23 November 2012

Lagenda Budak Setan 2 Katerina(2012) Macam Setan

"Kita bukannya dalam zaman filem P. Ramlee, Antara Dua Darjat tu ..." - Katerina


OK, aku ni teruk sikit. Aku ni cepat menangis. Pada bahagian klimaks filem ini (bersangkutan dengan seorang bayi), aku menangis, siot.

Tetapi itu tidak bermakna filem ini berjaya dengan gemilang.

Serius filem ini kucar-kacir. Kucar-kacir (sekuel) yang mencuba.

Kelemahan Sharad untuk mengikat filem ini, dan melihat bahagian mana memerlukan mood dan tempo tertentu mungkin adalah penyebabnya. Tetapi kali ini, mengejutkan, termasuk penulis skripnya, Ahadiat Akashah dan Jujur Prananto. Kaukenal Jujur Prananto? Dialah antara penulis skrip Apa Ada Dengan Cinta? (2002), ya, dia kira "legenda" (ejaan betul DBP) dan tak mungkin melakukan kesalahan.

Tetapi inilah yang berlaku.

Aku serius ingin menyukai filem sambungan Kasyah (Farid Kamil) dengan wanita baharu, Katerina (Maya Karin, filem sebelum dilakonkan oleh Nur Fazura) selepas kematian Ayu (Lisa Surihani). Tetapi, apabila kau sedari filem dengan watak dan perwatakannya yang kebanyakannya satu dimensi ini pelik, kau mula mencurigainya. Filem melodrama ini bukan sahaja mengulangi beberapa tema sama daripada filem awal (kekasih gila suka pukul contohnya, tapi kali ini Bront memberi makna baru berkenaan GILA, dan teramatlah OTTnya dia kali ini, setiap lima saat dia nak terjerit, adakah ini diarahkan?) tetapi menampilkan sifat fatalistik dan pesimistik Ahadiat tentang dunia Kuala Lumpur yang urban: ia dipenuhi dengan manusia yang jika bukan lurus bendul, separuhnya lagi gila wang dan gila-gila (yakni psiko, siap sanggup bermain S&M dengan seorang lelaki lembut!). Inilah habuk-habuk kota, Ahadiat dan Jujur memang tidak mendidaktikan hal ini, malah jauh daripada meromantiskannya, tetapi menyusunnya seperti suatu tragedi yunani (yang hanya berlaku pada 30 minit akhir filem ini, satu per satu secara literal! Serius macam filem Tamil dulu-dulu!). Si hero dikecam dalam dunia serba mencengkam, ujian menimpa pelbagai arah. Ini yang pelik, bukankah si hero sudah merasa hidup dan peristiwa, tidakkah dia tidak sedar (alert), kenapa terlalu jujur begitu melihat dunia? Adakah ini fragmen watka yang biasa dalam mana-mana novel romantik Ahadiat? Seorang perajurit yang lurus menghadapi merana?

Aku inginkan seorang wanita yang kuat. Mengapa filem ini yang menampilkan wanita yang berjaya tetapi kalah dalam cinta, malah bendul dalam perlakuan emosinya? (tanpa usul periksa dia tiba-tiba melenting, mengurung diri) Seakan-akan wanita dalam filem ini tidak berevolusi, masih berfikiran "kekampungan" dalam pakaian modennya. Sesungguhnya hakikat ini yang perlu ditelusuri oleh pengarah/penulis skrip dengan betul-betul untuk membuat penonton percaya dengan watak wanitanya.

OK, ada dua perkara menarik yang cuba diangkat oleh pembikin, yang aku kira boleh dipuji. Pertamanya, jika dilihat filem ini secara luaran, ia menampilkan dua generasi Melayu di tengah-tengah metropolitan. Kasyah mewakili waris Melayu lama. Rumah Kasyah agam, menunjukkan kekayaan yang diwarisi oleh ibu ayah (rujuk UMNO, rujuk perjuangan politik Melayu lama, rujuk romantisme Melayu era kemerdekaan, ini diperkuatkan lagi apabila Kasyah bertutur dengan bahasa Melayu sepanjang filem) tetapi "kosong", abangnya rosak akhlak, dunianya satu keluarga disfungsi (dysfunctional) dan menunggu retak dan belah (rujuk kembali pemahaman simbolisme tadi: perjuangan orang Melayu lama kini menunggu retak belah kerana tiada sesiapa yang meyakininya lagi). 

Katerina, melihat pada namanya sahaja mewakili waris Melayu baharu pasca DEB. Keluarganya mendapat kekayaan (mungkin daripada peluh keringat sendiri?) dan pembelajaran terbaik (tak silap aku, Katerina belajar dari luar negara), dan mewakili "kekuasaan" orang Melayu zaman kini. Dengan sindir, Ahadiat seperti menyatakan, walaupun secara material Katerina dan keluarganya menunjukkan prestasi "bahagia" yang diingini oleh kebanyakan keluarga Melayu, tetapi watak Katerina itu sendiri "terseksa" dengan pelbagai pengalamannya di kota, menampilkan makna "duit tidak dapat membeli kehidupan yang senang".

Ah, maka dua dunia berbeza ini bertemu di sebuah kafe. Ini perkara menarik yang kedua. Dengan jelas, Katerina mencintai Kasyah. Mereka mahu "berkahwin" (menyatukan dua dunia ini). Kasyah ragu-ragu kerana dunia Katerina berbeza. Katerina dengan jelas menyatakan: "Kita tak hidup dalam filem P. Ramlee lagi." Ada dua makna yang menarik berlaku. Pertama, kata-kata itu menampilkan keberanian Sharad dan kru, menyatakan: "Kita kena keluar daripada penyanjungan filem P. Ramlee, kita kena move on, fikir dan buat filem-filem baru." Kedua, adalah hajat tulus Katerina dengan sikap terbukanya bahawa "perkahwinan berbeza latar sosial tak berlaku lagi di sini."

Ah, kemudian berlaku ironi! Double irony! (spoiler!): Katerina "dihalang" kahwin oleh orang tuanya (dengan cara yang amat kejam dan mengejutkan, jauh daripada sisi moral dan siuman insan) lalu menafikan hajat/doa Katerina tersebut. Keduanya, filem ini "tidak berjaya" sepenuhnya "keluar" daripada kehebatan bayang-bayang filem P. Ramlee (yang lebih terkawal dan terikat cantik).

Semuanya kerana beberapa hal. Ada satu babak yang amat panjang, lewah yang berlaku di Bhutan tanpa apa-apa implikasi dramatik mahupun motif dalam plot (amat kecil sebenarnya, walaupun caranya menarik dan seakan-akan fantasi). Kemudian kereta serong yang tiba-tiba muncul, kematian Ning Baizura yang tidak ada polis pun menyiasat, wajah bersolek atas katil hospital walaupun nazak, hal-hal ini sudah tentu tidak akan dibuat oleh P. Ramlee. 3/4 awal filem ini melemaskan, malah mati, temponya terlalu lambat. Bila tiba masa "drama" berlaku, ia berlaku macam tembakan mesingan, tembak tembak tembak tanpa berhenti. Ini sesuatu yang amat canggung walaupun mungkin beginilah yang ditulis oleh Ahadiat dalam novelnya.

Sinematografinya OK dengan tidak terlalu eksperimental. Aku suka runut bunyinya, dan lagu Ning Baizura itu indah. Lakonan para pelakon agak OK, hanya skripnya tidak memberi ruang buat mereka "membesar". Aku benci Bront dalam filem ini, menjerit setiap lima saat, melakonkan watak yang all out psycho yang out of touch. Que Haidar lebih baik daripada Bront dari segi ini. Si awek Azri Iskandar pula entah apa-apa bila "high", dia kena belajar daripada Fasha Sandha dalam Anak Halal. Hanya babak dia nak keluarkan anak yang menjadi. Maya Karin? Hmmph.. Masalahnya, kita sudah menyayangi Nur Fazura. Apabila Maya menggantikannya, aku tidak tahu, walaupun dia mencuba yang terbaik, watak itu sepatutnya dalam tangan Fazura. Farid kali ini lebih terkawal malah baik, dan tahu masa-masa emosinya. Aku benci babak tiba-tiba Lana Nordin mengaku bersalah. Lakonan paling baik adalah bayi yang berlakon sebagai Athirah. SERIUS. Banyak momen bayi itu yang pelakon dewasanya pun kalah.

Pada akhir filem, ia memaparkan "sambungan ketiga" filem ini, WAH, macam Back to the Future pulak! Filem ini berjaya buat aku menangis, tetapi ia tetap membuat aku rasa jengkel. Aku harap itu tidak berlaku pada bahagian ketiganya.

Klasifikasi: 13, Beberapa babak dewasa yang mencadangkan seks dan homoseks yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. 

DITONTON DI GSC Pavilion.

08 November 2012

War of the Worlds: Goliath(2012): Punk Stim Mencari Makna

Filem animasi Malaysia bikinan bersama Kevin Eastman (pencipta Teenage Mutant Ninja Turtles), Joe Pearson, dengan penulisan David Abramowitz (penulis skrip drama "V" era 80-an) dengan Leon Tan (pencipta siri kartun Saladin), dengan usahasama MDEC dan Finas, sepatutnya memberi kita sesuatu.

Sesuatu itu mungkin terhadap seorang watak dalam filem animasi ini, disuarakan oleh Tony Eusoff, "Shah" yang berkeris di pinggang, anak raja (yang dibuang kerana mengikuti A.R.E.S, sebuah pertubuhan militari seakan NATO yang berhimpun untuk mengawal bumi daripada serangan makhluk asing), tak tinggal solat, dan bijak dalam kata-kata (beliau seakan Yoda atau Spock dalam filem ini). Watak sampingan ini tampak lebih menarik, meyakinkan dan memberi sesuatu daripada keseluruhan plot penceritaan, intrig dayus dan huru-hara yang telah dilakukan oleh Abramoqitz dan Pearson.

Filem animasi ini bukanlah filem animasi pertama yang mengeluarkan keris dari sarungnya dalam dunia serba futuristik. Hassan Muthalib pernah melakukannya, tetapi dalam alternatif masa yang lain. Kali ini, pancaran rekabentuk grafik dan kekuasaan teknik (dan tambahan 3D) tampak lebih bergaya, khusus kebijaksanaan dan ketelitian ilustrator kita (ya, orang tempatan) dalam menghidupkan dunia punk stim (steam punk) yang semenarik yang pernah aku tonton berlaku dalam dunia anime, khusus dalam penelitian latar filem ini yang begitu indah dan hidup, bangunan dan organik teknologi stim tahap ultra yang berjaya mengimbau kuasa.

Lakaran watak seakan gaya Don Bluth juga tidak mengecewakan oleh kumpulan ilustrator kita, membawa sifat "keDisneyan" dalam tradisi Manga; hanya kini, itu sahaja yang muluk-muluk dapat dinyatakan. Secara dasar, filem ini tidak punya kisah, dengan dialog buatan amatur (yang amat mengejutkan!), merundum pembangunan cerita dan pembangunan watak yang boleh diikuti sehingga habis. Segalanya percubaan seakan sifat kartun TV (yang bagi aku siri kartun X-Men lebih berjaya jika dibandingkan) yang biasa dibikin untuk wayang pada era 80-an.

Dengan mengambil rangka novel asal HG Wells lalu memberinya sekuel, era punk stim, dunia alternatif sebelum Perang Dunia Pertama di mana Roosevelt, sang Setiausaha Perang A.R.E.S. seakan abang saudara Sylvester Stallone daripada The Expendables, tidak menampilkan suatu roh penceritaan yang boleh kita ikuti, amati dan angkat. Filem ini dibuat, semacam hendak menunjukkan kehandalan ia bermain dengan efek, suara dan warna, dengan babak-babak klise serangan dan peperangan makluk asing yang pernah kita tonton dan sukai. 

Malah aksi dan suntingan filem ini dipersoalkan, khusus dalam memberikan mimik dan "animasi" terhadap wajah, sifat dan perwatakan watak, semuanya kadbod sepertimana kadbodnya skrip. Aku tak tipu apabila filem animasi Upin dan Ipin jauh mengalahkan filem ini dari segi perwatakan dan hiburan tersebut. Aku terlelap dekat 5 kali menonton filem ini, walaupun terdapat tembakan, meletup dan kemusnahan maha ala kiamat yang gila-gila. 

Inilah suatu contoh, kadang-kadang, filem memerlukan inspirasi cerita dan pengisahan yang bagus, dan bukan muat ikut suka pembikinnya.

Klasifikasi: U, Beberapa babak ganas dan berdarah, walaupun kartun, serta imbauan seks yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. 

DITONTON DI GSC Mid Valley (3D).

Masuk Pawagam pada 15 November 2012 Seluruh Malaysia.

06 November 2012

Zaiton Ceritaku(2012): Menadah Impian

"Mati hidup balik pun aku nak nyanyi juga ..." - Zaiton Sameon

Kaitkan dialog di atas dengan sinema. Yeap. mati (habis filem) hidup balik pun, filem tetap mahu menayang dan menayang tanpa henti. Memberi kita gula-gula (dan dunia ilusi sementara).

Ainon Ariff dan Burhanuddin Md Radzi amat "berani" apabila ingin membuat filem ini. Ini adalah kerana, filem yang "anti klimaks" dan "anti fairy tale" ini mempunyai ton-ton gelap yang tidak biasa kita tonton dalam sesebuah filem sekarang, mengingatkan aku era kemuncak melodrama 80-an yang memberi kisah-kisah gelap dan getir (bayangkan babak akhir filem Jins Shamsuddin yang gila bawah kolong itu, serus mengerikan), mengingatkan aku era kejatuhan Whitney Houstan yang tak boleh naik-naik lagi. Lebih berani lagi apabila pasangan suami isteri ini berani menembak "You're fired" kepada Fauziah Nawi dan Mislina Mustafa, yang mengikut kata-mengata peminat merupakan "pasangan definitive untuk merealisasikan kemilau pesona pasca Zaiton Sameon". 

Jika Ainon dan Burhanuddin pandai, sepertimana yang berlaku dengan prekuel The Exorcist terbitan Warner Bros, mereka bolehlah terbitkan sebuah lagi "versi" Zaiton Sameon supaya peminat dapat bandingkan dan menghargai versi mana yang mereka suka.

Aku kini faham mengapa Fauziah Nawi dipanggil. Melihat "cara" siaran babak filem ini, ia amat "teaterikal" dan perlu sentuhan wanita. Aku gembira, apabila pengarah yang diganti adalah Esma Danial, bekas penyanyi boy band yang tentu juga memahami "perasaan" dan imejan era kejatuhan seseorang penyanyi popular. Percubaan Esma tidak menggagalkan malah amat memahami pergerakan dan momen dramatik (yang kuat dan perlu beri tumpuan). Hanya aku tidak berapa setuju dengan beberapa syot zooming yang ingin mengejutkan dan babak "kegoncangan mental" yang boleh diberi keyakinan yang lebih wajar.

Ah, tetapi sinematografinya tentu dan setentunya mesti diberi pujian. Mohd Noor Kassim telah melakukan beberapa teknik penggambaran yang susah dan "mencabar" kepada sebuah filem yang kecil ini. Awal kredit ini, kita melihat Zaiton Sameon (lakonan memberangsangkan dan jujur oleh Nadia Aqilah, walaupun punya ruang untuk menusuk lagi ke dalam ruang gelap diva yang berkecai jiwanya ini) membuka panggung dengan nyanyiannya, seorang di pentas berkemilau dengan cahaya, tanpa kelihatan audiens (sekitarnya gelap). Lalu dalam satu syot, kita diperlihatkan belakang Zaiton (penanda suatu yang buruk akan berlaku) berjalan masuk belakang pentas dan bertemu pelbagai orang (satu daripadanya, mungkin aku terbawa-bawa, kelihatan seperti seorang Siti Nurhaliza yang muda dan sopan, ah ini menarik sebagai suatu persoalan dalam filem kepada kiasan kajian industri muzik ini) dan babak ini panjang(!) mengingatkan aku kepada Godfellas. Zaiton sampai ke tempat kostum biliknya, bersiap dengan anaknya memakan KFC (satu lagi penanda, sepertimana kilauan cahaya di latar hitam, KFC yakni ayam sedap, cepat tetapi habis dan kurang khasiat: simbolisme kepada dunia artis dan dunia muzik pop itu sendiri, yang berkait dengan singkatnya era kegemilangan diva hebat ini). Penanda ini penting (siapa makan KFC tu?). Babak seterusnya, yang sedikit komikal (jangan sesekali guna CGI), kita lihat satu kemalangan, dan Zaiton di dalamnya.

Serius, mati-mati aku ingat filem ini tentang kisah naik-jatuh seorang diva. Rupa-rupanya, dalam 90 minit seterusnya, aku perlu menonton episod-episod getir seorang diva yang ditahan untuk menaiki pentas sekali lagi (rujuk era kejatuhan P. Ramlee). Kegetiran ini menarik apabila, filem ini dengan jujur, menampilkan kebusukan jiwa masyarakatnya yang hanya ingin melihat kemilauan, hebat dan kecantikan, tetapi memandang rendah terhadap keburukan, kemalapan dan kesumbangan (bukankah ini gambaran sebenar penonton tempatan kita, yakni mereka takut mendepani realiti, menonton filem-filem singkap realisme?). Didaktik ini, berkait pula dengan kompleksiti moral-keinginan Zaiton pada zaman kemuncaknya. Zaiton berkata dengan pakaian menjolok matanya, "Aku buat ni untuk mereka, mereka nak tengok aku macam ni." Dia memberi yang terbaik buat manusia yang kononnya mencintainya, sesuatu yang tidak pernah lagi dibalas-balas oleh mereka.

Kecuali oleh beberapa orang yang memahaminya.

Latar hitam (yang sepatutnya adalah mata kita sebagai penonton, dan simbolisme ini filem yang gelap, bukan sahaja sebagai pemahaman dunia luar Zaiton waktu kemuncaknya yang mana dia seakan diangkat sebagai pemaisuri) juga menampilkan misteri yang dilindung (daripada kita) untuk ditatapi, yang kemudiannya diselak dan diselak sehingga berakhir dengan terang di kaki lima Bukit Bintang (tetapi buat aku, babak ini agak lemah sebagai klimaks cerita), yang pada waktu itu secara ironi, Zaiton dikerumuni manusia dengan jelas dan terang (aku tidak mahu menyingkap lagi kerana spoiler nanti).

Kemudian, ada satu mainan ruang dan sinematografi yang mencengkam. Pada detik awal Zaiton terbangun, dia dengan syot POV, dikerumuni ahli keluarganya. Perkara ini seakan satu "gula-gula" bahawa kasih-sayang akan membantunya, tetapi terdapat cuit dan mimik kecil yang memberitahu penonton bahawa ini adalah "ilusi" (bandingkan dengan kuasa kasih-sayang POV dalam The Diving Bell and the Butterfly). Ilusi ini direalisasikan lagi dengan pembuakan sebenar ahli keluarganya yang dysfunctional, bercakap tentang "harta" (sedangkan Zaiton masih lagi hidup). Syot dilakukan dengan tangkapan dari jendela rumah "melihat ke dalam" drama keluarga ini yang mula berantakan (syot ini penting, sebagai memahami mengapa syot di rumah ibu Rahim berlaku di dalam). Gayanya agak teaterikal (mengikut semangat 80-an dan Abang) tetapi lebih penting, menunjukkan bagaimana permulaan "neraka" Zaiton di dunia, suatu "dunia" yang hanya dipenuhi ahli keluarganya yang memerangkapnya (sehingga kita, para penonton terpaksa "mengendap" untuk melihat perilaku yang sebenar berlaku). Malah secara bijak, tanpa suntingan, syot bergerak ke bawah (ke dalam "neraka" hidup Zaiton saat itu) lalu masa itulah gambar memasuki "ruang rumah" dan Zaiton dalam keadaan rusuh dan pilu. Selamat datang ke dalam neraka dunia Zaiton Sameon.
Babak paling poignant bagi aku berlaku pada bahagian Zaiton dengan selamba, naik ke pentas untuk menyanyi lagu sebuah kenduri kahwin. Zaiton (yang hilang suaranya) menyanyi dan menyukai rasa ditontoni sekali lagi (rujuk latar hitam awal pembukaan filem), berseloroh tentang "kahwin" dengan para "audiens" yang melihatnya seakan "buang tabiat". Kajian mencari makna "sambutan" amat mengena pada bahagian ini. Wajib ditonton oleh mana-mana penyanyi Malaysia yang berlagak hebat.

Segala kemeriahan dan kekuatan ini, kadang-kala diganggu oleh percubaan "teaterikal" (rujuk adegan Zaiton dan adiknya di permukaan hijau) dalam skrip Ainon (babak dramanya begitu panjang) menangkap drama filem (dan melodramanya) yang diberi percubaan bagus oleh Esma dalam memahami babak dan turutan drama, yang kadang-kadang terseksa juga kerana kepanjangannya. Beberapa babak juga bergerak lancar dan Ainon serta Esma tidak membuang masa memberi kita kesemuanya, kerana yang "dipentingkan" adalah dunia Zaiton. Hal ini mungkin menjadi suatu "gangguan" kepada penonton, khusus babak transisi yang terlalu cepat berkenaan liku-liku Zaiton ingin diangkat semula oleh pasangan suami isteri dari Perak yang tiba-tiba ketemu Zaiton di sebuah warung makan. Berjaya-gagal ini tampak dalam beberapa babak perubahan adegan, contohnya babak durian yang mana kelihatan dibuat-buat pada awalnya, muncul menarik setelah transisi itu berlaku (dan cukup menghibakan kalau dilihat dalm konteks Zaiton sebagai penyanyi), yakni Zaiton menjadi "magnet" menarik pelanggan membeli durian di kawasan kampung itu.

Pengakhiran filem ini amat "anti klimaks", seakan-akan tidak memberi penyelesaian kepada masalah Zaiton. Tragik ini terus tragik, berkemungkinan Ainon ingin "mengajar" dunia sebenar "kemilau yang tidak ke mana-mana", tetapi bagi aku, hal ini sepatutnya memberi sedikit ruang "kemanusiaan" buat Zaiton yang sudah diperlakukan dan dihancurkan (walaupun tidak seekstrem dan menyakitkan dalam Dancer in the Dark). Inilah risiko besar digalas Ainon, kerana filem ini, secara satiranya, menampilkan kisah hidup sebenar dunia artis, dunia gelap hiburan "yang tiba-tiba", lantas berkait dengan anti-sinema, sepertimana yang kita tonton dalam Sunset Blvd (1950), Mullholland Drive (2001) dan seperti yang dibayangkan dalam buku Hollywood Babylon Kenneth Anger (dunia yang akan menelan pelakunya). Hanya kisahnya terlalu pendek dan tidak memberi impak sepatutnya pada akhirnya. Ya, Ainon perlu memberi satu "refleksi" penting, suatu  babak "biar aku lihat diri aku dan mengapa aku begini" kepada watak Zaiton (rujuk kehebatan Suhaimi Baba melakukannya dalam Layar Lara, atau yang dilakukan dalam The Artist), yang mana tidak diberikan suaranya (suara sebenarnya hanya monolog kepada kita, ini jalan senang, seakan-akan dia dah bertaubat sedari awal), suatu babak yang mana Zaiton benar-benar mendepani dirinya sekarang dan dirinya dahulu. Jika ini dapat dicapai oleh skrip Ainon, filem ini antara filem terbaik tahun ini.

Aku suka sebilangan lakonan dalam filem ini, dan fokusnya tentulah Nadia Aqilah yang sudah mencuba yang terbaik dan sepatutnya dipuji. Tempo melodramanya juga tidak dibuat-buat dan diberikan mengalir sendiri. Aku benci lakonan adik Ogy, Fazlina, yang terlalu mencuba, antitesis terhadap lakonan selamba watak-watak lain. Runut bunyi Adnan Abu Hassan cuba membawa kembali dunia muzik ekspresional 90-an yang kita kenal dalam filem-filem Aziz M. Osman yang kemudiannya, bila kembara Zaiton ke dunia menyakitkannya berterusan, membawa kita alunan lagu okestra yang lunak dan pedih. Aku terikut menyanyi beberapa lagu baladanya (walaupun diulang-ulang). Ingatkan aku beli CD Zaiton Sameon selepas ini.

Sebuah filem tangkapan sebenar suatu detik seorang penyanyi hebat tanah air yang memberikan kita sesuatu, hanya hidangan utamanya tidak terhidang untuk memberi kita kepuasan sebenarnya.

Klasifikasi: U, sesuai untuk penonton bawah umur tetapi lebih elok diikuti dengan keluarga. 

MENONTON DI GSC Mid Valley. (projektor dan sistem bunyi dewan 16 yang hancur mutunya)