
Mengenali pencetus dan pengarah filem ini, Nizam Zakaria, aku sudah boleh agak dan kenal dengan perjuangan dan gayanya. Jikalau korang baca e-novelnya (baca tak?) Halimunan, korang akan sedar psikosis Nizam terhadap "imaginary friends" atau watak-watak "berwarna" yang "mempengaruhi" pengalaman dan perjalanan watak protagonis. Tengok sahaja Radio Gaga dengan kucing bercakap, Ponti Anak Remaja dengan puntianak, Gaia dengan hantu Zizan si "pendamping". Teliti hal ini dengan penguin di dalam Mr. Popper's Penguins, askar mainan dalam Small Soldiers, mogwi dan gremlins dalam The Gremlins. Adakah korang ingat, semua "watak warna-warni" ini diletakkan saja-saja "untuk mencuit pasaran kanak-kanak"? Dalam Mr. Popper's Penguins pun, penguin itu bukan sahaja berfungsi sebagai mesin penggerak plot, tetapi filem tipikal Hollywood itu merupakan representasi separa sedar Jim Carrey di dalam filem itu (dan ini sebuah filem PG!) Watak-watak "representasi" ini disengajakan, bukan sahaja sebagai memaparkan dinamisme perwatakan pelakon utama, tetapi pergolakan, naik turun semangat, kadang-kadang berbentuk psikologikal, kadang-kadang, seksual terhadap watak.
Di dalam filem ini, watak Nico (suara Zizan) dan dua kawan-kawan kura-kuranya merupakan "pencerita", korus Yunani (Greek Chorus), representasi "semangat" yang berbentuk implisit dan juga eksplisit (dan turut "berhubung" secara sengaja dan tidak sengaja terhadap watak manusia) terhadap semangat remaja dua watak utama filem ini, Tiz Zaquyah dan Aeril Zafrel.
Ya, ini sebuah filem senang berkenaan perhubungan cinta yang cuba dijalin antara Tiz dan Aeril. Tetapi, dengan penampilan "kura-kura" ini, Nizam dapat menjelajah pelbagai tema yang turut melibatkan perkembangan dan pengaruh dalam hidup remaja, jati diri mereka, emosi mereka, seksual mereka, psikologi mereka, impian mereka, dan sudah tentu cinta mereka. Ini adalah semangat-semangat manusiawi yang cuba disentuh oleh Nizam, menampilkan semangat seorang remaja yang seadanya, dan sepatutnya. Satu garisan halus antara realiti dan fantasi dimainkan, yang turut berkait dengan realiti hakiki di bumi nyata dan "angan-angan" yang ingin dicapai oleh mana-mana remaja. Ini, disampaikan dan diwakilkan dengan simbolisme yang baik sekali dengan kemunculan Nico, si kura-kura milik Tiz yang boleh bercakap (kura-kura boleh bercakap itu representasi alam "imaginasi" tetapi sebenarnya "realiti" yang benar, di sini, kita sedari Nizam menyatakan, "imaginasi" boleh dicapai jika seorang remaja itu yakin dan percaya teguh

Hal simbolisme separa sedar ini juga dimainkan dengan imej-imej kura-kura dan arnab (rujuk kisah Aesop tersebut), yang mana disampaikan dengan makna cita-cita dan cinta Tiz dan Aeril. Tetapi tema terbesar yang tersingkap antara Tiz, Aeril dan kura-kura tersebut adalah keinginan remaja untuk mengekspresi diri mereka sejujur-jujurnya. Inilah "underlying message" terpenting filem ini. Mereka, remaja, sepatutnya percaya pada diri mereka dan cita-cita mereka, seksualiti mereka, cinta mereka. Hanya mereka yang kenal dengan diri mereka, atau kemungkinan mereka memerlukan "bimbingan" untuk itu (dengan berkawan= sosial).
Filem ini dibawakan dengan baik oleh Tiz Zaqiyah. Aku terkejut dengan penampilan keremajaannya yang jauh lari daripada kematangannya dalam Nur Kasih. She is just right for her role. Aeril memerlukan bimbingan yang lebih, tetapi dalam beberapa babak dan momen, aku begitu kagum dengan penampilan dan kejujurannya sebagai seorang mamat yang "slow" dan "blur" terhadap cinta di depan mata (juga representasi "kura-kura" tersebut, yang mana secara simbolisme, kita memahami "mengapa" Tiz amat menyayangi "kura-kura" perliharaannya). Aku turut terkejut dengan penampilan Bob AF buat pertama kali(?) dalam filem. Dia mempunyai satu watak yang kuit (dan sebenarnya susah untuk dibawa) sebagai seorang abang penyayang, lembut, alim yang dipaksa menukar "penampilan"nya dari nasyid ke rock(!), walaupun hal ini tidak diperkembangkan sepenuhnya. Filem ini juga amat dibantu dengan suara komikal lawak Zizan dan Yusop Wilcha menghidupkan watak kura-kura CGI dalam filem ini.
Ada beberapa hal yang sedikit "kureng" mencacatkan filem pertama Nizam. CGI filem ini, walaupun berjaya dalam beberapa tempat, masih boleh diperbaiki dalam beberapa tempat (walaupun ada fluiditi terhadap kemunculannya). Suntingan suara bagi aku adalah masalah terbesar filem ini. Turut runut bunyi yang melatar filem ini (tetapi bukan sedutan lagu yang dimainkan, sebagai homaj terhadap Roxana Cinta 87 dan Kembara Seniman Jalanan Nasir Jani yang mengalun dengan baik dan berfungsi. Baca: ini berkait dengan semangat "anak muda" zaman itu yang jujur, semangat dan berahi mereka). Malah beberapa syot dalam filem ini boleh sahaja diberikan sedikit "kerajinan" dan kesinambungan yang lebih mengikat. Ini amat tampak dalam kelemahan suntingan terhadap aksi pada klimaks (all hell break loose) filem in.
Ahh, kemudian ada kemunculan unsur warna hijau merah ala Amelie yang aku tahu disengajakan oleh Nizam. Bukan sahaja sebagai homaj, warna-warna tersebut menampilkan rasa cinta yang sebenar (baca: harmoni/kesempurnaan/keseimbangan, rujuk mengapa Jean-Pierre Jeunet memilih warna-warna tersebut dalam filemnya). Pemilihan warna kuat ini juga memunculkan filem ini seakan dunia yang "highten the sense of innoncence of the youth" , yang juga berkait kuat dengan pemahaman imaginasi/fantasi golongan remaja. Ada beberapa dialog yang "nakal" yang turut dimuatkan oleh Nizam, menampilkan wit Nizam untuk bermain dengan sifat main-main, seksual, politik tidak serius dan melihat dengan senyuman dunia anak muda yang membesar dan menimbang persekitarannya dengan semangat tinggi dan berahi yang penuh strawberi. Sebuah percubaan pertama yang comel. Dan sudah tentu, suatu perjalanan permulaan yang menarik buat pengarah muda Nizam Zakaria.