Filem ini menarik dalam dua hal trivia. Pertama, filem ini merupakan suatu adaptasi Jamil Sulong daripada jalan cerita (atau terdapatnya skrip) bangsawan sumber S. Kadarisman. Sesiapa yang mengkaji persuratan Melayu tahu, bangsawan ini (antaranya yang terkenal dimainkan di seluruh Tanah Melayu, Singapura, dan Sumatera, khususnya Padang) berdasarkan daripada teks "Syair Bidasari" (teks yang disalin dari abad ke-17 dan ke-18) yang merentas bukan sahaja dunia Nusantara lain, seperti Sumatera, Riau, sehingga Makassar, tetapi sampai ke pulau besar Mindanao, selatan Filipina (terdapat sumber menyatakan syair atau "hikayat" ini berasal daripada legenda Maranao, rujuk Millie, 2001). Oleh sebab sumbernya berdasarkan lekuk syair (setiap bunyi akhir rangkap a-a-a-a), dengan penglibatan bangsawan (pementasan bangsawan dilakukan dengan menggunakan bunyi sama pada hujung kata rangkap kata, baik dua rangkap atau empat rangkap atau lebih), dialog dalam filem ini disengajakan berbunyi "bangsawan"atau rangkap "syair", dengan mengakhirkan setiap dua rangkap dengan bunyi yang sama.
Kedua, berdasarkan teks syair ini, tanpa pertembungan dengan dunia Hans Christian Anderson dan dongeng Eropah lagi, kisahnya sudah mengandungi hibrid motif, plot dan objek yang serupa dengan tiga kisah pari-pari; Sleeping Beauty (Bidasari yang tidur-mati); Snow White (paling menonjol dengan watak Pemaisuri Jahat dengan Pemaisuri Muda Lelasari yang merupakan ahli sihir, objek cermin ajaib yang dapat menunjukkan Pemaisuri wanita manakah yang paling cantik di satu-satu kerajaan, Bidasari/Snow White yang dikhianat oleh Pemaisuri sampai tertidur-mati, kecantikan Bidasari/Snow White yang diirikan oleh Pemaisuri, putera raja yang menyelamatkan Bidasari/Snow White); dan Cinderella (kasut kaca dengan peninggalan potret Bidasari).
Dalam hal ini, kita juga bertemu dengan kisah biasa dalam mitos Melayu, tentang bayi yang dihanyutkan di sungai dalam sampan (hal ini perlu pengkajian, kerana terdapat kisah mutlak Nabi Musa a.s. sewaktu kecil dihanyutkan dalam raga, atau sumber Hindu-Jawa-Langkasuka berkenaan kisah Ramayana lokal, yakni Sita yang dihanyutkan oleh Pemaisuri sebelum dibunuh oleh ayahnya sendiri) yang memberi petunjuk kepada kisah Bidasari sewaktu bayi turut dihanyutkan oleh ibu bapa berdarah rajanya pada awal filem ini.
Kemudian, yang lebih menarik (walaupun filem tidak menampilkan asal usul cerita, yang mungkin, seperti kebiasaan alam mistik Melayu-Nusantara, si ibu melahirkan anak berserta ikan tersebut, yakni kembarnya), ikan sebagai "nyawa" Bidasari (jika ikan dikeluarkan, Bidasari akan mati). Konsep sakti ini menarik apabila dikaitkan bahawa legenda Bidasari kononnya datang daripada kisah orang Maranao, suku dalam keluarga besar di Mindanao yang turut kita akan dengar akan Moro, Sulu, Bajau, Tasaug sebagai keluarga yang satu. Dalam alam batin dan sihir (sesuatu yang amat menyedihkan jika kita masih bersandar akan kegiatan ini, dan bukan kuasa Tuhan semahu-mahunya), orang Sulu memang dikenali dengan sihir "membunuh"satu-satu manusia dengan membiarkan ikan dukun itu memakan gambar si orang yang disihir. Ikan ini merupakan rahsia dan misteri yang amat dikenali oleh mereka, dan mungkin dalam hal ini, maksud hikayat Bidasari berkemungkinan berasal daripada etnik Maranao kerana motif ini turut dipaparkan dalam hal kesaktian hidup-mati Bidasari pada seekor ikan.
Nampak macam gempak kan?
Ya, aku tahu, filem ini menjadi kegemaran ramai penonton serta beberapa kawan aku sendiri. Aku menontonnya, dan ya, terdapat beberapa bahagian yang menarik. Antaranya, lagu Melayu klasik yang berkumandang dalam filem ini bagus, membawa emosi dan pengisahan inti cerita dengan baik. Lakonan para pelakonnya bagus, Sarimah sebagai Bidasari benar-benar menampilkan seorang wanita elegen untuk zamannya, dan tetap dapat menampilkan beberapa dimensi dengan sekata. Zahara Ahmad sebagai Pemaisuri Muda Lelasari lebih menonjol sebenarnya - seorang pemaisuri yang tidak berhati perut, namun kemunculannya sangat satu sisi (ini biasa dalam filem purbakala). Jins, S. Kadarisman dan lain-lain juga baik seadanya.
Namun begitu, terdapat banyak hal yang longgar dan berlubang, yang menampilkan kertidakbijaksanaan (adakah ini disengajakan) raja-raja Melayu zaman dahulu serta rakyatnya. aku tergamam, dengan cara hal ini disampaikan, menghancurkan logik-percaya dalam wayangnya. Pertama, kenapa perlunya ikan Bidasari itu disengaja letakkan di luar taman (walaupun kita tahu Bidasari tidak dikecam waktu itu, sehingga membesar cantik), dibiarkan di bawah sebuah wakaf? Memang, secara fungsi cerita, ini menyenangkan Jamil (tanpa apa-apa kesusahan) untuk membawa seorang pesuruh Pemaisuri untuk mendapatkan ikan itu tanpa cabaran besar. Meletakkan ikan di luar juga seakan-akan menampilkan "nyawa" Bidasari yang "ditatang seperti minyak" itu tidaklah berharga kerana sama tarafnya dengan bunga, pokok dan tanaman di sekitar halaman depan rumah saudagar kaya.
Kemudian tentang logik ruang-tempat istana dengan fungsi-gerak latar putera raja. Pada waktu Pemaisuri hendak berangkat datang ke istana, tidakkah dilihat adanya "bilik rahsia" tersimpan cermin ajaib (kerana kerajaan itu bukan pun milik pemaisuri berkenaan!), dan hal ini hanya "disedari" apabila putera raja menemui Bidasari yang tidur-mati di makam khas. Maksud aku, sudah tentu membina bilik ini saja memerlukan orang suruhan pelbagai dan ruang, takkan putera raja baru akhir-akhir mengesyaki? Malah entah mengapa, aku berasa babak putera raja menunggu Bidasari untuk keluar dari istana (setelah diajak bertemasya dan menari-menyanyi di dalam istana di hadapan Pemaisuri) amat janggal, jika benarlah terdapat satu sahaja pintu untuk orang kebanyakan keluar dari istana. Logiknya, sudah tentu individu yang dicari putera itu sudah tentu masih ada di perkarangan dalam istana, maka seeloknyalah diadakan babak putera mencarinya di dalam ruang tersebut. Malah sampai dapur pun tidak dijenguk (walaupun kita tahu adat lama, orang lelaki tidak biasa di tempat perempuan). Terdapat satu babak apabila Bidasari diseksa, dia merintih dengan mendendangkan sebuah lagu (tipikal). Bukankah elok, dalam hal ini, sebagai menguatkan lagi sebab-akibat babak awal apabila putera yang terpesona dengan "bunyi suara" Bidasari, mula mencari "suara" itu walaupun gagal. Namun hal semudah ini, tidak dijaga oleh Jamil sekali penulis skrip, merosakkan kesempurnaan purbakala ini.
Suatu lagi letdown, walaupun ini mungkin sikap orang Melayu lama yang setia dan tunduk mati pada rajanya, apabila Bidasari yang diseksa teruk itu diseksa, sanggup memberikan rahsia hidup-matinya kepada Pemaisuri (yang sudah pun mencicahnya dengan api supaya hodoh wajahnya, kes campak asid betul!) agar "habiskanlah nyawa patik kerana patik tidak sanggup lagi diseksa begini!"Ohhhh ... Sikap giveaway ini sungguh melampau dan menampilkan kebodohan dan kelemahan orang Melayu di bawah genggaman feudalisme. Jamil sebenarnya boleh menggunakan alasan babak ini untuk pembongkaran rahsia nyawa Bidasari, tapi perlu memahami duduk letak logik wayangnya (mungkin Bidasari benar-benar diseksa dengan buruk sekali, ditahan dalam pasung, dll.). Sudahlah hal ini berlaku, pada waktu itu, abang angkatnya pula muncul dimaklumkan ada. Bidasari, dalam ruang yang ditampilkan, boleh saja "Àngkat kaki", tetapi tidak, kerana gerunnya kepada Pemaisuri, dia hanya menuku dan meroyan.
Walaupun kelemahan logik latar wayang ini, terdapat beberapa imej yang ikonik dan dapat diingati sebagai imejan wayang yang baik, walaupun tanpa sisi intepretasi yang dapat dihadam dengan dalam. Salah satunya, Pemaisuri yang sudah mendapat rahsia ikan itu, membuat ikan itu sebagai kalung lalu memakainya pada lehernya, memaparkan betapa zalimnya Pemaisuri ini dengan "memagut nyawa bukan saja di tangan tapi di lehernya sendiri". Satu imej diberikan, Pemaisuri itu, seakan-akan melihat cermin, dengan segala kilauan emas dan berlian pada badannya, menampilkan seakan-akan dirinya sudah "sempurna" dengan kalungan ikan itu. Imej ini mengingatkan kepada kita, akan seorang isteri pemimpin, yang bertatah berlian dan gemilang fesyennya, dengan nyawa rakyat terkalung di lehernya sebagai aksesori akhir. Betapa indah dan gelapnya imej ini!
Satu lagi, gerak konsep putera raja yang mula-mula mencari suara dan wajah Bidasari dibalik tirai gelap, dengan bayang-bayang. Putera raja dalam keadaan gelap, sedang Bidasari dan Pemaisuri dalam ruang cahaya, mata putera melihat di sebalik lubang-lubang, voyeur, menginginkan Bidasari, seksual (tidak mungkin cinta biasa). Menariknya, keadaan di sini, gelap-terang yang dimainkan. Kita tahu, sebagai penanda awal, putera raja teraba-raba dalam gelap "mencari" kekasih dalam impian-mimpinya di sebalik tirai itu (fantasi yang dilihat dan tidak dapat dipegang), sedang cahaya sepenuhnya pada Pemaisuri dan Bidasari yang menanyi-menari. Pada awal lagi, sudah ada establish shot, Bidasari yang diperkenalkan kepada Pemaisuri, duduk bersebelahan Pemaisuri (kita tahu dari dua erti kata, mereka sebenarnya setaraf, kedua-dua keturunan beraja, dan kedua, Bidasari yang duduk tepi pelamin Pemaisuri menjadi penanda mengambil-alih tempat Pemaisuri nanti). Dalam hal ini, kita sudah tahu tujuan Pemaisuri sudah jelas terhadap Bidasari, dan hal ini samar-samar bagi kefahaman putera. |Dalam keadaan gusar putera raja itu, putera bermimpikan Bidasari di sebuah taman "kayangan" berkolam air(!), lalu tiba-tiba terbangun apabila Bidasari lesap - tidur basah putera yang mengganggu pada keadaan samar-samar/kegelapan. Dalam act three, suatu babak voyeur akan berlaku lagi, dengan lebih risque, apabila putera raja yang sudah "mula bijak", duduk di sebalik katil(!) Pemaisuri, mengintip Pemaisuri yang masuk ke dalam bilik rahsia. Babak ini sudah menampilkan penanda kuat bahawa bukan sahaja putera raja sudah tahu komplot dan kerja jahat ibu tirinya (dengan penuh terang tanpa kegelapan), tetapi dia, akan berkahwin dan sudah tentu mencapai impian seksnya dengan Bidasari. Kerana secara subtle, terdapat langsir putih lutsinar yang menutup wajah putera raja, kain sama yang menutup wajah Bidasari yang terbaring tidur-mati, menunggu untuk kucupan penuh ghairah daripada puteranya.
Alas, walaupun semua ini menarik, filem ini bukan filem terbaik Jamil (adakah kerana Shaw Brother memotong perbelanjaan?) Walaupun set dan lokasi filem ini tampak besar, dengan kolam puteri, rumah besar, istana yang cukup dengan pelbagai bilik, keadaannya kelihatan janggal dan tidak autentik, seperti dilekat-lekat tanpa makna dan falsafah; hal ini berlainan sangat dengan beberapa filem purbakala Cathay Keris ataupun beberapa filem P. Ramlee. Kita menyedari, waktu itu, Shaw dan Cathay bersaing, kerana dalam filem ini, tiba-tiba Malay Film Productions memberikan nyanyian dan kata bicara yang sedikit berbunyi Melayu-Riau daripada kebiasaan bunyi Sumatera-Indonesia baku. Tampak sangat filem ini kalah. Malah, dengan kehebatan pengarah sinematografi A. Bakar Ali, tidak berjaya dan berdaya memberikan syot yang menarik. Semua babak, dari awal hingga akhir, bergerak dengan syot yang amat mendatar dan murah, dengan syot tunggal (single shot) tanpa potongan agar tidak susah menyunting tiga perspektif, syot luas yang malas (babak Jins dan Sarimah menyanyi jauh di balik pokok dan tasik pada akhir babak paling buruk) tanpa maya dan maksud, dan syot dalaman (interior shot) yang kosong dan mengambil atas dasar mengambil, seperti suatu syot di atas pentas bangsawan, tanpa perlu buat apa-apa lagi tetapi hanya menonton apa yang berlaku di atas pentas. Paling menyakitkan hati, dan inilah taraf cheapskate Shaw Brothers dibandingkan dengan Cathay Keris, runut bunyi filem ini, kesemuanya dicelup (atau memang digunakan berkali-kali untuk filem lain) daripada beberapa filem P. Ramlee, khususnya Madu Tiga (1964). Tidakkah Jamil menjaga hal ini? Produsernya? Namun hal inilah, membuang lagi estetika dalam satu-satu filem, yang sebenarnya, ya, menarik dan menghiburkan, dengan teknik kata ala bangsawan-puitisnya (walaupun tidaklah sehebat dialog drama bangsawan Shaharom Husain), kisah sosial raja-rakyat yang simbiosis dan bertentangan, tetapi berongak dengan pelbagai kecacatan bahan, teknik, dan persediaan.
No comments:
Post a Comment