26 March 2012

Kak Nab Jumpa Pensyarah Media Syok Sendiri

Assalamualaikum semua,

Tadi Kak Nab sedang minum kopi sambil belek Antologi KOPI yang Kak Nab dapatkan di CM Annexe (Kak Nab rasa muda sikit bila jalan-jalan dekat situ). Suami Kak Nab, yang sengaja nak buat hati Kak Nab lusuh pagi-pagi gembira ni letak Sinar Harian dengan cerita kecaman seorang pensyarah kanan tak habis "Dr."nya berkaca-mata katak terhadap sebuah filem "seni". Terus tersembur kopi pekat Kak Nab kat muka pensyarah tu yang dulu Kak Nab "feeling feeling" juga sebab dia suka benar pakai baju ketat (Kak Nab selalu paksa suami Kak Nab pakai baju kerja ketat dan merah jambu, tapi suami Kak Nab ni tak sporting, terpaksalah Kak Nab tunggu dia berlengging dengan pelekat tanpa cawat untuk naikkan syahwat malam Kak Nab).

Kak Nab rasa nak nagis tau.

Kak Nab ni bukanlah pandai sangat, bukan macam Fadz tu yang nerdy (maaf Fadz), semalam pun teruk Fadz tersasul nak mengulas Hunger Games di Awani, tetapi Kak Nab ni bolehlah layan filem yang nampak mi segera (macam Hantu Bonceng) dan yang dimasak secukup rasa (macam Bunohan ataupun KL Gangster, Kak Nab masih terngiang-ngiang dada ketul Ady Putra). Mi segera maknanya filem tu sedap (boleh tonton), bajet ciput dan dibuat laju. Kak Nab takde masalah dengan tu. Tapi bila Dr. Spek Katak tu hina habis-habisan filem Bunohan, Kak Nab rasa macam nak menangis, sebab Kak Nab pun suka filem tu. Adakah Kak Nab ni tergolong dalam kalangan minoriti hanya kerana Dr. Spek tu kata filem tu caca-merba? Adakah Kak Nab akan tergolong dalam kumpulan GLBT yang tiap-tiap hari dibantai oleh Utusan? Habislah hidup Kak Nab. Mana suami Kak Nab yang cepat hilang ni, mana Kak Nab nak luahkan perasaan dan basahkan dada baju Raoulnya dengan air mata Kak Nab yang mula berderai-derai ni.

Kak Nab suka Bunohan. Kak Nab memang tak lah dapat tangkap sangat, mengapa ada model berekor buaya, siap buat catwalk keluar kolam, kenapa model tu pose depan piramid, kenapa Faisal Hussein (yang seksinya, Tuhan je tahu dalam filem ni) dikelilingi burung. Tetapi filem tu buat Kak Nab nak tengok sekali lagi dan sekali lagi, alah, macam filem-filem Iran yang Kak Nab tak faham tu lah, atau yang Fadz selalu pujuk Kak Nab tonton macam Mullholland Drive dan The Tree of Life. Fadz ajar Kak Nab, "Filem-filem ni tak puas tonton sekali je, kena tonton berkali-kali, dan setiap kali menontonnya akan dapat pengalaman yang berbeza." Macam itulah yang Kak Nab dapat daripada Bunohan. Kak Nab dah tonton tiga kali, jangan jeles!

Kak Nab sangat rasa, Dr. Spek Katak tu hanya tonton Bunohan sekali, dengan rasa marah-marah sambil mengoyakkan baju sendatnya macam Hulk keluar pawagam.

Tak boleh macam tu Dr., bersabarlah. Lagipun bila Kak Nab tonton sekali lagi, Kak Nab dapat tengok ada jantan Siam yang badannya kekar berbenjolan bantai Zahiril, Tuhan, nikmatnya. Dah lah tak aurad! Mmmmm...! Atau awe kelate kulit putih yang kiut-miut dibantai oleh Zahiril. Ya Allah, memang nikmat betul, pandailah abang Dain pilih pelakon. Itulah nilai mata orang kata di layar serba putih.

Jadi Kak Nab rasa canggung sangat bila Dr. Spek Katak cakap macam tu kat Bunohan, bagilah peluang Dr. untuk menilai filem tu. Macam "dramaturgi" yang Dr. tu kata caca-merba dalam filem tu. Kak Nab pelik, Kak Nab ni bukanlah pandai mana, tapi Kak Nab tahulah juga nak sesuaikan dramaturgi Bakar yang sangat ligat bermuka-muka, bertopeng-topeng, menyalut dirinya dengan pelbagai bentuk wajah, depan ayahnya dia lain, baik bebenor kata orang Perak, depan adik luar nikahnya lain, kurang ajaq kata orang Kedah, depan mangsa-mangsanya dia nate boyo kata orang Kelantan. Depan Datuk Politik nak projek dia terkedu-kedu macam anjing. Itu bukan DRAMATURGI ke wahai Dr. Spek Katak? Kak Nab rasalah, Dr. Spek Katak ni sengaja guna istilah-istilah besar macam antropologi dan dramaturgi, hanya untuk tunjuk lagak yang kata-katanya hebat dan tak terlawan. Dr., sekarang kita dah ada Wikipedia tau, semua kita boleh "check".

Lepas tu, yang paling menyakitkan jiwa Kak Nab ialah, ada kah, dia bagitau yang "Azura yang juga teks berat"(!) HELLO!!! Dr., filem tu budak darjah tiga pun boleh faham, Kak Nab pun tahu filem tu ringan (tapi best tengok Kak Ogy dalam filem tu, memang primadona). Azura yang terbaru tu orang tak pegi tonton sebab nampak "old school", klise, nampak "lembab" macam filem-filem 90-an lamalah Dr. Sahlah, FFM tahun ni, Azura akan banyak dapat nominasi, Kak Nab berani kerat jari!

Lepas tu Dr. tu menyatakan "berat"nya Dil Tu Pagal Hai dan "ringan"nya Kuch Kuch Kota Hai. Masa tu, Kak Nab dah tak tahan dah. Ini dah tahap hasutan, tahap fitnah bagi Kak Nab. Memang, Kak Nab tak suka banding wujudnya filem komersial, dan wujud pula filem yang kononnya "art house cinema". Filem adalah filem, bagaimanapun yang kita mampu dan mahu tonton. Pengalaman kita menontonlah yang menentukan citarasa kita. Macam Kak Nablah, dah tonton Kongsi dan ketawa dengan Hantu Bonceng, sekali-sekala Kak Nab nak juga tonton Bunohan atau The Tree of Life, Kak Nab dapat juga sesuatu. Kak Nab sedih sangat, sebab kalau di Amerika, nama pengarah macam David Lynch, yang buat filem yang separuh orang di Amerika pun tak faham kisahnya, tetapi mereka angkat dan kobarkan namanya kerana keunikan karyanya. Macam Terrence Malick juga. Kak Nab sedih juga, sebab kalau Bunohan dibuat di Indonesia, atau di Thailand, Kak Nab dapat rasakan bagaimana orang-orangnya akan angkat filem ini, dan sekurang-kurangnya ambil tahu. Macam filem-filem Garin yang juga cantik-cantik, atau Nia Dinata. Orang Indonesia, mereka tahu nak julang para pengarahnya, yang boleh laku di bioskop atau yang mungkin "berat sedikit" untuk penonton massanya. Yang penting, "asyik ditonton". Dr., berhentilah jadi pensyarah, usah teruskan hasutan mereka-reka kebencian orang untuk mengenali dunia wayang tiada sempadan ni. Kak Nab sangat-sangat rasa tertipu dengan artikel dalam Sinar Harian ni.

Lepas ni, Kak Nab nak boikot Dr. Spek Katak, kalau nampak je dia kat TV, Kak Nab tutup. Kalau masuk mimpi, Kak Nab jerit bangun, "nightmare!" Kak Nab hilang hormat Kak Nab kat dia. Sedih betul. Nak hilangkan candu artikel hazab ni, Kak Nab terpaksalah pegi tonton Bunohan kali keempat malam ni di TGV KLCC. Siapa-siapa yang terluang tu, jom ikut Kak Nab, macam Huzz selalu cakap: Filem ni memang best sangat! Jom kita tonton ramai-ramai bawak mak cik dan orang tersayang! Kalau tak, rugi you!

ps: Kak Nab nak promo, filem ni masih tayang di TGV KLCC sampai Rabu ni, jom!

25 March 2012

3 Filpen KOPI



Antologi KOPI sedang dijual, maya dan fizikal.

Hirup ceritanya dalam kata-kata pahit, manis, tebal dan kelat.

Kini, tonton adaptasinya. Aku baru saja menontonnya, petang tadi sewaktu pelancaran antologi ini (yang mana tulisan aku turut serta).

Secara umum, dengan belanja yang amat rendah, gaya gerila dan pelakon "profesional" guna cawat dan bedak sendiri, kesan bunyinya, seperti sedia maklum (kerana alat penggambarannya) agak mengecewakan, ada beberapa bahagian "tak dengar" (salah Annexe?) dan aku yang agak pekak ini cuba membuka telinga aku luas-luas untuk mendengar. Pun begitu, yang lebih penting dalam wayang adalah gambarnya, dan gambar-gambar yang anak-anak muda jantan ini pilih, menggembirakan.

Kopi Tiga Rasa
Cerpen nukilan Shaz Johar ini sudah diketahui ramai, amat mengambil sisi Desperate Housewives, (yang mana mereka yang mengingati Blue Velvet dan Rebel Without A Cause akan memahami dari mana kegilaan ini datang), ini merupakan penggayaan Shaz, khusus Tabu, ini kekuatannya. Filpen ini sebuah komedi kelam (dark comedy) yang buat aku, secara dasarnya sudah cukup inti menyatakan hal "segala yang indah tak semestinya benar". Ia geli hati sekali gus menghayat. Paling mengena (menyampaikan maksud ke dada) adalah saling babak tersunting antara Datin, Dato dan anaknya di bilik masing-masing. Ini intimasi yang paling menyakitkan, dan hanya si orang gaji "luar" yang menanggungnya. Sebenarnya, dialognya begitu "pedas" dan menyindir "depan-depan" dunia masyarakat kelas atasan kita yang "hilang mencari bintang dan menjumpai binatang" dalam dunia serba material. Ini moralis, tetapi moral yang pahit manis. Adakah Shaz dan Nazri M Annuar, sang pengarahnya tokoh moralis pascamoden kita? Imej dan objek kopinya pun cukup menyindir, dari segi kenyataan "siapa untuk kopi apa" hingga kepada Tok Rimau yang kemarukkan "Kopi O kaw kaw punya". Lakonan kalangan kawan(?) pengarahnya amatur, mencuba tetapi buat aku, si Datin itu punya potensi, walaupun deruan zikir tariqat sesat "Pipiyapong"nya kedengaran canggung dan dibuat-buat. Suara merupakan pencoret kotor filem ini ke arah kesempurnaan. Bahagian akhirnya indah, menawan dan tidak ada satu hal pun perlu diubah. Sila rujuk bagaimana sisi dalam kereta sengaja gelap, dan semua sisi rumah terang (sepertimana semua isi dalam bilik putih, rujuk imej si orang gaji dari keterangan rumah menghampiri kekelaman kereta), ini kenyataan, atau momokan sosial (atau sosialis) yang berani. Kenapa ruang orang gaji itu gelap (dalam kereta)? Kerana beban yang perlu dia tanggung melihat "kebenaran" sisi keluarga atasan itu (ini kotemporari ironi yang memikat, mata vouyeur, asing seberang, menyimpan kebenaran negara jiran). "Diam"nya dia itu menyakitkannya, dan dia perlu memikulnya secara paksa. Kita tahu, si orang gaji ini tidak akan menyatakan rahsia "kebenaran keluarga disfungsi ekstrem" yang disimpannya, dan ini lebih menyakitkan, kerana masalah, atau "tragedi" ini tidak akan diselesaikan bila-bila. Inilah kegelapannya. Penggambaran bagus, sudut menarik. Suntingan tampak kemas walaupun mungkin ada yang boleh diperbaiki.

Kopi Percik
Ah, yang ini menjadi wayang kegemaran tengah hari itu (crowd pleaser) kerana plot tersusun, mainan montaj dan gerakan babak dan imej betul dan berfungsi, dan pengarahnya, Azizul Hakim tahu kuasa Esenstein terhadap cerpen (lovable ghost story) Amal Hamsan ini. Paling efektif adalah babak akhir bila imej pesanan ringkas itu dipaparkan (membawa senak di hati gitu). Walaupun para pelakonnya amatur, mereka efektif menjalankan perwatakan dan aksi, ini bantuan imej dan sudut penggambaran yang baik, khusus babak dalam tandas. Babak paling "kiut" bila seorang dalam tandas keluar dari tandas lantas menjawab salam. Anak muda kita kini amat keluar dari kotak lazim. Aku suka satu "detail" yang dipaparkan untuk lari daripada klise "filem Melayu", iaitu tiada apa-apa subteks si ibu untuk menangkap takdir anaknya selepas itu (bukan seperti kenyataan melodrama dalam Mastika, contohnya), ini membawa kepada kejutan (penonton tekun akan cepat tangkap). Penanda "kopi percik" itu juga amat menawan dan antara metafora fungsional yang bagi aku, memikat dan mengikat. Bayangkan imej ini: setiap hari dia melihat kesempurnaan empat segi warna kopi, bila mati, ia menjadi darah. Ia menjadi "darah dagingnya".

Kopi dan Dia
Aku belum baca cerpen Syaihan Syafiq ini tetapi bagi aku percubaan puitis Fikri Jermadi menarik. Ini penceritaan dengan imej "at the highest order", walaupun mula-mulanya agak canggung dan sedikit superfisial, tetapi mainan pengulangan dan pengulangan imej dan aksi membawa "berkat", membawa maksud. Buat aku, antara ketiga-tiga filpen yang ditayangkan, filpen ini yang benar-benar membawa semangat "sayu" yang mencengkam sum-sum, khusus apabila diikat dengan mainan buih-buih kopi yang mula menghilang. Filpen ini bukan untuk mencari maksud didaktik terhadap perlakuan hedonis watak lantas menghukumi, filpen ini mahu kita memasuki alam "dwi dunia" sang lelaki dan rasa sakitnya, rindunya dan kecelaruannya. Imej mainan bibir ke bibir paling berkesan buat aku, ini penting, kerana "bibir" adalah objek pertama yang menyentuh "kopi": menyentuh pengalaman dan rasa manusiawi. Rujuk babak memikat antara bibir yang bercakap, kemudian bibir tidur yang dipegang, kemudian bibir wanita yang diam. Ini yang dilihat oleh pengarah, bukan moral dan pilihan, buat aku. Sudah lama aku tak jumpa poignant sebegini dalam filpen-filpen kita.

20 March 2012

Pandangan Sinaganaga Berkenaan Bunohan

Nota: Ramai kawan bloggers yang tergamam dengan pandangan beberapa ahli akdemik dan wartawan hiburan berkenaan Bunohan (2012) dan jawpan Pak Hassan Muthalib berkenaannya ("baca teks filem," katanya). Malah ada yang masih berbincang berkenaan misteri-misteri dalam Bunohan. Buat aku, Abg Naga (Sinaganaga: http://sinaganaga.blogspot.com/) menjumpai beberapa jawapan yang akan mengejutkan orang, dna buat aku sendiri, "hands down" setuju, menguatkan lagi pemahaman mimpi Ilham, malah antara ulasan terbaik berkenaan filem ini. Tetapi seperti kata Ridhwan Saidi, semua ini berlaku dan tercipta kerana "rasa", kerana "pesona" kita kepada wayang Bunohan, maka terjadilah mimpi-mimpi. Inilah yang apa kita panggil wayang (sinema) secara esensi, dan inilah dan sepatutnya ke situlah kita berarak.

Bunohan: Sebuah ulasan yang hampir terlambat

[Saya batuk. Hampir tiga minggu lamanya. Hal yang demikian sedikit sebanyak mengganggu kehidupan saya. Ahaks!]

Visual
Sebagai karyawan yang berpengalaman dalam dunia Seni Komersial, Dain Said sejak lama dahulu telah mengunyah dan menghadam aspek-aspek Asas Seni Lukis dan Prinsip Rekaan yang harus diterapkan dalam sesebuah karya. Oleh yang demikian (yakni, isu Asas Seni Lukis dan Prinsip Rekaan untuk diterap dalam filem Bunohan) telah dulu selesai!

Sebagai karyawan seni, Dain Said tahu bila masanya dia perlu bersikap berlebih-lebih, bersikap sederhana, atau bersikap minimal dalam menangani karyanya.

Apa yang perlu Dian Said fikirkan kini: 1. cerita, 2. kausaliti, 3. dan bagaimana mahu menyilang kaitkan kesemuanya untuk mencipta suatu 'kesepaduan' yang berfungsi/berperanan. [Akan saya ulas di bahagian bawah nanti.]

Sinematografi
Charin Pengpanich tidak meletakkan subjek utamanya dalam keadaan Rules of Third atau Golden Section Rule. Charin Pengpanich (Pengarah Fotografi) (dan juga saya, barangkali mungkin) percaya bahawa Imbangan Tidak Simentri pun tidak lagi dinamik (sama sifatnya seperti Imbangan Simetri - yang sah sah berkeadaan tidak dinamik).

Lalu, Charin Pengpanich banyak meletakkan subjek utamanya pada keadaan 'tergelincir sedikit' dari garis tengah Imbangan Simetrik. Dan, kita merasakan visual Bunohan lebih 'lain' dan lebih dinamik.

Con: Adil berdiri 'tergelincir sedikit/ke kiri atau ke kanan sedikit' dari garis tengah perbingkaian babak di muka pintu bilik ayahnya, Pok Eng. Dan banyak lagi.

Kerja Kamera
Saya suka. Seperti yang saya ulaskan sejak awal tadi - karyawan filem Bunohan tahu bila mereka mahu bersikap berlebih-lebih, bersikap sederhana, atau bersikap minimal dalam menangani karya ini. Ada ketikanya kren digunakan (babak Adil dan Muski di paya/lalang), ada ketikanya steady camera digunakan (babak pergaduhan di vanue Muay Thai); kesemuanya digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian.

[Sepatah kata sahabat saya, Nizam Rahmat, 'Kita jangan jadi budak baru keluar kolej - segala font yang ada dalam komputer mereka nak bubuh dalam satu keping design, bro!' HA HA.]

Fokas Penarik
Fokas penariknya kemas dan terancang. Lebih-lebih lagi ketika babak di warong kopi.

Pemilihan Lokasi
Saya amat menggemari lokasi paya dalam filem Bunohan ini. Pantulan imejan peran-peran dan objek-objek yang berada di atasnya begitu menyihir. Begitu juga dengan kocakan dan percikan yang tercipta oleh tindakbalas daya yang dikenakan ke atasnya (ilmu fizik dah ni, pergh!).

Saya amat menyukai babak kereta buruk yang berlalu membawa Adil dan kawan-kawannya lari dari venue Muay Thai pada babak-babak awal Bunohan).

Lokasi yang paling saya suka: 1. Kapal di atas darat yang menjadi tempat tinggal Jing, 2. Venue terakhir perlawanan Muay Thai - di dua buah kapal di tepi jeti, 3. Paya dengan hujan rintik-rintik.

Muzik Latar
Sekali lagi, seperti yang saya ulaskan sejak awal lagi - karyawan filem Bunohan tahu bila mereka mahu bersikap berlebih-lebih, bersikap sederhana, atau bersikap minimal dalam menangani karya ini. Hampir keseluruhan filem ini tidak dilapisi dengan muzik latar. Jika ada pun - hanya pada beberapa babak yang terpilih: 1. Babak kereta buruk yang membawa Adil dan kawan-kawannya cabut lari melalui sebuah pemandangan yang cantik, 2. Babak Bakar di dalam kereta di persimpanan jalan, 3. Beberapa babak lain yang saya telah lupa.

Pengenalan watak
Saya suka cara setiap watak diperkenalkan kepada penonton dalam filem ini. Rujuk babak awal di kedai kopi: orang banyak sedang menonton TV: "oh, itu Pekin Ibrahim, itu ..., etc!" Nampak bijak dan 'lain' sekali.

Peran
Bunohan yang ditangani oleh ramai peran-peran yang baik dan berperanan/berfungsi.

Ilham ditangan Faizal Hussein begitu meyakinkan.
Malah, kita tak pernah melihat Faizal Hussein menekuni watak dalam filem-filem lakonan sebelumnya (Senja Merah, Bujang Selamat, Gila-Gila Remaja, dll) sebaik ini.

Adil di tangan Zahiril Adzim sebenarnya biasa-biasa sahaja. Pun begitu, ketangkasannya dalam babak-babak bertinju Muay Thai amat meyakinkan. Dan kita sukakannya.

Oleh kerana kita begitu menyukai watak yang dibawa oleh Faizal Hussein dan Zahiril Adzim - kita mungkin melupai kehebatan Pekin Ibrahim dalam menekuni watak Bakar. Di dalam dunia realiti: Pekin Ibrahim tidak seperti Bakar dan Bakar tidak seperti Pekin Ibrahim. Oleh kerana itu, saya fikir, ini kerja susah dan Pekin Ibrahim telah berjaya menekuni watak ini dengan baik sekali. Secara peribadi, saya fikir, Dain Said memang sengaja mereka bentuk watak Bakar sedemikian rupa!

Kalau saya diminta untuk memberi medal untuk ketiga-tiga adik beradik ini - saya bagi Emas untuk Faizal, Perak untuk Pekin, dan Gangsa untuk Zahiril.

Bunohan juga begitu berjaya di tangan peran-peran pembantunya: Deng (Bront Palarae), Pok Eng (Wan Hanafi Su), Muski (Amerul Affendi), Jing (Jimmy Lor), Pok Wah (Namron), Awang Sonar (Soffi Jikan). Pun begitu, Namron dan Soffi Jikan gagal untuk menguasai dialek Kelantan dengan sebaiknya - dan ini tidaklah sehingga mencacatkan Bunohan.

Yang paling memeranjatkan - Jolok (Hushairy Hussin). Siapa dia ni? Bagus betul lakonan dia!

[Saya ingin menamakan Hushairy Hussin sebagai calon untuk Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik - bersaing dengan Fauzi Nawawi 'Songlap' yang telah saya telah pilih sebelum ini].

Tengku Azura? Dia masih lagi jelita walaupun telah menjadi buaya. Jom kapel! HA HA.

Cerita
Ketika kecil, arwah Abah sering membawa saya ke panggung wayang. Antara wayang yang saya masih ingat lagi adalah The Crocodile Men (1976). Kisah manusia menjadi buaya, ha ha ha!
http://youtu.be/t7-Eb60ThCQ

[Pada ketika itu Kuantan, di tahun-tahun 70-an, memang dipenuhi dengan cerita-cerita pelik, antaranya: 1. UFO singgah di Kem Batu 10, 2. Budak kembar ular (Arwah Abah pernah menyimpan gambar bayi bermain-main dengan ular ini dahulu tetapi telah hilang dalam simpanan saya), 3. dan beberapa cerita bida'ah lagi, ha ha. Kuantan memang kota bida'ah! HA HA HA.]

Bunohan, bagi Dain Said, adalah sebuah kampung yang jika orang bersetubuh pun maka seluruh orang kampung akan mengetahuinya, apatah lagi jika berlaku hal yang besar-besar - konflik tiga beradik Ilham, Bakar, dan Adil, misalnya.

Bunohan, bagi Dain Said, sama ada dalam bentuk kata kerja atau pun kata nama khas - adalah premise filem ini. [Pergh! Ayat gua...].

Dalam Bunohan, ada beberapa cerita yang cuba digabung jalinkan Dain Said: 1. mitos buaya jadian, 2. konflik tiga beradik (termasuk dengan ayah mereka), 3. seni dan falsafah wayang kulit dan main puteri, 4. seni Muay Thai dan lawi boreng, 5. pembunuh upahan. Dan, Dain Said telah berjaya menggabungkan kesemuanya menjadi suatu kesepaduan yang sempurna.

Sebenarnya, sedutan filem Bunohan telah ditayangkan di MASKARA pada tahun lepas. Ketika itu, Dain Said datang dan saya sempat berbual-bual dengannya seketika. Daripada rupa asap rokok yang berkepul-kepul keluar dari mulutnya, saya dapat rasakan kegelisahan yang terpendam di dadanya untuk berhadapan dengan penerimaan khalayak tentang filem keduanya itu. Pekin Ibrahim dan Soffi Jikan turut hadir sama. Cuma, Tengku Azura tidak dapat hadir - entah apa sebab, mmm, ai frust yuuuu...

Selepas tayangan, Pekin Ibrahim bertanya, "Macamana, bang?" Saya cuma jawab, "Ok!" Walaupun di dalam hati saya berkata-kata, 'Bagus filem ni!'

[NOTA: Pertama kali saya berjumpa dengan Pekin Ibrahim - di lokasi pengambaran filem Apokalip arahan Mamat Khalid, berambut rasta dan datang bersalam dengan saya tanpa bercakap sepatah haram pun - mungkin ketika itu dia sedang menghafal skrip, ha ha ha].

Selepas menonton Bunohan buat kali kedua
Saya syak, ya, saya syak - Pok Eng juga buaya jadi-jadian! Amacam? HA HA.

Ya, Pok Eng dan pasangannya Mek Yah adalah buaya jadi-jadian yang telah mengambil keputusan untuk menjelma menjadi manusia dan menjalani kehidupan seperti manusia dan beranak-pinak. Ini dikuatkan lagi oleh peryataan, "Bopokmu tu boyo!" HA HA HA.

Kemudian, Mek Yah menjelma kembali menjadi buaya setelah Pok Eng mengkhianati cinta mereka apabila berkahwin dengan Mek Ani. Pun begitu, sekali sekala, dek akibat terlalu sayang dan kuatnya cinta mereka berdua - Mek Yah dalam diam-diam menjelma menjadi manusia kembali dan bersetubuh dengan Pak Eng sehingga bunting dan melahirkan anak mereka, Adil. Well, boyo samo boyo tok perlu nikoh-nikoh, rojok-rojok, sungggguh! Lagi pun, Mek Yah comey weh, hati mano dok goye! HA HA.

Dan pada babak akhir - Mek Yah menjelma kembali dan mengajak Pok Eng mengikutnya pulang ke jerumun buaya. Babak ini adalah babak 'penegas' kepada syak wasangka saya.

Apa yang menjadi 'statement' Dain Said di dalam filem ini - 'Siapa lagi ganas? Buaya ke manusia?' HA HA HA.

Amacam? Ada yang bersetuju dengan saya? HA HA.

Ramalan saya
Filem ini amat bagus. Cuma, filem ini akan kurang mendapat tempat di hati penonton yang rata-ratanya bodoh tentang seni filem. Budak-budak WISE pun belum tentu pergi menonton filem ini, ha ha ha, apatah lagi mat rempit dan minah bonceng! Mereka nak tengok Songlap dan Kongsi dan KL Menjerit saja, Baiiiii! 'Menghiburkan', katanya! Ahaks! HA HA HA.

Bintang
Saya bagi empat setengah bintang! MESTI TONTON! Kena tonton cepat-cepat - dah nak habis dah sesi tayangannya!

15 March 2012

Sedikit Nota Berkenaan Bunohan: Layar Kelir Yang Dikoyak



Nota ini ada spoiler, besar-besar, lebih khusus kepada mereka yang menghayati filem ini, dan seperti yang dinyatakan oleh beberapa ulasan, "hanya boleh dibaca oleh orang berakal". (ini amat menyedihkan, takkan segelintir penonton tidak membawa akal ke dalam panggung?)

Adapun terbahagilah penonton kepada dua bahagian apabila mula-mula menonton Bunohan. Yang memahami dan menyukainya, dan yang tidak faham dan menolaknya (sebenarnya, ada juga yang memahami tetapi tidak menyukainya, serta yang tidak faham tetapi menerimanya).

Tetapi sakitnya jiwa aku apabila membaca beberapa ulasan, yang bagi aku, dicarik jiwa, sepertimana tercariknya layar kelir yang dihiris Bakar. Tidak pernah suatu wayang (sinema) menyatakan realiti yang benar-benar berlaku, mengetahui takdirnya sendiri, sepertimana Ilham di tangan Deng, Pok Eng di tangan anaknya sendiri. Dain Said sudahpun melihat hal ini, dan filem ini menulis takdirnya sendiri dengan berani.

Ini satu hal yang amat menarik dan berlaku dalam wayang kita.

Di sini aku hendak kongsi beberapa perkara yang menjadi perbincangan menarik.

Pertama bersama Ridhwan Saidi, pengurus Bin Filem. Dalam semua misteri filem ini, hanya babak Ilham di bawah kolong mencari foto ibunya, kemudian suara mengerang orang bermain yang aku tidak tahu rumah siapa. Ridhwan menyatakan dengan senang, itu sememangnya rumah Pok Eng, ayah Ilham (Bakar dan Adil). Aku "samar" hal ini kerana aku tidak dapat menerima bagaimana Ilham boleh ambil sesuatu yang penting dan dirindui di tempat yang paling menyakitkannya, di mana Ridhwan menyatakan suara "Mek Ani dan Pok Eng bermain", bagi aku ini kontradik. Aku terlepas suatu perkara, Ilham TIDAK PERNAH jejak rumah itu, hanya di bawah kolongnya, menunjukkan bagaimana keterasingnya terhadap dia kepada ayahnya sendiri dan keluarganya (tetapi dia yang paling mengikut cara orang lama, adat zaman-berzaman). Ridhwan menyatakan, suara main Mek Ani dan Pok Englah antara motif Ilham lari dari rumah sewaktu kecil. Mula-mula aku tidak dapat menerima ini tetapi kemudian ianya "jelas" apabila "hantu" yang mengacau Ilham adalah "suara". Ruang rumah yang didengarnya suara mengerang itu penanda kenapa dia tidak akan jejak langsung ke dalam rumah itu, langsung kakinya takkan, dan hanya bermain bawah kolong (yang mungkin selepas dia lari pun, itu yang dia lakukan) sahaja yang membuat dia waras dan teringat ibunya (kisah asal yang sempurna), walaupun masih tetap menyakitkan bila mendengar suara ibu tirinya mengerang dari bawah. Hal ini pun berkait dengan penanda bagaimana "porak-peranda"nya keluarga sang partiaki Pok Eng. Mek Ani, dan kemudian Bakar melambangkan "porak-peranda" ini menusuk keluarga Pok Eng.

(kemas kini terbaharu, ramai yang menyatakan, adegan awal, Ilham membuka peti itu dan menjumpai foto ibunya merupakan rumah Jing, sewaktu dia jalan keluar kolong kita dengar Jing bermain dengan isterinya. Adegan kedua Ilham di bawah kolong, mengambil foto yang "seakan-akan" sama dengan foto dalam album dilihat Adil merupakan rumah Pok Eng. Ilham bawah rumah memberi perlambangan Ilham ialah "buaya" yang tidak naik ke rumah, sedari atau tidak, Ilham tidak pun naik ke rumah Jing, hanya bot Jing.)

Berkenaan "porak-peranda" atau caca-merba ini satu hal yang lagi satu perkara yang menarik. Hal ini aku dapat daripada seorang rakan Kelantan yang amat mendekati Main Peteri dan Wayang Kulit.

Budak dalam filem ini dia katakan adalah Budak Seri Panggung/Budak Seri Mannam, sejenis "makhluk ghaib" semacam budak yang berfungsi untuk buat orang leka dan melekat menonton Wayang Kulit ataupun Main Peteri. Ini dinyatakan bila budak itu bercakap mahu "bermain sama" Pok Eng bila wayangnya dibuka. Dalam memahami ini, kaitkanlah pula Budak Seri Panggung ini dengan filem, apakah intepretasi lambang benda ini terhadap industri perfileman?

Antara babak paling menggoncang jiwa aku dalam filem ini adalah monolog panjang Mek Yah yang tampak seperti melepaskan luahan kasih-sayang rindunya terhadap Pok Eng, dilambangkan kepada Budak Seri Panggung tadi. Kawan aku menyatakan hal yang menarik, memandangkan Mek Yah "tukang Main Peteri", dia sebenarnya mempunyai perjanjian, suatu amanat bersama Pok Eng, suatu hal yang biasa bagi adat orang bermain ritual ini, yang mana Pok Eng "telah" memporak-perandakan apabila "melepaskan" Mek Yah dan memasukkan Mek Ani ke dalam "rumah"nya sehingga Mek Yah terpaksa bawa diri di sebuah rumah tepi laut (yang mana Ilham kembali sewaktu sampai, bagi mereka yang tidak faham mengapa Ilham tidak cari Adil tetapi ke rumah ibunya dulu, rujuk babak Ilham bersama kawan Cinanya, Jing, apakah imej atau adegan yang berlaku sewaktu dia di situ?) Mek Yah perlu kembali kerana itu, perlu "main peteri" bersama Pok Eng untuk mengubat semangat caca-merba yang berlaku terhadap Pok Eng (boleh dilihat dengan bagaimana Pok Eng "diubat" oleh Bakar, dan ketidaktentuan duduk dan lamunnya). Kerana itu Ilham kembali membawa mayat itu ke pantai. Inilah signifikan pentingnya. Ini digambarkan dengan jelas terhadap mimpi yang dia dapat (bangkai buaya adalah dirinya, bila dia selesai menjalankan tugas mengembalikan tulang-temulang itu, dia akan mati). Selepas Ilham matilah, roh keramat Mek Yah boleh kembali menemui Pok Eng, memujuknya untuk melakukan ritual buat kali terakhir, untuk memulih keluarga Pok Eng, yang sebenarnya "memulih" masyarakat, pentas politik, industri filem itu sendiri.

Tetapi ritual Pok Eng tidak selesai, malah dicucuk. Layar putih dicarik (ini suatu kerja paling kurang-ajar). Sudah terlambat. Ini tragedi yang paling menghayat dan menghiris jiwa aku.

"Bagaimana boleh jadi macam ni?"

Tetapi babak akhir masih memberi harapan. Walaupun sudah tak ramai yang hendak "main peteri" sebab ramai yang sudah meninggal (tokoh politik yang jujur bersih, pembikin filem yang jujur, anak watan yang luhur), dua watak itu berdiskusi memberi "pengakhiran terbuka" disambut oleh Pak Woh, warisan didik adat Mek Yah (anak murid Mek Yah), mereka adalah harapan tanah (negara/industri) ini. Sekarang persoalannya, kita mahu "ikut serta" memulihkan keluarga ini, tanah ini, atau kita masih tunduk di bawah pengaruh dan tipu daya Bakar dan ibunya?

Tetapi nampaknya, secara pesimis, masih jelas kelihatan, kita lebih senang mencarik layar kelir bukan?

"Dah terlambat..."

ps: Husyairi Husin sepatutnya menang "Pelakon Harapan Terbaik" tahun ini di FFM, jika Akmal Abdullah dan rakan-rakan juri lain betul-betul peka dan tahu mencuci dosa lalu mereka terhadap apa yang mereka buat pada FFM. Buat aku, lakonan watak Jing juga amat berkuasa, walaupun Husyairi sebagai Jolok amat menyerlah.

05 March 2012

Melihat Kembali "Bahasa" dalam Filem

Baru-baru ini aku lepak dengan kawan aku, Lutfi. Kita bercakap fasal filem. Baginya, melihat kepada daulat Dasar Kebudayaan Kebangsaan, mahu tidak mahu, bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan Malaysia itu perlu diangkat di dalam filem bagi melafas definisi sebenar "filem kebangsaan" - bermakna sesebuah filem diidentifikasikan dengan "bahasa cakapannya". Ada kebenaran dan ada persoalan.

Kita bertelagah. Dua filem disebut, Gandhi, Slumdog Millionaire, kedua-duanya lebih kepada filem UK/Amerika daripada filem India - penggunaan bahasa.

Aku memberi satu bukti pascamoden yang menggegar - The Artist yang baru-baru ini menang Filem Terbaik Anugerah Academy (yang dibenci Ku Seman) merupakan sebuah filem Peranchis, walaupun dibikin di pentas Hollywood Los Angeles dan "berbahasa Inggeris".

Persoalan ini berbangkit atas kerana penolakan sekumpulan/majoriti(?) Malaysia (khusus Melayu?) terhadap kebangkitan beberapa filem berbahasa "bukan Melayu" yang pernah dicuba oleh Hafsham dalam Mekanik, lantas wujud oleh pembikin generasi muda sekarang dalam bahasa Inggeris, Cina (pelbagai dialek), Tamil, dan seterusnya dialek Sarawak/Sabahan (dialek Sabah/Sarawak kiranya terus diiktiraf filem kebangsaan, mengikut Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang mengiktiraf budaya bumiputera yang positif, ini termasuk filem dialek negeri di semenanjung). Kebanyakannya "menolak" percakapan "yang bukan Melayu" lantas menganggap cakap rojak itu "bukan filem kebangsaan". Ini diperakukan sendiri oleh Dato' Jins Shamsuddin dalam kertas kerjanya "Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Perutusan dalam Bidang Perfileman" (Prosiding Konvensyen Bahasa Kebangsaan 2001, 2004, DBP).

Aku menolak hal-hal ini dalam beberapa perkara, jika kita mengambil "karya itu cerminan realiti masyarakat". Mahu atau tidak, negara ini sudah terbentuk pecahan kaum yang hidup dan wujud "dalam kaum itu" sendiri, seperti yang dibayangkan dalam filem-filem arwah Yasmin (dan kini ramai yang memanggilnya utopia, khusus Gubra). Aku langsung tidak menyalahakn Kak Min, atau Ho Yu Hang, atau James Lee yang menyatakan filem dengan "bahasa" yang mereka tahu, kerana kewujudan realitinya begitu, mereka hanya "mencorakkan", walaupun wujud beberapa penonton yang menuduh mereka "beragenda".

Aku senang. Jika benar mahu jujur untuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan lantas melakar "filem kebangsaan" sepertimana Tegur Karya yang Cina-Indonesia yang lebih "Indonesia" daripada bumiputera Indonesia itu sendiri dalam bidang filem, matikan semua bentuk sekolah jenis kebangsaan yang meletakkan bahasa ibunda sebagai bahasa komunikasi sekolah, dan cepat wujudkan bahasa Melayu sebagai bahasa semua sekolah, dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, lantas bahasa Cina/India/Arab/Hindi/Sikh/dll. sebagai bahasa ketiga sepertimana yang dijalankan di mana-mana negara membangun. Ini adalah kerana, masih wujud di Malaysia, segolongan manusia yang seakan wujud "diaspora tersendiri" yang kita masih soal, boleh wujudkah interaksi? Aku gembira jika "ya", tetapi jika tidak mahu atas nama pelbagai bahasa itu? Dasar Kebudyaan Kebangsaan, Perkara 152 sudah ada. Kenapakah ia masih susah menyatukan kaum yang pelbagai? Aku pernah dengan seorang kawan menyatakan, "mereka mahukan hak yang sama, boleh, kita boleh beri, tetapi mereka mestilah dulu mempraktikkan apa itu selayaknya sebagai warga Malaysia."

Mahu tidak mahu, apa itu selayaknya warga Malaysia adalah mengikut dasar dan akta perlembagaan yang sudah termaktub. Mahu tidak mahu, bahasa Melayu tetap bahasa utama yang sepatutnya digunakan. Berapa ramaikah yang menjulangnya, berapa ramaikah yang jujur menggunakannya sepertimana orang Peranchis, Inggeris, Jerman, Korea, China, Jepun, Thailand dan pelbagai negara bangsa terhadap bahasa mereka?

Itu sebagai persoalan pokok/dasar.

Tetapi sebagai persoalan filem. Maaf. Bahasa "utama" dalam filem, mahu tidak mahu adalah imej filem itu sendiri. Inilah yang dipanggil "nahu bahasa", imej demi imej yang bergerak, susunan, sudut komposisinya, letak watak, struktur cerita. Semua itu "bahasa filem" yang sebenar, BUKAN "bahasa percakapan" yang disalah ertikan oleh Jins Shamsuddin dan ramai bahasawan dan pejuang bahasa.

Apa yang lagi hipokrit adalah, tanyalah Jins Shamsudin, apabila dia membikin filem Bukit Kepong, apakah bila dia mula penggambaran dia melaung "Action", atau "Aksi/Mula/Gerak"? Inilah masalah kita yang kita sepatutnya masih menyoal jika kita punya "industri" atau "wayang" sendiri apabila masih meminjam pakai bahasa bekas kolonial kita dalam bidang ini. Rujuklah industri hebat seperti Rusia, apakah bahasa "filem" yang mereka guna sewaktu penggambaran, rujuk industri Jepun ataupun Korea yang walaupun meminjam tetapi "menjepun/korea"kan istilah-istilah penggambaran tersebut.

Inilah masalah dasar yang harus diubah (mohon diteliti wahai anak muda Aswara, UiTM dan USM kini) dan dihadam. Rujuklah arwah Pak Anuar Nor Arai sekalipun, istilah apa yang beliau gunakan? Rujuk novel Jukstposisi Hizairi Othman dan anda akan faham.

Buat hal membelenggu ini, dua orang tokoh sudah mula (dan lama) memperkenalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai ganti bahasa perfileman, Mansor Puteh (rujuk buku istilah filemnya, terbitan DBP) dan Faisal Tehrani. Jika kita benar-benar mahu mengubah "bahasa", "falsafah" dan kemahuan kita dalam bentuk yang lebih "kita", patut diubah dahulu bahasa yang menggerakkan penyatuan ciptaan keindahan itu. Jika kita "takut" dengan bahasa sendiri, tak sudah cakap fasal transformasi.

03 March 2012

Adnan Sempit 2(2012)



Pendek kata:
Kenapa nak bikin sebuah lagi yang dulunya dah klasik dan kultus?

Kau ingat dunia pemasaran bebas ni bagai lembu betina bersusu gemuk yang senang kau picit putingnya tanpa cara dan rangka yang betul?

Aku menangis kerana wayang kita yang entah ke mana-mana.

Tolonglah para pembikin, berhenti jadi kapitalis, dan duduk berfikir untuk anak bangsa seketika.

Inilah kali terakhir aku tonton filem romcom Melayu sebegini.

Titik.

01 March 2012

Tuhan, Terima Kasih demi Bunohan(2012)


Bunohan sebuah keajaiban wayang (cinema) Malaysia.

Filem ini mungkin sesuai bagi penggemar David Lynch, mahupun Tran Anh Hung, begitupun Alejandro Jodorowsky ataupun Luis Buñuel. Tetapi itu tidak mengapa. Aku selalu berminat melihat bagaimana realisme magis kita (yang aku panggil realisme haqiqat selepas membaca cerpen-cerpen SM Zakir, khusus 20 Cerita Tentang Tuhan) dipapar di layar. Pengarah lama kita membikinnya dengan salutan hikayat dan panji, Rahim Razali dalam Tsu Feh Sofiah dan Puteri, Adman Salleh dalam Bintang Malam dan Amuk, dan pernah Suhaimi Baba dalam babak pendek "tiba-tiba" dalam Selubung. Ada kalanya serpihan ajaib ini menjadi, kadang-kala tampak "penyendal". Tidak pernah menusuk hidup.

Di dalam Bunohan, ia hidup, bernafas, dan berkata-kata.

Inilah risiko yang diambil oleh Dain Said, seorang "dari luar" (seorang anak diplomat yang lama di perantauan Barat) yang masuk ke "dalam". Dan dalamnya dia pergi untuk melakar kuasa dan kata sebalik "main peteri", "wayang kulit", "buaya jadian" dan "hantu budak".

Sepatutnya filem ini tidak susah, kerana mitos dan penjelmaan yang wujud sudah sebati dan kenal oleh alam Melayu, mistik dan saktinya, rawat dan manteranya, jin dan syaitannya. Yang hanya perlu adalah penonton Melayu itu duduk, selam, rasa dan - fikir. Itu sahaja permintaan filem ini yang berselirat tetapi senang dengan plot yang ternukil teratur.

Pembukaannya sendiri mungkin mengejutkan orang, tetapi sebenarnya mengkagumkan, walaupun mungkin mengganggu "otak lesu" penonton bodoh. Buat aku, genius yang menyakitkan (dan hanya boleh dilakukan oleh nama-nama besar di atas tadi). Mungkin kerana alusi demi alusi yang tersusun tapi terperuk semuanya dalam satu mis en scene. Ini memerlukan tontonan berkali-kali dan sepatutnya pun (biar untung filem ni!) Ini sendiri alusi sebuah "mainan wayang" yang diminta untuk ditonton berkali-kali, seperti mana kita menunggu si dalang wayang setiap hari mengisahkan cerita demi cerita (kisah yang sama tetapi penceritaannya berbeza setiap hari). Kisah tentang apa? Kisah "kita". Kita di sini diwakili kedai kopi (orang biasa, orang kampung, orang kebanyakan) dalam gelap. Ada peti telivisyen, kotak bongok bercahaya (lihat Dain menyindir halus!) menggantikan tirai kelir, lantas ia seharusnya "senang" dikunyah penonton kebanyakan. Lantas kita masuk ke dalam layar tv. Samudera dan tanah putih terbentang. Ini latar filem ini. Suatu adegan sedang berlaku. Tiga gerakan, sepertimana berlaku di atas tirai putih kelir cahaya putih. Sang kapitalis berjalan. Orang kampung yang tidak tahu apa-apa, dan budak yang terjumpa mayat. Layar kelir terpotong. Budak berlari. Hati terhiris. Alam sakit.

Inilah puisi yang dimainkan Dain Said. Filem ini dimohon tonton dengan mata yang sebegitu untuk mencerna rasa surreal dan halus alam Melayunya. Semangatnya senang dan sarjagat, suara tamak, rakus (berahi) dan manipulatif ditentang suara keberanian, ganas, lurus dan pencarian warisan/fitrah /jati (pencarian ibu). Ini dsimbolkan dengan tragedi Shakespeare milik Pekin Ibrahim sebagai Bakar yang punya sisi hitam, Faizal Hussein sebagai Ilham yang hidup mati untuk membunuh, tetapi punya jiwa mistis dan cinta dalam berkenaan rahsia ibunya, dan si romantis Adil lakonan Zahiril Adzim. Ketiga-tiganya dipecahkan daripada sebuah keluarga disfungsi milik seorang patriakh yang memegang keseimbangan alam dalam tangannya, patung-patung wayang kulit itu (lakonan berkesan Wan Hanafi Su). Ia bermula dengan pencarian untuk membunuh. Tetapi plot mula tersentak ditengah-tengah, diikat kuat dengan konflik yang menakutkan lagi, berkenaan saudara seibu (tipikal dalam genre melodrama tetapi langsung tidak digeli-gelaman dalam filem ini), dan lagi menyakitkan, abang sebapa yang akan menghancurkan semuanya, talian darah, nyawa, dan alam.

Aku menyukai kebebasan dan ketelitian Dain Said bermain dengan pentas "drama" ini, yang boleh sahaja menjadi pemahaman mata kritisnya terhadap sikap fatalis politik kita (tiga parti Melayu berpecah?), mungkin juga telatah budaya masyarakat kita, dan lebih baik daripada itu, fenomena sinema kita itu sendiri.

Setiap orang akan mengambil sesuatu daripada itu. Itu pandangan aku.

Aku menyayangi kompleksiti dan ironi watak dan perwatakan Faizal Hussein dalam filem ini. Diam tetapi mencengkam. Dia seorang pembunuh upahan yang perlu mendepani adik tirinya sendiri sebagai mayat. Mula-mula dia tidak endah. Tetapi "alam" yang dia tinggalkan menghantuinya, bermula dengan mengetahui komplot yang dilakukan terhadap tanah arwah ibunya (dilakukan oleh adiknya, Bakar atas dasar pembangunan kapitalis). Ah, ini satu pathos yang menarik. Si pembunuh yang melihat maut di sekelilingnya merindui ibu yang sudah lama "mati" (di sini, ia tidak diceritakan dengan jelas sebagai mewujudkan suatu kaitan watak si ibu sebagai "keramat" atau "sumpahan", sesuatu yang amat dekat dengan orang Melayu, walaupun hal ini mungkin dibenci oleh golongan Persuratan Baru). Dia mencari "mayat" ibu, lantas wujud kefahaman manusiawi bagi mayat-mayat yang dibuang di paya (supaya roh ibunya tenteram kembali). Orang yang tidak faham akan melihat kerja ini sia-sia, tetapi Ilham lebih melangkaui pengetahuan cetek. Ini sulaman rahsia yang terikat dengan warisan, adat dan alam, hal yang sudah dileceh-lecehkan oleh modenis dan kapitalis sang mudawan Bakar/Pekin Ibrahim. Ini peperangan diam Ilham. Ini yang menggugah jiwa aku.

Ada dialog Kelantan yang indah-indah, asli dan hidup. Wujud kelakarnya yang menyindir (dark humour). Buat yang tidak faham kecek Kelate, baca sari kata Inggeris bukan Melayu (kerana diterjemah terlalu literal). Skrip ini antara skrip terbaik tahun ini.

Segala teknik filem ini adalah tahap dunia. Khusus Charin Pengpanich sebagai pengarah fotografi yang melakar dengan betul semangat luas, dalam dan mistik alam Bunohan. Runut bunyinya indah menawan, gesek dan alunan Kelantan/Siam ciptaan Tan Yan Wei. Solekan, kostum, rekabentuk, semuanya teliti dan bernafas, alamnya menjadi dan hidup, tidak pernah sebaik ini dalam filem Malaysia. Hanya aku merasakan suntingan filem ini boleh diperelokkan lagi, khusus babak pertarungan yang amat memerlukan gerak pantas dan tangkapan wayang yang memberahi semangat tarung tomoi. Ini mungkin kerana Dain lebih teliti dalam tangkapan senyap dan drama cerita, bukan kareografi yang dilakukan para kareograf tomoi.

Ada beberapa babak yang mungkin membuat penonton biasa bingit, sepertimana mereka bingit terhadap Songlap (mereka tidak tahu wujud babak melancap dalam teksi, contohnya). Contohnya selang-seli Adil selinap masuk rumah (seperti hantu) dan Adil yang menjerit di luar tingkap sedang ayahnya tidak peduli (hal ini ada justifikasi jika diteliti oleh penonton). Hal-hal eksentrik seakan tidak "real" ini harus wujud dan hanya wujud dalam alam Bunohan, dan hal ini perlu dingerti.

Aku ingin menyatakan lebih banyak lagi, tetapi jika aku kata lebih banyak lagi, akan terbukalah plot cerita, akan terlerailah kisah dan jawapan akhir filem, dan itu tidak cocok bagi aku kerana filem sebegini harus dialami sendiri untuk diresap imej-imejnya, suara-suaranya, warna-warnanya. Mistiknya akan mengalun ke dalam bagai misteri malam kepada yang mahu mencari, dan inilah sepatutnya.

Bunohan sebuah filem yang wajib ditonton, bukan sahaja seru-takjub pengalaman menontonnya, tetapi merupakan antara filem wayang Malaysia yang menzahirkan kembali kewujudan wayang Malaysia di mata dunia. Antara filem terbaik Malaysia tahun ini, dan setakat ini, menjuarai.

klasifikasi: PG-13/18(tidak diketahui), ada beberapa adegan ganas tomoi, pembunuhan dengan pancutan darah (walaupun nampak macam CGI), babak separa lelaki telanjang dan satu babak seks tanpa paparan imej yang mungkin tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak.