27 June 2009

2 Filem Bilazim untuk Konsiderasi

Buat masa ini, tidak ada filem yang benar-benar mengujakan (paling terakhir adalah kecantikan Sell Out!), walaupun tahun ini, sekali lagi, berlaku revitalasi filem-filem sai-fai (ada beberapa yang aku terlepas), Angels & Demons sangat menyeronokkan, malah Terminator: Salvation yang dikatakan "bising" oleh sesetengah pihak sebenarnya sebuah filem yang sangat menarik dalam pemahaman "mesin yang mengenal dirinya manusia" seperti kebanyakan filem zaman pascamoden ini yang melangkau keupayaan HAL (paling baik dilakukan dalam siri Battlestar Galatica), malah revitalasi Star Trek di bawah J. Abrahams sekali gus satu penghormatan dan pembukaan yang baik. Transformers? Entah, aku tidak terlalu teruja menontonnya, mungkin sebab dukacita terhadap yang pertama, lagi-lagi watak lewah Shia Le Bouf (tipikal si pemuda Yahudi kelengking yang fikir hebat dan takkan mati walaupun di tengah-tengah gempa bumi kereta dan bangunan ranap) yang mendapat Megan Fox (oleh sebab Bumble Bee? Aku pun tak tahu macam mana nak mula) dan mendapat jawapan rahsia semesta daripada sepasang cermin mata dalam ebay, ditambah dengan kiasan "oh, lihat padang pasir - bukankah aku dah kata Iraq penuh dengan teroris dunia yang mengancam Amerika, dan nama teroris ini ialah Decepticon?!" Gezet kedua pun ada kena mengena dengan padang pasir. Entah, aku rasa tersinggung. Mungkin 2012 lebih menarik walaupun aku tak berpeluang langsung menonton ayam belanda Roland Emmerich tahun lepas.

Ada beberapa DVD yang berjaya aku habiskan yang sedikit sebanyak baik. Battlestar Galatica (BSG) sebuah siri yang melangkau ekspetasi, dan pertama kali dalam seumur hidup aku, aku dapat menonton siri sai-fai yang berjaya mencapat makna "trescendence science" yang pernah dibawa oleh 2001 dan Close Encounters. Oh ya, jangan lupa Bio-Nik di TV3 hari Isnin malam, tulisan Fairul Nizam Ablah, penulis skrip Bola Kampung dan beberapa komik tempatan.

Ada beberapa lagi siri DVD tetapi tidaklah begitu menarik untuk diperkatakan. Aku menemui dua DVD filem bilazim ini yang agak membuka mata kerana tempatnya dalam sejarah filem subgenrenya serta tempatnya dalam sinema. Kadang-kadang, aku nak juga berubah angin.

Breakfast On Pluto(2005)

Sedutan ini untuk Mama Zack yang tergila-gilakan Cillian Murphy. Jika Mama Zack mahu tahu, Cillian juga sudah berlakon sebagai seorang pondan, dan Cillian seorang pondan yang sangat berkesan dalam filem ini, menjadikan lakonannya dalam filem ini sebagai lakonannya yang terbaik dalam kerjaya lakonannya.

Neil Jordan selaku pengarah yang pernah membawa The Crying Game, Company of Wolves dan Mona Lisa, telah membawa sebuah filem separa cerita pari-pari moden yang menangkap retrospektif cambah politik England sewaktu 70-80-an. Patrick/Patricia "Kitten" dalam Cillian Murphy merupakan tenaga "segar" yang kompleks tetapi senang didekati untuk memahami jalan konflik politik dan ketidakwarasan zaman itu, mengikut sensibiliti golongan British yang prokonservatif. Kononnya ini sebuah filem benar. Kitten dari Ireland dibuang oleh ibunya di depan pintu seorang paderi. Bila besar, Kitten mahu mencari ibunya di London, dan Kitten, seorang "tidak bersalah" akan ditelan oleh kerakusan kota London.


Dibuka setaip lembarannya seperti sebuah buku (ada bab yang panjang, ada yang pendek, semuanya disunting dan disusun dengan cukup teratur) yang cantik - kita tidak hanya mengetahui perjalanan seksualiti-transformasi "Kitten", tetapi penerimaan Kitten terhadap hidupnya dan apa yang dia cari sebenarnya dalam hidup. Ya, penemuan "sense of belonging" adalah tema utama filem ini, berkait rapat dengan pergolakan Utara Ireland waktu itu yang dibelenggu teroris IRA dan cengkaman tentera British terhadapnya.

Ini antara filem Neil Jordan yang berjiwa, tanpa banyak memperah sentimentaliti penonton, ditolong kerana Cillian Murphy tidak pernah bertindak keterlaluan (semangat mesranya dalam waktu-waktu gelapanya sangat mendebarkan). Ada beberapa rujukan terhadap Stephen Rea dengan Crying Game, In The Name of the Father, dan Paris Texas. Dalam komedi, dapat ditemui tona-tona sedih yang tidak melodrama. Pilihan lagu sempurna dari awal hingga akhir.

Filem ini jawapan Britain terhadap Milk dan Before Stonewall. Perjuangan hak kesamarataan mereka bergerak senyap (seperti IRA) tetapi penuh kecenderungan untuk didengari dan diperbuat sesuatu, ia secera sendirinya akan matang sendiri dan bergerak kuat. Sensibiliti liberalisme 80-an British betul dalam hal itu.


Hard(1998)

Judul filem ini satu penipuan, seperti lingkaran filem ngeri seram ini. Ya, filem ini melangkau apa yang Crusing pernah lakukan. Aku tidak begitu peduli tentang itu (dari segi kepentingan sejarah) tetapi kepada detik-detik sinematik yang berjaya diimbaukan dalam filem ini. Filem ini berjaya menangkap semangat ngeri dan seram yang dicipta Silence of the Lambs. Lakonannya buruk, tangkapan kameranya amatur tetapi dialognya serangup filem-filem noir zaman 40-an.


Ceritnya dua jalur, seorang polis jabatan kes bunuh dalam dilema seksualiti, seorang psikopath yang membunuh anak-anak muda jalanan. Dua watak ini (walaupun tampak tidak rasional tetapi ia berlaku) bertemu dan berlakulah satu kejar-mengejar, si polis takut dibongkar tentang hidup gelapnya, si psikopath pula sebenarnya mencari sesuatu untuk berkongsi kesunyiannya dan hajatnya. Beberapa persoalan kelakian ditonjolkan (apakah sebenarnya yang mendefinasikan lelaki) serta peranannya (suami - ayah - budak - remaja).

Banyak imej yang dipermainkan di sini. Psikopath memilih sebuah teater usang sebagai tempat dia menjalankan "mastrerpice"nya. Tragedi Yunani disulam konsep teater sebagai ritual agama berlaku. Termasuk "topeng-topeng" yang sangat dikecam oleh psikopath sebagai "hipokrisi" kaumnya. Tetapi hal ini sendiri terlalu kelabu untuk disampaikan. Sememangnya, watak psikopath dalam filem ini benar-benar satu watak yang kontradiksi terhadap tujuan dan falsafahnya. Kadang-kadang kita tidak boleh mempercayai jiwanya. Lecter pun kalah dalam hal ini.

Setiap plot disusun elok, beberapa babak yang santai lawak disulam pembukaan kes. Beberapa babak ngeri seperti mayat mangsa dicampak dari jambatan, babak-babak "neraka" mangsa dalam tangan sang psikopath (babak akhir) mengimbau sisi gelap S & M serta Jeffrey Dahmer (sebuah babak kereta ditahan polis mengimbau episod Dahmer ini). Paling menarik adalah perhubungan kompleks si psikopath dengan seorang suami orang sekali gus anak bawah umurnya. Kita semacam "dipaksa menyaksikan" perhubungan bilazim si psikopath ini untuk mencari motif "kemanusiaan"nya (sama dibikin dalam Henry: Potrait of a Serial Killer).

Sebuah filem yang masih perlu dikaji, kerana persoalannya yang relevan tentang lanskap dan persekitaran yang membentuk bilazim dalam manusia, atau pilihan manusia itu yang menentukannya. Filem ini memperkatakan beberapa.

07 June 2009

Perca-Perca Filem Jun 2009

Buat bulan ini dan bulan lepas, aku hanya mengambil beberapa detik dan peluang untuk menonton, maka pemilihan serta pengalaman tidak banyak yang mencernakan "keseronokan menonton", atau filem yang betul-betul buat aku ingin menulis, maka filem-filem di bawah ini mungkin tidak ada lagi, tetapi perlu diletakkan sebagai memaklumkan pengalaman seronok (atau drama) ketika menontonnya.

$ell Out!(2008)

"Don't butt me! I hate when people "but" me!"
Lim Teik-long(?)

Filem ini bukan sahaja "landmark" oleh sebab filem ini menandakan persahabatan aku dengan Kekure berakhir di situ sahaja, serta bagaimana pengarah muda tersohor Azharr Rudin yang mengajak aku menonton filem ini (selepas selesai Bek-Woh Masakara dan sebelum Induksi Umum aku yang memenatkan untuk 18 hari di Sg. Congkak) memaklumkan kepada aku sesuatu yang membuatkan aku takut dan tidak mahu lagi mengulas tentang filem (aku tak nak tulis di sini, sebab kalau aku tulis, nampak sangat aku cakap besar dan SS karang, dan ya, ada juga kena-mengena dengan Pak Hassan Muthalib, A Wahab Hamzah serta Jhebat! - Azharr, nantilah ya, aku masih tergamam lagi, hahaha) tetapi filem ini "landmark" kerana penayangannya yang sangat kena pada saat sinema Malaysia sedang benar-benar melalui satu pencerahan (baik buat filem-filem bebas atau filem-filem perdana). Keseluruhan filem ini menyatakan sejujur-jujurnya tentang sofistikasi. Pusatnya satira. Kutukan/pujaannya kita orang Malaysia (tak mungkin masyarakat yang lain).

Aku suka lakonan Jerrica Lai. Tapi aku lagi suka Kee Thuan-chye dan Lim Teik-long(?). Dua tuan besar yang mengironikan segala yang kita tidak mahu mengaku tentang hidup. Lakonan mereka adalah "highlight" filem ini buat aku. Orang mengatakan filem ini mengutuk penggayaan "lembap" filem-filem "art house" yang keluar daripada pembikin filem-filem bebas Malaysia atau filem-filem 80-an yang perlu "menunjukkan semua", jauh daripada itu, filem ini cukup tersunting baik, cukup acuannya, cukup sebab kepada akibat, serta cukup mengangkat "seni" di balik "art house".

Filem ini meletakkan filem-filem James Lee, Ho Yuhang, Yasmin Ahmad dan Tan Chui Mui pada tempatnya. Pengkahirannya adalah pengakhiran paling sempurna tentang "apa yang kita mahu kecapi dalam filem". Ia menyakitkan untuk menyalin estetika dunia, lebih menyakitkan bila kita membiarkan diri kita tidak sedar akan proses itu. Inilah Sell Out!

Paling membimbangkan, aku agak terganggu malah banyak kali merasa kusam dan murung setiap kali filem ini bergerak ke arah klimaksnya. Orang melihat pada arah politik atau idealismenya. Aku melihat pada kebenarannya. Dan aku amat-amat terganggu. Yeo Joo Han benar dalam hal itu. Kita tidak dibenarkan berubah. Sell Out! ialah kupasan jujur tentang itu setakat ini, sebuah filem distopia yang sudah pun berlaku.

Talentime(2009)

"Tunjukkan saya caranya (untuk memutuskan cinta) kerana saya tidak tahu."
Mahesh (dalam bahasa isyarat)

Kiranya aku memungkiri janji aku untuk tidak mengulas filem ini (walaupun sedikit) oleh sebab hadiah yang diberikan oleh Kak Min kepadaku akan tayangan pra filem ini. Tetapi aku nak buat juga (dengan pendek) oleh sebab aku tidak perlu lagi mengatakan sayonara kepada Kuala Lumpur. Ya, aku akan kembali kepada natif aku.

Aku ingat lagi, pada hari tayangan pra filem ini, Kekure menyatakan kepadaku bahawa filem ini adalah filem "terlalu" Kak Min "she's overdoing it". Ada kebenarannya di situ, tetapi kita kena lihat kenapa- kali ini ceritanya (atau fokus ceritanya) terletak pada cerita Mahesh (lakonan baik anak muda ini yang tidak perlu mengucapkan dialog. Gerak-gerinya sudah begitu mampu menggerakkan. Aku tontoni lakonan beliau dalam Cerekarama TV3 Abom dan beliau agak teruk bila bertutur), lalu kita sedar filem ini filem "kecil" Hindustan Kak Min (ada drama, komedi, tragis dan paling penting, nyanyian ad lib(!) dan tarian, yang mungkin tak mengikut turutan yang ditulis).

Penggayaan Hindustan (atau Kollywood? Tunggu filem Estet oleh Mamat Khalid) selalunya melebihi realiti tangkapan dunia (macam minyaknya Salaam Bombay! kepada airnya Kuch Kuch Hota Hai) dan digerakkan dengan "berlebihan" (semangat orang India memang sebegitu, mereka ekspresif diri dengan lebih, maka warna, gerakan dan cakapan juga penuh "arusnya"). Oleh sebab itu, ramai yang tampak filem ini filem paling "mainstream" oleh Kak Min dan paling senang diikuti (kesemua cerita yang dihidangkan diselesaikan dengan gaya biasa). Yang mengganggu orang ramai ialah tempo filem ini.

Oleh sebab ramai yang sudah ternampakkan gaya "popular" yang ingin dibawa (walaupun bukan) oleh filem ini, kita disampaikan dengan babak-babak tanpa suntingan seperti shot pak cik Mahesh yang dimandikan sebelum hari perkahwinannya. Ini merimaskan penonton umum yang sudah menangkap gerakan yang mengikut perspektif biasa. Hal inilah yang menarik untuk diperkatakan, kerana apa yang kita mahu/lihat/jangka tidak memberi kita jawapannya. Hal ini dibuka pada awal filem apabila kita melihat satu babak "dewan peperiksaan" dibuka.

Perspektif orang Malaysia "senang" apabila melihat hal ini: satu saingan sedang berlaku - ini dibawa pula kepada pertandingan "Talentime" untuk mengasah bakat-bakat para pelajar sekolah yang baru habis periksa itu. Adakah hidup ini ada untuk bertanding, kita bertanya. Nampaknya seperti soalan-soalan enteng tetapi soalan-soalan sebegitulah yang ditanya oleh seorang pelajar, konteks filem ini sebenarnya - generasi muda. Akhirnya, di akhir filem, kita sedar (tanpa banyak perlu berfikir) bahawa generasi muda kita OK dalam perlumbaan mereka untuk belajar tentang dunia. Malah Kak Min memberi jawapan idealismenya tentang masa depan Malaysia (budak-budak ini lebih memahami hal-hal yang selalu dibuat kompleks oleh orang tua, katanya). Malah peperiksaan itu (atau Talentime itu) hanya rencah pada hidup yang sebenar - untuk bersama-sama dengan manusia lain. Tidak ada kalah dan menang sebenarnya. Hanya interaksi. Hal inilah yang membuat ramai orang menuduh Kak Min berdakwah dan tidak membiarkan cerita bergerak sebagai cerita. Buat aku, hal ini subjektif, sepertimana Gubra (buat aku, Mualaf lebih kental sifat dakwahnya). Ia boleh dibuka dengan pelbagai inisiatif- wawasan, mimpi, utopia, eskapis.

Paling menarik ialah reaksi. Ada reaksi penonton Malaysia yang menangkapnya sebagai "realiti", ada yang mengatakan ianya "dakwah", ada pula yang melihatnya secara "surreal". Pelbagai pengalaman inilah yang menimbulkan persoalan menarik, bagaimana setiap individu ini "melihat" kepada perkembangan masyarakat kita. Paling mengejutkan, ramai penonton muda melihatnya sebagai "realiti" (jika ditinjau blog-blog serata maya), dan ini tentu satu perkembangan sihat bukan?

Talentime mungkin ada cacat-celanya (lakonan kurang baik Howard Hon Kahoe sebagai contoh), tetapi sebagai piawai filem yang baik, ia antara filem terbaik Malaysia buat 2009 sepertimana Sell Out!

Taksi(1990)

Aku baru sahaja selesai menonton VCD filem ini (lihat kulitnya, ya itulah kulitnya yang aku beli di KB Mall beberapa bulan lepas, sambil diberi jelingan nakal oleh gadis promoter yang tidak sedar pun VCD ini dijual di kedainya, sampai kawan aku yang menonton bersama bertanya, "zaman ni kan orang Indon suka buat filem lucah?" - serius aku tak tahu!) bersama ayah aku di sini (Kota Bharu).

Filem ini sangat baik sehingga ia membuat aku terus tergerak untuk mengulasnya. Filem ini menjadi pilihan aku juga apabila kekasih Azwan mengatakan inilah filem terbaik Indonesia buatnya. Aku terpaksa akur, walaupun kemungkinan secara teknikalnya filem ini wujud lima tahun ke belakang terhadap sofistikasi pembikinan zamannya, filem ini jauh sepuluh tahun dari segi cerita, dialog dan jiwanya. Sememangnya filem ini filem urban yang melampau zaman.

Jika Arifin Noer masih hidup dan melakukan tugasnya sebaik ini untuk filem-filem seterusnya (Bibir Mer mempunyai pergerakan dan semangat yang sama), beliau tentu jauh ke hadapan daripada Pedro Almadovar dalam penggarapan filem wanita atau pasca melodrama, malah Almadovar tentu mengkagumi mendiang pengarah tersohor Indonesia ini. Malah kalau dibuat persamaan (kecuali Noer tidak pernah memilih genre misteri Hitchcock), cetus emantisipasi Meriam Belina dalam filem ini sama semangatnya dengan Carmen Maura dalam Mujeres al borde de un ataque de nervios(1988): hati retak ditipu lelaki, perlu mencari tempat berdiri, mendepani kebenaran dan melepaskan kemarahan. Rano Karno sebagai Giyon memaparkan kematangan yang mengejutkan, seorang graduan falsafah yang memandu teksi. Setiap dialognya mencuitkan, penuh wit serta berkesan ("Adakah wanita gemuk itu malaikat rahmat buatku, atau seharusnya malaikat itu gemuk?") lalu bertemu Meriam Belina yang tertinggalkan anaknya di dalam teksinya untuk satu pertemuan yang terlalu penting (kerana terdesak).

Awal filem ini disumur dengan komedi dan semangat kelakar yang kuat, lalu apabila Rano bertemu Meriam, "plot" mula tercipta dan pertalian antara dua individu ini yang kita mahu lihat dinamisnya. Apa yang menarik tentang filem ini ialah, rencah kemanusiaan, kemasyarakatan, politikal (walaupun tidak perlu ditekankan seperti filem-filem Teguh Karya) membumbu plot utama filem, yang penuh psikologi dan drama yang betul kepada sebuah melodrama yang sempurna.

Segala konflik dan peleraian sehebat mana-mana melodrama Almadovar, dan ini diperkuatkan dengan dialog yang tanpa satu ayat pun aku mahu ubah kerana menganggapnya skrip (atau skenario dalam bahasa Indonesia) filem ini paling baik pernah aku BACA dalam filem Indonesia. Para pembikin filem Malaysia harus BELAJAR daripada pembikinan cerita dan dialog filem ini (yang juga diadaptasi daripada siri novel dalam KOMPAS, ya ADAPTASI!). Ianya semangat moden orang Indonesia tentang hal semasanya, sofistikated tanpa gaya warna dan gloss dangkal yang kini biasa dalam filem-filem Indoneisa.