27 July 2011

Hanna(2011): Simfoni Aksi, Individualisme, dan Keindahan Manusiawi

Filem ini merupakan antara filem terbaik tahun ini. Mungkin belumlah lagi boleh dikatakan "filem terbaik", tetapi sememangnya antara yang amat memuaskan dari segi viskeral dan kuasa sinematik.

Plotnya mudah. Kaitkannya dengan plot balas dendam dan mitos kotak pandora. Pemain utamanya adalah Cate Blanchet (yang hebat), Eric Bana (yang mengkagumkan) dan, Saoirse Ronan sebagai Hanna yang membawa filem ini dengan penuh bergaya dan indah. Aku teringat emosi dan "innocentness" awal-awal kemunculan Natalie Portman dalam Leon. Saoirse telah dilatih oleh "ayah"nya, Eric Bana untuk membalas dendam ke atas kematian ibunya, Johanna, dari tangan "ahli sihir", Cate Blanchet. Hanna, di"bangunkan" sebagai seorang "mesin balas dendam" dengan perangkap usia masih membaca Brother's Grimm Fairy Tale, dan itu sahaja. Tetapi Eric Bana terlupa, bahawa Hanna bukanlah "mesin" seperti mana yang kita akan tahu, atas apa kelahirannya (dan buat perkara-perkara yang mengkagumkan kita) tetapi seorang "manusia" juga seperti kita yang sepatutnya diberi "rasa" dan "pengalaman" hidup, inilah yang mengguluti kita untuk meneruskan perjalanan bersama Hanna, melihatnya merasai "dunia", membesar selepas keluar dari lubang yang selama ini memerangkapnya. Konflik yang tercipta ini sungguh memaut!

Inilah kekuatan imej dan sinema filem ini. Aku teringat akan Stanley Kubrick yang begitu mengambil ketelitian layar keseluruhan (setiap gambar seperti catan seni), ini dibantu dengan tempo sunting yang betul, seakan satu okestra yang tersusun indah. Keadaan latar yang luas inilah yang akan memaut hati kita untuk melihat Hanna "membesar" dalam dunia yang tidak dia ketahui. Berkait pula dengan "fantasi" yang diprogramkan terhadapnya (juga kita), baik yang dia sudah tahu (dia dimaklum dia datang dari mana, siapa kawannya) dan dia tidak tahu (dunia, yang sedikit demi sedikit, dari realisme, menghala ke fantasi, lantas kembali ke buku yang dia baca sejak kecil iaitu taman Brother's Grimm di Jerman).

Kita akan merasai gaya biasa William Friedkin dan terutamanya Fellini apabila mengambil semangat manusia sekitar, dengan kamera tangan mengambil "mata" Hanna mengenali "orang" di Morroco buat pertama kali. Kita teringat seakan Hanna benar-benar memasuki "wonderland". Kanvas yang dilukis, yang selalunya tepat, besar dan seimbang, makin lama, makin lama menjadi kecil, gelap, tidak teratur, dan menuju ke satu titik. Pada waktu ini, kita memahami Hanna sudah tidak sanggup lagi hidup dalam dunia "dongengan" yang diciptakan untuknya.

Jalan cerita filem ini indah. Rasa aksi, sai-fai, pengembaraan, romantik, komedi manusia, ngeri, seram, dan sudah tentunya kemanusiaan. Akhir filem ini, walaupun sepatutnya sempurna, agak janggal dan terasa "huru-hara" buat aku (nampak sangat pengarah nak cepat-cepat habiskan pengakhirannya), tetapi ia tetap tersusun indah.

Keindahan filem ini juga dikuatkan lagi dengan runut bunyi The Chemical Brothers yang begitu benar kepada bentuk "sinema" yang diperlukan terhadap Hanna, penting lagi terhadap dia "menegnali dunia". Daripada bisu dan suara "alam", ia sedikit demi sedikit berkresendo kepada pelbagai bunyi budaya dan sentuhan (rujuk satu babak di mana MUZIK juga menakutkan), melengkapi makna filem ini dalam "mengenali kebenaran manusia" atau seadanya manusia.

Dua perkara yang aku teliti dan aku suka terhadap filem ini. Ada satu babak Hanna mendengar suara orang mengaji Al-Quran, lantas waktu itu Hanna mengingati kata ayahnya tentang muzik (menyentuh jiwa dan perasaan, satu hal lagi filem ini turut menafikan orang Islam sebagai musuh Barat, walaupun menjadi MANGSA mereka). Kedua adalah "in joke" yang mana pelakon Olivia Williams sebagai Rachel mengatakan kepada Hanna bahawa dia tidak suka memakai "solekan" kerana orang bersolek itu nampak "menipu". Walaupun petanda ini jelas bahawa Hanna bersama orang-orang "jujur", kita juga faham kemungkinan bajet solekan hanya tertumpu kepada si penipu jahat Cate Blanchet (haha, adijahat filem ini orang Amerika!).

Ini sebuah filem yang mesti ditonton di pawagam untuk memakan keindahan sinema yang bukan selalu boleh dilihat lagi sebegini.

ps: Dengan memasuki filem ini lagi, kita akan mendapat jawapan pelbagai perkara yang membuatkan motivasi ebebrapa watak filem ini melakukan apa yang mereka lakukan.



25 July 2011

Kak Nab Tak Suka Pembikin Filem Tak Jejak Bumi

Assalamualaikum dan Salam Satu Bantal Kak Nab ucapkan kepada semua. Kenapa Kak Nab malam ini bercakap fasal bantal? Sebab Kak Nab sekarang sedang sedap-sedap berguling atas katil sambil melihat suami Kak Nab menghabiskan wiridnya selepas solat fardu. Iyelah, selalunya suami Kak Nab ni gelojoh, selepas solat terus nak buat. Mujurlah siri televisyen kita sekarang sibuk tayang drama bekas-bekas artis masuk kelab disko tiba-tiba berpurdah dan bertudung hitam dan bercinta sambil jenguk padang pasir. Alhamdulillah, suami Kak Nab pun ikut terleka dengan propa makruf ni lalu sekarang mengetip tasbihnya dengan sabar. Dapatlah Kak Nab meneruskan senaman cakar rimau Zambia tanpa halangan. Kak Nab perlulah berterima kasih kepada Erma Fatima dan rakan-rakan seperjuangan.

Kali ni Kak Nab bercerita sedikit tentang berita yang Kak Nab dengar. Iyelah, ini bukan mengumpat bila cerita ni Kak Nab dengar first hand dan sumbernya insya-Allah non-fitnah compliant. Adalah, kawan Kak Nab ni yang bekerja di sebuah syarikat percetakan yang orang Bersih mual sangatkan tu tapi selalu mereka sibuk nak telaah untuk saman. Kawan Kak Nab tu kira diberi mandatlah untuk mengulas filem, dan selalunya filem-filem tempatanlah yang dia pilih untuk mengulas. Bagi Kak Nab, ulasan filem kawan Kak Nab tu OKlah, adil dan saksama bila mengulas, tak macam Kak Nab. Kalau Kak Nab tak suka filem tu, Kak Nab kata sampah, jamban, jijik tahap sebilik dengan chimpanzee kalau Kak Nab tak suka. Dia pula OK, siap bagi nasihat-nasihat yang bernas dan teguran-terguran ala-ala muluk bunyinya. Tetapi, adalah seorang pengarah ni, buat filem hantu tak laku, alah, separa kaki dah jejak plot filem seram Hollywood yang Kak Nab dah serik nak menontonnya. Kawan Kak Nab ni pun ulaslah filem tu, apa yang betulnya, apa yang salahnya filem tu. Kalian tahu? Pengarahnya, yang tak reti malu, pegi telefon kawan Kak Nab tu, sampai ugut-ugut nak pukul, nak bunuh, siap kata dia kena minta permisi dahulu untuk mengulas filemnya, kena tanya dia dulu sebelum menulis. Eh, Kak Nab keliru, bila pulak dalam dunia mengkritik filem ni, perlukan keizinan "wajib siar" daripada pembikin filem? Mereka ni tahu ke makna apresisasi filem, perbincangan filem? Kak Nab yang tak belajar penuh pun tahu hak Kak Nab untuk menyukai dan membenci satu-satu filem, kenapa pula penerbit dan pengarah tu nak mengamuk tak tentu fasal?

Geli dan kelakarlah Kak Nab dengar cerita tu. Macam gangster pula pengarah tu, tak profesional langsung. Macam zaman sekolah kecik-kecik dululah. Kawan keji lukisan kita, hah, kita pun sibuk nak mengadu mak ayah supaya mak ayah kita ugut kawan kita tu. Kak Nab tengok, sindrom "takut dikritik" ni bukan baru, dah sampai tahap budaya nasional pun, malah macam hal biasa dalam kalangan ahli politik kita. Tak mengaku pula tu kalau buruk, salah, hodoh, itu yang Kak Nab tak faham tu. Buat dek aje. Kalau Rosmah beli cincin 24 juta, mengaku ajelah beli, tak usahlah diam-diam, malulah kat orang, lagi dikeji buat tak peduli. Iyelah, dah nama lubuk rezeki pun PERMATA. Samalah dengan Che Nuar yang tak tahu zaman senjanya. Nak lagi tebuk depan dan belakang. Tak tahunya, orang dah naik muak. Sanggup lagi dia tunjuk muka dan ulang melodrama yang sama. Tu yang Kak Nab heran tu.

Haykh, kalau dah pemimpin dan pemimpin wanabe kita pun macam tu, Kak Nab tak khuatirlah kalau pembikin filem kita ala takat buat filem salinan fotokopi nak berubah pe'elnya. Lalu, kawan Kak Nab yang jujur mahu tengok industri kita berubahlah mangsanya. Sampai berapa lama kita nak hidup dalam kepura-puraan dan jahil pasif?

Soalan terakhir tu, Kak Nab biarkan kau orang yang jawab ya. Suami Kak Nab dah menunggu di bucu katil ni.

Yang Ikhlas
Kak Nab

20 July 2011

Latah, Belon Putih dan Imejan Islam

Semalam aku banyak tengok citer kat TV selepas penat menonton Fangoria Frightfest berjudul Dark House. Ada beberapa program menarik, tapi aku terikat juga dengan satu komedi ni di TV2, Latah. Aku boleh bayangkan penulis atau pengarahnya tentu anak-anak muda baru graduan sekolah filem kita. Walaupun lawak situasinya dipenuhi slapstik, bagi aku, ia tidak "mengada-ada"kan tetapi menyasar seimbang. Contoh bila babak si anak dara itu tiba-tiba melatah meloncat naik ke atas pangkuan "bakal" mertuanya lantas bercium pipi. Babak tu lawak gila. Aku juga suka cara pengarahnya tidak banyak menggunakan kesan suara "lelucon" untuk menaikkan semangat lawaknya. Ia ada seadanya. Dan pelakon watak Meriam tu, boleh tahan lincah mulutnya, babak di bas sewaktu mereka ke Kuala Lumpur antara yang menarik. Malah filem itu mempunyai sindiran rujukan dalam yang tersendiri berkenaan "industri drama televisyen" kita dengan babak "perfilemen" yang dibuat bersama pelakon Fizo Omar. Bila sebuah babak memaparkan watak tambahan (tiga dara melatah tersebut) di belakang pelakon utama buat "dua kali" babak berlainan, aku sudah ketawa betapa seronoknya sang pengarah bermain dengan "realiti bajet" perfileman. Dan menariknya, cerita komedi ini bergerak dan tidak statik soap opera (rujuk bagaimana kita buat Spa-Q atau Asmara yang bermain pada satu-satu tempat sahaja), banyak "cerita" berlaku dalam masa yang terjaga. Dan aku kira, membuat lawak tentang habit latah yang unik kemelayuannya lebih menyeronokkan daripada gigi jongang dan wanita montel.

Aku kira, dah banyaklah anak muda kita "yang belajar" untuk mengenali tempo filem dan genre, Alhamdulillah. Oleh sebab itu aku merasakan persada filem kita akan berlaku perubahan jika nodul-nodul yang menggerakkan perubahan itu diberikan kepada orang yang betul.

Semalam, aku tonton juga The White Balloon di TV Al Hijrah. Aku pernah menonton filem arahan Jafar Panahi itu di pawagam dan, walaupun aku tidak bosan, aku tidaklah pula "menyukai"nya. Tetapi bila aku menontonnya semalam, aku terus "terikat", walaupun di pertengahan cerita (babak di mana si budak kecil dibantu oleh seorang wanita Nasrani). Aku terkejut dengan "jalinan" demi "jalinan" yang dilakukan, sungguh "simple" tetapi "kompleks" seliratnya! Pentingnya, aku memerhati dengan "mata" si anak kecil, dan bukan watak-watak dewasa yang mengelilinginya (mungkin kerana ini, aku silap menontonnya sebelum ini). Jelas isu ketidakadilan jantina, sosial dan etnik dihamparkan dengan bersahaja dan berkesan, tidak pernah sebaik ini. Pada babak si budak kecil dengan abangnya dan si budak minoriti makan gula-gula getah lantas ketawa, aku terus menangis. Filem ini "mengajarkan" keindahan manusiawi dalam satu babak kecil yang sungguh berkesan. Objek cerita hanya terletak kepada "duit" yang dicuri/diambil/jatuh dan "ikan" yang hendak dibeli (ini adalah titik klimaks dan titik penyudahan filem ini buat penonton ikuti). Orang boleh sahaja mengaitkannya dengan pemahaman komersialisme atau kapitalisme. Tetapi aku melihat asli "sinema" sebagai jalan alasan "advencer" si budak yang dikelilingi "raksasa" dewasa. Lantas, pelatar masa si penunggang basikal memberitahu "ombak terus sahaja menderu ganas" kepada si budak secara prasedar. Inilah kenapa ia juga berkesan, apabila akhirnya, si budah DAPAT duit itu, tanpa melihat pun si minoriti yang kayu belon putihnya dipinjam, lari bersama abangnya ke rumah, lantas si minoriti dengan belon putih tinggal duduk diabaikan. Objek "sebenar" kini, kita fahami, bukan "duit" atau "ikan" yang hendak pengarah itu sampaikan, tetapi "belon putih" yang tinggal tunggal bersama si budak minoriti. Dan "merasakan" babak ini, hati aku menjadi sesak dengan keintiman dan ketidaksengajaannya.

Di sinilah letaknya "kuasa" filem Iran bagi aku. Yang kemungkinan sahaja berkaitan dengan fahaman Syiah. Jika penonton melihat betul-betul, mana-mana filem Iran, mereka selalu menampilkan "imej" atau "objek" sebagai unsur-unsur dalam cerita. bahan-bahan ini tampak biasa dan barang "sehari-hari" tetapi merupakan penggerak utama "plot" dan "falsafah" latar cerita tersebut.

Dalam sejarah seni Iran/Parsi, gambar itu "dibolehkan" dan bukan seperti seni ahl sunni (yang mana fauna sahaja digunakan sebagai motif seni). Maka "ikon" senang diciptakan dalam seni hasil Parsi dan kemudiannya, dengan kematangan tinggi dalam pemahaman objek dan ikon, digunakan dalam filem-filem Iran. Ikan merupakan objek biasa dalam filem Iran, baik sebagai ikon "pembersihan spiritual", "malaikat", "rahmat" atau "roh". Alam dan manusia bersatu, tetapi juga objek-objek yang dibikin manusia yang berkait tinggi dalam pemahaman falsafah hidup orang Iran (di sini, pintu dan kolam merupakan antara objek yang paling banyak digunakan).

Filem merupakan hasil seni yang paling menitik beratkan "imej" daripada kesemua unsur lain (suara, tatabahasa). Malah kesemua "pemahaman filem" diikat kepada pemahaman dan pemerahan "imej sempurna". Bila kita bercakap tentang "bahasa filem" kita bercakap tentang pergerakan dan pekembangan "imej". Bila kita bercakap tentang "teks filem" kita bercakap tentang "objek imej" dalam filem. Atas sebab itu, filem-filem bisu zaman awal masih kelihatan segar walaupun hitam putih dan berskop binokular.

Jika benarlah 44% pembaca blog ini bersetuju "menolak filem hedonistik kita dan menggunapakai filem Iran" dalam filem tempatan kita (daripada pengundian yang aku buat), apa yang kita perlukan sekarang ialah memahami imejan dalam filem Islam. Memahami filem Iran bukanlah menggunapakai dan meminjam istilah fahaman syiah mereka, tetapi meminjam pemahaman TINGGI mereka terhadap penggunaan "imej" yang ikonik dalam filem. Cuba tontonlah Syukur 21 dan anda akan menyedari "ketiadaan imej ikon" yang boleh ditekskan kecuali latar dan dinding yang superfisial futuristik. Nur Kasih The Movie CUBA melakukannya dengan hamparan padang gersang dan hamparan rumput hijau, cincin, pokok, dan gambar. Tetapi imej-imej ini lebih mengisi pendapat teks melodrama filem ini (baca: emosi) daripada pengisian Islam (baca: rohani). Ini juga berlaku dalam drama siri Tahajjud Cinta yang ke udara di TV3 buat masa ini. Ayat-ayat Cinta yang walaupun garapannya ala Disney, mempunyai imej-imej ikon yang tertentu "besar", piramid dan sungai Nil sudah cukup menguatkan, sudah tentu dengan pertolongan penulis novelnya. Aku juga sudah menonton Sang Pencerah berkenaan perintis aliran Muhammadiyah yang kita fahami tentu "kering" kerana potensi pemahaman mereka yang menolak "imej". Tetapi Hanung Bramantyo memastikan imej turut berada tampak di dasar filem, dengan biola(!), madrasah, dan khususnya mainan bayang dan pencahayaan terang (merah untuk kemarahan dan putih untuk pencerahan) dan gelap, filem ini turut merayakan imej, walaupun tidak sekental filem-filem Iran.

Ya, imej amat penting walaupun selalu dianak tirikan oleh pengarah kita. Orang kita selalu melihat "manusia"nya dan melupai "objek" yang mengelilingi manusia itu. Memang poin kuatnya adalah, ikon imej takut memberi perkaitan salah kerana ajaran Kristian bergerak dengan ikon (yang diambil daripada tradisi penyembahan dewa-dewa dahulu). Tetapi jika diselidik, Islam Nusantara kita juga mempunyai "ikon-ikon" kita sendiri (keris, pokok, bunga, kepala layar, bumbung, alat perhiasan, koleh) yang boleh digunapakai. Inilah yang kita fahami apabila kita menonton kembali Semerah Padi dengan imej bumi (dan P. Ramlee boleh memikirkan sebesar ini sewaktu itu), tanah rendah dan tanah tinggi (segala yang berkaitan dengan syariat atau kritikalnya syariat akan berlakulah rakaman/tangkapan di tanah tinggi) serta tirai dan cara duduk watak. Aku juga dimaklumkan, Istac yang pernah digerakkan oleh Syed Naqib al-Attas juga mengimplikasi imej helang dan harimau, yang memberi simbol insan kamil atau "insan sempurna". "Kesempurnaan" ini boleh diteliti dan digunakan dalam mencerna sebuah filem Islam kita, yang mana kelihatan, kita sudah cukup baik mempunyai pemikir Islam yang tuntas dengan ilmu, dan ini hanya perlu diilhamkan dalam bentuk imej yang "sempurna", insya-Allah.

17 July 2011

Sekali Lagi(2011): Sekali Sahaja


Bini aku yang suruh tonton filem ni. Dia baca ulasan Syazwan Zakaria dan nampaknya ulasan Syazwan Gala TV itu agak mengujakan terhadap filem ni. Aku pula baca coretan status Ajami Hashim yang memuji filem ni di Facebook. Jadi aku bagi peluang menonton filem ni semalam di rumah bersama bini.

Ada dua perkara yang aku fikirkan menarik diolah oleh filem ini. Pertama, permainan "imaginary friend" iaitu kesamaran rakan "kahayalan" kepada watak Amy (Mia Sara). Poin ini menarik jika kita lihat latar "anak yatim" Amy yang ibunya (Lisa Surihani) kira merupakan khayalan Amy. Tetapi unsur ini hanya dibiarkan begitu sahaja tanpa perkembangan (kerana ini filem melodrama). Kemudian, relatif Lisa Surihani dan Saheizy Sam yang kahwin lari, yang aku kira juga bagus sebagai "dakwah senyap" sang pengarah Hashim untuk anak generasi sekarang yang kerap berzina dan membuang anak (kahwin lari itu kiranya sesuatu yang sangat 80-an, dibawakan sekali lagi dalam filem ini. Ingat Azura?)

Tetapi itu sajalah.

Filem ini merupakan sebuah kerugian yang amat, khusus percubaan melodramanya, atas hanya ingin mengSean Pennkan watak Saheizy Sam. Serius, melodrama sebegini bukanlah biasa tak pernah ada, malah 80-an cukup berkobar dengan intim-intiman cerita filem ini. Aku sebenarnya boleh "bersabar" dengan keklise-an filem ini. Tetapi ada beberapa hal yang amat-amat mencacatinya.

Mis-en-scene filem ini berterabur. Adakah Hashim cuba bereksperimen? Ada beberapa watak yang mana kita lihat syot sederhana (medium shot) berubah kepada syot jauh yang AMAT JAUH, mengambil keluasan gargantum, dan ini berjalan sewaktu watak-watak masih berdialog menerangkan perkara. Komedi tidak, drama pun tidak (komedi dan drama amat-amat memerlukan gerak aksi dan mimik pelakonnya, latar hanya hiasan cerita, rujuk bagaimana Amelie melakukannya). Kejanggalannya berleluasa. Dan ini bukannya sebuah filem art-house (kesalahan ini juga dibikin oleh Papadom).

Satu lagi, jika dilihat betul-betul, ada kesalahan yang amat aku tidak boleh maafkan, hanya kerana pengarahnya tidak memberi establish shot yang kuat antara premis Bront Palarae, taman permainan dan stesen LRT. Ini adalah kemunculan "tiba-tiba" Lisa kepada watak Amy. Aku menelitinya dan menyedari bagaimana setiap kali Amy tidak ada dengan Sam, Lisa akan muncul (ini trick lama, yang kita sudah tahu apa akan berlaku bila tiga unsur ini bertembung). Maka, apabila tiba babak taman permainan tu, aku maklum pada bini aku, "Tengoklah, lepas ni, out of nowhere, mesti Lisa muncul." True enough! Masa Lisa muncul tu aku tergolek-golek ketawa dengan bini aku betapa betulnya sangkaan aku. Dan hal ini dapat ditelaah seterusnya kerana betapa "biasanya" pergerakan plot filem ini (termasuk akhirnya).

Ini sesuatu yang merugikan, melihat kepada himpunan si pelakon yang kesemuanya hebat, Sam yang memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Bront yang memenangi Pelakon Lelaki Terbaik dan Lisa Pelakon Wanita Terbaik (kesemuanya menang pada FFM tahun lepas) adalah satu "mimpi indah" untuk disatukan. Tetapi penerbit dan pengarah kita hanya dapat mempamerkan mereka sesederhana ini sahaja tanpa benar-benar mencabar kita, sepertimana mungkin drama Kramer vs. Kramer atau I Am Sam. Aku saja namakan filem-filem itu kerana filem-filem tersebut tidak memerlukan pun bajet yang gah. Hanya cerita dan konflik yang menarik.

Sekali Lagi wajib ditonton sekali sahaja.

14 July 2011

Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2(2011): Terburu-buru, Huru-hara tetapi Dimaafkan


Akhirnya, selesai sudah bab riwayat anak ahli sihir ini di layar. Pada tontonan semalam, ramai, termasuk aku, menepuk tangan sebagai tepukan penghormatan terakhir dan ucapan selamat tinggal dan kerinduan terhadap antara francais fantasi yang paling berjaya abad ke-21 ini. Suka, duka, debar dan takut buat tiga anak yang terus membesar di depan mata, Harry Potter (Daniel Radcliffe), Ron Weasley (Rupert Grint) dan Hermione Granger (Emma Watson) telah memberi banyak kenikmatan sinema serta keterujaan langsung melihat anak-anak ini di dalam sangkar "zoo hidup". Inilah sarkas sebenar abad ke-21.

Jadi, berbaloikah ia dengan pengakhirannya? Begini: setentunya ya dan sedikit tidak memuaskan.

David Yates merupakan orang di belakang tabir, yang bermula dengan bahagian lima, yang bagi aku telah berjaya mengimbangi jalan cerita, magis, kesan khas dan lakonan setiap watak dalam filem adaptasi buku terkenal ini. Ya, Yates bergerak perlahan tetapi menentu. Beliau dibantu oleh penulis skrip Steve Kloves yang amat memahami roh Potter. Sebenarnya, aku amat menyukai "simfoni" dan ruang latar bahagian pertama buku ketujuh yang diadaptasi oleh Yates, ia memahami tempo, jerih perasaan wataknya serta keterusan plot. Aku yang sudah membaca bukunya memahami hal ini, seperti mana yang dilakukan oleh Peter Jacskon dalam LOTR (yang, maaf kata, lebih impresif daripada francais ini serta lebih adikarya pembikinannya) pada bahagian satu yang "senyap" kemudian gertak gegar dalam bahagian kedua. Malah daripada pembacaan, semua bahagian yang "lazat-lazat" telah disimpan dalam bahagian kedua iaitu filem ini, lebih banyak aksi dan lebih banyak rahsia yang akan dikemukakan.

Antara yang menarik, buat pertama kali kita akan memasuki bank magis paling terkawal dalam dunia Hogwarts, melihat guru-guru Hogwarts dan pembantu Harry menentang Death Eaters, khusus Maggie Smith yang sungguh mempesonakan buat kali ini, ibu Ron yang memaparkan kesatriannya, dan mainan paling menakutkan: menipu mati (cheating death) yang sememangnya antara tema terbesar filem ini. Dan sudah tentu, yang kita tunggu-tunggu, rahsia Profesor Snape (penceritaan babak ini melodramatik tetapi efektif) dan kehadiran Voldermont (Ralph Fiennes) dan konco-konconya menyerang Hogwarts hingga ke abu.

Kekuatan filem ini, sudah tentu atas jalan ceritanya, yang boleh dibanggakan buat Rowling sendiri dengan simpang-siurnya yang indah serta memahami "cerita sebenar" terletak kepada bahu Harry, yang mana Daniel membawanya dengan begitu matang dan bersahaja sekali. Knowles melancarkan ini dengan pemahaman lembap-laju-lembap-laju sepertimana LOTR Fellowship of The Ring. Ahh, di sini ada kekhuatirannya. Entah mengapa, mungkin atas keperluan merakam babak-babak dengan sudut betul agar pembuakan kesan 3D lebih baik, ada beberapa layar babak kelihatan janggal, malah kesinambungannya, bukan secara logis cerita, tetapi rangkai gambar, kelihatan, "pelik". Aku tidak tahu jika ini disengajakan oleh Yates sebagai memaparkan "suram" atau kerajaan gelap "chaos" yang dibawa oleh Dark Lord kepada rakyat sihirnya. Unsur ini banyak membantu mengeluarkan "semangat suram" buat babak-babak latar luas seperti "era suram" Pengetua Profesor Snape mentadbir Hogwarts (kita merasakan seakan belajar di dalam sebuah sekolah meniti kiamat). Tetapi, bila digunakan untuk "aksi", ahhh, ini yang menjengkelkan sedikit. Ada beberapa kelemahan di sini, bermula dengan babak yang terlalu serius pada awal, kemudian keseriusan itu ditambah dalam babak ke bank (yang kita faham, imej naga putih itu merupakan simbol Harry dan rakan-rakannya menerebos keluar daripada pemerintahan gelap dan zalim Dark Lord). Apa yang aku jumpa ialah, semacam Potter dan rakan-rakannya yang sudah berkali-kali melalui "kesusahan" tetapi buat kali ini, kesusahan itu nampaknya "senang" dan tidak mendebarkan, malah kesan terujanya kurang suspens seperti yang dahulu. Kita boleh merasakan sebenarnya betapa terdesak dan terhimpit Potter dan rakan-rakan apabila dalam bilik simpanan Bellatrix, apabila ditinggalkan oleh si Elf dikurung "aku berjanji untuk membawa kau masuk tetapi bukannya untuk keluar", kita tidak diberikan aksi "mendesak" anak bertiga ini tetapi dengan suntingan "bosan", anak tiga ini terus keluar dan naik atas naga dengan begitu mudah.

Hal ini berlaku lagi dengan beberapa babak "peperangan", terutamanya di Hogwarts. Ini sebenarnya kelemahan Yates. Buat kali ini, latar lanskap bahagian terakhir ini begitu luas, memang orang akan memberi alasan, susah untuk memasukkan kesemua watak. Tetapi sebenarnya cara satu watak ke satu watak yang disusun, dengan kesinambungan cerita, dengan setiap sudut yang diteroka, ini yang tidak dilakukan oleh Yates, kerana Yates tetap memfokuskan tiga anak itu dilatarkan mereka yang membantu. Kita sudah menyelami rasa isolasi dan kesunyian yang amat berkesan dalam bahagian pertama. Kita memahami, bahagian kedua, perasaan terdesak ini akan ditimbal dengan kehadiran rakan-rakan (menyatakan, tidak ada sesiapa yang sunyi dalam dunia ini). Desak wajah secara intim inilah yang tidak diberikan oleh Yates, hanya pelukan dan senyuman rakan-rakan Potter yang terlalu "keterasing" dan tidak "berhubung". Malah sekali lagi, beberapa "imej" sebegini disengajakan, seperti mana si suami isteri yang memepertahankan Hogwarts tidak bersentuh jari mereka, serta babak Potter yang tidak bersentuh dengan hantu ibunya.

Tetapi semua ini dimaafkan dengan babak klimaks yang begitu mengasyikkan, menyatakan revolusi seorang budak bernama Potter itu adalah "suara rakyat". dan atas dasar cinta yang tinggi Hal ini berlaku sewaktu babak pascamati Potter, yang mana buat aku, Yates mengikatnya dengan baik dan berkesan.

Ya, berakhir sudah Potter dan rakan-rakannnya. Sekali lagi, kesemuanya hebat, khusus Alan Rickman yang jelas memperlihatkan starta kedalaman watak yang menakutkan (pelbagai dimensi yang sangat mengimpakkan), Fiennes yang tetap menakutkan dan menyeronokkan sebagai "iblis" yang ditakuti. Rupert dan Emma juga diberi satu babak yang kita tunggu-tunggu (dan juga masih janggal kerana tidak nampak tempo tersedak keintiman mereka itu menaik), dan Daniel, oh Daniel. Filem ini memang untuknya dan sepatu Potter itu memang miliknya, dia membesar dan mendewasa dengan baik sekali.

Selepas kami bertepuk, kami merasakan, ahh, sudah, sebuah fantasi sudah sampai ke penghujung. Kami mahukan lagi tetapi kami memahami pengisytiharaan kehormat Rowling, dan atas itu epilog terakhir filem ini buat kami amat mencuit dan menyentuh. Segala yang kami kenal dari bahagian awal, semacam kami maafkan, kerana perjalanan 10 tahun melaluinya terlalu berbaloi, dan terlalu membawa nikmat fantasi yang menghiburkan.