Bayangkan. Latar dibuka dengan suatu penglipularaan, seorang ayah yang mengasihi anaknya, menceritakan di mana Burma dahulunya "tanah emas" yang kemudian hilang tidak semena-menanya, cerita ini, seperti mimpi, suatu impian, angan-angan dan harapan ayah kepada anak, pemimpin kepada rakyatnya yang muda. Si ayah, sang jeneral terkenal, Aung San dipanggil tiba-tiba. Mimpi berhenti. Cerita berhenti. Realiti masuk. Menakutkan. Aung San di dalam sebuah bilik mesyuarat bersama jeneral lain, mempelopori kebangkitan demokrasi, saat selepas itu, mereka ditembak. Darah merata-rata. Berita dikhabarkan. Si anak, Aung San Suu Kyi tidur di atas kerusi rehat ayahnya, tidur bermimpi akan Burma yang keemas-emasan.
Naratif di atas sahaja tentu indah jika dibayangkan, separa lirikal. Skrip ditulis oleh Rebecca Frayn. Tetapi semua ini bergegar lalu hempas ke tanah, buat aku, kerana sentuhan-sentuhan Luc Besson, yang buat aku, boleh menggerakkan wayang yang kinetik, yang berlaga cepat, aksi dan mumbo-jumbo lagu pekak dan letupan, tetapi hancur bila satu-satu wayang memerlukan sedikit masa, sedikit nafas, nuansa kecil, dan drama sebenar-benarnya. Menonton filem ini, kita seakan merasa pendekatan mikro yang amat biopik, yang biasa dibikin oleh pembikin filem "diolah dari kisah sebenar" sekarang kepada separa dokumentari ala The Killing Fileds (yang jauh lebih hebat) kepada kisah main-main (ada imej-imej yang menyentak jiwa aku sebagai pelik bila setiap kali jeneral wujud dalam layar, diberi lagu semacam Darth Vader, mata mengerut ala Hindustan, siap ada satu imej si askar jahat memakat topi koboinya dengan angkuh seorang koboi!) yang membuat kita ingat semua ini percubaan serius Besson untuk membuat Duck Soup yang melodrama.
Di manakah kesinambungan impian, cita-cita dan harapan (walaupun harapan tampak secara samar dan ucapan) pada akhir filem, di mana mimpi (yang belum jadi kenyataan) yang kemudian "cuba" direalisasikan, sekurang-kurangnya dalam minda seorang wanita yang sentiasa mengimpikannya? Di mana justifikasinya?
Di manakah kesinambungan impian, cita-cita dan harapan (walaupun harapan tampak secara samar dan ucapan) pada akhir filem, di mana mimpi (yang belum jadi kenyataan) yang kemudian "cuba" direalisasikan, sekurang-kurangnya dalam minda seorang wanita yang sentiasa mengimpikannya? Di mana justifikasinya?
Ini yang menyedihkan berkenaan filem ini.
Bagi aku, Michelle Yeoh amat berjaya menghumaniskan pemimpin yang dikatakan terlalu banyak berkorban untuk rakyatnya (yang mana aku meluat bila menonton filem ini, menangkap ada orang-orang kita berani menyamakan apa yang dilaluinya sama seperti seorang pemimpin kita[?] yang jauh panggang dari api), malah berkorban anak dan suami, satu-satunya alasan mengapa Suu Kyi patut dihadiahkan dengan Anugerah Nobel sekali lagi. Walaupun tampak, Michelle diberi "keselamatan" untuk tidak banyak berbicara bahasa Burma (aku menyedari satu ucapan panjang yang dibuat olehnya, dicuap dengan dialog atau kata ucapan yang sama, ini mungkin apa yang sebenarnya yang berlaku), lenggok, rasa dan matanya, aduh, persis atau boleh sahaja mendewai ikon Asia mendepani kerakusan rejim yang menyelarnya.
David Thewlis juga menampilkan suatu yang menarik, sebagai pasangan pensyarah Oxford yang "padan" dengan semangat diam tapi degil Suu Kyi. Babak-babak intimasi dia bersama Michelle sememangnya tahap Hallmark dan mana-mana melodrama titis air mata yang jujur, sekurang-kurangnya memang lebih jujur daripada Ombak Rindu, berkenaan bagaimana "seksa"nya mereka di"jauhkan" untuk suatu cita-cita yang mereka perjuangkan, lebih daripada cinta antara mereka berdua.
Oh, drama keluarga yang amat menghayat hati.
Tetapi itu sahajalah yang aku jumpa. Ada beberapa babak berkuasa, yang sebenarnya "kuasa" di sini adalah pemaparan "kisah sebenar" yang dramatik terhadap biografi cerita, khusus sesuatu yang pernah berlaku lantas difilemkan. Rujuk babak Suu Kyi mendepani askar, atau bagaimana Suu Kyi mendengar kemenangan Nobelnya hanya di corong radio (dan itupun dimatikan api rumahnya), atau bagaimana secara sureal dia berjalan ke Duta British setelah dia dilepaskan daripada penahanan dalam rumah, semua ini babak-babak berkuasa hanya kerana ia "didakwa" berlaku. Ini sesuatu yang sekurang-kurangnya lebih berjaya dari Beyond Rangoon John Boorman (yang ada Tiara Jacquelina, tetapi bagi aku, lebih memahami drama filem sebegini) dalam menampilkan perjuangan Suu Kyi. Tetapi masalah yang sebenar, filem ini terlalu "permukaan", seakan-akan percubaan demi percubaan dramanya tampak "sintetik" dan terlalu kontang. Ini tampak daripada ketiadaan kekuatan skrip (adakah kerana terlalu mengikut realisme hidup Suu Kyi?), kekurangan skrip untuk betul-betul menusuk intimasi Suu Kyi dan suaminya, serta anak-anaknya (babak dua anaknya bergaduh tampak lembik di tengah cerita, apakah Suu Kyi hanya pandai bermain Canon in D karya Johann Pachelbel dengan piano?), ditambah dengan runut bunyi yang aku serius sedang menonton sebuah filem Hindustan(!), mengejutkan dan mengacau fokus penonton di mana-mana. Pada awal filem ini sahaja aku sudah ingin menjerit "Bad Beyond Belief!" tetapi ini diselamatkan oleh percubaan Michelle untuk "keep real" dalam segala ketidakmasuk akal dan "reluctant leader" yang perlu dia bebani, paling senang, filem ini boleh sahaja semacam sebuah filem komersial-serius buruk diarah oleh Hatta Azad Khan dengan bajet yang lebih besar dan bintang yang lebih mahal.
Ah, berkenaan bajet, sudah tentu satu kemanisan mata menonton ketelitian produksi filem ini dalam mengambil setiap prop dan latar dengan betul, setiap baju, setiap rumah, malah rumah Suu Kyi sememangnya tampak terletak di Burma yang sedang bergegar. Bagi aku, Michelle Yeoh sememangnya sudah begitu bersedia, memberi sepenuhnya dalam filem ini, yang boleh sahaja diberi laluan untuk Oscar, tetapi atas ketidaktentuan fokus Besson, dan kelemahan dialog dan penceritaan "terlalu permukaan" Frayn (pengakhiran filem ini tampak terlalu mengejut tanpa resolusi apa-apa, tanpa memberi satu potret peribadi yang kuat kepada Suu Kyi, walaupun FIKSYEN) menyebabkan kempen Yeoh ke Oscar tidak kesampaian.
No comments:
Post a Comment