengaplikasikan mana-mana grand theory yang dibawa
oleh Eurosentik.
Dalam
bukunya, Perkins cuba mengemukakan kriteria tertentu bagi kita memahami medium
filem dengan lebih dekat. Antaranya, “kredibiliti”, “koheren”, dan
“signifikan”. Salah satu thrust atau prinsip asas Perkins dalam
hujahannya ialah konsep “sintesis” yang mana segala elemen dalam filem
mempunyai hubungan yang sintetik dan menghasilkan makna dan signifikan. Perkins
juga membincangkan tentang hubungan antara “realiti” dan juga “ciptaan” yang
diwajarkan oleh medium filem, lalu mencapai “kredibiliti” kerana gabungan
penonton yang menyedari akan gabungan antara “actuality” dengan “fantasy”.
No comments:
Post a Comment