Tahun 1969. Singapura sudah meninggalkan Malaysia. Tragedi 13 Mei. Pasca Konfrontasi Indonesia-Malaysia (filem Jalan Ampas disekat masuk ke Indonesia, dan Indonesia mula memikirkan pembikinan filem popular dan nasional yang lebih keindonesiaan mengikut semangat pancasila). Era kejatuhan Jalan Ampas dan filem Melayu. Jins Shamsuddin menempa nama di Hong Kong. Adik-beradik Shaw menumpukan pembikin filem di Hong Kong, meninggalkan debu dan nista sistem studio Singapura. P. Ramlee sudah membikin Kencan Tirana, Ahmad Albab dan Enam Jahanam di Kuala Lumpur dengan Merdeka Studio. Tahun itu juga, Jins Shamsuddin membikin filem sulungnya di layar, Bukan Salah Ibu Mengandung. Api dan keemasan jelas-jelas terpancar jauh dari Jalan Ampas (apalagi Ulu Kelang) dan meruntun laluan di Jakarta, dengan sekumpulan pembikin Indonesia yang dipanggil Dr. Norman Yusoff sebagai angkatan Orde Baru (selepas G30S 1965?). Masuk Asrul Sani, Usmar Ismail, Ariffin C. Noer, dan Teguh Karya. Masuk Teater Nasional Indonesia.
Sepelik yang didengar, filem yang sebenarnya berbunyi baku sebagai "Apa Yang Kau Cari Palupi?" kurang perbincangannya dalam rata-rata para pengkritik dan peminat filem Indonesia. Mungkin, ini antara filem "rare" yang kurang diperkatakan, peliknya lagi, memenangi filem terbaik di Festival Filem Asia (belum lagi dipanggil Festival Filem Asia Pasifik?) yang diadakan di Jakarta, Indonesia (menambahkan lagi anggapan bahawa pemerhati mungkin menolaknya atas dasar berat sebelah kenegerian) dan susah benar ingin dijumpai layarnya kerana mungkin, filem ini tidak sepopular filem tulisan Asrul yang lain (Kejarlah Daku Kau Kutangkap, Titian Serambut Dibelah Tujuh, Bulan Di Atas Kuburan) dan mungkin tidak diraikan di pawagam sewaktu tayangannya. Jelas, jika ditonton filem ini (filem ini ditayangkan di Wayang Budiman, Puncak Perdana di Pusat Kajian dan Apresiasi Filem), kita menyedari sesuatu: filem ini jauh meninggalkan gaya kontemporari (selalunya genre komedi atau melodrama) layar perdana Indonesia waktu itu, dan filem ini jauh kehadapan dari segi masa.
Dalam perbincangan selepas tayangan dengan pakar-pakar filem, banyak suara yang merujuk para pembikin arus baharu kebanyakan dunia filem Eropah, Bunuel, Antonioni, Fellini, dan Goddard, terlihat tersisip dan terujuk dalam filem ini. Dan, memang pun, keadaan permulaan filemnya, dengan salutan biru-hitam-putih, wajah teraju wanita, Farida Syuman sebagai Palupi, menggoda dengan pose model, yang membukakan persoalan dasar: filem ini tentangnya.
Kemudian, secara pelik lagi, tona warna itu bersambung dalam tekstur pembukaan filem, kita berada di bilik projektor yang sedang dihidupkan, kemudian di panggung/bioskop di mana tiga watak lelaki di sebelah kanan dan Palupi di sebelah kiri, menonton filem, tentang Palupi (dalam terang warna kuning, Palupi sedang menari a-go-go) yang kemudiannya, kita dapat mengagak, si produser antara lelaki itu menyatakan, "Dia sudah tua, tidak elok jadi watak utama." Kita mendengar pula suara wanita di depan wajah Palupi yang terkatup mulutnya. Suara voice overnya. Babak ini sahaja, dengan sengaja, menjelaskan sikap kekuatan lelaki terhadap wanita (wanita hanya bertutur dalam kepala, sedang suara lelaki jelas bersuara di layar), malah, para lelaki itu sedang menghakimi Palupi, menentukan keuntungannya, kewajarannya, kewujudannya, dia. Menarik, seorang daripada pakar malam itu menyatakan, Palupi ini (yang jelas berketurunan Belanda campur) berkemungkinan menyimbolkan "bentuk filem" yang sedang ditentukan oleh para pembikin Indonesia, yang jelas, sedang mendefinisikan semula apa itu "filem nasional Indonesia" dan unsur yang sepatutnya diterapkan dalamnya. Keadaan ini menarik apabila mendapati latar Asrul Sani itu bagaimana, dengan bezanya terhadap Lekra (condong pada sosialisme), yakni menentukan koda moral, akhlak dan nilai yang sebetulnya dapat diutuhkan terhadap penentuan hasil filemnya, maka Palupi ini, bentuknya, belum siap. atau hasilnya, belum masih mantap, malah apabila menontonnya, dia malah terperangkap, malah dengan sinis sekali, terperangkap antara realiti dengan fantasi yang wujud dalam gerakan ruang masa filem ini.
Malah, filem bergerak (ada yang menyatakan filem warna yang kita tonton itu ialah filem yang dipusing oleh projektor) apabila Palupi mengarahkan fikirannya dan suara hatinya, bertanya, kenapa "kesusahan" itu berlaku, "Di mana, di mana, di mana?" Lalu kita dibawa dalam bilik yang jelas bilik ranjang Palupi dan suaminya. Tonanya berwarna. Mungkin inilah warna "Palupi" (atau wayang yang sedang digerakkan). Kita mendengar suara merintih Palupi yang voice over, yang kita sedar datang daripada Palupi tona biru hitam putih yang bersambung pada berwarna, merungut akan ketidakmampuannya mendapat apa yang "dicari" dan berbuat sesuatu yang hebat dalam hidupnya (pengiktirafan). Suaminya tetap liberal, memberinya laluan untuk memilih. Bermula dari situ, surreal mengelabui dan mengindahkan dunia Palupi. Palupi dapat beromantik dengan pengarah filem, rakan suaminya (yang kemudiannya diminta cerai oleh Palupi, betapa modennya wanita ini), menjadi bintang filem, disunting seorang jutawan Playboy, menjadi seorang peragawati. Dengan jelas, Palupi, yang mengambil keputusan atas dirinya sendiri, membayangkan suatu Anna Karenina atau Bovary Indonesia, yang tampak, berkali-kali didakwah/retorik oleh sang pengarah agar "kembali mencari diri sebenar" (cinta, antaranya), tetapi jelas, Palupi, sebagai Palupi, sudah menentukan takdirnya dan perangkapnya sendiri.
Menariknya, filem sebegini, tidak pernah terbayang diimbaukan oleh para pembikin kita untuk bikin, walaupun pada penanda tahun 1970-an dengan ilmu yang kita dapat akan filem Eropah dan beberapa gerakan new wave. Dalam filem ini sendiri, aku rasa tersesat (yang baik) beberapa kali, seperti kita di dalam sebuah labirin yang mempunyai jalan-jalan liuk bercabang dan jalan matinya (memang begitulah yang diinginkan Asrul), malah terasa, pengakhiran ceritanya (yang akhirnya, Palupi menyedari, dia hanya suatu objek seks atas pilihan jalannya, seakan-akan mengatakan, mengambil kesedaran Barat, kita menuju suatu material objektifikasi yang kontang?) ini membulat, seperti suatu kitaran yang tidak berakhir, suatu mimpi yang tidak memberi kita laluan keluar. Perasaan ini sudah lama aku tidak rasa (menonton itu sendiri ialah bermimpi dalam sedar) dan pernah merasainya apabila menonton filem-filem David Lynch, khususnya Inland Empire.
Sinematografi filem ini juga dinamis, dalam beberapa babak yang memerlukan teknik tangkapan yang mencabar. Terdapat syot luas dan panjang dengan banyak menangkap sisi fokus teraju-teraju dengan syot yang begitu radikal dan berani. Syot terbaik berlaku sewaktu di kota lama Belanda waktu senja (banyak persoalan nasional dan pencarian diri berlaku pada babak ini) yang mungkin menenun teknik yang sama dalam Gone With The Wind. Busananya juga baik dan melantunkan kisah yang mengikut maksud dan tersirat cerita, juga runut bunyi yang meletakkan bahawa ini sebuah filem manusia-manusia bekas jajahan yang menitip pengisian orang Barat dalam kelangsungan hidup (terdengar suara opera, seakan suatu tragedi besar akan tersusun terhadap terajunya) dan kelangsungan seni. Lakonan beberapa prinsip pada babak awal mungkin kekok, tetapi watak-wataknya berisi dan penuh, khususnya Farida yang terasa "darah dan dagingnya" seperti kata Ridhwan Saidi dalam menuruti kitaran yang terus-terusan memerangkap dia di dalam neraka tiada hujung.
Untuk Asrul Sani, yang terinspirasi daripada sebuah "cerpen?" tulisan seseorang dan membikin sebuah filem berlapis dan bermimpi dalam keadaan jaga (real) dan tidur (imaginasi) sebegini, mengundang bahawa filem Indonesia melalui satu kematangan yang amat membanggakan, dan peliknya, filem ini, jauh lebib baik dan berkata-kata daripada kebanyakan filem Indonesia sekarang (yang kebanyakannya mula formulaik dan plastik jiwanya). Pembikin Indonesia sepatutnya berbangga dengan kehadiran Asrul Sani yang merobah kulit dan jiwa wayangnya. Dan semua ini, berlaku pada tahun 1969.
2 comments:
Film indo sekarang berkisah tentang cinta, cinta dan cinta.. Bosanlah aku. Tapi ada terbaik bulan may besok: '3 Srikandi' dan 'mars film indonesia'.
Kalau sekarang ramai dibicarakan film AADC2, hehhhh, membuatku bosan lihat film dengan kisah cinta
A
Post a Comment