30 May 2011

Penonton Dah Bersuara: Adaptasi Novel Paling Tinggi

Pengundian tak pernah berbohong...


Dalam sebulan ni, aku buat satu undian untuk melihat, apa yang penonton kita mahukan (sebenarnya), atau apa yang mereka dahagakan untuk tengok tak ada di panggung kita sekarang. Dalam sebulan tu, ada 220 responden yang mengundi, dan inilah keputusan yang aku dapat:


1-Adaptasi Daripada Novel: 16%

2-Aksi: 13%

3-Fantasi: 12%

4-Seram - Erotik(!) [seri]: 9%

5-Komedi Gelap: 6%

6-Epik - Animasi - Sejarah [seri]: 5%

7-Art-house" 4%

8-Sai-fai: 3%

9-Bikinan Semula: 2%

10-Muzikal: 0%


Yeap, pengendalian demografik yang mengejutkan. Paling aku terkejut, rata-rata ramai penonton yang mahu melihat novel, aku bayangkan, sastera atau pop untuk difilemkan. Apa tidak, rata-rata kebanyakan industri filem, memang meneliti sekarang novel-novel tempatan mereka untuk penghasilan sebuah skrip dengan cerita yang segar. Hanya Malaysia, ya, hanya di Malaysia hal ini tidak berlaku (untuk tahun ini sahaja, hanya dua buah novel, sebuah novel Inggeris dan sebuah lagi Melayu). Pelik bukan?


Tempat kedua nampaknya terletak dalam filem-filem aksi, yang mana aku lihat, nampaknya, Metrowealth dan Skop Production memahami permintaan penonton (baru-baru ini, Kongsi, dan kemudian Samseng akan ditayangkan). Dan aku lihat, memang filem-filem "aksi" sedang dibikin oleh kebanyakan pembikin filem kita, selain daripada filem komedi dan seram.


Fantasi di tempat ketiga juga mengejutkan. Kemungkinan, kerana itu, penonton di Malaysia adalah antara penonton yang betul-betul berada di belakang francais LOTR dan Harry Potter. Maka filem-filem kemungkinan, tampak berunsur "fantasi", contohnya Geng: Pengembaraan Bermula, Merong Mahawangsa, PGL, Magika, Duyung mendapat tempat. Aku bayangkan, genre ini belum dipunggah sedalam-dalamnya oleh pembikin filem kita. Mungkin buat kali ini, novel Ramlee berkenaan Laksamana Sunan, serta novel Agenda Alam Hitam Zehann merupakan antara "barang mahal" yang aku boleh bayangkan, sedang dan mungkin dalam proses pembelian hak cipta untuk perfileman.


Mungkin sebab sudah terlalu banyak filem seram, genre ini jatuh ke tangga keempat.Tetapi mengejutkan, secara seloroh aku masukkan erotik, penonton kita melihat kepada kekuatan seks dan seksualisme sebagai sesuatu yang "boleh dijual"! Gulp! Talk about an Islamic country!


Yang paling mendukacitakan aku, tak ramai penonton kita mahu melihat kita membikin filem "sai-fai" (fiksyen sains campur fantasi, atau di antaranya). Ini amat mengejutkan aku kerana rata-rata filem genre sebegini, selain daripada fantasi, yang amat suka ditonton oleh masyarakat kita. Mungkin, mereka merasakan, kita belum lagi boleh mencapai kesan khas atau sofistikasi cerita yang setaraf di Hollywood, mungkin.


Muzikal nampaknya genre yang paling tidak diendah. Aku gusar jika Azura (yang juga bikinan semula) akan dilayan.. Tetapi hal ini pergi jauh dari itu, ia juga menyatakan, penonton kita akan naik "muak" jika pembikin filem kita masih menggunakan gaya spoof atau rujukan semula dalam pembikinan filem mereka dan tidak mencari sesuatu yang asli.


Lepas ni, aku nak cuba tanya pula tentang filem gaya Iran, adakah kita patut buat filem sebegitu, atau ini hanya mitos dan harapan sekumpulan cerdik pandai kita yang tak tahu apa yang kita nak sebenarnya...

26 May 2011

Karak(2011)

Karak(2011): Lagenda urban tengah jalan raya paling menakutkan di Malaysia diberi peluang persembahan roller coaster yang terperangkap dalam ruang dan masa.

"Suka hati dialah nak buat apa..."
Tok Malam

Dah lama kita dengar tentang Karak. Mungkin orang Sabah dan Sarawak tak tahu, tetapi lama-kelamaan, mereka akan tahu juga dengan cerita seram ini, yang kini sudah menjadi legenda, bagaimana si suami yang membaiki kereta (cerita yang aku dengar, cari minyak petrol tengah malam) lantas si isteri duduk diam dalam kereta, kemudian ada sesuatu di atas atap kereta, menghentak bumbung kereta, dan polis sampai suluh lampu, minta si isteri keluar dengan senyap tanpa menoleh ke belakang. Mereka kata, cerita tersebut benar-benar terjadi. Wallahu-alam.

Cerita legenda tersebut mendapat suntikan KRU dengan penulisan skrip Norman dan pengarahan Yusry. Secara jujur, aku mendapati cara gerak, solekan seram, suara dan kejutan hantunya suatu yang menghiburkan dalam genre seram buat kali ini. Ya, filem ini sebenar-benarnya dibikin dalam salutan gaya William Castle dan sekumpulan filem "B" yang popular pada zaman 60-an di Amerika (Zemeckis pernah meneruskan ideal ini dengan penerbitan filem seperti The House on Haunted Hill dan The Thirteenth Ghost). Filem-filem tersebut dibikin untuk penonton remaja, plot nipis, punya seram dan hiburan yang berselang-seli formulaik, dialog yang bergerak mengikut rentas ruangnya dan tidak bermakna ia realiti, dan dibikin untuk menakut-nakutkan mereka di panggung. Sebagai suatu "ikutan", bolehlah kiranya filem ini diletakkan pada bahu filem-filem tersebut, dan aku mengaku, ada juga momen yang menakutkan sekali gus menghiburkan. Suatu yang paling menarik adalah bagaimana penggunaan efek khas yang aku kira berjaya mencipta, mungkin bukanlah hantu yang paling menakutkan dalam sejarah filem tempatan, tetapi yang paling menarik setakat ini. Kesan khas filem ini agak baik, dengan pencampuran kesan tradisi dan CGI. Paling baik, filem ini dibikin dengan semangat seronok-seronok, dan ianya terpampang baik, dengan susunan dan kawalannya, ia memang seram seronok.

Memang ada beberapa bahagian yang membosankan, tetapi aku kira ia tidaklah mencemarkan filem ini. Lakonan keseluruhan para pelakon mudanya suam-suam kuku (kebiasaan dalam mana-mana filem seram menggunakan pelakon baru seperti filem ini, mesinnya dibikin untuk menghiburkan, itu sahaja) dengan dialog yang jengkel ("kenapa kita macam ni?" yang juga mempunyai resolusi jawapan yang menarik di akhir cerita.

Paling aku setuju dan suka adalah mainan "perangkap" ruang dan masa, yang akan berlaku terhadap keempat-empat watak remaja dalam filem ini (kiranya macam jalan gerak ke Twilight Zone lah). Ini adalah rahsia seram yang paling seronok jika dikendalikan dengan betul, dan percubaan KRU haruslah dipuji. Mereka membuat watak (penonton) terpinga-pinga jika keadaan ketika mereka itu adalah waktu real atau mainan fikiran, terperangkap dalam ruang dan masa "panggung" yang dicipta untuknya (penggayaan ini mencapai tahap yang terbaik dalam dunia layar Syaitan arahan Bade Hj. Azmi). Inilah "trick" yang menarik, yang memberi makna mengapa mereka semua dalam keadaan "mimpi". Usikan ini menjadi rujukan "in joke" lagi bila Tok Malam menyatakan, "suka hati dialah nak buat apa", menandakan gaya "main-main" si pembikin untuk buat "apa-apa" terhadap empat watak tersebut dalam ruang dan masa "mainan" mereka. KRU pastikan bahawa ruang eksperimen seram hiburan mereka ini tidak terlalu menjurus kompleks, dan tidak pula jatuh dalam perangkap Razak Mohaideen. Cukup-cukup sahaja. Dan ini memberi kebaikan untuk mereka.

Maka bermainlah Yusry dalam padang mainan takut, yang aku setuju, penuh warna-warna dan imaginatif setakat ini (tetapi belum lagi mencapai tahap dewa sentuhan Tsui Hark seperti A Chinese Ghost Story). Hanya bahagian klimaks, walaupun menarik, tidak memberi impak grandeur yang sebenar, walaupun idea atas kertasnya menarik. Filem ini agak berbaloi untuk menonton sekali duduk, khusus jika anda mahu ditakutkan dan dihiburkan, ringan tetapi tidak pula membodohkan penontonnya. Jadi kiranya, suatu mitos juga agak berjaya dicipta (dengan pembikinan filem ini), dan aku dapat rasakan akan menjadi sebuah francais seram jalan raya yang menarik untuk disambungkan, sudah tentu dengan kesan khas dan cerita yang lebih ditingkatkan daripada ini.


25 May 2011

Nur Kasih The Movie(2011)

Nur Kasih The Movie(2011): Fenomena Pop Islami Disulam Melodrama 80-an dan Fantasi Esotik Arabia - Malaysian Style...

"Nur tak nak abang Nur tersesat di tengah padang pasir!" - Nur Amina

"Abang sudah bersedia (untuk mati)... Saya reda..." - Adam

Aku mengaku terus-terang, aku bukanlah peminat drama bersiri Nur Kasih. Bukan kerana aku tak suka, tetapi aku tidak dapat mengikutinya. Baru-baru ni aku beli DVD koleksi tersebut, ingatkan nak tengok. Tengok-tengok, adik ipar aku dari Bogor yang menontonnya, siap SUKA HABIS dan mohon bawa balik ke Indonesia (nampaknya aku kena beli sebuah lagi). Aku sempat juga menonton beberapa episod awal. Adalah bahagian "ahhh, tipikal uda-dara, ahh, kasih tak sampai, ahh novel Khairuddin Ayip", tetapi bila sampai babak Liza Othman memohon Adam mengikut kata ayahnya, "Bang!" -
aku menangis. Yeap, inilah kekuatan fenomena drama siri ini, sebuah mesin tearjerker yang tahu bila nak tekan butang "menangis" kita. Dan aku tahu, teknik dan gaya ini yang akan digunakan sekali lagi pada filem "the movie" ini.

Ada dua standard yang aku gunakan untuk menilai filem ini. Pertama, filem-filem pop Islami Indonesia (yang memulakannya, dengan berdasarkan novel pop Islami mereka) yang keluar beberapa tahun lepas dan bermula dengan Ayat-ayat Cinta, dan filem-filem berbentuk "the movie", suatu trend pembikinan filem berdasarkan siri yang popular di televisyen.

Aku mengaku, antara filem-filem berbentuk "dari TV ke filem" tempatan, hanya dua filem yang aku rasa, berjaya memaut jiwa aku, Dunia Baru The Movie dan Kami The Movie. Kenapa? Aku berpendirian begini, jika sesebuah filem "the movie" itu mampu untuk buat kau yang tidak pernah menonton sirinya terpesona, terikat dengan apa yang "ia" persembahakan di layar, sehingga buat engkau mahu mengikuti sirinya yang kau tak peduli sebelum ini, itu menunjukkan "siri TV the movie" tersebut "berjaya". Buat filem-filem pop Islami pula, tersimpan segala inti romantik, drama, emosi, kemanusiaan dan seks dalam jalur-jalur halus berinti papar aksi berdasarkan surah, hadis, tasbih, mihrab, tutup kepala dan jelingan mata. Jika "formulaik" ini diikuti, insya-Allah, akan diberkati dunia dan akhirat...

Bang! Muncullah Malaysia dengan filem pop Islami the movie yang pertama (pop Islami aku kira bermula dengan Syukur 21, dan kemudian Syurga Cinta, Aku Masih Dara). Aku menonton dengan penuh keterujaan pada awalnya, melihat pembukaan nama syarikat Grand Brilliance yang indah (bagi aku, KRU kira menanglah untuk bahagian ini, tak terlalu mengada-ngada tapi jelas dan cantik), dengan gerhana matahari dan ironi perkataan Nur (bererti cahaya) sebagai montaj pembukaan kreditnya, kemudian dengan runut bunyi Hans Zimmernya (dimaklumkan asli). Tetapi buat aku, pembukaan, dan kemudian slow burner 15 minit awal filem ini janggal buat aku. Aku "sesat" dalam dunia Aidil yang tidak keruan baca Yasin dalam masjid, kemudian Adam dan Nur Amina, kemudian si ibu Liza Othman (kehadirannya begitu ikonik, penuh dengan CINTA), kemudian anak-anak Aidil, kemudian, kemudian, kemudian. Sebagai orang yang mula-mula menjenguk filem ini, mereka tentu akan tersesat dalam bahagian awal filem ini (walaupun terletak teks pendahuluan menyatakan apa yang berlaku antara Adam dan Aidil) seperti mana aku yang tidak tahu mahu ketawa, menangis atau seronok, aku jadi dungu. Aku "mencari-cari dalam padang pasir" watak yang mana yang mahu aku pautkan kasih gerhana ku ini (cewah!)

Ketidaktentuan ini "mula tampak cahayanya" apabila si Nur Amina bila melihat kain sidai baju anak lalu menangis. Di situlah baru plot filem ini bermula, dengan janggal.

Inilah masalahnya filem-filem berbentuk "the movie". Mereka selalu menganggap rata-rata peminat akan terus memeluk dan merangkul Aidil (oohhhh!), Nur Amina (ahhh!) dan Adam (awww!) di dalam dakapan mereka apabila filem dimulakan sejak kredit pembuka. Tidak. Layar tetap lain dan televisyen tetap lain. Layar memerlukan struktur, atau tidak kurang, "penggerak cerita" (ada penggerak cerita dalam filem ini, iaitu bom di tengah padang pasir Jordan yang tampak CGI tipu, tetapi itupun vague dan tidak benar-benar mengikat, hello ini bukan dunia BABEL Innaritu). Dari titik penggerak cerita itulah kita mulakan filem tersebut (lihat bagaimana Ayat-ayat Cinta yang simple memulakan cerita antara Farhi dan si dara koptik, lihat bagaimana Dunia Baru bergerak dengan konflik penculikan, lihat bagaimana Kami bermula dengan pergaduhan dan pelarian). Kemudian, kadang-kadang, banyak filem sebegini yang terperangkap dengan gaya "extended version" atau "what's next after a successful 6 seasons romp". Rujuklah Sex and the City. Layar lebih memerlukan "siapa siapa" (who's who) dan motivasi untuk menggerakan momen layarnya. Kalau bentuk "extended", hanya akan memaut para peminat, tetapi itu pun perlu lihat jenis peminat juga.

Banyak persoalan yang tidak dirungkai, kenapa Adam perlu mengajar motivasi di sebuah kelas sukarela ala-ala AA meetings di tengah-tengah kota dengan anak-anak jalanan? Kenapa Nur Amina ada love-hate realtionship dengan suaminya? (Adakah Amina dapat tahu bahawa suaminya pernah berlakon dalam sebuah filpen gay, oh tidak!) Kenapa Aidil kadang-kadang tensen tengok Adam yang jauh lebih hensem daripadanya? Hal inilah yang menjerat dan memerangkap aku untuk meneruskan, aku terus sahaja teraba-raba di dalam padang pasir yang gersang, tidah tahu di mana arah tuju ku (waduh! Tuhan!!)

Atau adakah ini disengajakan oleh Mira Mustafa dan Maizura untuk menyesatkan aku?

"Saya tidak sanggup melihat dia sesat" ujar Nur Amina tiba-tiba.

Kemudian, Kabir melakukan sesuatu yang aku cukup bingit. Fine, ia dibikin dengan bernas dan rasional dalam Cinta, Sepi dan Love. Tetapi untuk meletakkan TIGA babak MTV dalam bahagian-bahagian yang memerlukan "dialog" dan aksi IS JUST PLAIN LAME AND LAZY. Sebab penulis skrip dan Kabir perlu faham, penonton memerlukan "pautan kuat" watak budak jalanan lakonan Munif Isa yang aku tampak sangat indah jika diberikan "pengawalan" dan "pengenalan" (kenapa dia begitu berjuang untuk sekolah anak jalanan tersebut dan cikgunya). Dia merupakan "kunci" filem ini dan jika "kunci" ini dibiarkan sebagai "pengisi plot" dan "babak kejutan", aku rasa hak aku sebagai penonton tidak diadili, malah, ini menimbulkan zalim! (wah, tiba-tiba dialog Ayat-ayat Cinta terpacul).

Tetapi dalam segala huru-hara ini, ada keindahan yang aku dapat temui dan aku akur ia menyentuh. Sebenarnya, jika unsur ini dijaga dan ditentukan betul-betul (berkenaan dengan tanda-tanda Allah kepada manusianya, berkenaan ketentuan tanda dalam qada' qadar dan ujian Allah, berkenaan pautan antara manusia yang kita tidak kenal), kita akan menjumpai suatu saga yang indah dan teratur. Babak yang perlu difokuskan, dan merupakan babak paling kuat untuk MENYELUBUNGI meta melodarama filem ini adalah babak Rahim Razali dan Afida Es. Aku berani mengaku, filem ini sepatutnya dimulakan dengan babak ini, lebih-lebih lagi memaparkan Afida Es yang tidak keruan, yang mencari-cari, yang amnesia (lupa). Misteri akan terpacul. Kita akan terikat dengan misteri ini, serta "misteri" babak-babak canggung pada awalnya (yang aku sedar, pengarah dan penulis filem sengaja membuat aku sesat, sesesat watak Afida Es yang lupa, supaya aku KEMBALI ke pangkal jalan akhir dengan babak pertemuan yang begitu indah terikat). Kerana satu babak yang paling indah berlaku pada akhir filem ini, apabila (spoiler) Nur Amina tiba-tiba mencari-cari suaminya (yang kita paparkan, dengan mudah dengan panning ke kiri, hilang begitu). Ia memberi metafora yang kuat, bahawa dalam segala hidup manusiawi, kita semuanya sebenarnya MENCARI, mencari dan mencari hingga tiada hujung. Dan yang kita mahu "cari" itu sebenarnya Allah (kerana yang lain, akan PUNAH). Ini begitu indah dan jelas sekali ingin penulis dan pengarah sampaikan.

Dengan kelemahan Mira dan Maizura mengulit skrip, suatu hal yang PASTI, mereka tahu untuk menjerat penontonnya dengan jeratan emosi yang tersimpul mati, tidak memberi penonton masa bernafas atau jalan keluar bila mendepani isu drama watak-watak yang ditentukan! (ini berlaku dengan jelas pada pertengahan filem, selepas padang pasir Jordan itew) Penjeratan ini dibikin dengan teratur, sebaik sebuah novel Rusia, yang mengikat setiap wataknya dengan ikatan tidak menentu yang boleh saja membawa mereka ke chaos (ini berkenaan kisah pautan Adili-Nur-Adam) atau kepada cahaya cinta dan kemanusiaan. Ada suatu ikatan kuat yang berlaku, dan ini merupakan kekuatan filem ini, dibantu dengan amat kuat oleh lakonan tulus kesemua para pelakon. Ya, ada mesej yang tersembunyi (semua filem agama ada mesej), dan ia amat indah, menyatakan "air dicincang tidak akan putus", atau cinta persaudaraan dan kekeluargaan. Cinta yang indah ini kemudiannya dilampaui kepada cinta sesama ummah (diwakili ikatan Jamal dan Adam-Aidil yang begitu menjadi, kemudian Hassan padang pasir yang tidak begitu menjadi), dan seterusnya, seperti yang diharapkan oleh filem ini (buat kita), cinta sesama manusia... Dengan sikap "jerat plot dalam drama emosi ini", Kabir dan Mira secara sengaja memohon penonton, seperti wataknya agar "reda". Ini dikaitkan kembali dengan poin di atas: jika anda sesat dalam kehidupan ini, yang paling utama, anda perlu "reda" dengan ketentuan-Nya. Dengan itu, semuanya akan diatur indah untuk anda oleh Tuhan (atau penulisnya!)

Penggambaran filem ini banyak membantu membawa perasaan "grandeur" bahawa ini bukan filem yang "kecil", walaupun secara struktur, ia masih sebuah "extension of a TV series". Aku rasa janggal buat babak romantik di Jordan (Oh, lihat sayang, ada masjid, jom kita solat dua rakaat, cinta kita akan terus membara sambil I pegang tangan u, mungkin dengan itu, Allah akan perkenankan kita dengan seorang anak), tetapi mungkin, ya, sudah ada realiti segolongan kita yang merasakan cinta ala-ala "agung" jika bercuti di dunia esotik Arab sambil melancong ke Mekkah-Madinah dengan ihram (malah ada yang berkahwin di depan Kaabah, uuuuuuhh, hebatnyaaaaaa tanda cinta mereka, awww!) Fantasi ini disulami aku kira, dengan ambitious sekali oleh penulis dan pengarah (Kabir: Oh, sebab kita nak habiskan cerita, apa kata, kita bagi satu babak meletup habis, betul-betul di tanah Nabi dengan babak-babak romantik indah mengalahkan Sembilu!). Yang boleh dipuji, adalah suntingan yang mantap, khusus jukstaposisi babak Adam yang nazak kepada Aidil yang dibelasah bawah terowong. Runut Bunyi Hans Zimmer yang bersepah. Warna filem ini kelam siut.

Ini bukanlah filem terbaik Kabir. Tetapi sekurang-kurangnya filem ini ada inti, dan ada momen-momennya, walaupun mungkin bukan untuk semua orang. Melodramanya menjadi buat masa ini dan itu mungkin sangat penting diketahui. Adakah aku akan meneruskan menonton sirinya? Ya, tetapi bukan kerana filem ini.



14 May 2011

Insidious(2011)


Insidious(2011): Seram Sekeluarga Seronok Tanpa Pembaharuan

Aku minat dengan pembikinan filem anak kelahiran Malaysia ni. Aku masih boleh ingat, sewaktu Saw mula-mula masuk ke Malaysia (masa tu, filem seram Hollywood dikecam hebat oleh filem seram Asia, ini zaman Ringu), aku adalah antara orang yang menyukai Saw dan menyatakan (walaupun James tidak seganas Eli Roth, dan tidak dianggap sebagai pakar porno gore, tetapi francaisnya telah memperdanakan kenikmatan tersebut) ia suatu filem seram Amerika yang segar dalam antara banyak klise yang diberikan.

Menariknya, James Wan secara simbolik, telah menggunakan simbol "patung" dalam kesemua filem-filemnya, yang bersangkut-paut dengan lagu Metallica "Master of Puppets". Ideal Wan berkaitan dengan mekanisme "memanipulasi keterujaan penonton", teknik yang biasa dalam filem Hitchcock. Tetapi aku merasakan Wan mempunyai agenda lain. Apa yang penting, patung atau puppets memang berkait dengan pemahaman sosialis berkaitan kekuasaan borjuis terhadap kelemahan golongan buruh. Di dalam filem Wan pula, selalunya, si intelektual genius yang hilang pedoman moral, si ahli sihir tanpa hati, dan kini, SYAITAN merupakan dalang pemegang "patung" (manusia lemah).

Tampak berat, tapi filem Insidious sungguh senang diikuti (memang ia lebih kepada filem bertih jagung daripada filem seram berestetika seperti The Exorcist ataupun The Thing). Pembuakan emosinya mengikut butang-butang "manipulasi" tanpa kehalusan (macam pengarah Malaysia pula, ha ha!) Babak-babak kejutannya memang MENYERONOKKAN dan antara yang terbaik untuk tahun ini. Ia juga, secara pelik, menjadi antara filem seram buat "keluarga" (paling terakhir ialah The Sixth Sense). Aku gerenti, penonton elitis berbudaya tinggi dan bukan peminat seram seperti Zaidah dan Ridhwan akan seronok menonton filem ini.

Buat peminat seram, filem ini mungkin dipersoalkan (walaupun ia tidak begitu terlalu lantang) meminjam filem-filem seram terdahulu terbaik, The Exorcist ketemu Poltergeist ketemu Nightmare on Elm Street ketemu Shutter. Kalau dibandingkan dengan Poltergeist sekalipun, filem klasik itu menggunakan unsur gelap kepada terang kepada terang dan terang untuk menakutkan penontonnya (ini ideal Spielberg yang suka "cahaya" dalam filem). Filem ini menggunakan dasar gelap, dan "terang" hanya berlaku dan berlingkar dalam kalangan manusianya (ingat, manusia adalah patung/puppet dalam dunia Wan, bergerak atas kemahuan pengarahnya, tok dalang- sekarang rujuk "hantu-hantu" dalam filem ini yang kelihatan seperti patung dengan watak "pemain patung"). Aku terpaksa akur, Poltergeist lebih jauh memberi isi mendalam daripada filem ini.

Tetapi filem ini memang dibikin baik, cukup serba-serbi, lakonan baik, runut bunyi indah (dan minimalis, mengikut ideal The Exorcist). Malah ada satu plot, yang bolehlah aku berdiri dan tepuk tangan kepada Wan. Ini berlaku pada pertengahan filem apabila si ibu menyedari "sesuatu yang tidak kena dengan rumahnya" memohon si bapa untuk "pindah", suatu yang peminat filem rumah berhantu dah tahu takkan berlaku. Seronoknya, ia BERLAKU dalam filem ini!

Apa-apa pun, aku suka juga "bahasa" cahaya yang digunakan oleh Wan untuk filem ini. Sekali lagi aku kata, filem ini tidak susah untuk "difikir" jika kita mahu bandingkan dengan filem sebelum Wan (yang bergerak seperti sebuah puzzle), tetapi cara penyampainnya menarik. Klu diberikan pada awal-awal filem lagi dengan lampu yang tiba-tiba berpusing 360 darjah (kita faham di sini, kesan-akibat yang akan berlaku untuk watak tersebut yang memimpikan mimpi INI). Kemudian kita dipaparkan dengan watak ibu yang memasang lampu pada siang hari (simbol, dialah yang menyiasat dan menjadi witness segala kebongkaran rahsia dalam filem ini). Ketiga, kita akan lihat si anak yang berserta lanteranya memasuki loteng. Menariknya, ketiga-tiga watak ini, dengan jelas SUDAH menyatakan, ke mana dan di mana watak mereka akan BERAKHIR. Aku hanya akan nyatakan ini: watak pertama bermimpi. watak kedua di alam realiti yang menyedari "perubahan" apabila dia membuka lampu. Watak ketiga yang di bawa dengan syot-syot gelap bersama lanteranya, mencari dan menjelajah. Di sinilah, Wan lebih mementingkan teknik daripada estetika. Dan ianya tidak salah, kerana dia tahu, semua ini adalah semata-mata untuk "hiburan" walaupun dalam filem seram.

12 May 2011

Inilah Baru Filem Fiksyen Sains Terbaik Malaysia!

... dan aku terjumpa dalam satu video muzik pemuzik paling aku kagumi dan minati sekarang, MonoloQue:





XX-Ray (walaupun kiut), Brainscan: Aku dan Topi Ajaib, Syukur 21, dan Anita Dunia Ajaib tentu akan malu dengan filem di atas.

05 May 2011

Seru(2011): Redux & Showdown 2011


Semalam aku tonton lagi filem ini di pawagam, kali ni di GSC Mid Valley. Ha ha. Saje, sebab aku mahu meniti balik "perasaan" yang aku jumpa (serta meneliti pandangan Ridhwan Saidi bahawa filem ni suck), serta beberapa misteri yang aku mahu "buka". Ok, secara benar, filem ini memang boleh membuat korang pening, yang aku rasakan, memang, cara gerak kameranya "telah menyebabkan" hal ini (aku tak tahu jika [Rec] menyebabkan hal yang sama kerana aku hanya menontonnya dengan DVD). Kawan yang aku bawa banyak kali membingit kerana pening dan mahu muntah. Ya, dia tidak terhibur (dia tidak suka filem-filem sebegini).

Ini yang aku temui (ada banyak spoiler, jadi yang belum tonton tak usah baca):
1. OK, aku mengaku sound system merupakan antara penyebab utama kenapa sesebuah filem seram menjadi, dan ini amat penting bagi filem-filem moden sekarang (yang memerlukan kesan ini untuk mengejutkan - ini sebenarnya kesan yang menipu kerana sepatutnya, sebuah filem seram sepatutnya seram dengan hanya imej dan paparannya sahaja, sepertimana Nosferatu berjaya bangkitkan 70 tahun yang lepas).. Aku tak tahu mengapa, bila aku menonton dengan adik aku di GSC Pavilion "feel" filem ini "melitar" aku dan adik aku "seakan-akan" kita benar-benar di tengah hutan. Dengan kesan suara yang "bagus", aku menutup telinga (rahsia filem seram yang baik, khusus yang moden ialah suaranya, kerana suara yang sebenarnya menakutkan kita, bukan imej lagi dalam dunai pascamoden ini). Untuk tayangan Mid Valley semalam, aku langsung tak tutup telinga! Aku terpaksa melaporkan, sistem suara pawagam tu agak "suck", sebab "suara" yang aku dengar hanya "di hadapan layar" dan bukan kiri kanan dewan. Aku memerhati bahagian tempat duduk belakang, ramai penonton yang bingit dan kecoh, kerana suara "tidak jelas", malah ada yang komen "kenapa mereka tak letak subtitle?" Aku perhati, penonton di barisan tengah dan ke hadapan lebih "feel" kerana setiap kali berlaku "serangan hantu", sekumpulan budak perempuan menjerit habis, diam dan "meneliti" filemnya.

2. Kalau tak silap aku, ada 9 "orang" yang di"tangkap" hantu, termasuk Lina, termasuk dibunuh oleh mangsa perasuk. Sebenarnya, ada lebih kurang 6 orang, termasuk pelakon "utama" yang "berjaya" balik dengan kereta meninggalkan tempat penggambaran. "Pembunuhan" hanya berlaku bila bomoh orang asli itu mula "meletakkan sesuatu" ke dalam Sari (mengaktifkan hantu?) Bomoh sudah "merencanakan" segalanya dan tahu, "selebihnya" akan datang ke rumahnya selepas adegan pembunuhan. Oleh sebab itu, mereka yang sampai dihendap dan di"tatu". Antara empat yang ditatu, seorang menjadi "pengikut" - Azman (muntah-muntah dan pening setiap kali keluar suara mantera, tetapi ada teori yang menyatakan Azman kemungkinan sudah merencanakan hal ini dari awal, tetapi hal ini mungkin kontra dengan pilihan si pengarah yang sebenarnya memilih lokasi penggambaran, malah memarahi Azman kerana "tidak cari orang untuk pagar" - hal ini amat disukai oleh adik aku kerana "ini memaparkan budaya filem ni yang tidak ada dalam filem luar lain").

3. Ada yang mengatakan kegeraman sebab para kamera (si pemegang kamera) tidak berbuat apa-apa tetapi "merakam". Ini salah. Dua kali sang kamera sebenarnya melakukan keganasan, dengan kamera atau menerjang Sari yang dirasuk. Pertama oleh Budi, kedua oleh Tony (Tony gari Sari). Malah oleh sebab ini, kamera yang dipegang Budi mula "rosak", yang kemudian terdampar berdekatan rumah bomoh.

4. Mangsa yang dibunuh hanya boleh dibunuh oleh manusia yang dirasuk hantu, atau bomoh (bomoh mahu mengkelar Jeff pada waktu akhir), mereka tidak boleh dibunuh oleh "hantu" itu sendiri secara zahir. Ini dipaparkan bila Tony dan Sham masuk hutan dan dikacau oleh "hantu anak bomoh seakan Julie". Tony dibiarkan terjerut atas pokok, menunggu untuk si bomoh "mengutip"nya untuk sembelihan (di sini poin Ridhwan menarik, kenapa bila sampai sungai, tiba-tiba Tony dan Sham dapat "terus" kembali ke pusat krew,? Tetapi aku ambil undang-undang Blair Witch, serta Evil Dead yang mana, dalam dunia "hutan berhantu", perjalanan engkau membuat kau berpusing ke tempat yang dekat atau jauh (dan psikologi kamu waktu tu sudah menyasar). Ya, ini suatu rasionalisasi yang tidak ramai digemari penonton kerana mempunyai "jalan keluar" yang amat menyenangkan pengarah). Kita sedari, apabila "Sari" dibunuh oleh Jeff (ya, dibunuh), hanya kemudian, Azman muncul "dihipnotasi" (aku tak rasa dirasuk). Poin ini untuk menjawab kenapa mereka semua "tak boleh mati terus semua dalam satu masa, habis cerita". Poin kenapa Sari dipilih untuk melakukan hal ini (kenapa tak ambil saja seseorang yang lebih lelaki, besar dan gagah) masih samar, tetapi hal yang menarik ialah ia diambil kerana memberi klise wanita secara zahirnya lemah semangat, maka senang dimasuki, dan si lemah tiba-tiba boleh bersikap agresif. Itu yang menarik.

5. Kemungkinan filem ini sengaja dibikin sebagai "dendam" Pierre terhadap Idham. Pertama, Sam yang "buat filem seram untuk duit" dan "sudah banyak buat filem hantu" dibunuh, malah "penggambarannya" dimatikan. Siapa yang dirasuk? Penolong pengarahnya. Malah, penolong pengarah di sini yang "melenyapkan" krew-krew pilihan pengarah (ini berkait dengan poin "kelahiran semula", Pierre dan Ming Jin seakan-akan menyatakan, filem seram klise Melayu perlu dibersihkan dan dipakaikan baju baharu - kebangkitan "anak bomoh" di akhir cerita). Mungkin ini yang membuatkan Ridhwan menyatakan filem ini pretentious.

6. Aku tetap menyukai babak-babak jerit, serangan dan halunisasi kehadiran hantu dalam filem ini. Ya, ia boleh pergi jauh dari itu, tetapi setakat ini, dengan tidak mempedulikan "lagu" di tengah cerita, bagi aku sudah berjaya menimbulkan sesuatu yang baharu (sekali lagi, suara...)

7. Ada satu sahaja yang aku tidak berapa suka, terganggu mungkin. Aku mempunyai teori, bahawa pada akhir filem, bila "anak bomoh" dibangunkan, ia telah mengamuk dan "membunuh" ibu bapanya (kerana ia bukan roh manusia tetapi syaitan/jin, yang kita sudah sedari, diaktifkan untuk membunuh, klu ini berlaku bila jasad Julie yang dibangunkan itu mendengus, suatu yang bukan manusia). Azman tidak dibunuh kerana ia dibawah "hipnotasi". Manusia yang "sedar" tidak akan dikacau hantu (aku bayangkan Adam tidak sebenar-benar mati, mungkin dialah sole survivor filem ni). Aku bayangkan, Azman akan sedar pada pagi itu dan melihat semua orang sudah mati. Azman akan bawa pita rakaman itu kepada pihak berkuasa. Tetapi persoalan ini tampak "samar" bila ada satu babak yang sedikit dipersoalkan. Mengapa si bomoh, menyuruh Azman membawa kamera itu untuk merakam kebangkitan anaknya? Untuk apa? Malah ini membuatkan babak ini menyatakan Azman "sedar" dan mungkin telah merancang segalanya dengan bomoh itu (tetapi untuk apa?) Sudah dinyatakan, "kamera" itu terakam untuk bukti. Jadi mengapa, pita rakaman itu tidak dirosakkan jika hal ini mahu disimpan sebagai rahsia? Adakah Adam (yang kemungkinan melihat segala ini di suatu titik jauh) yang kemudiannya menjadi hero lantas membawa pita rakaman kepada pengetahuan awam?

Bagi aku, persoalan 7 itu sahaja yang mencacatkan filem ini yang terlancar begitu sempurna, kemungkinan sebagai "pembuka sekual" (Oh no!) Aku mengaku, [Rec] kiranya lebih berjaya dalam babak kalustofobik, dinding tutup, dan si syaitan yang menjelma lalu menarik si wanita (memerlukan kamera untuk cahaya) ke oblivion. Sedang filem ini, bermula gelap-gelap dan kemudian bercahaya terang dan terang (dari elektrik yang dimatikan, diubah kepada api yang primitif dan dari "zaman dahulu" yang amat terang). Sekurang-kurangnya, jalan dan gaya filem ini "betul" dan semahu-mahu aku (ok, jangan guna teknik hand held pun takpe) gaya sebeginilah filem seram kita sepatutnya, tidak buang masa, suspens membina, syot kejutan yang tiba-tiba tanpa amaran, tiada runut bunyi yang mengada-ngada, suara efek yang mengganggu, psikologi pelakon yang betul. Ini satu permulaan yang sepatutnya berkembang, seperti mana cahaya api yang kelam dalam rumah bomoh, menjadi bara besar di tempat pemujaan di akhir filem ini.

Showdown Cun!

Lepas pening-pening semalam aku balik. Aku cubalah tonton apa-apa di TV. Tuhan, aku tonton AF (ulangan di saluran 15), dan betapa tergamamnya aku menonton, betapa tidak menariknya program itu sekarang. Ini bukan sahaja atas persembahan (peserta yang entah yang mana, menyanyi lagu Latin, dengan tarian yang amat buruk sekali) tetapi termasuk cara program itu dilakukan, termasuk Aznil pun! Ada satu babak, Aznil membaca komen-komen FB, dan Aznil (kerana kita tahu perangainya) membaca tentang komen FB menyuruh peserta itu membuka baju. Saat itu aku terus geleng kepala dan tukar siaran (Aznil, serendah ini program itu sudah sujud?)

Kemudian, aku tertonton Showdown 2011. Wow, ini baru satu pertandingan yang benar-benar menarik. Ada semangat, ada kreativiti (daripada peserta), malah ada drama! Aku terpaut dan seronok menonton bagaiman gerak, bagaimana berlaku kitar "Battle" dan semangat peserta membuat tarian. OK, aku bias sikit, aku amat amat gemar dengan Panic (there I've said it) walaupun mereka guna latar muzik yang aku tak suka (Lady Gaga). Itu buat aku suatu perkara yang bagus (lagu yang tak sedap jadi best bila persembahan mantap!) Alamak, nampaknya, Rabu malam aku akan dipenuhi oleh Showdown, serta Jumaat dengan Maharaja Lawak (aku sangat-sangat suka lawak Nabil). Erk! Kematian sinema!

Baca lagi: Ulasan awal.