25 August 2015

Filem Kita Wajah Kita dan Masa Depannya

Apabila melihat pada keadaan dan perilaku tayangan-tayangan filem sepanjang tahun ini, bermula dengan ketidakyakinan Hanyut memasuki pasaran wayang kita, kejatuhan pungutan beberapa filem yang di luar kotak, seperti Lelaki Harapan Dunia, Terbaik dari Langit, Kolumpo, Ophilia, dan baru-baru ini, Nota, malah beberapa filem arus perdana yang bakal laris juga tidak laris (seperti Suamiku Jatuh dari Langit), menandakan sesuatu yang tidak menentu pada masa sekarang. Filem demi filem tempatan gagal mendapat tempat di hati masyarakat. Hal ini turut berlaku dalam kebanjiran (setiap bulan) filem bahasa Tamil dan Cina tempatan yang turut suam-suam kuku malah gagal di pasaran, walaupun menampilkan beberapa percubaan yang inovatif (The Cage) dan memberikan penanda bahawa terdapat "pasaran" untuk filem Cina tempatan (The Journey) yang baik. 

Pada waktu aku menilik dunia maya, aku terjumpa sebuah imej, yang terpempan, bagi aku, merupakan citra atau realisasi imej (wajah) filem kita sekarang:


Imej tersebut diambil daripada sebuah babak daripada filem Rentap yang ditayangkan tahun lepas, dan ya, kecundang di pasaran dan tidak dipedulikan oleh watan.

Bukan untuk mempersenda, tetapi imej tersebut benar-benar mewajahkan realiti sebenar keadaan filem kita sekarang. Garang dalam kuning dan merah jambunya - supaya terdengarlah kita akan kehadirannya, tetapi secara permukaannya kelihatan janggal - seperti kebanyakan judul filem kita yang entah apa-apa dan tidak berusaha menangkap tarikan. Bagi pengarahnya dan pembikinnya, setentunya imej ini memberikan maksud tertentu dengan lapisan makna tertentu, tetapi bagi orang yang lalu-lalang, ini kelihatan canggung, malah lucu yang sia-sia, malah mungkin tidak diendahkan. Perwatakan di kanan dalam imej dibawa oleh seorang pelakon yang handal, yang mungkin disalahertikan sebagai kosong oleh orang yang belum menontonnya. Lentik posisinya sendiri canggung (dengan bola merah jambu!), sepertimana rakannya di sebelah kiri yang memerhati dengan keadaan canggung, dengan kecanggungan mendongak bola/wajah sebegitu. Memahaminya juga menjadi suatu perkara yang sia-sia, dan elok sahaja dibiarkan.

Begitulah keadaan tenat dan tidak menentu wayang kita sekarang.

Hal ini menarik perhatian aku kepada kehadiran beberapa filem akhir-akhir ini yang luak menyatakan kehadirannya di atas panggung sebagai "berlainan" dan "berlapis-lapis". Kononnya, terdapat suatu susunan, perletakan, syot, keadaan, dan bentuk, yang menyampaikan pelbagai maksud, lapisan, dan rujukan, melebihi cerita plot yang sedang berjalan. Baik. Hal ini memang disokong dan sememangnya bahasa filem sebegini, dengan kefahaman alam-manusia-cerita yang baik, benar, dapat menyampaikan suatu cerita yang tersendiri. Tetapi, para pembikinnya harus faham, yang utama, yang penting dahulunya ialah cerita. Jika ceritanya mendatar, tidak memberi apa-apa secara dasar, tidak membawa apa-apa pembaharuan, lapisan tinggal lapisan, simbol tinggal simbol. Orang pun tidak peduli walau secanggih mana sang pengarahnya berjaya melangsungkan pelbagai teknik dan bahasa filem.

Keadaan tidak tentu ini sebenarnya mendapat sedikit harapan, seperti yang dilaungkan oleh Bront, calon pelakon lelaki terbaik FFM tahun ini apabila menyatakan, dia gembira melihat banyak para pembikin baharu dan muda memberikan banyak kandungan baharu untuk filem kita beberapa tahun kebelakangan ini. Hal itu sememangnya dapat dipuji.

Aku tertarik dengan wawancara baik dan rancak The Daily Seni ini terhadap seorang lagi pengarah muda, Tony Pietra Arjuna, antara pengarah yang mengarah filem bebas masuk tayangan arus perdana dan menerima banyak pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2014, Cuak. Banyak perkara yang dinyatakan, dengan optimis, memberikan semangat baharu dan kefahaman baharu akan keadaan duduk letak filem kita sekarang. Namun ada beberapa hal yang menarik untuk dikupas. Utamanya, Tony menyatakan tentang filem bebas (namun jika diambil dalam konteks Habsah Hassan, semua filem Malaysia masih pada tahap bebas/indie!):

“I believe that for example, if you take a niche market like indie films and place it into a system where everyone is on the same playing field, indie films will eventually fail.”

Ada perkara yang benar dan ada perkara yang mungkin dapat diteliti dalam hal ini. Adakah, pada awal-awal, kebanyakan filem "kecil" (bukan indie) gagal dalam pasaran?

Sebenarnya, filem yang dipanggil "indie" atau dahulunya, bawah tanah (underground) rancak bergerak pada akhir tahun 1999 dan awal tahun 2000. Paling awal ialah filem Seman arahan Mansor Puteh, atau lebih awal daripada itu, mungkin Kami, serta beberapa filem bebas lain (jika kita ambil pensejarahan industri filem Jalan Ampas, Maria Menado sudah awal-awal memecahkan diri daripada sistem studio Shaw dan Cathay) pada awal 1970-an dan seteursnya 1980-an, sedari kejatuhan industri filem Jalan Ampas.

Namun dalam perhatian orang awam kotemporari, mereka melihat bahawa Amir Muhammad (Lips to Lips) dan rakan-rakannya, seperti Osman Ali (Bukak Api), James Lee, Tan Chui Mui, Ho Yuhang, dan beberapa lain, pada awal tahun 2000 yang memulakan gerakan atau penayangan filem di luar radar FINAS dan Lembaga Penapisan Filem. Filem-filem ini hanya ditayang di sesi kelab filem (waktu itu di Kolej Help Plaza Damansara), festival kecil dan tayangan khusus, serata Dataran Merdeka (awal Actor's Studio), Bangsar Shopping Centre, dan beberapa tempat khusus. Selalunya, tayangan filem-filem ini penuh dan mendapat sambutan hangat (walaupun tempat terhad). Maka, perkara yang diperkatakan oleh Tony itu sudah berlaku awal dahulu, sebelum gelombang ini dipecahkan oleh kemunculan arwah Yasmin Ahmad (arwah mempunyai strategi kerana beliau sentiasa memanggil filemnya "kecil" berbanding dengan filem Yusof Haslam, Suhaimi Baba, Aziz M. Osman, Razak Mohaideen pada era itu) pada arus perdana.

Jadi, kenyataan Tony tersebut menjadi sedikit pelik dan janggal, walaupun benar dan patut dilancarkan. Sebenarnya, apa yang Tony (dan pembikin indie) tidak sedar dan harus dilakukan ialah, dunia Kuala Lumpur di luar sana (aku pernah duduk di Kota Bharu jadi aku tahu), seperti yang sudah tampak impaknya pada Johor Bahru Film Festival, sedang dahagakan kandungan yang lari daripada kebiasaan sentuhan arus perdana (di sini persoalan sistem luar arus perdana diisi). Dahulu, di Panggung Muzium Negara dan Stor Teater DBP, banyak tayangan filem bebas dan filpen pelajar ditayangkan pada masa-masa tertentu. Hal inilah, dengan suatu susunan filem yang kemas (seperti yang dilakukan oleh Dr. Norman dan anak buahnya, yakni sesi Wayang Budiman di Shah Alam), suatu program yang tersusun dalam setahun, perlu diadakan, dengan seorang kurator yang sedia menjaga susunan program setiap bulan/musim/sempena hari tertentu. Mungkin hal ini sudah bergerak dalam skala kecil di Johor dan Pulau Pinang, tetapi negeri seperti Kedah, dengan bandar Alor Setar pun, tentu, mendahagai penayangan filem sebegini. Kini, sudah banyak kafe menarik yang disukai golongan muda, muba bercambah dan bercendawan di serata luar Kuala Lumpur. Bandar-bandar besar setiap negeri, seharusnya, mengambil inisiatif untuk melakukan sesuatu, lebih-lebih lagi jika ada acara penjualan buku indie di tempat-tempat tersebut. Hanya dengan gerakan ini, secara kecil, tanpa bantuan dan masuk campur kerajaan negeri (namun derma mereka sudah tentu dialukan, walaupun bukan daripada Emir tanah Arab!), dapat digerakkan secara kecil-kecilan. Dan mungkin, dengan itu sahaja, orang dapat menonton, suatu hari nanti, Johnny Bikin Filem, Hanyut, Seman, Maria, Tok Perak, Lips to Lips, dan mungkin klasik, seperti Pemburu, Misteri Rumah Tua (kah kah kah) dan Tsu Feh Sofiah, bukan sahaja di tempat tertutup universiti, tetapi di tempat orang awam dan muda melepak, dan menemui wayangnya yang hilang.