30 December 2010

Hina Sangatkah Sastera Melayu?

Yeap, kali ini aku bercakap fasal sastera sikit, tapi ia juga kena-mengena dengan filem.

Hal ini adalah atas reaksi aku terhadap Salbiah Ani baru-baru ini di Berita Harian yang memohon pihak persatuan penulis, DBP dan badan sastera lainnya bangkit memberi wacana yang adil terhadap INTERLOK, satu-satunya novel SN Abdullah Hussain yang bagi aku sangat-sangat sesuai difilemkan (aku pernah cuba-cuba tulis skrip mengadaptasi novel ini kerana kekuatan imej dan gerakan ceritanya yang indah sekali untuk dilayarkan).

Bagi aku senang sahaja, T Murugian seorang asshole, Interlok lebih daripada hanya Melayu lembik dan India Pariah, tetapi bagaimana dunia yang dijajah, yang mana golongan penjajah (buku ini sebenarnya tipikal novel neo-kolonialis, bagaimana golongan yang dijajah dicemik penjajah, maka dengan mengikut gaya dan ilustrasi penjajah terhadap mereka, mencipta 'sejarah' mereka tersendiri untuk bangkit daripada kelam penjajahan) dakyahkan terhadap masyarakat waktu itu. Novel ini tidak lebih dan tidak bukan hanya mencoret orang-orang kecil (BUKAN TOKOH BESAR ATAU PEJUANG BANGSA) yang melalui perubahan (rujuk juga novel Sandera, Lepaskan Aku Kembali Ke Laut yang mempunyai tujuan yang sama walaupun lebih politikal) zaman, dan bagaimana mereka boleh bangkit, membina sebuah negara dengan hanya melalui perpaduan (tiga kaum diberi latar penceritaan yang sama berat dan sama rata, falsafah Abdullah yang tersirat bahawa tiga bangsa itu tidak boleh bergerak jika masing-masing tidak mengenal antara satu dan masing-masing tidak diberi suara). Bagi aku, kerelevan perkataan "pariah" sepertimana novel Uncle's Tom Cabin, yang mana, mahu tidak mahu, golongan kulit hitam Amerika yang dipanggil "nigger" dan dibawa ke tanah itu sebagai hamba abdi diabadikan.

Murugian, usah jadi asshole sejarah. Malu sahaja!

Aku berkata hal ini, kerana ada dua lagi adegan yang berlaku yang membuat aku faham, kenapa novel-novel kita amat susah diadaptasi.

Senang sekali, orang filem dan karyawan seni, rata-ratanya, BUTA sastera kita sendiri.

Kes 1:
Aku pernah duduk semeja dengan seorang pengarah Melayu terkemuka, yang mana aku tanya direct, kenapa novel kita, kalau tak mahu novel sasteralah (sebab dulu kan S. Othman Kelantan pernah buat perangai bila U-Wei ubah novelnya, bodoh, ubah sikit pun buat tersinggung, sekarang U-Wei langsung takut nak sentuh novel Melayu) novel popular pun boleh. Lantas aku terangkan bagaimana novel Ramlee Awang Mursheed yang menunggu sahaja untuk difilemkan (tak payah saga Laksamana Sunannya yang mungkin mahal bajetnya, ambil saja novel-novel modennya), Anis Ayuni, Salina Ibrahim dan entah berapa banyak lagi penulis yang jadi jutawan yang menunggu novel-novel mereka untuk ke layar. Aku siap bagitau pengarah tu bagaimana novel-novel itu terjual beribu-ribu naskhah.

Pengarah itu boleh kata, "Oh, saya baru tahu tentang hal ni..!"

Serius aku tergamam! Berapa ramai pengarah, penulis skrip dan penrbit filem di luar sana mempunyai kenyataan seruan yang sama dengan pengarah tersebut?

Kes 2:
Abang aku kenalkan seorang penyanyi lelaki, kira hebatlah rumah ayah aku hari tu, seorang artis bertandang di rumah. Dalam bercakap punya bercakap, si penyanyi ni (yang aku tahu tak kenal sastera Malaysia) terus-ternag menyatakan, "novel JK Rowling tu memang novel fiksyen sains yang amat hebat!"

Huh?

Elok sangatlah KOMSAS diperkenalkan, agar anak-anak muda, lebih-lebih lagi anak bukan Melayu yang tak kenal sastera Melayu kenal sedikit apa itu SASTERA. Jangan fasal mengejar Wawasan 2020, sikap masyarakat kita hanya kenal JK Rowling, Transformers, dan Lord of the Rings dan tahu NAK BERHIJRAH KE LUAR SAHAJA.

Fasal itu, aku menulis, sebagai nota editor dalam Dewan Masyarakat dalam talian baru-baru ini, kenapa sudah tiba masanya, sasterawan dan pembikin filem duduk dalam satu ruang dan berbincang! (yeap, Dewan Masyarakat dah ada web!)

Majlis-majlis seni macam Maskara Shorties sudah pun menyediakan tapak untuk kedua-dua golongan ini bersatu dan bertemu (aku percaya, golongan sasterawan penat nak ke UiTM tonton filem percuma, dan golongan pembikin filem penat nak pegi dengar forum sastera di DBP kalau mereka rasa tak bawa untung), jadi seelok-eloknya mereka kenal-mengenali. Jadi DBP, Finas, bila lagi kalian mahu lakukan sesuatu untuk menyatukan kedua-dua pihak ini??

ps: Aku masuk Gua.com arituh, berceritakan 3 filem terbaik, dan 3 filem terburuk Malaysia sepanjang 2010.. tengoklah!!

28 December 2010

Janin(2010): Semuanya Kerana Eja

Aku respek kat Hitler Zami. Filem pertamanya, Dunia Baru bagi aku seronok dan ada semangat anak-anak muda Melayu, walaupun mungkin, hal ini tidak mungkin akan dipersetujui oleh Ridhwan Saidi.

Hitler sendiri pernah mengarah beberapa telefilem seram, yang bagi aku, segar dalam mengikat watak muda dalam latar kampung dengan hantu-hantu tradisi zaman berzaman. Aku tak ingat, tapi kalau aku tak silap, Godoruwo lakonan Diana Danielle merupakan sebuah contoh yang baik. Aku suka dengan temponya, latarnya, suara malamnya, lakonan cerita itu, detik ngeri sehingga kepada menakutkan, semuanya terjaga dengan baik sebagai sebuah telefilem.

Hitler juga pernah membikin filem VCD berdasarkan majalah Mastika (di dalam filem ini, hal ini dijadikan rujukan dalam sebuah babak) yang bagi aku ada potensi, tetapi hancus dengan sebuah babak drama radio yang teramat panjang.

Janin kali ini nampaknya mengembalikan kembali kesemua yang bagus tentang Hitler dan kumpulan produksinya, serta kecacatannya.

Aku mulakan yang cacat.

Ada tiga perkara yang menyebabkan filem ini CACAT.

Pertama, mahu tidak mahu, walaupun intrig dan beberapa drama dalam filem ini menarik, kita seakan menonton sebuah cerita pendek yang diperpanjang-panjangkan. Kisah filem ini sangat lurus dan terang, jadi adalah menggusarkan apabila kita diperlahankan dengan beberapa babak yang terlalu tampak dilewah-lewahkan. Aku tidak kata konsep dan drama dalam keluarga Eja-Hairi tidak menarik, atau watak-watak orang kampung tidak menarik, hanya, pembinaannya terlalu mengambil masa, semacam sebuah drama Stephen King yang "membina watak" yang agak lama.

Sebenarnya, aku setuju dengan cara Hitler memilih untuk memperbanyakkan watak dalam kampung, dan hal ini, semacam sedikit Dickensian, semacam novel Stephen King, juga Shanon Ahmad dan Keris Mas, menampakkan dunia "kampung" itu hidup dengan sebuah komuniti (orang kampung tidak pernah individualis, sepertimana yang dipaparkan secara didaktik terhadap orang jahat dalam filem ini). Masalahnya, penjelasan kepada matlamat (dalam filem ini, menangkap si pencuri) tampak lemah, dan hal ini boleh diperkuatkan lagi dengan reaksi dan aksi orang kampung. Aku kira, beberapa filem seram Indonesia lama pernah melakukan hal ini dengan baik sekali pada 80-an.

Kedua, ada beberapa teknik suara dalam filem ini yang lemah, kadang-kadang kita tidak dengar suara si pengucap (seakan-akan boom suaranya dihala tempat salah!). Ini membuakkan memori aku terhadap babak-babak Heaven's Gate tanpa suara yang membunuh kerjaya Michael Cimono sebagai pengarah yang boleh bekerja dengan Hollywood.

Ketiga, aksi seramnya. Serius, Ahmad Idham, walaupun menggunakan aksi seram klise dalam Damping Malamnya, aksi-aksi itu "memeranjatkan". Hitler mempunyai beberapa babak yang tampak kuat untuk melakukan hal ini, tetapi tidak dimaksimumkan sebaiknya. Ada tiga babak yang tampak tidak dipergunakan dengan baik dalam filem ini. Satu, bagaimana tangan isteri Zami Ismail "dimakan". Kedua, babak tuan punya hantu janin dibaham oleh hantu janin (adakah kerana LPF babak ini tiba-tiba fade out??) Ketiga, babak Munah digilis batu.

Serius, adakah kita tidak ada kareograf dan tukang aksi seram yang betul-betul memahami "detik", ruang, jeda untuk membuakkan tempo seram? Sampai hari ini, tidak ada satu filem seram Malaysia yang boleh aku rasa seram dan takut dan merasakan efeknya berkesan, serius masih belum ada. Selalunya, antisipasi sudah terbina baik, tetapi hasil akhirnya tentu mengecewakan. Mungkin kita hanya boleh mencapai tahap renungan bulat mata Kak Limah sahaja (kerana itu aku ketawa setiap kali Kak Limah muncul, ia begitu mencuitkan) atau seperti filem ini, si penakut terkencing melihat si hantu bertenggek di pokok.

Dalam kecacatan ini, filem ini mempunyai jiwa yang indah, yang sudah lama aku tak jumpa. Aku teringat akan filem-filem "seram" moden Robert Aldrich yang mencampur-baur kehidupan semasa perempuan ala melodrama-noir untuk menampakkan kesuraman dan kegelapan jiwa manusia (hal ini lain dengan ejekan Roman Polanski yang lebih tajam dalam filem-filem seram urbannya). Hal ini, diletakkan di atas bahu si wanita Eja untuk mengangkatnya, dan bahu Eja agak berjaya menanggung beban ini.

Menariknya, filem ini bukan sahaja berkenaan alam ghaib (rujukan ghaib filem ini, berkaitan dengan bunyi dalam laut bila hantu itu muncul, juga memberi klu kewujudan hantu itu, yang juga berkait dengan simbolisme kuat, bagaimana LAUT meliputi bumi. Rujuk babak awal yang mana laut memenuhi skrin dan hanya sebuah rumah kayu tercacak di tengah laut - survival manusia terhadap alam yang dia tidak kenal begitu membahayakan, juga begitu simbiosis terhadapnya. Ini suatu penanda yang amat indah diluahkan Hitler) tetapi berkenaan lelaki dan wanita yang wujud di dunia. Kita dapat lihat bagaimana dinamisme sosial, juga psikoseksual yang berlaku di antara golongan tua dan golongan muda, yang terikat dengan tanggungjawab (golongan tua) dan mempunyai keinginan dan nafsu (golongan muda), dan bagaimana kalangan bodoh (atau diumpamakan bodoh walaupun mereka tidaklah begitu, ini satu pandangan menarik Hitler terhadap anak muda kampung, nilai ini sangat positif) dan pandai menjadi penentu dalam dinamisme lelaki-wanita, tua-muda ini.

Dalam segala tanda sosial, pecahan strata sosial, peranan jantina, Eja, di sini, berada di tengah-tengah komuniti patriaki dan mendepaninya dengan sifat wanitanya yang benar. Hal ini berkait kembali dengan "laut" tadi (atau air, yang mana simbolnya selalu negatif, di sini juga). Laut ini, mahu tidak mahu, seakan mempersonafikasikan Eja, dalam segala keghaiban dan misteri (laut ialah misteri! itulah ikatannya yang indah dengan alam ghaib!), wanita lebih menjadi "misteri" yang masih tidak dapat dikenali oleh lelaki atau masyarakat. Jiwa wanita yang dalam tidak boleh disangka, seperti dalamnya laut. Sebab itu, dalam pengakhiran filem ini yang mengejutkan, orang tidak dapat "memahami" tujuan Eja melindungi "anak"nya. Hal ini jauh "dalam" untuk diselami. Babak akhir itu, sekali gus sedih dan juga menakutkan, mencapai aras-aras emansipasi jiwa gelap wanita, sepertimana filem-filem Robert Aldrich. Malah, aku merasakan, Hitler dan penulis skrip filem ini, Wan Hasliza sengaja membikin filem ini untuk berdakwah secara senyap kepada para pasangan muda belum nikah: JANGAN BUANG BAYI! Malah, itulah rentak yang dimainkan oleh Hasliza dan Hitler dalam membandingkan pasangan golongan muda (yang tidak ada tanggungjawab berat) dengan golongan tua (keluarga membawa tanggungjawab). Dan hal ini diikat, sepertimana tanah dan laut diikat sebagai alam yang diperlukan, dengan indah sekali.

Hanya aku tak sedikit setuju, apabila Eja diberi RUANG sebagai wanita yang meletakkan keputusannya (dia merangkul hantu itu), dipujuk-pujuk oleh Harith Othman. Mungkin, Hitler menyatakan dengan kebenaran sosial, bahawa sang lelaki tetapi membenamkan ruang para wanita berperanan. Tetapi, secara sinema, aku menyukai jika pada masa ini sahaja (dan sememangnya ini masa Eja!) diberikan kepada Eja dan Eja seorang (meratap atau menyatakan apa dia rasa).

Lakonan filem ini baik, khusus Eja sebagai wanita kampung. Aku amat menyukai lakonannya. Beberapa pelakon muda juga tidak mengecewakan. Bunyi dan runut bunyi filem ini juga menarik. Tangkapan kamera filem ini juga menarik, walaupun aku tidak berapa setuju dengan terlalu banyak sorotan layar (panning) yang dilakukan. Aku harap Hitler tidak terlalu masyhuk dengan gaya ini seakan raja panning si Rashid Sibir. Lagipun, filem seram banyak memerlukan syot fokus dan suntingan satu-dua saat, dan bukan lenggok kamera yang beralun ke kiri dan ke kanan. Efek filem ini masih lemah, lebih-lebih lagi dalam jelma-hilang si hantu, tetapi solekannya agak cun, walaupun tidak seram, ia membawa detik hantu-hantu Indonesia zaman 80-an yang mengkagumkan.

Filem ini ditonton untuk melihat kehebatan Eja, mainan dinamisme komuniti (yang aku lebih setuju dalam Hantu Kak Limah Mamat Khalid yang lebih seimbang dan tampak peranan-peranannya mengikut gerakan plot) kampung, serta panas dingin masyarakat terhadap sesuatu yang pelik. Filem seram ini sudah dekat mengena sasaran, tapi terkandas dek beberapa hal yang boleh dibaiki jika diberi masa yang lebih panjang untuk menggulatinya.

14 December 2010

Atas Sebab Kuasa Sinemanya, Aku Keluar Panggung ...


Aku tonton Rakhta Charitra dalam versi Tamil (aku sudah tonton Bahagian Pertama dalam versi Hindi bulan lepas) semalam yang berdurasi dua jam setengah. Kekure memaklumkan aku bahawa versi ini merupakan Bahagian Kedua filem tersebut.

Atas sebab itu aku pegi tonton ...

Di Capsquare, siap penjaga tiket tanya, "Betul ke nak tonton filem Tamil ni?"

Bila cahaya mula kelam dan cerita bermula, Ya Tuhan, cerita ini (seperti makluman Wikipedia) merupakan cantuman Bahagian Pertama dan Kedua! Aku rasa gusar kerana Pratap Ravi (lakonan mantap Vivek Oberoi) yang aku kenal dan sayang dalam Bahagian Pertama dicincang-cincang perwatakannya lantas menjadi seorang watak yang "jahat" (kesemua latar keluarganya, kembara ceritanya kenapa dia terpaksa mengganas dipendekkan tanpa justifikasi yang kuat). Ini sangat maklum kerana versi Tamil ini "memenangkan" anti-hero yang lebih dekat buat penonton majoriti Selatan India, iaitu Surya (Maddelacheruvu Suri). Memang, sejak Surya muncul di layar, wajahnya diikonikkan dengan babak slomow John Woo dan gaya ketuhanan.

Aku rasa agak janggal dengan versi Tamil ini kerana bukan sahaja ianya TERLALU cepat bercerita, dan sangat menekankan aksi daripada drama (80% drama dan intrig serta kuasa emosi yang aku tonton dahulunya hilang lantas semacam sebuah filem aksi Yusof Haslam yang bertaraf lima bintang!) tetapi banyak adegan ganas yang aku dapat tonton dahulu termasuk dialog celanya telah dipotong kotor oleh LPF, aghhh, tensen!

Bila sampai ke "Bahagian Kedua" filem tersebut, rentak dada aku bergegar. Ada sebuah babak yang sangat bergaya memaparkan bagaimana dunia Pratap Ravi ini akan ditumbang-balikkan oleh Surya (Surya dan konco-konconya datang bom kereta Pratap). Secara literal, memang, tangkapan kamera tiba-tiba mengguling tiba-tiba dengan perlahan sewaktu orang Pratap mengejar Surya, malah rasa seakan diri tidak mencecah graviti! Aku rasa mahu hendak menangis, Ram Gopal Varma aku sedari mencipta sebuah adikarya yang sungguh besar, lebih-lebih lagi dengan mengambil petikan Mahabrata berkenaan "dendam merupakan emosi paling asas" dan Mahatma Gandhi berkenaan keganasan "mencipta keganasan". Sememangnya dunia filem ini seakan satu gelombang pening yang tidak dapat lagi melepaskan anda. Lingkarannya yang penuh, menyedut anda dalam dunia ganasnya dan anda terus terpusing tanpa arah keluar di dalam sedutan puting beliungnya!

Aku dapat merasa (kerana menonton versi terdahulu, penonton Tamil tidak akan dapat merasainya) bagaimana jiwa di atas jiwa disamarkan dan terlalu sentap emosinya bila dua filem ini bersatu dan bersenggama, lebih-lebih lagi dengan pemahaman "dalam setiap kerja keras kita, akan ada lubang dan cacing yang cuba masuk ke dalamnya", dan hal dendam dan kuasa diperahkan dengan emosi yang sangat asas (marah, sakit jiwa) seakan-akan membenarkan Mahabrata dahulu bahawa peperangan dan pembunuhan sesama manusia itu tidak dapat dihindari kerana ianya merupakan naluri utama manusia itu sendiri!

Dan kerana pemotongan demi pemotongan yang bagi aku masih tidak memberi justifikasi Surya, ibunya, dan isterinya untuk bersikap "mengentam" Pratap, aku sudah tidak dapat tahan. Pada babak keluarga Surya dibom, dengan gegaran emosi (inilah hal yang mensabitkan kesalahan Pratap, dan mainan dramanya, ohhh, setaraf mana-mana drama Greek atau Shakespeare!) suara dan rasa Surya pada tahap terhitam, poin yang mana dari detik itu, kita (penonton) mengikuti terus CERITA DARAH Surya walaupun masih bersimpati dengan Pratap!

Filem ini sememangnya lari daripada segala yang kita faham tentang Bollywood. Ini sebuah filem besar yang bagi aku, disempurnakan setelah beberapa filem Ram Gopal yang terdahulu.

Setelah itu, aku menyedari, tidak, aku takkan puas walaupun aku dapat menonton akhir cerita filem ini, maka, aku terus keluar, mendengar Pratap Ravi berucap dalam Tamil (waktu itu beliau berhadapan dengan isterinya yang menyedari perbuatan suaminya, sangat babak Al Pacino dan Diane Keaton dalam Godfather!), tidak pandang-pandang lagi, tetapi memegang dalam diri aku, Ya Tuhan, indahnya sakit yang aku simpan, yang aku jumpai dalam filem itu.

Aku mahu curahkan perasaan itu bila datang Bahagian Kedua nanti!



13 December 2010

Jika Apakolips Berlaku ...

Aku rasa, Mamat Khalid tak main-main bila dia nak bikin filem Apokalips. Apokalips (atau apocalypse, novel aku pun kita guna tema tu lah, post-apocalypse) menyatakan dunia serba kehancuran dan kerosakan. Alegori itu menyatakan sifat udara pembikinan filem sekarang.

Di industri TV sahaja, aku dengar daripada seorang kawan yang bekerja dalam industri, bagaimana pendeknya masa bikinan dan ciputnya kos perbelanjaan bagi sesebuah drama siri (sekarang kau faham tak kenapa kita tak ada ongkos pengarahan seni yang profesional atau setaraf luar?), jauh sekalilah sang penulis skrip hendak dapatkan royalti daripada siaran ulangan sebuah dramanya. Jadi terhasillah drama-drama cukup makan (rujuklah Tower 13 yang bagi aku, kandungan ceritanya tahap gaban buka mata tapi garapan seni dan tekniknya kurang memuaskan) dan cukup muat (asal siap boleh) yang terpaksa dibikin atas kerana kerahan orang atas (orang stesen TV).

Takkan korang nak tengok drama yang gerak tang tu, tang tu jugak? Tak nak berevolusi? Takkan korang dah jadi macam "dumb box" atau nama rasminya, televisyen yang pasif sedap kena isi macam bayi menghisap susu ibunya? Oh, aku lupa, korang memang gila TV kan? Apa taknya, di sebuah rumah kayu nak tergolek di tengah kampung Terengganu pun, ada piring ASTRO, ya, RM1000 gaji kau lebih baik bayar untuk SIARAN tak sampai 20 di Astro daripada kau beli sebuah BUKU yang harganya kurang daripada sewa langganan Astro sebulan.

Baru-baru ini suatu kepolosan yang sedang berlaku, tetapi baik Mat London, Fuad Onah, dan mana-mana ketua persatuan, juga Ketua Pengarah FINAS tak bersuara bila Kerajaan melupuskan rebat cukai hiburan 20% yang diberikan kepada pembikin filem kita sebelum ini. Apakah pihak yang bertanggungjawab tidak meneliti dahulu sebelum memutuskan hal ini? Serius, sudahlah nama FINAS tercela sejak akhir-akhir ini, dari kontroversi FFM hingga kemandulan FINAS dalam melakar satu strategi menaikkan nama industri, dan kali ini, seperti yang dinyatakan oleh Anwardi Jamil, nampaknya FINAS dan Kerajaan sengaja men"trigger" satu semboyan supaya industri kita yang baharu hendak membangun secara ekonomi (dan ini belum bercerita tentang kandungan!) sudah dicantas!

Berapakah pembayaran balik kepada Kerajaan (yang dahulunya dikecualikan) jika contohnya sebuah produser filem menayangkan filem pada tahun itu? Akhir ini, kebanyakan filem perdana, belanja pembikinan filem menelan secara purata RM1.5 juta (zaman sudah lain, ini bukan era 90-an lagi!) Bayangkan titik pulang modal sekarang, bukan lagi kutipan bersih RM 1 juta yang kita ingat (ingat zaman filem Fenomena berjaya capai titik satu juta pada 1990, betapa gembiranya kita zaman tu, ingat tak?) dapat menampung kembali kos membikin filem tersebut. Cuba selidik kebanyakan filem perdana yang ditayangkan. Sekurang-kurangnya, filem yang mencapai RM2.5 juta bolehlah mendapat pulangan bersih yang BOLEH MENERUSKAN pembikinan filem oleh satu-satu syarikat. Sekarang, kira berapa filem Malaysia yang melebihi titik RM2.5 juta untuk 2010? Kalau tak silap aku, hanya ada enam filem sahaja daripada 20 filem lebih yang ditayangkan(!) yang boleh MENGHIRUP NAFAS LEGA. 14 yang lain?

Patutlah Mamat Khalid buat Apokalips. Sekarang baru aku faham.

Memang, kini ada golongan pembikin dan pengikut filem bebas (indie) yang aku turut serta meraikan (malah bagi aku, filem-filem mereka lebih mencabar dan menyeronokkan dari segi kandungan), malah tayangan filem MASKARA Shorties, majlis tayangan filem secara kecil di universiti-universiti sudah mula berkembang bagai cendawan. Ini satu hirupan udara segar yang amat memikat sedang berlaku, yang memaparkan suara berani dan benar anak-anak muda terhadap coretan lanskap dunia sekarang serta industrinya. Tetapi bukankah baik, malah aku percaya, ramai anak muda yang ingin cross over ke dunia perdana atau sekurangnya filem mereka dapat ditayangkan kepada umum, Ridhwan usah membangkang dalam hal ini, kerana rakan-rakan persatuan filem anak muda, pembikin filem indie dan pelajar filem yang aku lepak di Indonesia memang mahu melihat filem mereka dikenali oleh satu dunia kalau boleh (inilah azam anak muda orang Indonesia, lihat!), malah sememangnya SEDANG BERLAKU pun dengan arus pertama dengan Riri Riza, Rudi Soedjarwo, Nia Dinata, Rizal Montivani dan beberapa lagi yang bermula sebagai pembikin filem bebas dan pelajar filem. Kini lihatlah filem-filem anak muda Indonesia yang berleluasa memberi saingan terhadap golongan tua/veteran, baik dalam aliran bebas serta perdana.

Bayangkan, jika anak-anak muda yang mula memberi warna terhadap jalur indah komuniti indie ditahan untuk menyampaikan kreativiti mereka kerana kerisauan penerbit filem (sudah tentu mereka risau bereksperimen, lantas menggerakkan formula yang sama dan mengulanginya, tidak mahu berubah). Lihat sahajalah dengan filem Dayang (yang menjadi Lembing Awang Pulang ke Dayang) yang hendak digerakkan oleh seorang anak muda tetapi kerana ketidaksanggupan penerbit untuk melayan permintaan perbelanjaannya, lantas ditukar dan kita dapatlah pengolahan seorang pengarah tua yang reput kreativitinya dan reputlah lagi hasil kerjanya. Jadi bayangkan jika pelupusan rebat tersebut berlaku, akan jauhlah lagi anak-anak muda dipanggil oleh Grand Brilliance atau Tayangan Unggul untuk membikin filem kerana kepastian mereka dicurigai dan nafas mereka sudah ditutup oleh Kerajaan.

Tidakkah FINAS mahu membuat sesuatu? Oh ya, aku terlupa, FINAS kini mungkin sedang sibuk menyediakan majlis selamat tinggal mereka kepada Ketua Pengarah FINAS yang akan berakhir kontrak Disember ini. Lalu mulalah politiking berlaku. Aku jumpa semalam di Mingguan Malaysia apabila Siti Jarum (aku tahu siapa engkau Siti!) menyatakan pendiriannya terhadap anak-anak FINAS sendiri untuk menerajui FINAS.

Aku nak tanya juga Siti ni yang nampaknya menulis bukan secara jujur tetapi mempunyai agenda, serius Siti, kau KENAL betul ke dengan orang-orang FINAS dan cara kerja mereka serta betapa TERIKUTnya mereka dengan BIROKRASI? (nota: mana-mana negara luar, mereka tahu industri kreativiti tidak boleh diurus dengan birokrasi, jika itu berlaku, hancur luluhlah industri tersebut. Rujuk bagaimana negara seperti Thailand yang dulunya hampir-hampir hancur industri filemnya tetapi naik mendadak kerana tiada sangat campur tangan Kerajaan dan agensi, rujuk juga Korea Selatan yang mana pengaruh persatuan filemnya amat kuat dan membuat kerja untuk orang seninya [Kalau di Korea Selatan hal macam ni berlaku, anak-anak seni dah mula berpiket depan pejabat Putrajaya atau FINAS, mogok seni], sehingga filemnya terus gah melawan jiran-jirannya!) Mungkin Siti yang berkahwin (ya, Siti sudah berkahwin) dengan seorang sasterawan ingatkan FINAS ini seperti DBP. Tak Siti, memang DBP itu sesuailah jika Ketua Pengarahnya dari kalangan orang Dewan sendiri sebab DBP sendiri ialah PENERBIT BUKU. Tetapi fungsi FINAS lebih kompleks dalam MELINDUNGI dan MEMBANTU berapa puluh penerbit filem seluruh Malaysia, adakah dengan cara A-Z ikut buku orang FINAS boleh melihat satu strategi baharu membangunkan industri SETELAH REBAT CUKAI HIBURAN PUN DAH DITARIK?

Bagaimana mahu selesaikan masalah kekosongan jawatan ini? Tuan Rais Yatim yang menjadi Godfather industri ini setakat ini perlulah bijak meneliti mainan politiking yang berlaku antara orang-orang kuat filem sekarang, rujuk kronologi satu-satu perkara yang berlaku dan lihat kenapa segolongan orang merasa dengki berlumat dendam terhadap beberapa tokoh, siapa yang tampak MENJUAL LEBIH karya mereka untuk kepentingan diri dalam kerusi empuk nan baldu yang mereka duduk, serta mereka yang betul-betul mahu membuat sesuatu untuk industri filem kita. Teliti kembali kenapa orang tu bersuara macam tu dan apakah agenda yang mereka pikul (apakah mereka cuba membawa ke hadapan sebuah filem untuk diluluskan) dan bagaimana pula orang yang betul-betul melihat filem yang ada potensi untuk difilemkan.

Sememangnya, SUARA SEBENAR yang mengenal sakit dan keluh-kesah industri filem kita (sepertimana yang berlaku di Korea, Thailand, Indonesia dan lain-lain negara) ialah pembikin filem kita sendiri. Merekalah yang merasai sakitnya bila rebat itu dilupuskan (adakah Mat London terasa, ohh ya, Kantoi pun dah kantoi), mereka yang terasa bila apa-apa dasar dan perintah atas ditelunjukkan terhadap mereka, mereka yang merasa patah bila penonton kurang menyambut filem Malaysia. Jadi, jika benar-benar Rais mahu jadi perwira dalam industri ini, seeloknya Rais dengarlah rintihan pembikin filem yang BERMAIN dalam pencak gelanggangnya dan bukan di tepi gelanggangnya sahaja, para penerbit filem dan pengarah filem secara majoriti dan usah risau dan takut dengan suara-suara sekumpulan bukan majoriti yang mendendangkan suara lain dalam hal industri filem. Cuba Rais tanya, tanya Mamat, tanya Aziz, tanya Rohani, tanya Afdlin, tanya Adman, tanya Hatta, tanya Gayatri, tanya Suhaimi, tanya Yusof, tanya Norman, tanya Rahim, tanya Hafsham, tanya Amir, tanya David, tanya pengarah filem muda, siapa yang mereka lihat layak dan perlu mengisi kerusi pemimpin FINAS.

Rais hanya ada 2 minggu sahaja lagi, sebelum apokalips 2012 benar-benar berlaku dan sudah tidak ada masa lagi untuk berpusing membantu industri ini bernafas semula seperti sedia kala.

11 December 2010

Hantu Kak Limah Balik Rumah(2010): Zomba yang Memikat

"Kak Limah dah jadi zomba!"- Hussein


Aku adalah kumpulan penonton yang amat menolak Zombi Kampung Pisang apabila ia mula ditayangkan pada beberapa tahun dahulu. Bila sekuelnya dikatakan diteruskan oleh Mamat Khalid, aku skeptikal. Semalam aku menonton filem ini dalam pawagam yang penuh. Aku memaafkan Mamat Khalid selepas menonton filem ini.


Yang bagusnya, walaupun filem ini meneruskan watak dan latar watak yang sama daripada filem terdahulu, kau tidak akan tersesat kerana filem ini boleh berdiri dengan sendiri, malah memberi pemaknaan baharu dan pengisian yang baik dengan filem terdahulu.


Dalam hal makna sahaja, filem ini mempunyai tanda-tanda subtle yang cukup memikat, khusus terhadap hal kenegaraan, sosial dan politik Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu. Aku tidak mahu bergerak ke arah itu kerana aku percaya, ramai pengkritik akan mengupas hal-hal itu. Aku lebih tertarik melihat filem ini sebagai filem, dan sebagai filem, ianya penuh dengan gags dan homaj yang amat menggelikan hati, turut menyoal para penonton, "Jadi, begini anda mahu terhibur?"


Persoalan itu mungkin sahaja diagak pesimis, tetapi tak. Nawaitu filem ini sememangnya untuk berhibur. Perlu ingat, Mamat sedang dalam perjalanannya memahami kultur dan keinginan penonton Melayu (dan ini menyedihkan, etnik lain masih menolak menonton filem buatan kita). Apa yang Mamat sedar (sedari Zombi Kampung Pisang lagi) bahawa genre komedi dan seram merupakan genre yang secara tidak sengajanya disukai oleh para penonton kita (aku kata tidak sedar kerana kita belum lagi berjaya membikin filem bergenre jenayah, sejarah, biografi, adaptasi yang benar-benar ikonik). Maka itulah yang Mamat berikan dalam filem ini.


Ada beberapa sisi yang aku suka dengan kritikan sosial Mamat, khusus kepada budaya penontonan dan cara karya kita dihidangkan kepada massa. Kita tonton secara sedar drama di TV tentang "zombi" yang amat memualkan. Ini diperkaitkan dengan pemahaman TV sebagai "dumb box". Kita juga mendengar Hussein menyatakan "Tak tengok Akademi Fantasia ke Kak Limah?" kepada "Kak Limah". Secara menarik, Mamat menyatakan bagaimana pengisian kandungan TV kita telah "memperlekehkan" intelektual masyarakat, dan secara "menyindir" dibikin oleh orang kita juga! Hal pasif masyarakat "yang menerima sahaja" apa yang keluar dari "dumb box" itu terpampang dalam komuniti mereka, apabila mereka senang "terpengaruh" dengan satu atau dua tokoh yang menyerlah. Di sinilah kita dapat teliti bagaimana Mamat menunjukkan satu-satu massa kampung "mengikut kata" tanpa membuat telahan atau takulan dahulu berkenaan satu-satu hal (paling nyata di sini, hal Kak Limah), malah lebih senang terpedaya dengan "cerita-cerita" (ini kritikan Mamat terhadap kepercayaan masyarakat terhadap cerita dalam Internet) walaupun ia ditokok tambah.


Malah secara menarik, cerita dan budaya luar menjadi "pengaruh pertama" bagi masyarakat Melayu pascamerdeka. Kita diperlihatkan bagaimana budaya Kampung Pisang yang suka menggunakan istilah Inggeris (yang kadang-kala salah), menyanyi lagu luar (ada Latin dan Inggeris!), lebih mengenali NANG NAK daripada hantu kita, dan pelbagai lagi "anasir luar". Aku suka dengan sebuah babak yang aku rasa disengaja tampak "palsu" oleh Mamat, iaitu babak Sofi Jikan sebagai bomoh menyatakan dia ke Mesir melawan mumi. Jika penonton boleh kaitkan, mereka akan tersedar akan "pembohongan" yang dilakukan oleh pembikin filem Indonesia yang memberi kita cerita-cerita latar Mesir "yang menipu" (filem Ketika Cinta Bertasbih mempunyai bulan CGI yang amat menipu), tetapi penipuan yang dilakukan ini diterima dengan baik oleh masyarakat kita (kerana selalu menganggap, yang dari luar semuanya bagus). Di sinilah Mamat menyindir masyarakat kita yang double standard, terkena betul-betul dengan batang hidung kita, syabas Mamat!


Ada beberapa detik yang ikonik dan kultus dalam filem ini yang aku puas digarap dan diadakan oleh Mamat dengan indah sekali. Malah semua babak "sindiran" Mamat ini dibikin secara selamba maka penonton tidak akan menyedari diri mereka sedang "dicuit". Lihat sahaja babak nyanyian "Solei" antara Usop dan Ali, ianya amat ikonik dan terlalu sesuai berada di tengah-tengah filem ini (inilah masa Mamat meminta kita menenangkan kepala). Malah babak MTV muzikal yang tiba-tiba antara Hussein dan Cik Nin juga merupakan babak muzik "yang perlu" termuat. Selalunya penonton akan "cringe" bila babak-babak lagu sebegini wujud (to kill time kata mereka). Tetapi Mamat mengambil rujukan homaj filem-filem Melayu lama yang penuh dengan babak sebegini pada tempat, ruang dan masa yang amat tepat. Bagi aku, kesemua babak yang ada dalam filem ini terletak elok pada tempatnya.


Satu lagi penambahbaikan yang dibuat oleh Mamat yang meninggikan prestasi filem ini adalah dengan bulatnya, Mamat mengenali dan mengolah para wataknya dalam bentuk massa yang terjaga dan penuh vibrant. Jika kita tonton Zombi Kampung Pisang, kita akan menyedari chaos massa dan cara tangkapan massa terlalu berpecah dan tidak seimbang. Di sini, Mamat berjaya menentukan setiap watak dan peranan serta fungsinya dalam satu-satu babak, dan kesinambungannya kepada babak lain. Rujuk sahaja babak waktu malam apabila penduduk kampung bergerak ke rumah Kak Limah, atau babak-babak di warung, atau babak di balai, kesemua watak disusun dan diletakkan pada tempatnya yang betul. Felinisque karnival (ensemble cast) Mamat sudah sempurna, malah berjaya mencipta identiti dan acuan Mamat tersendiri, malah inilah filem yang paling sempurna dalam memaparkan ensemble castnya.


Aku juga amat kagum dengan runut bunyi filem ini (juga dibikin oleh Mamat dan seorang kawan) yang begitu terjaga, rasa seram dan sesuai mengikut cerita, ia tidak terlalu slapstik bunyinya dan tidak terlalu hingar, orang kata, just nice untuk atmosfera filem ini.


Filem ini merupakan filem yang baik dan antara filem Malaysia yang seronok tahun ini. Filem ini terus meletakkan Mamat di suatu tempat yang boleh memahami nuansa masyarakatnya dan mengetuk serebral mereka, tetapi masih boleh terus menghiburkan mereka.

Nota: Analisis Hanael yang menarik tentang filem ini.


10 December 2010

The Social Network(2010): Dunianya Putih dan Biru

"Untuk parti itu meletup, kau kena pastikan ianya kool." - Mark Zuckerberg.

Ada tiga cara untuk menonton filem ini, sepertimana ada tiga bentuk penonton yang akan mengerumuni filem ini.

Pertama ialah golongan IT nerd dan geek, atau mereka yang seumpama dengan itu (baca: Nazim Mannawi, ha ha ha ha), di mana filem ini akan menghidupkan segala bentuk fantasi yang mereka mahu imbaukan tentang kehidupan - awek seksi mengajak main, kau kaya dan dihormati golongan cantik dan hodoh, kau boleh tidur pada bila-bila masa kau suka, apa-apa yang kau kata adalah kool, kau diberi parti tapi kau bercadang kau tak kuasa nak layan sebab kod dan siber lebih penting, mamat beefcake bengang gila ngan kau sebab kau lagi kool. Filem, sepenuhnya, memberi gula-gula manis kepada golongan ini (dan inilah jawapan kenapa filem Hackers dahulu lakonan Angelina Jolie dibantai oleh golongan ini serta laman webnya digodam). Cara menonton filem ini, relaks, terhibur, dan ikut lencongan cahaya!

Kedua ialah golongan rakyat biasa yang cuba memahami golongan nerd dan geek. Segolongan daripada mereka akan turut menyatakan bagaimana "dekat"nya filem ini mempersembahkan golongan mamat geek di kampus, dan bagaimana mereka terhibur dengan peragaan mereka, idea mereka, cara cakap mereka dan segala yang tampak impresif sebagai sejenis makhluk yang di luar kod normal. Separuh pula mungkin, tidak akan peduli dan melihat budaya, cara, dan kisah golongan ini dan menuduh mereka hanya sebagai "segolongan lagi umat manusia yang Tuhan beri otak tapi mengejar dunia" (yeap, ini golongan fundementalis agama). Cara menonton filem ini, tonton filem ini berkali jika mahu memahami nuansa dan gaya hidup golongan ini, maka bolehlah diperturunkan kepada anak-anak supaya mereka juga boleh pergi ke Harvard.

Ketiga ialah, mengenali Aaron Sorkin dan David Fincher, Sorkin penulisnya (adaptasi daripada buku, hah, buku lagi, FAHAM tak Ridhwan, you just have to start from something), dan Fincher pengarahnya.

Sorkin sebenarnya lebih dikenali sebagai penulis siri drama The West Wing. Kekuatan Sorkin ialah dialog, khusus dalam retorik dan penjelasan. Sorkin suka mencari dan mengenal pasti "kebenaran" dalam hal-hal samar. Ini tampak jelas dalam skripnya, A Few Good Men. Kononnya, skrip ini menyatakan "sejarah". Di dalam filem ini pula, Sorkin mengambil sudut perbicaraan tertutup antara sudut Mark Zuckerberg-Eduardo Saverin-kembar Winklevoss. Hal ini membentuk perspektif yang berlainan antara tiga sudut berkenaan. Tetapi ini bukan Rashomon, kerana Sorkin "menggerakkan" kepelbagaian perspektif ini (kadang-kala bersilang, kadang-kala bertentang, seperti rangkaian sosial!) untuk menjurus ke satu penghujung yang sama. Kebanyakan drama dalam mahkamah mempunyai plot yang sama sebenarnya. Ambil sahaja The Last Exorcism of Emily Rose, anda akan jumpa pergerakan motivasi yang sama. Apa yang penting di sini ialah retoriknya, adakah ia memadai? Cara susunan, cara pembukaan dan penutup, ia amat-amat memuaskan daripada Sorkin.

Malah teks Sorkin dikatakan telah menenggelamkan auteur David Fincher, seperti kata-kata Leonard Maltin dalam ulasannya. Aku rasa tak. Jika dilihat, bermula dengan Zodiac, dan seterusnya Benjamin Button, Fincher mula melukiskan watak lelaki latar Amerika yang obsesif dalam pencarian (dalam filem ini, pencarian Mark Zuckerberg untuk menyempurnakan Facebook menyerlah kuat daripada, hal kekayaan). Watak-watak ini "susah" hendak didekati kerana sikap self-absorb dan sentimen mereka terhadap diri dan "kerja" yang mereka lakukan. Ini sebenarnya sindiran Fincher sendiri apabila ramai pengkritik menggelarkan filem-filem lamanya (Se7en, Fight Club, The Game) sebagai "syok sendiri" (pretentious). Secara kebetulan, hal ini juga menjadi rujukan terhadap pemahaman abad ke-21 yang banyak memberi sumber dan ruang teknologi kepada manusia. Secara menarik, ketiga-tiga filem termasuk yang ini membiarkan watak lelakinya seorang untuk menyoal dirinya dan punca kehadirannya dalam zaman itu. Dalam ketiga-tiga filem, watak Mark Zuckerberg yang paling menarik dan paling berjaya diangkat ke layar.

Filem ini dimulakan gelap. Gelap di sini sebagai petanda normal, prakejadian (di sini, kewujudan Facebook) dan "zaman gua". Babak gelap awal ini berlaku di dalam pub di mana anak-anak muda Harvard bertemu untuk minum, bersosial dan berpacaran (penanda kepada kewujudan Facebook). Satu "pertikaman lidah" sedang berlaku di antara Mark dan Erica (Rooney Mara). Ini adalah babak "pivotal" filem ini kerana di sini, malam ini, babak ini, secara nyata dan tersirat, pokok filem ini "dibina". Pergaduhan yang berlaku menyebabkan Mark berang dan mencipta satu laman yang nakal tapi bijak, dan ini akan terbawa ke pembinaan Facebook. Mark akan keluar dari pub "seorang" dan berjalan "as a nobody" dalam kalangan pelajar Harvard. Lihat secara teliti, anda akan sedar, babak ini gelap dan watak-watak tidak terkumpul kepada Mark (sedangkan pada malam yang sama, satu komuniti kampus berkumpul). Inilah matlamat pertama filem ini yang buat aku paling mengena. Secara jelas, filem ini menggambarkan bagaimana seorang anak muda tidak ada fitrah dalam berhubung (komunikasi). Keseluruhan filem ini berkenaan hal itu (gagal untuk berhubung). Ini merupakan ironi yang paling jelas (dan dijawab pada akhir filem) apabila seorang anti-sosial (daripada perspektif orang normal) boleh mencipta sebuah media sosial yang menjadi alternatif komunikasi yang paling terulung setakat ini.

Kita kemudian mengikut masuk ke dalam bilik Zuckerberg, dibuka lampu, lantas kita sedar, satu "eureka" akan berlaku.

Tetapi paling penting, dengan segala kebijakan Zuckerberg, adakah hal ini akan membantunya menyatakan yang sebenar, apa yang dia mahu nyatakan kepada seorang yang paling dicintainya? Aku melihat, seakan ada kesamaan filem ini dengan Citizen Kane (selain daripada dua-tiga watak yang membuka cerita yang menjurus ke satu arah). Sebenar-benarnya, Citizane Kane menceritakan tentang kehilangan "innocence" dan "cinta pertama", setelah apa yang dia kecapi. Adakah perumpamaan "Erica Albright" merupakan "Rosebud" Zuckerberg? Ini yang mungkin menyebabkan Zuckerberg "seronok" dengan filem ini.

Filem ini juga sebenar-benarnya, sepertimana suara hati Fincher hendak katakan, merupakan "dunia sunyi imaginasi". Akhir filem ini, kita tidak akan memahami mengapa Zuckerberg mengkhianati kawan terbaiknya (punca yang diberi dalam filem ini kerana keuntungan syarikat, tetapi Fincher dan Sorkin tidak memberi penjelasan yang tepat dan membuka lubang akan hal itu), dan mengapa Zuckerberg tidak melawan habis dengan kembar Winklevoss. Hal-hal ini dibiarkan enigma, sepertimana persoalan pencipta sebenar Facebook itu sendiri. Tetapi paling jelas, filem ini menyatakan, Zuckerberg yang tidak pun menyedari bahawa wataknya "sunyi" dan tidak dihargai (dia mahu sangat dihargai) meneruskan suara filem sejarah yang memaparkan pemimpi-pemimpi besar yang sering-kali tidak difahami manusia, seperti Patton, Gods and Monsters, Lawrence of Arabia, dan Amadeus. Filem ini mengisi "fantasi" itu untuk menyatakan dunia-dunia karya ciptaan manusia itu indah, tetapi anda tidak akan dapat memahami kenapa ia dibina, walaupun apabila cahaya diberi dan lampu dibuka. Malah, secara sindiran, filem ini menyatakan, Facebook tetap tidak "memuaskan" Zuckerberg, walaupun pada akhirnya. Hal ini merupakan enigma yang paling menyengat.

Jesse Eisenberg yang berlakon sebagai tauke Facebook sangat tepat menangkap jiwa seorang genius yang terperangkap dalam dunia yang tidak mahu mengikut katanya. Walaupun wataknya "pelik" dan "celaka", ia memberi ruang untuk kita menyukainya. Sebagai watak "nominasi Oskar", Andrew Garfield sebagai Eduardo Saverin layak mendapat penghargaan berikut. Justim Timberlake juga tidak mengecewakan sebagai seteru Eduardo serta sang legenda Napster.

Paling aku kagum ialah runut bunyi filem ini yang menggunapakai suara permainan video 80-90an serta synthesizer yang berjaya membuah emosi benar. Malah nada lagunya membuak emosi bahawa filem ini sebenar-benarnya sebuah dunia emosi yang menakutkan dan celaru, mendekati filem seram, yang sememangnya akan dan sudah pun berlaku terhadap watak-wataknya tanpa mereka sedari.

Secara peribadi, aku tidak berapa suka dengan filem ini kerana maksud jujurnya terhadap dunia abad ke-21 yang tidak lagi mengikut prosedur dan normaliti, tetapi perubahan-perubahan yang laju dan bersikap individualiti dan kepentingan diri (rujuk satu babak, Zuckerberg dinyatakan tentang Bosnia, negaranya tak ada jalan, tetapi dah ada yang guna Facebook), tetapi sebagai pengolahan sebuah filem yang jujur terhadap makna mencipta sebuah idea tentang individualisme yang berjaya memahami realiti sosialnya, filem ini merupakan antara filem terbaik tahun ini.

08 December 2010

2 Felem Melayu Dekat-dekat Maal Hijrah

Pertama sekali, arwah Yasmin masih bolehlah terkekeh apabila festival filem Asia Pasifik (FFAP - buat kalangan pembikin filem, ni kiranya festival filem tahap nyamuk, walaupun dah lama bergerak) memberi beliau anugerah "Pengarah Terbaik" untuk Muallaf. Errmmm, tak faham kenapa Malaysia tak hantar Evolusi Kl Drift 2, bukankah pengarahnya menang baru-baru ni di FFM? Dan ya, Magika sebagai Filem Terbaik FFM tahun ni tak bawa balik apa-apa dari FFAP.

Hebat tak juri-juri kita?

Apa-apa pun, tahniahlah kepada filem-filem yang dipilih ke FFAP tahun ini.

Di bawah ini pula aku ringkaskan dua buah felem yang aku tonton dekat-dekat Awal Muharam yang mana aku boleh gerenti juga takkan boleh menang mana-mana festival. Oh ya, kita buat filem untuk untung kan, bukan untuk menang.

Saya Tak Bodoh(2010)

Boris Boo, kalian kenalkah? Yeap, aku pun tak kenal tapi aku rasa dia mesti mamat Singapura yang diberi peluang mengarah filem adaptasi I'm Not Stupid karya Jack Neo yang sangat terkenal di Singapura.

Premisnya sebenarnya menarik filem ni, malah adaptasi yang mencuba, dibikin oleh Hassan Muthalib nampak seimbang. Hanya pelaksanaan skrip ini ke filem yang tampak lemah. Banyak sangat babak yang kelihatan tidak disusun atau distruktur dengan baik, ditambah dengan kemalasan pengarah untuk menggunakan banyak suntingan laju dan sudut tangkap yang lebih menarik.

Tapi babak pendidikan seks dalam filem ini memang "priceless". Ini adalah kerana ia digerakkan dengan semangat anak-anak yang tidak memahami seks. Babak ini amat menarik.

Aku tak suka Amy Mastura dalam filem ni, dia sebenarnya tampak penyayang dan motherly, dan cara dia dibawa memarah dan meleter seakan-akan dibuat-buat walaupun dia mencuba (Amy pernah melanda watak yang lebih mencabar dan bagi aku, ini kekuatan Aziz M. Osman membimbingnya). Pelakon yang berlakon jadi Sudin tu boleh pergi jauh, kalau dia tahu pengarah dan skrip mana yang boleh membawanya jauh. Adibah Noor menyeronokkan dalam filem ini.

Tetapi aku tak tahu mengapa, didaktik tipikal Jack Neo tampak masih tidak sesuai sangat untuk filem ini, Hassan Muthalib. Mungkin kerana cara "pengajaran" yang berlaku dalam filem ini tampak "biasa" dalam Opera Cina, yang sebenarnya wujud dalam wayang kulit kita (watak Wak Dogol atau Wak Seman yang membaiki keadaan) tetapi di sini, cara ia tersusun tampak sedikit artifisial. Hal ini merupakan kretiviti Hassan dan Boris untuk memahami dengan mendalam lagi jenis tempat dan ruang yang boleh dimainkan, dan muka memasukkan kesemua watak dalam satu babak dalam satu tempat pada satu masa.

Ngangkung(2010)

Ada tiga dialog yang aku ingat dalam filem ini.

KTM - Kuda, Tutu, dan Mak-Nom!

"Ohh, beristighfar, Islam lagi rupanya!"

(yang ketiga, nanti ...)

Sebenarnya filem ni seronok dan ada babak seram-komedinya memang menjadi, malah poin didaktismanya bagus (jangan guna benda syirik untuk main judi yang haram), tetapi sekali lagi, cara pelaksanaannya boleh dibikin dengan lebih baik. Tetapi secara plot, filem ini memang ada plot.

Aku sebenarnya tak lah jumpa apa-apa daripada filem ini, selain aku menyedari, lawak, walaupun ia sejanggal dan sebodoh mana, ia boleh mengeluarkan ketawa, dan hal ini bukan selalu dan bukan senang dibikin. Ini dipanggil lawak "gags".

Contohnya, dalam filem Airplane!, banyak "gags" yang amat-amat menjadi dan lawak, yang diteruskan dalam mana-mana filem berbentuk rujukan. Gags menjadi dan hanya akan menjadi jika penonton yang dikaitkan mengetahui makna simbol yang dimainkan (selalunya merujuk kepada budaya popular setempat).

Dalam filem ini, sebuah babak memberinya dengan baik dan secara tiba-tiba. Pada waktu itu, si pelakon Senario Lan Pet-pet (melakonkan watak ini dengan baik sekali) masuk ke rumah si mangsa yang dikacau hantu, apabila dia mengheret hantu itu keluar rumah (dengan mencubit telinga hantu itu), si wanita jatuh pengsan. Si suami memangku isterinya di depan ruang tamu. Tiba-tiba Lan Pet-pet kembali dengan kamera digital di tangannya, lantas mengambil gambar, dengan dialog ketiga yang aku ingat: "Senyum semua, nak masuk Facebook..."

Si isteri yang pengsan tiba-tiba bangun dan tersenyum.

Yeap, babak ini sungguh hiperbola sebagai sebuah aksi yang logik, tetapi seluruh anggota dalam pawagam tergelak ribut kerana babak ini, kenapa? Yeap, kaitan budaya popular yang sungguh kuat terhadap situasi babak itu (cemas). Ini dikaitkan pula secara tidak sengaja dengan keriuhan masyarakat untuk "menangkap" aksi dan gambar cemas lantas dimasukkan dalam YouTube, Facebook atau media sosial baharu untuk dikongsi (sepertimana Uncle Seekers lakukan berkenaan Tuanku Aisyah). Persoalan ini menarik sebagai komentar sosial, yang mana filem ini serta filem atas cuba dan agak berjaya untuk nyatakan kepada masyarakat.

Tetapi pengakhiran filem ini, walaupun patut dan kena, seakan dilaksanakan kurang bermaya.

Bukan apa, ada yang beritahu aku, Ngangkung bakal lawan Adnan Semp-It yang bagi aku masih banyak babak-babak lawak yang genuine. Bagi aku, tak, filem ini masih tidak ada perencah lebih yang boleh mencapai tahap filem Saheizy Sam sebelum itu.