Mula-mula aku tonton filem ini, adalah sikit dalam diri aku, menyedari, he heh, ini dia alat Kerajaan untuk menyampaikan mengapa mereka tak suka Bersih. Well, secara mudah, begitulah yang terjadi (pelik, sebab Layar Lara mempunyai satu adegan filem dalam filem yang memaparkan protes rakyat, walaupun kecil) dalam mana-mana filem perjuangan. Ah, Shumi oh Shumi. Serius aku takde masalah kau nak ajak para Aryan menyanyi bersama-sama sambil berdiri mengangkat tangan apabila olahragawan berpusing gimnas atau membawa obor api, tetapi apakah cara yang kau buat itu "believable"? (rujuk babak Rusdi Ramli jatuh dari pokok rambutan dalam filem ini.)
Rumusan kisah terhadap filem ini adalah berkenaan dua orang sakit cuba mengubati negara yang turut sakit. Sakitnya macam-macam, daripada sengketa komunis (filem mempropogandakan bahawa rusuhan perkauman berpunca daripada rancangan subversif komunis untuk memporak-perandakan sebuah negara yang masih muda merdeka), masalah kemiskinan orang Melayu, kemalaratan hidup pascaperang sehinggalah kepada perselisihan perkauman. Inilah sakit-sakit yang perlu ditangani oleh dua perwira negara, Tun Abdul Razak (Rusdi Ramli) dan Tun Dr. Ismail (Zizan Nin) yang masih-masing juga sakit. Serius ada "leader glorification" dalam filem ini dan hal itu pun aku takde masalah, tapi BAGAIMANA kau melakukannya untuk diyakini?
Rumusan kisah terhadap filem ini adalah berkenaan dua orang sakit cuba mengubati negara yang turut sakit. Sakitnya macam-macam, daripada sengketa komunis (filem mempropogandakan bahawa rusuhan perkauman berpunca daripada rancangan subversif komunis untuk memporak-perandakan sebuah negara yang masih muda merdeka), masalah kemiskinan orang Melayu, kemalaratan hidup pascaperang sehinggalah kepada perselisihan perkauman. Inilah sakit-sakit yang perlu ditangani oleh dua perwira negara, Tun Abdul Razak (Rusdi Ramli) dan Tun Dr. Ismail (Zizan Nin) yang masih-masing juga sakit. Serius ada "leader glorification" dalam filem ini dan hal itu pun aku takde masalah, tapi BAGAIMANA kau melakukannya untuk diyakini?
Ada satu baris dialog dalam filem ini, menjadi teraju utama tiang seri terhadap filem ini secara keseluruhan, terpacul dari mulut rahmat Tun Razak: "Orang yang paling saya percayai sudah meninggalkan saya ..."
Tak, ini bukan perhubungan Cinta Platonik Tun Razak-Tun Dr. Ismail tetapi sifat kepercayaan tinggi dalam persahabatan Tun Razak dengan "Dr." Ada masalah, dalam menyelami "perhubungan paling dipercayai" ini apabila penulis skrip Suhaimi Baba, Aida Fitri Buyong dan Haslinda Samad (anak A Samad Said?) memberi kami "keyakinan" berkenaan "kepercayaan" Tun Razak kepada Dr. Ismail, di mana titik "establish shot" yang mewakili kepercayaan itu dan di mana kepercayaan itu diuji? Kenapa tiba-tiba dua pemimpin ini "harus pergi" dalam saat sangat bergoncang bagi Malaysia waktu itu (ah, pandangan ini menarik, mungkin hanya waktu si pemimpin itu memahami nilai kehidupanlah beliau dapat melakukannya kerjanya dengan ikhlas, saksama tanpa rasuah), apakah dan bagaimanakah sakit itu bermula? Dua persoalan inilah yang sepatutnya menjadi tunjang utama menggerakkan plot filem ini memandangkan filem ini amat memfokuskan "keterlibatan" dua wira negara ini dalam "membangunkan" filem ini (bukan negara pun, filem!)
Apa sahaja yang Suhaimi bagi? Setakat (walaupun memang seronok) Dr. Mahathir yang hensem, Tun Raha yang anggun, "Joe" yang mancung dan Najib Razak yang "hot", yep, sekali lagi, banyak sekali karikatur-karikatur yang berlaku (seperti 1957: Hati Malaya) walaupun memang menyeronokkan (setiap babak yang ada Dr.Mahathir seronok dan menggelikan hati aku) tanpa benar-benar mengambil serius perkembangan satu watak kepada permulaan-kembang-berakhir. Aku dan kawan aku menontonnya siap seronok dengan "pertandingan siapa cham siapa dulu", dalam pawagam, kita asyik "Wah, Dr. Mahathir lookalike!" atau "Ah, tu mesti Anwar" (dalam satu babak demonstrasi pelajar, tapi bukan, ini hanya gurauan) Itu sahaja yang berlaku.
Kerana keseluruhan filem ini kelihatan seperti satu tapestri tempelen beberapa "detik sejarah" yang dipilih oleh Suhaimi dan rakan penulisnya setelah "mengkaji" sejarah Malaysia bertahun-tahun naik turun keluar masuk Malaysia. Suhaimi macam Tom Cruise dalam Minority Report, jarinya berpusing-pusing macam menari atas skrin mencari, masuk, keluar, cantum dan memainkan detik-detik pita sejarah di depan matanya dan sekali gus kita. Hanya jari tangannya tersasul dan menggeletar untuk bermain. Ah, dia agak kaki bangku di majlis tari.
Masalah terbesar filem ini adalah fokus "watak-watak kecil" yang sengaja dilakukan (sepertimana tumpuan novel Sandera Arena Wati mahupun Lepaskan Aku Kembali ke Laut Shaari Isa) sebagai "saksi" detik sejarah zaman itu. Orang-orang kecil ini "tidak dipedulikan" oleh kita, selain terlalu superfisial pembawaannya (malah ada yang melanggar zaman). Banyak sangat untuk kita peduli pun, Kara, kemudian Alan, tiba-tiba Johan, si Korperal. Seeloknya, kerana "terlalu banyak" POV diberikan, Suhaimi fokus terhadap satu dan kelihatan Zaman si pemuda ofis boi Tun Razak (yang sebelum itu merupakan penganggur, cikgu sementara di Felda) yang patut diberikan "mata saksi" menonton 13 Mei, banjir, kenaikan Felda dan pelbagai peristiwa zaman Tun Razak. Ini tidak. Sampaikan ada babak yang tiba-tiba terselit (contohnya berkenaan "samseng bahasa" yang kelihatan amat menganggu dan tiba-tiba) dalam pelbagai yang ingin disampaikan.
Aku pernah nyatakan dan aku nyatakan sekali lagi (dan nampaknya Suhaimi tidak belajar daripada itu) berkenaan Pengkhianatan G 30 S/PKI(1984).Ya, ada watak-watak kecil dalam filem itu tetapi mereka tidak pun dikarikatur, malah bersuara dan bermartabat. Suhaimi juga boleh merujuk siri mini HBO John Adams yang melakarkan dengan baik, setiap perhubungan intim (keluarga, kawan) dan negara (politik, sesama orang luar) yang mana filem ini amat memerlukan, suatu titik mula buat Tun Razak dan kemudiannya Tun Dr. Ismail, dan bagaimana mereka "berkawan" dan kemudiannya "berkawan baik". Itu yang lebih penting dan sudah tentu bernilai untuk penonton. Malahan 1957: Hati Malaya melakukannya dengan lebih betul terhadap Tunku Abdul Rahman, the reluctant leader dengan perhubungannya dengan Onn Jaafar, malah filem itu berjaya menyampaikan satu bulatan kukuh berkenaan perwatakannya (dan sememangnya harus diberikan anugerah). Hal ini yang tiada terlihat dalam filem yang gah belanja ini.
Ya, ini filem propoganda, aku tahu dan aku tak ada masalah dengan itu. Tun Razak sendiri berkata, "Kita perlu jaga kedaulatan negara ini!" dalam filem ini, John Adams pun, mahupun Abraham Lincoln. Berikan aku sesuatu yang boleh diyakini hal itu, berikan aku pengisian, berikan aku substance.
Contoh tersenang, filem ini boleh sahaja dibuka dengan mengibarkan bendera Malaysia dengan gah, dengan semboyan trumpet mainan lagu askar dengan kredit pembuka, dengan perlahan membuka filemnya. Ada dua bahagian dalam filem ini yang mana aku sedar, Suhaimi boleh mainkan semiotiknya (spoiler!) jika Suhaimi pandai (memandangkan kita mengajar/menyedarkan kembali penonton kita dengan sejarah), yakni babak dalam pawagam di KL (aku bayangkan Rex KL) serta babak keluarga Tun Razak-Dr. Ismail sama-sama menonton filem hitam putih atas layar (secara prasedar imej di skrin layar memaparkan kuda atas bukit, puitis yang boleh digunakan!) Bayangkan pembukaan filem ini dengan paparan gelap pawagam (detik 13 Mei 1969), kita menonton layar di skrin dalam skrin (seakan kita menonton sama dengan penonton dalam pawagam, seperti mana dibuat dalam Cinema Paradiso) di balik kepala manusia di tempat duduk, kemudian tulisan Cina "orang Cina keluar dari pawagam!", lalu tiba-tiba parang dan pemukul, lalu pembunuhan, gelap, jeritan lalu tulisan Tanda Putera. Kita membuka "sinema" (wayang) kita yang mengajar ini dengan gerun, terror, chaos. Gerun dan kaos inilah yang mengulit lalu kemudiannya menyebabkan lagi Dr. Ismail sakit dan Tun Razak tenat. Kemudian berlakulah kebaikan yang mereka bawa, dasar, dan penegasan terhadap beberapa perkara sebagai drama. Lalu mereka meninggal dunia, tetapi untuk mengakhirkan "sinema" itu, dipertontonkan waktu "senang" keluarga Tun Razak berserta Dr. Ismail (ini berlaku sewaktu mereka baru dapat jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri itu) menonton filem "koboi" dengan kuda atas bukit (ini pemaknaan mencuitkan, bahawa happy endings hanya berlaku dalam filem, yang mana ini sendiri eskapis, sinema "realiti sejarah" yang kita tonton kini ini pun eskapis! Eskapis untuk siapa kita tanya...), dalam waktu sama Amah Cina Dr. Ismail menghidang air menonton sama, ada Singh atau inspektor polis India di latar. Lantas apa yang "ingin dibawa" oleh Tun Razak, yakni "menyatukan" satu "keluarga besar" di Malaysia tercapai dalam satu "imaginasi" sinema itu pascababak kematiannya, satu "angan-angan" yang pasti jadi harapan, aspirasi 1Malaysia. Barulah propaganda itu bernilai dan ada substance.
Ada babak yang bagus sebenarnya, tetapi kecil. Babak Tun Hussein Onn (Hasnul Rahmat) yang mengetahui kematian Tun Razak daripada Ketua Polis, serta babak fotaj seperti ziarah Tun Razak ke China. Itu imej-imej indah. Ah, kalaulah lebih banyak Suhaimi menunjukkan "cara" Tun Razak menyedapkan hati rakyat, memberi dan berjasa dengan ucapan dan arahan, mungkin babak akhir waktu berjuta manusia berkumpul melihat jenazahnya menjadi satu kesinambungan yang cantik, dan bukan babak-babak kecil kelihatan remeh yang diterajui Kavita Kaur dan kawan dalam setiap kisah "rakyat kecil" seakan kesuntukan belanja. Ya, malah ada watak polis yang digunakan berkali-kali dalam pelbagai babak pergaduhan kaum!
Sinematografi filem ini hancur. Bayangkan, filem ini berlayar lebar (widescreen) dan tiada satu imej pun yang menyanggupi kekuasaan David Lean (Aziz M. Osman berjaya melakukannya dalam Lt. Adnan), malah dimalukan dengan keindahan fotaj-fotaj lama yang mengisi ruang layar lebar dengan indah sekali. Pengarahan seninya nampak plastik dan dibuat-buat, kecil malah. Solekannya tebal dan kadang-kadang kelakar. Sharon Paul mencuba sebagai penulis muziknya, malah terlalu moden bermelodrama. Tiada sofistikasi.
Lakonan merupakan kekuatan filem ini. Secara keseluruhan, himpunan pelakon lama dan terkenalnya bagus. Zizan Nin, Rusdi Ramli dan Hasnul Rahmat menjalankan tugas mereka dengan baik, termasuk Faezah Elai, si pemuda Dr. Mahathir dan beberapa lagi. Hanya seperti yang aku nyatakan mereka lebih karikatur daripada satu perwatakan yang bulat dan diceritakan dengan menyeluruh. Ada babak komunis pada awal filem sungguh memalukan. Sangat wujud "gambaran bad guy" yang ketinggalan zaman, tiada finese langsung. Lebih sesuai jika Suhaimi lakukan ini tanpa "hutan" itu dan paparan gerakan komunis itu semacam "kongsi" yang betul dan bukan main minum tepi kedai kopi.
Suhaimi mahu filem ini ditonton oleh anak muda. Ya, aku kata, persilakan, filem ini patut ditonton oleh anak muda (walaupun kita boleh persoalkan mutunya), dan sebab itu dia mahu membawa sebuah filem "komersial" yang sesuai untuk anak muda (dan kerana itu terlalu banyak watak yang kononnya mewakili anak muda yang disalah guna dalam filem ini -ada satu babak yang sungguh menjengkelkan dan selalu dibuat Suahimi: sekumpulan manusia pelbagai kaum berseronok, main gitar siap seorang mat salleh menggelek joget hanya untuk tunjuk keharmonian 1Malaysia, nak muntah aku dibuatnya! Inilah kemalasan sesungguhnya! Malas melangkau mis en scene yang lebih mencabar dan terikat). Suhaimi perlu sedar satu perkara yang jelas, Sejarah ialah Sejarah. Tak ada jenis "komersial" dalam sejarah. Dalam 90-an, Spike Lee mengarah, dengan maklum, sebuah filem sejarah "komersial" berkenaan Malcolm X (1992). Tontonlah filem itu dan beritahu apa ke benda yang "komersial" melainkan "good craftmanship", "good storytelling" dan "good characterisation". Ada awal-pertengahan dan pengakhirannya (formula biasa Hollywood, dan ini sahaja yang dekat terhadap persoalan "komersial"!) Eloklah Suhaimi membiasakan diri (kerana kelihatan Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir dan mungkin Abdullah Badawi akan dibikin) merancang dramatik dalam perspektif historilogi yang boleh diikuti, walaupun tampak biasa tanpa gitar, balada Awie, wajah orang muda dan gelek-gelek Mat Salleh.
Klasifikasi: U, mungkin, walaupun ada babak perkauman yang mungkin menyinggung perasaan sekumpulan penonton.
MENONTON DI TGV KLCC (Pratonton).
MENONTON DI TGV KLCC (Pratonton).