08 October 2013

Claypot Curry Killers(2013): Bersedia Halloween 2013!

Walaupun ditindas LPF untuk dua tahun, James Lee dan kru yang terpaksa "menyunting dan menyemak semula" untuk tayangan penonton tempatan, dan nampaknya keringat itu berbaloi. Aku tonton semalam, dan langsung tidak menyedari "penindasan" yang dihadapi. Aku tonton secara penonton yang melayan filem seram. Seksi - kelakar - slasher - berdarah - kekeluargaan gothik. Aku teruja. Suatu sinema yang menarik daripada James Lee kali ini.

Filem ini menyampaikan gaya yang lebih glossy daripada kebiasaan filem-filem seram James Lee, malah bagi aku, yang paling terikat kuat dengan tidak ada satu imej yang lewah. Malah aku terbayangkan keserasiannya duduk bersama-sama beberapa filem seram Thailand dan Indonesia mutakhir, dengan produksi dan seni latar yang mantap. 

Konsep kanibalnya pun memikat, bukan sahaja sebagai maksud kanibal itu (yang kita akan faham berkait dengan sikap tamak masyarakat) yang dikatakan menyerupai Rumah Dara, Meat Grinder, The Moe Brothers dan beberapa filem seram kanibal Asia Tenggara lain, tetapi maksud sinema yang disampaikan indah dalam buananya.

Kanibal dalam filem Inggeris/Barat mungkin lebih dalam dan jauh. Sweeny Todd sahaja sudah menjadi contoh. Paling penting, semua ini suatu perkara yang tabu, membahayakan. Oh oh, kita sedang masuk ke dalam sinema yang membahayakan!

Begini, satu famili yang penuh perempuan (Mahua) yang sang patriakinya dayus dan tidak bertanggungjawab mempersendakan seisi perempuannya. Apabila sang lelaki kalah judi lagi, dihampiri anak perempuannya untuk "bermain". Jelas perkara terkutuk ini dilihat ibu yang baru balik menjual "masakan claypot curry" bersama-sama anak perempuan keduanya. Berantakan, ibu dipukul lagi. Anak tidak tahan. Pembunuhan terpaksa berlaku. Ibu yang sedar, perlu berbuat sesuatu. Lalu dengan mengejutkan, mayat suami/ayah ditetak, cincang. Dicampur dalam kari mangkuk tanah liat. Pelanggan suka. Sebuah filem dilahirkan!

Bermulalah suatu perniagaan menguntungkan bagi sang ibu Puan Chew yang dimainkan dengan berkesan oleh Pearly Chua. Di sinilah yang menarik. Pada satu babak, kita diperlihatkan bagaimana pelanggan tiba-tiba menjadi "syok" dengan masakan "baharu" keluarga Chew. Suatu metafora "kapitalis" terlihat dengan sinikalnya, membentuk suatu sikap seram tetapi kelakar yang jarang-jarang keluar dalam filem Malaysia. Ya, pelanggan/manusia menjadi daging yang dia sendiri suka! Hal ini mungkin klise bagi negara yang sudah membikin filem kanibal, namun ini Malaysia. 

Dan menarik lagi, sifat ini disampaikan oleh sang wanita, penjaga resepi "rahsia" kejayaan rumah Chew. Ah, satu jawapan "psiko" feminis sedang berlaku. Maksud "kita tidak perlukan lelaki" dengan jelas menjadi mantera (dendam kesumat kembali buat semua lelaki yang kejam, penipu, pengguna, ganas terhadap wanita, dan tidak berperikemanusiaan, dengan jelas citra ini dibayangkan) dalam tindakan, tradisi, dan cara. Ritual bertahun-tahun yang mula-mula sebagai sikap menyelamatkan keluarga, menjadi suatu "pengusahaan" yang menguntungkan, kemudian, suatu penyakit yang tidak boleh hilang. Kritikan jelas terhadap kapitalisme menjadi: sang mangsa akhirnya pemangsa apabila mendapat keuntungan. Kitaran syaitan berterusan dan manusia terus membiarkan serta meraikan (aku terbayangkan KFC dan McDonalds apabila masyarakat kita terus meraikan walaupun sedar ketidak khasiatnya).

Ok, dengan satu lagi lapisan, dan ini lebih menarik. Seperti dinyatakan di atas, kita sedar perlakuan pembunuhan > pemotongan > masakan itu sendiri satu pembikinan filem! Ya! Sang pengarah (yang menonton) akan melakukan penggambaran (bunuh) yang kemudiannya penyuntingan (potong) dan kemudian dihidangkan kepada pelanggan (tayangan)! Aku tidak pernah jumpa secara jelas mana-mana filem kanibal yang menjelaskan metafora ini dengan baik sekali seperti filem ini. Dalam satu babak, hal ini jelas, apabila dengan pujukan rayu, seorang "mangsa" dibawa masuk ke dalam perangkap seks. Seks suatu unsur biasa dalam makanan (rujuk maksud: nafsu, yakni nafsu lapar dan nafsu seks), lalu lawak tentang makanan dan seks dimainkan. Si mangsa ditipu. Dia diikat. Cara dia diikat sangat mengujakan! Dengan tali kulit memegang kepala, dada, pinggang, dan kaki, si mangsa seperti "filem yang siap rakaman yang menunggu untuk
dipotong". Tetek si mangsa jelas tidak kelihatan. Badan mangsa seperti "empat segi", hilang daya maksud seks, ataupun manusia. Kita hanya menonton sebuah "produk" yang menunggu untuk dicincang dan kemudian disediakan!

Terdapat empat jalur cerita yang menarik, namun filem lebih tersusun buat tiga anak Chew, semuanya menarik dan terus berkaitan dengan maksud menjadi wanita dalam dunia kapitalis patriaki, sikap pesimis terhadap lelaki, dan pesimisme cinta lelaki. 

Aku amat menyenangi lakonan menakutkan oleh Debbie Goh, seorang lemah-lembut yang tahu bila dia perlu menjadi mangsa dan bila dia perlu menjadi pemangsa, mengikut stereotaip dunia patriaki yang susah disusunkan terhadapnya. Dengan jelas, Debbie dapat pergi jauh dalam bidang ini, dan proses kompleks perwatakan wataknya dibawa dengan jaya, memahami sisi gelap dan ketegasan kawalannya. Aku juga amat menyukai lakonan Mandy Chen sebagai adik yang kurang cantik daripada kakaknya lakonan Debbie. Plot ini sudah mendekati The Joy Luck Club dan Eat Drink Man Women, namun dengan sisi yang lebih gelap dan berpenyakit. Pelakon lain turut membantu dengan baik, berserta skrip yang seimbang dalam membawa erti lawak dalam serius seramnya. Suatu keseimbangan yang cukup terasa. 

Pete Teo sebagai pelukis runut bunyi juga memberikan maksud lagu yang cukup kena, disampaikan dengan minimalis dan struktur pecahan Opera China yang betul, dengan debar memasuki dunia gelap restoran keluarga Chew yang rempah-ratus dan "enak".

Filem ini eksklusif untuk Astro First pada 10 Oktober. Dan bagi aku, hidangan serba-serbinya cukup sebagai filem Halloween Malaysia aku tahun ini.

Klasifikasi Claypot Curry Killers: 18. Terdapat adegan pembunuhan, darah, dan kejadian seks dan rogol yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.
DITONTON DI Cineleisure@Curve. Pratonton.

2 comments:

Anonymous said...

salam Fad,baca review tuan mengenai filem ni teringat filem kanibal Auntie Lee's Meat Pies (1992).

PerangFilem said...

Noted :)