30 April 2012

Berani Punya Budak(2012): Berani Punya Afdlin

"Dah dua tahun aku bekerja, baru sekarang aku dengar orang bersalam Satu Malaysia" - Johan

Ini cerita gila. Sebenarnya, dengan tampak, filem ini tidak bercerita, tetapi "penceritaan" itu dipermainkan, ditokok-tambah berlipat ganda lalu berlakulah apa yang berlaku dalam filem aksi-komedi ini.

Sebenarnya, filem ini "sudah ditayang" atau separuhnya, khusus adegan aksi ganas filem ini di Thailand atas nama Thai. Aku gerenti, plot Thai yang ditulis oleh Afdlin dengan dua orang Thai lebih "hancuq" daripada yang kita tonton ini. Maka walaupun di kredit akhir filem ini menayangkan Afdlin berusahasama dengan "Pakai" (guna pakai ke bro?), aku menggunapakai nama Thanapon Maliwan bersama-sama Afdlin sepertimana "origin" filem ini, Brave yang ditayangkan di Thai pada 2007. Aku percaya aksi gila babi nak mampus filem ini datang daripada perancangan bukan Afdlin seorang, tetapi Thanapon. 

Jadi apa ke hal Afdlin tak bawak je Brave yang dibuatnya bersama dan memotong-motong, memunggah-munggah filem ini dengan suntingan imej dan suara yang, Ya Rabbi cuba untuk menjadikan "what a mess" filem ini "menjadi"?

Inilah "goof" dan secara tak langsung, walaupun aku sudah M-U-A-K dengan filem sebegini (takkan Malaysia hanya boleh buat filem parodi je bro?), aku terpaksa bersetuju, bahawa Afdlin B-E-R-J-A-Y-A menghiburkan aku dengan "trash"nya (filem ini juga merujuk Hantu Kak Limah habis-habisan dalam satu adegan) ini.

Ini adalah kerana aku ni penggemar fanatik Whose Line Is It Anyway. Dalam satu segmen lawak selamba spontan olahan Drew Carey itu, peserta-pelawak perlu "membuat dialog sendiri" terhadap beberapa filem klasik/popolar di depan skrin TV, lantas apa yang berlaku jika kau lakukan dengan spontan, wallah, kau dapatlah dialog spontan yang mengenakan sang pelakon, aksi pelakon secara "sedar" atau tidak terancang, sepertimana dalam filem ini dengan dialog alih suara Thai ke bahasa Melayunya bersuara seperti "Mana aku nak cari kopi janda kat Thailand ni?", atau setiap kali watak Thai bercakap "Ya Allah", "Selemelakum", "Ikan Siakap", atau bagaimana seorang pelakon tambahan melepaskan rungutannya dengan "Kalau aku berlakon betul-betul pun buatpe, duit dapat takat cukup je", dan paling lawak, berlaku sewaktu perlawanan "adegan ketiga" klimaksnya.

Memang, apa yang kaudapat tu "bodoh" dan "trashy", tetapi "sesampah" ini disengajakan, digemblengkan untuk "meluah" ketawa. Pernah tonton Mystery Science Theater 3000? Siri TV itu meletakkan dua watak (ah, peminat filem, juga sindiran kepada pengkritik) yang menonton filem lama yang "hanjing" dan menghantar hentakan-hentakan komen spontan kepada setiap babak adegan sewaktu filem itu ditayangkan (kita tidak lagi menonton filem yang ditayangkan, tetapi menghibur diri dengan tembakan lawak dan sinikal di watak terhadap apa-apa yang berlaku atas skrin). Secara pascamoden yang pelik, beginilah yang berlaku dengan filem ini!

Satu contoh yang menarik, dalam satu babak "serius", tiba-tiba si gangster jahat berkata "overlah lakonan dia ni" sewaktu si pelakon wanita (utama) menangis dengan semahunya!

Ada antaranya memang menggelikan hati sehingga pecah perut, walaupun ia "tiada kena-mengena langsung dengan plot", ahhh, ini satu estetika menarik, ini MENYATAKAN dengan kuat bahawa, semua filem bergerak dengan pergerakan imej, bukan suaranya. Hal ini aku setuju, oleh sebab itu aku boleh terhibur dan ketawa dan melayan "kekurang ajaran" Afdlin yang mempermainkan filemnya sendiri, tetapi jika para penonton tidak dapat "menangkap" idea kreatif biadap ini, mereka akan merasa janggal lalu mengutuknya habis-habisan.

Hanya ada satu adegan panjang yang aku tidak setuju, Afdlin melakukan satu parodi "muzikal" pada perlawanan akhir di tempat "ketua gangster", yang aku rasa kekok dan janggal, kerana aksi filem itu sudah cukup brutal, ia hanya perlu dibiarkan seketika "serius", tanpa perlu merosakkan mood dengan "acapella" entah apa-apa Afdlin dan kawan-kawan. Ini hal yang Afdlin perlu petimbangkan.

Yang lainnya? Jika benar kalian tidak akan tahan dengan "celoteh" Afdlin yang gila-gila dalam filem ini, "sumbangkan" telinga dan kalian sekurang-kurangnya merasai seakan kalian menonton "filem bisu", ahh, akan ada beberapa nikmat yang aku yakin tidak akan merugikan. Satunya adalah si pelakon Mike B yang aku lihat, sepertimana filem ini bergerak dalam acuan itu, bergerak seperti sebuah "Jackie Chan", dan si Mike B ini punya cara dan lakonan, dengan mimik muka yang amat menawan dan tahu, baik dalam aksi mahupun secara emosi. Keduanya adalah babak aksi yang memang agak mantap, khusus dalam pembinaan dari aksi ke aksi. Adiadegan filem ini sudah tentu pada bahagian pertengahan filem ini, sewaktu Afdlin dan Mike B dikepung untuk berlawan di sebuah bangunan binaan usang, ahh, ini satu simfoni kinergi yang tahu mengalun bunyinya sampai ke kresendo (walaupun logik boleh dibuang ke longkang). Ini semamangnya bahagian yang mana orang puteh kata "have to be seen to believe".

Abang aku di Oxford itu kata kepadaku, Afdlin sahaja yang dia nampak, mampu menampung "kekosongan" yang tidak terisi selama P. Ramlee tiada. Abang aku, yang berpeluang menonton filem Afdlin pada waktu dalam kapal terbang MAS, atau balik tertangkap telefilem Afdlin di Astro, dia akan menyatakan, "Afdlin ni genius, macam P. Ramlee." Aku mengaku, ya, walaupun filem ini tampak "apa hal lah" dengan kegilaan Afdlin menyadur habis alih bahasanya, ada kod-kod dan perselindungan tertentu, yang jika kalian dapat tangkap, bukan sahaja perut kalian akan terkucil ketawa, tetapi jiwa dan akal kalian akan terpusing sama.

klasifikasi: 18, beberapa adegan ganas termasuk amputasi, kencing, bahasa kesat, lawak homoseksual dan seksi yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak.

23 April 2012

The Lady(2011): Michelle Yeoh Dah Cuba

Bayangkan. Latar dibuka dengan suatu penglipularaan, seorang ayah yang mengasihi anaknya, menceritakan di mana Burma dahulunya "tanah emas" yang kemudian hilang tidak semena-menanya, cerita ini, seperti mimpi, suatu impian, angan-angan dan harapan ayah kepada anak, pemimpin kepada rakyatnya yang muda. Si ayah, sang jeneral terkenal, Aung San dipanggil tiba-tiba. Mimpi berhenti. Cerita berhenti. Realiti masuk. Menakutkan. Aung San di dalam sebuah bilik mesyuarat bersama jeneral lain, mempelopori kebangkitan demokrasi, saat selepas itu, mereka ditembak. Darah merata-rata. Berita dikhabarkan. Si anak, Aung San Suu Kyi tidur di atas kerusi rehat ayahnya, tidur bermimpi akan Burma yang keemas-emasan.

Naratif di atas sahaja tentu indah jika dibayangkan, separa lirikal. Skrip ditulis oleh Rebecca Frayn. Tetapi semua ini bergegar lalu hempas ke tanah, buat aku, kerana sentuhan-sentuhan Luc Besson, yang buat aku, boleh menggerakkan wayang yang kinetik, yang berlaga cepat, aksi dan mumbo-jumbo lagu pekak dan letupan, tetapi hancur bila satu-satu wayang memerlukan sedikit masa, sedikit nafas, nuansa kecil, dan drama sebenar-benarnya. Menonton filem ini, kita seakan merasa pendekatan mikro yang amat biopik, yang biasa dibikin oleh pembikin filem "diolah dari kisah sebenar" sekarang kepada separa dokumentari ala The Killing Fileds (yang jauh lebih hebat) kepada kisah main-main (ada imej-imej yang menyentak jiwa aku sebagai pelik bila setiap kali jeneral wujud dalam layar, diberi lagu  semacam Darth Vader, mata mengerut ala Hindustan, siap ada satu imej si askar jahat memakat topi koboinya dengan angkuh seorang koboi!) yang membuat kita ingat semua ini percubaan serius Besson untuk membuat Duck Soup yang melodrama.

Di manakah kesinambungan impian, cita-cita dan harapan (walaupun harapan tampak secara samar dan ucapan) pada akhir filem, di mana mimpi (yang belum jadi kenyataan) yang kemudian "cuba" direalisasikan, sekurang-kurangnya dalam minda seorang wanita yang sentiasa mengimpikannya? Di mana justifikasinya?

Ini yang menyedihkan berkenaan filem ini.

Bagi aku, Michelle Yeoh amat berjaya menghumaniskan pemimpin yang dikatakan terlalu banyak berkorban untuk rakyatnya (yang mana aku meluat bila menonton filem ini, menangkap ada orang-orang kita berani menyamakan apa yang dilaluinya sama seperti seorang pemimpin kita[?] yang jauh panggang dari api), malah berkorban anak dan suami, satu-satunya alasan mengapa Suu Kyi patut dihadiahkan dengan Anugerah Nobel sekali lagi. Walaupun tampak, Michelle diberi "keselamatan" untuk tidak banyak berbicara bahasa Burma (aku menyedari satu ucapan panjang yang dibuat olehnya, dicuap dengan dialog atau kata ucapan yang sama, ini mungkin apa yang sebenarnya yang berlaku), lenggok, rasa dan matanya, aduh, persis atau boleh sahaja mendewai ikon Asia mendepani kerakusan rejim yang menyelarnya.

David Thewlis juga menampilkan suatu yang menarik, sebagai pasangan pensyarah Oxford yang "padan" dengan semangat diam tapi degil Suu Kyi. Babak-babak intimasi dia bersama Michelle sememangnya tahap Hallmark dan mana-mana melodrama titis air mata yang jujur, sekurang-kurangnya memang lebih jujur daripada Ombak Rindu, berkenaan bagaimana "seksa"nya mereka di"jauhkan" untuk suatu cita-cita yang mereka perjuangkan, lebih daripada cinta antara mereka berdua.

Oh, drama keluarga yang amat menghayat hati.

Tetapi itu sahajalah yang aku jumpa. Ada beberapa babak berkuasa, yang sebenarnya "kuasa" di sini adalah pemaparan "kisah sebenar" yang dramatik terhadap biografi cerita, khusus sesuatu yang pernah berlaku lantas difilemkan. Rujuk babak Suu Kyi mendepani askar, atau bagaimana Suu Kyi mendengar kemenangan Nobelnya hanya di corong radio (dan itupun dimatikan api rumahnya), atau bagaimana secara sureal dia berjalan ke Duta British setelah dia dilepaskan daripada penahanan dalam rumah, semua ini babak-babak berkuasa hanya kerana ia "didakwa" berlaku. Ini sesuatu yang sekurang-kurangnya lebih berjaya dari Beyond Rangoon John Boorman (yang ada Tiara Jacquelina, tetapi bagi aku, lebih memahami drama filem sebegini) dalam menampilkan perjuangan Suu Kyi. Tetapi masalah yang sebenar, filem ini terlalu "permukaan", seakan-akan percubaan demi percubaan dramanya tampak "sintetik" dan terlalu kontang. Ini tampak daripada ketiadaan kekuatan skrip (adakah kerana terlalu mengikut realisme hidup Suu Kyi?), kekurangan skrip untuk betul-betul menusuk intimasi Suu Kyi dan suaminya, serta anak-anaknya (babak  dua anaknya bergaduh tampak lembik di tengah cerita, apakah Suu Kyi hanya pandai bermain Canon in D karya Johann Pachelbel dengan piano?), ditambah dengan runut bunyi yang aku serius sedang menonton sebuah filem Hindustan(!), mengejutkan dan mengacau fokus penonton di mana-mana. Pada awal filem ini sahaja aku sudah ingin menjerit "Bad Beyond Belief!" tetapi ini diselamatkan oleh percubaan Michelle untuk "keep real" dalam segala ketidakmasuk akal dan "reluctant leader" yang perlu dia bebani, paling senang, filem ini boleh sahaja semacam sebuah filem komersial-serius buruk diarah oleh Hatta Azad Khan dengan bajet yang lebih besar dan bintang yang lebih mahal.

Ah, berkenaan bajet, sudah tentu satu kemanisan mata menonton ketelitian produksi filem ini dalam mengambil setiap prop dan latar dengan betul, setiap baju, setiap rumah, malah rumah Suu Kyi sememangnya tampak terletak di Burma yang sedang bergegar. Bagi aku, Michelle Yeoh sememangnya sudah begitu bersedia, memberi sepenuhnya dalam filem ini, yang boleh sahaja diberi laluan untuk Oscar, tetapi atas ketidaktentuan fokus Besson, dan kelemahan dialog dan penceritaan "terlalu permukaan" Frayn (pengakhiran filem ini tampak terlalu mengejut tanpa resolusi apa-apa, tanpa memberi satu potret peribadi yang kuat kepada Suu Kyi, walaupun FIKSYEN) menyebabkan kempen Yeoh ke Oscar tidak kesampaian.

20 April 2012

Battleship & Cabin In The Woods

Battleship(2012)
Kali kedua menonton filem ni kerana terpaksa bawa anak buah aku tonton filem (aku mahu bawa dia menonton The Hunger Game tapi dah habis) membuat aku tertidur. OK, ada beberapa rujukan daripada formula kitar semula yang agak menghiburkan ini, sesiapa yang sudah melayan makhluk asing memerangi dunia ID4, Armageddon watak lelaki dan wanita cantik dalam konflik satu lapis dibumbui kejujuran serius, dan kamera dan kesan bergolek The Transformers, akan terhibur dengan filem sai-fai campur aksi ini yang penuh rencah emosi dan hiburan, cukup dengan seorang watak romantis (hero) yang kanak-kanak nak ikut sebab rasa kool dan jujur. Kejujuran filem ini menyerlah dan ianya kerja selamat mana-mana filem formulaik. Aku menyukai filem ini kerana "Malaysia" diucapkan oleh Liam Neeson (antara negara yang menyertai himpunan tentera laut dunia dalam plot awal filem) dan menangkap bendera Malaysia dipaparkan sebelah bendera negara lain pada adegan bolasepak. Tapi bendera Amerika (yang sama bentuk dengan Jalur Gemilang kita) lebih banyak, seakan-akan menyelubungi setiap adegan filem, menyatakan dengan gah, hey Amerika tetap hero dunia weh, walau apa pun terjadi. Tahniah kerana menonton sebuah lagi hasil propaganda Amerika menyampaikan keagungannya. Babak paling kool buat aku ialah bila orang tua veteran tunjuk "hah, budak-budak, macam ni lah cara nak berperang, kau faham?" Agenda jujur filem untuk kembali kepada semangat patriotik orang lama.

The Cabin In The Woods(2012)
Ah, dan ini sebuah filem anarkis, seperti biasa, dibawa dan ditulis oleh pencipta francais Buffy/Firefly yang amat disembah oleh Vovin (Nazri M. Annuar, penulis skrip Karipap-karipap Cinta), Joss Whedon, ianya sesuatu yang berlawanan dengan filem di atas. Bini aku yang menontonnya jadi pening kerana melihat terlalu banyak darah (dia bekerja di hospital, kau bayangkan, dia kata, kerana aksi pembunuhan filem ini memualkan, erm, tahap dia lah, aku OK

je). Filem ini amat seronok kepada sesiapa yang layan sastera HP Lovecraft (rujuk The Mist) dengan falsafah "Ctulhu", dan siapa ada menonton Hellraiser (whoah, ada Cenobites!), The Evil Dead, genre slasher dan tipikal sekumpulan orang ke kabin tengah hutan yang akan dikerumuni pembunuh jinjang. Apa yang aku suka tentang filem ini (dan sesuatu yang kau boleh agak daripada Whedon jika kalian menonton siri sai-fai Dream House, ah, ada berkenaan dengan kondisi yang mengawal dalam satu ruang yang tertutup, ini suatu eksperimen sosial yang menarik) ialah lawak-lawak kureng Whedon dalam keseriusan dan seram filem ini (contoh bagaimana para saintis di bawah tanah tidak ambil pot dengan keseriusan agen atas tanah) serta pelanggaran klise dalam genre slasher (khusus pemilihan mangsa). Setakat itulah yang aku perlu nyatakan kerana kalau aku teruskan, akan ada yang akan menuduh filem ini "melanggar aqidah" dan seterusnya dikecam JAKIM. Yeap, filem ini memang lawak p**** Whedon terhadap pemikiran, sains dan agama. Dan lawak paling besar ialah, bila masyarakat Amerika mula pandai, dunia akan kiamat.

16 April 2012

Perca-perca Filem April 2012

Yep, aku banyak menonton hanya tak ada masa nak menulis, Kini aku cuba, tapi pendek-pendek.

Hostel(2005)
Ah, aku baru menonton filem ini, dengan sengaja kerana tidak mahu terikut-ikut dengan sangkaan orang bahawa ini sebuah filem wajib tonton seram, adikarya abad ke-21 dan pelbagai lagi siulan manis. Ini sememangnya filem yang membantu menaikkan kembali "torture porn" yang pernah mendepani penonton Amerika era layar pandu lalu. Malah berjaya mengangkatnya. Sebagai penonton filem "filem", memanglah aku tercuit dengan rujukan filem yang berderet dalam filem ini, dengan Don't Look Now, Who Can Kill A Child?, Texas Chainsaw Massacre, Silence of the Lambs, dan pelbagai lagi tetapi untuk mengatakan ini sebuah "adikarya", tidak, malah jika dibandingkan dengan apa yang sudah dilakukan oleh Takashi Miike, filem ini masih jauh (atau kebanyakan filem seram Amerika) daripada mencapai suatu "kepuasan" pascamoden. Hanya aku menyukai ide samar-samar berkenaan jual-beli dunia kapitalis, dan ini dimetaforakan dengan imej sang lelaki mencari pelacur untuk main (dengan duit semua boleh) dengan imej sang lelaki membunuh dalam ruang terkawal mengisi kehendak nafsu, walaupun tiada tetapan kuat untuk menyatakan peranan imej ini terhadap keseluruhan filem (filem ini dibikin sengaja Hollywood sebagai filem untuk "berhibur" yang sekurang-kurangnya lebih segar daripada filem-filem tipikal Amerikana berkenaan sekumpulan anak muda bercuti di tengah hutan/negara orang/pantai/pulau dan bertemu kematian). Hal "fantasi" ini sendiri menarik, juga berkait dengan mata "voyeur" yang disengajakan. Paling mencuit, disengajakan ada watak Jepun sebagai penghormatan "raja segala torture porn" dalam filem ini, serta mempunyai penceritaan yang paling menarik buat aku, yang itu, Eli Roth campai sasaran: Jepun ialah raja filem seram ganas berdarah.

Cold Fish(2010)
(rujuk filem atas) seperti filem ini yang bagi aku jauh lebih subtle, menyakitkan, menakutkan, loya, mengganggu dan kuat daripada Hostel. Shion Sono. Nama baru aku temui (terima kasih Aidil Rusli!) yang merupakan satu keajaiban. Filem ini bukan sahaja seram, tetapi suatu satira berdarah meyakinkan berkenaan kemunduran nilai kekeluargaan nukleus Jepun sekarang, semua nilai moral, sosial dan psikologi dinyatakan dengan baik, dengan secebis kegilaan dalam budaya Jepun. Sebuah keluarga, atau lebih khusus, seorang lelaki, dicelakakan atas bawah, oleh isteri dan anak, dia hilang "maruah" (maruah suatu hal sensitif dalam dunia Jepun, ini berkenaan mengapa orang Jepun mengambil sikap bunuh diri). "Kelembikan"nya dilawankan dengan seorang lelaki "kaya" (yang psiko) yang kelihatan sempurna, kelakar, kebapaan, selamba, dan mesra, yang mana si isteri turut "ternafsu" untuk bersama-samanya. Melihatnya pada permukaan, ini seakan sebuah "comedy of errors" yang mana si bapa tiada maruah cuba "membaiki" hidupnya, keluarganya, satu per satu, walaupun tidak berjaya (ini hidup). Imej--imej ini meyakinkan kerana ditampilkan secara intimasi, protagonis yang nostalgik (dan masih berprinsip) terhadap hal-hal lama yang membuatnya gembira. Kemudian, ada tahap "fantasi" yang mana kita seakan bersama protagonis dipaksa masuk dalam lubang Alice yang menakutkan, sesak, yang mana si lelaki merasai "teruja" kerana separuh perasaan "id" jantannya merasakan hal lancang yang dibuat oleh "majikan bersama" psikonya "menyeronokkan". Inilah advencer "gila" yang dilalui protagonis, sedikit demi sedikit memakan jiwanya, moralnya, dan akhirnya kewarasannya, yang tampil akhirnya "mewarnakan merah" realiti sebenar kehancuran kekeluargaannya, dan kehancuran sosial Jepun secara amnya.

The Flowers of War(2011)
Aku tak faham mengapa kebanyakan pengkritik Barat tidak menyukai filem ini, tetapi filem melodrama bercampur perang berlatarkan "Raping of Nanking" era mendekati Perang Dunia Kedua amat berkesan bagi aku, walaupun kelihatan percubaan Zhang "mengeluarkan air mata" penonton. Ingat Taegukgi, gayanya sebegitu tetapi aku merasakan filem ini lebih mendekatiku. Bayangkan, 10 minit awal, mana filem sebegini sudah berjaya buat aku menangis? Tema besar filem ini meyakinkan: dalam masa tiba kiamat, apakah garisan halus kita mempertahankan seni, agama, adat dan kemanusiaan? Hal ini mungkin lebih berjaya dan tampak sofistikated dalam The Pianist, tetapi buat aku, dalam pergerakan plot yang sudah tersusun, dengan kecaman "seram" yang ditampilkan sebalik keindahan dan rasa manusiawi itu, ia cukup menyentuh dan indah dilakukan dengan bersahaja oleh pengarah. Yang menarik, dalam hiba ada ketawa, dan hal ini bukan calang dan amat susah dilakukan. Inilah semangat "innocence" Zhang dan ia amat memikat dalam mendepani kegelapan jiwa manusia.

A Simple Life(2011)
Sebuah filem Hong Kong-Taiwan yang amat menyentuh perasaan oleh Ann Hui, satu-satunya pengarah wanita Taiwan yang tersohor. Ini sebuah filem, buat aku, antara yang terpenting yang pernah dikeluarkan oleh Ann Hui. Melodramanya tersingkap baik, tidak terlalu "dibuat-buat" dalam latar gaya realisme yang penonton Malaysia biasa mendapatinya dalam filem arwah Yasmin (kini, ramai yang akan faham kenapa arwah melakukan apa yang beliau lakukan). Kisahnya berkenaan Andy Lau yang membantu sisa-sisa terakhir orang gajinya lakonan mencengkam perasaan, Deanie Ip dalam sebuah rumah kebajikan di Hong Kong. Filem ini tampak mudah, kadang-kadang lambat berkenaan drama dan kasih-sayang seorang "anak tuan" mengenang budi kepada pembantu rumahnya (yang juga membawa satu kod budaya lama), tetapi Ann Hui pergi lebih jauh dari itu, dengan tidak perlu menyatakan yang tampak dengan subliminasi politikal, ekonomikal dan ruang sosial yang mula merubah bentuk dan wajah Hong Kong. Filem ini sememangnya suatu filem "nasional" yang kuat, menampilkan betapa jaya dan berdirinya Hong Kong sejak berapa tahun, dengan "sejarahnya" dan kisah silamnya (budaya) yang mula menghilang, paling tampak adalah perbandingan Ann yang prasedar berkenaan Hong Kong lama (lambat, ceria, berbudaya, sopan) dan Hong Baru yang maha laju dan progresif, material, dan menyakitkan (untuk berjaya). Metafora ini juga menampilkan "perubahan masa" sinema Hong Kong lama dengan baru (ditekankan dalam filem ini secara tidak sengaja atas watak Andy Lau), yang menampilkan unsur "nostalgia", seakan-akan menyatakan "Mereka tak buat lagi filem macam era dulu". Ini tampak jelas, secara kritis terhadap kekosongan atau "mekanikal"nya beberapa tingkah budaya baru Hong Kong jika dibandingkan dengan dahulu. Inilah keindahan filem ini, ia sanggup berhenti seketika, dan "merenung kehidupan". Nilai ini diteliti dan menghasilkan seni, tanpa terlalu meletakkan dakwah. Antara filem Hong Kong terbaik tahun ini.

06 April 2012

DOM Khas: Pengakuan Seorang Sutradara bersama Dain Said (Bunohan)

Dain Said akan memberi makluman berkenaan hal-hal pencerahan berkenaan karya terbarunya, Bunohan ...

Tarikh: 7/4/2012 (Sabtu)
Tempat: Rumah PENA
Masa: 10 pagi


Oh ya, aku dah beli DVD Bunohan yang RM19.90. sangat berbaloi sebab ada gambar produksi, wawancara khusus, video pembikinan, dan adegan yang dipotong (deleted scenes), ah, yang ini mahal! Dan semua ni untuk RM19.90, berbaloi tu weh! Hanya kulit dia je aku tak suka, hehe.