05 March 2013

2 Wajah Yang Dinanti-nanti dalam Wayang Malaysia

Ada dua penemuan yang menarik minggu ini.

Aku dapati, laman sesawang Sinema Malaysia (atau Cinema Malaysia kini) sudah berubah rupa; tersusun, terurus dan lebih nyaman kepada mata (rujuk: http://cinemamalaysia.com.my/), walaupun aku menunggu untuk infonya lebih komprehensif menyatakan kredit pembikin (contohnya, dalam alam wayang Melayu, hanya filem kita sahaja yang ada pengiktirafan "cerita asal", maka kredit cerita asal ini bolehlah dimasukkan sebagai satu penonjolan nilai) sepertimana yang wujud dalam imdb. Tetapi setakat ini, selain filemkita.com (yang sudah jenuh berjuang, antara juara pusat sehenti separa kebangsaan berkenaan maklumat filem Malaysia), laman ini sudah banyak mengambil tempat sebagai "apa yang terkini" dalam filem kita dengan pandangan skoop menarik yang boleh dibaca melalui pautan berita. Aku menyokong pautan "kata kunci" yang ditempatkan di bawah setiap halaman, membawa pengguna yang rajin untuk meneliti apa-apa yang berkaitan dengan sesebuah filem itu berkait dengan pelbagai isu dan individu lain juga.

Begitulah dunia maya sepatutnya. Saling berhubung kait.

Sebuah lagi penemuan, majalah ini: SKRIP2SKRIN.

Ia bukanlah Sight & Sound dan jauh mendekati Empire, tetapi selain penggiat filem dan penggemarnya (macam aku) ingin melihat perkembangan yang berlaku dalam arena perfileman kita, tahun-tahun lalu kita hanya terpaksa melayan laporan dan liputan yang tersiar dalam akhbar, majalah dan program media di televisyen. Ataupun menelaah "buletin" Sinema Malaysia yang kadang-kadang wujud wawancara atau artikel yang bernas.

Maka kehadiran majalah ini (yang kita panggil pengapresasian industri) merancakkan lagi penglibatan perfileman di tanah air kita. Aku tak tipu. Aku tahu mastermind majalah ini merupakan Anwardi Jamil, dan beliau mempunyai wawasan yang separa aku setuju. Khusus, Anwardi membayangkan bagaimana dan apa sebenarnya "industri" dan bagaimana istilah ini boleh diguna pakai dalam "merealisasikan" realiti pembikinan filem di Malaysia sekarang (rujuk nota editor isu pertamanya dan juga siaran laporan/rencana dalam isu pertamanya). Ya, kebanyakan artikel lebih cenderung berkata tentang teknologi, kaedah dan gaya pembikinan, serta promosi (lebih kepada info) sesebuah filem daripada benar-benar menyelusuri falsafah dan jiwa sesuatu pembikinan, pengkaedahan atau karya, tetapi aku setuju juga dengan sikap Anwardi yakni memaparkan apa yang boleh "diperkembangkan" untuk menjadikan dunia pembikinan ini sebagai suatu "hasil ekonomi bernilai tinggi". Kandungan dan mutu dibaca dengan sifat-sifat ini. Mungkin artistik dan estetika akan berkumandang kemudian. Aku berharap.

Aku harap, pembikin filem, pelakon, kru filem dan semua nodul dalam dunia perfileman tempatan benar-benar menggunakan majalah ini sebagai batu loncatan dalam memperkembangkan pengetahuan dan pendedahan mereka terhadap dunia filem kita. Tiada lagilah kita mengulangi tema lapuk berkenaan filem yang hanya disampaikan sinopsis dan kecantikan pinggul pelakonnya. Aku tahu, dalam 90-an, terdapat majalah yang sudah melakukannya (sebuah majalah hiburan kalau aku tak silap, kelolaan Sani Boy[?]) dengan sifat membawa perbincangan fasal dunia hiburan dengan mata yang lebih kritikal, tetapi majalah itu mati di tengah jalan atas kerana sambutan kurang menyerlah pembaca (zaman Mangga meletup) dan mungkin kurang sokongan orang industri.

Aku harap hal itu tidak berlaku dengan majalah ini kerana mereka perlu sedar, majalah ini menjadi menifestasi bahawa industri mereka sedang hidup dan bergerak, diperbincangkan secara kritikal, lantas mungkin akan dirujuk oleh orang luar. Dokumentasi sebegini perlu. Ini bukan majalah main-main.

Namun aku tersinggung bahawa majalah ini, semacam senasib dengan majalah DBP, susah benar hendak dicari di kedai majalah dan buku (dimaklumkan boleh dicari di kedai MyNews, tapi MyNews yang mana kerana amat susah untuk menjumpainya, aku jumpa pun di kedai majalah mamak di KL Sentral, dan itu bari isu pertama, isu kedua belum terpamer lagi). Membaca borang langganannya (walaupun mahu dan ada diskaun buat pelanggan baharu) membuat aku malas juga kerana aku tidak pernah melakukan kiriman wang, dan malas hendak ke pejabat pos. Jadi ini mungkin menjadi masalah kecil yang sedikit demi sedikit boleh meranapkan perkembangan pengedaran majalah ini jika para penerbitnya tidak dapat mencari strategi terbaik untuk menjual majalah ini.

Jangan risau fasal harganya (RM10). Bagi peminat tegar filem seperti aku, lagi-lagi atas dasar kebangsaan tinggi (majalah ini dwibahasa, ya sepelik anda mendengarnya mereka telah melakukannya!) sudah tentu majalah sebegini akan dibeli. Kini, aku berharap ia meluas sahaja. Institusi filem celik harus berlaku. Dan ini mungkin antara jejak awalnya.

2 comments:

zsulai said...

tuan, dgn perkembangan industri filem yg sedang rancak skrg ni mungkin patut diwujudkan semula rancangan spt "wayang kita" hostnya dulu zainal alam kadir. pihak yg expert mungkin boleh buat format yg up to date dan yg pasti contentnya mesti bagus, boleh educate dan beri input2 bernas. *sekadar pandangan.

fadz said...

zsulai, untuk pemerhatian saudara, Naguib yang menjaga Finas itulah yang memperkenalkan program Wayang Kita tersebut, dan saya pun antara pengikut tegarnya (sewaktu program itu lebih terisi dengan makluman/ilmu industri dan pengulasan filem daripada diperturunkan menjadi lebih komersial).

Hal ini perlulah perhatian Astro/RTM/Media Prima.