Dalam bulan Ramadhan kali ni, aku memang 'slow' sikit. Setakat ini, hanya sebuah filem yang aku tonton, Body #19. Aku juga sedang dalam proses mengkaji genre yang paling aku tak suka, Hindustan oleh sebab sebuah buku pemberian ayah juga sekarang aku berkawan dengan Shanon Shah (jangan jeles, ya Shanon penggila Hindustan tulen). Aku dapati, ada 'semangat' dalam filem-filemnya walaupun seklise atau sesangat meminjam mana (dulu aku benci benar filem-filem yang suka mencedok idea orang lain, tapi aku sedar sekarang, pembikin hindustan sudah bermain dengan persoalan pasca-kolonial dan pasca-moden jauh lebih awal daripada mana-mana pembikin filem dunia), paling penting, filem-filem Hindustan tetap ada roh.
Jodhaa Akbar (2008)
Sebuah filem kontreversial Hindustan yang pernah ditayangkan di Malaysia tetapi masuk dan keluar dari negara ini dengan senyap. Ini adalah kerana 'idea plural agama' yang disandang oleh raja Islamnya dalam filem ini (untuk tidak membentuk kontreversi, mungkin sebab itu hero-raja Mughal dalam filem ini ialah Hitrik Roshan, seorang hindu untuk memainkan peranan Sultan Jalaluddin Mohamad Akbar atau dikenali di barat sebagat Akbar the Great).
Idea yang dibawa dalam filem ini segar dan menarik - poin watak raja Islam terpaksa berbuat begitu oleh sebab menaikkan kuasa politikalnya untuk mendapatkan sokongan Hindu di Hindustan, menghilangkan perasaan 'Islam itu alien' dalam hati-hati rakyat Hindunya. Oleh sebab plural raja (ideanya), keharmonian kaum dan agama tercipta di India. Aishawara Rai berlakon sebagai Jodha, si puteri kerajaan Rajput yang akan dikahwinkan kepada Akbar atas tujuan diplomatik, yang mana dia bertegas mengekalkan agama Hindunya.
Ada beberapa subliminasi 'jawapan' yang cuba menyentuh sufisme (dalam sejarah Sultan Akbar memang dekat dengan sheikh-sheikh tarekat) tetapi dibuat dengan 'lembut' supaya tidak memberi makna sufi membenarkan penyatuan dua insan berlainan agama yang sememangnya menentang syariat. Epik cerita ini seru, antara yang dibuat dengan teliti dan mengikut gerak dalam tekstur gaya Bollywood (teknik efek runut bunyi, tangkapan sudut, tangkapan wajah, suntingan, bunyi yang membawa 'drama').
Walaupun beberapa 'kerajaan' yang berperanan dalam filem, ia tidak melemaskan. Sentimentalitinya tersusun, tidak terlalu melodramatik seperti kebiasaan filem Bollywood, dengan cetusan-cetusan kemanusiaan yang wajar dan universal. Aksi perangnya tidak sehebat Suryothai tetapi kumpulan pelakon tambahan yang besar memberi semangat 'besar' terhadap filem ini. CGI diperkurangkan untuk mengimpak cerita manusianya dan dialog. Lagu-lagunya pendek dan bagus.
Banyak yang boleh diperkatakan akan isu 'Islam' dalam filem ini, yang sudah tentu diterima baik oleh golongan liberal. Sebuah filem "costume drama" yang baik.
Body #19 (2007)
Filem seram Thai yang mendapat nominasi filem terbaik dalam Anugerah Kebangsaan Film Thailand tahun ini (filem The Love of Siam memenangi filem terbaik). Sebenarnya ini bukan filem seram, mungkin boleh dipanggil sebuah filem ngeri. Aku lebih senang kalau memanggil filem ini sebuah filem fantasi berkonsep tahyul (supernatural) dan psikologi.
Pelaksanaan psikologi dalam filem ini adalah antara yang terbaik dalam filem-filem 'pemahaman minda manusia' dengan twist ajaran karma/Buddha, menyanjungi Hitchcock dan benar-benar melodramatik dalam jawapan finalenya. Sebenarnya aku lebih suka jika pengarah filem Paween menidakkan pengakhiran yang agak terlalu panjang dan membiarkan 'psikologi' filemnya bergerak mengatasi efek tahyul dalam filem ini.
Malah permulaan filem yang bermula dengan bulan purnama sepatutnya berakhir dengan mata cerah dan bukan 'seksa-seksa' moral yang penonton sudah tahu. Ini adalah kerana, sejak filem ini memberi 'asumsi', kita mendapat 'assumption' bahawa segala yang kita tonton setakat ini sampai ke finale 'lori' adalah sebuah 'derita' pesakit yang mengalami bipolar psikosis yang akut, dengan pemahaman budaya bahawa orang Thai 'terikut mimpi hantu' oleh sebab budaya tahyul dan karmanya. Segala kemungkinan ini telah berjaya diangkat oleh pengarah, malah setiap lagu, dan setiap 'fakta tahyul benar atau tidak' telah menjadi suatu 'cycle' yang separa realiti kemunginan (moral manusia yang terperangkap dalam perbuatannya sendiri) dan separa surreal (semua yang kita tonton selama ini hanyalah mimpi) - melampaui kewajaran Hitchcock dan sama taraf dengan Henri-Georges Clouzot dan Roman Polanski walaupun memaparkan efek-efek CGI buat aksi hantu (efek CGInya antara yang terbaik buat filem Thai yang aku tonton).
Malah, 'sound' yang real dalam panggung sewaktu aku menontonnya memberi impak dunia yang kita sedang tonton adalah benar (suaranya tidak sebaik mana, hanya efek suara William Castle yang 'benar' yang impresif kerana kita seakan terasa 'hantu' itu ada di belakang kita). Maka oleh sebab itu, filem ini 'rosak' dengan pengakhiran yang terlalu 'Buddhistic' dengan idea moral yang sangat terang, kemungkinan kerana badan sensor Thai yang menginginkannya. Sebuah filem yang sedikit lempab kalau dibandingkan dengan Shutter, tetapi antara mainan psikologi terbaik yang membariskan filem ini sebagai sebuah filem separa psikologi-ngeri yang baik dari Thailand menandingi psikologi-ngeri-gothik Alone.
Tanging yaman(2000)
Aku juga sedang menyelidik filem-filem Filipina oleh sebab Amir Muhammad mengatakan filem-filem Asia Tenggara yang progresif dan bakal menggegar dunia datang dari Filipina (semahunya aku menyokong, tetapis etakat ini aku meneliti bahawa filem-filem Thai lebih positif ke arah itu). Ada beberapa filem komersial yang aku sudah tonton,
Ouija(2007),
Nasaan ka maan(2005), dan
Macho Dancer(1988) arahan pengarah terbaik Filipina Lino Broca (Broca ialah seorang pengarah yang diiktiraf tinggi oleh juri filem barat, dan sememangnya baik dalam melunaskan idea realisme dalam filem-filemnya). Rata-ratanya, filem Filipina seakan filem-filem kita, mempunyai penegasan tinggi terhadap 'hindustanisme', kekuatan terletak pada efek mencerna emosi dramatik atau melodramatik daripada para-para pelakonnya yang kadang-kadang terlalu melankolik (kebiasaan gaya pelakon Melayu era Jalan Ampas) dan ketrampilan perhubungan manusia menandingi segala tema yang dicerna (perhubungan penting buat filem-filem mereka, seperti Melayu, kerana daripada idea ini, membungkam semangat klise manusia yang terarah kepada motivasi dan konflik). Di sini, perhubungan yang terbiasa digunakan ialah mikro (
clustered), iaitu perhubungan keluarga. Kesemua filem di atas mempunyai sandaran ini, walaupun filem anak-anak gelendengan dalam Macho Dancer, yang mempunyai 'keluarga'nya yang tersendiri. Aku faham budaya keluarga ini penting dalam filem Filipina oleh sebab retak keluarga yang terlalu oleh sebab kemalaratan hidup (sila tonton drama-drama mereka, paling terbaik dan menjadi rujukan peribadi aku, Pangako Sa Yo') dan keinginan merasa 'ada dalam satu bulatan' yang biasa dalam masyarakat Filipina.
Boleh dikatakan, Tanging yaman, sebagai sebuah genre filem keluarga
per se, bolehlah dikatakan antara filem 'nasional' Filipina yang cemerlang. Malah filem ini lebih terjerumus sebagai drama keluarga yang 'dipendekkan' daripada biasa yang kita tonton dalam drama TV Filipina. Malah, antara penulis skripnya, Ricardo Lee adalah seorang legenda dalam penulisan skrip drama TV (juga penulis Pangako Sa Yo'), malah banyak berkaloborasi dengan beberapa pengarah filem buat filem-filem berunsur melodrama. Apa yang mencuitkan akan filem ini adalah gerakan mood dan emosi yang seimbang yang diberikan dalam strata realistik tanpa warna-warna keras kebiasaan filem-filem remaja Filipina. Dialog-dialog yang tercetus benar dan boleh dirasa, walaupun kadang-kadang merempuh melodrama (rujuk Titanic). Kita akan lebih tertarik melihat cerita dan lakonan daripada gaya dan imej idola para pelakon. Dan ceritanya sebuah cerita yang mencuit, walaupun mungkin sedikit lapuk dari segi eksekusi. Ceritanya akan pemecahan sebuah keluarga yang besar oleh sebab keinginan harta pusaka seorang ibu yang belum mati tapi menghidap alzimer. Ya, sangat drama Melayu, tetapi apa yang
Laurice Guillen serta panel penulisnya lakukan ialah, membawa segala identiti benar akan Filipina (pelambangan apa itu Filipina) sebagai campuran plot dan makna yang memberi kemudahan cerita yang segar dan menarik.
Identiti Filipina ini terdiri daripada tiga perkara; gereja (agama Kristian), lagu (penyanyi Filipina adalah antara yang terbaik di dunia) dan isu Matriach (wanita dan feminisme wanita Filipina adalah yang termaju dan terbaik dalam dunia) yang menjadi tunjang mewarnakan era 90-an Filipina (zaman naik turun ekonomi dan politik) yang berbaur. Secara subtle, filem ini juga menyelitkan identiti Filipina yang nasionalis tanpa perlu membuak retoriknya (idea lagu dalam filem ini ialah, ia mengembalikan jiwa yang sudah terpesong, atau menyatukan famili yang sudah lama terbuang, secara sinisnya, Lea Salonga berjaya menyatukan rakyat Filipina yang bercambah diseluruh dunia sebagai orang gaji), malah diperkenalkan dengan sangat lembut, dengan manusia-manusianya.
Mungkin sebab itu, pembikin filem Filipina adalah 'masters of human drama' atau 'human melodrama' kerana mengenali setiap getir dan seksa 'anak-anak'nya. Perjalanan filem ini akan dirasakan 'formulaik' tetapi oleh sebab disusun dengan kemas dan atas lakonan yang berkesan, kita menyetujui sebab akibatnya. Gloria Romero adalah yang terbaik sebagai si ibu tua yang menjaga seimbang telur di hujung tanduk keluarganya. Gloria ialah antara seniwati agung Filipina yang boleh disamakan dengan Saadiah dalam legenda lakonannya. Johnny Delgado sebagai abang sulung keluarga juga boleh dipuji, malah memaparkan versatilnya dalam drama, antara pelakon terbaik drama Filipina. Ada beberapa watak dalam filem ini yang 'melankolik terlalu' (terutamanya watak Jericho Rosales) yang membayangkan semangat romantisme yang patah, yang banyak sekali dipaparkan dalam filem-filem Melayu era 70-an. Tetapi watak-watak 'lapuk' ini perlu untuk menjalankan konflik cerita dan kenapa berlakunya 'kekacauan' dalam perhubungan keluarga. Apa yang absurd menjadi real.
Tanging yaman juga sebuah filem 'miracle' yang unik buat Filipina, bagaimana It's A Wonderful Life ialah filem miracle buat Amerika Syarikat. Malah pemahaman 'miracle' ini berlaku dari awal lagi sewaktu si nenek mengalami alzimer (dia meminta Tuhan untuk berbuat sesuatu untuk keluarganya yang makin meretak, dan oleh sebab itu, filem ini mencadangkan, dia mendapat penyakit lupa itu). Malah solusi konflik filem ini juga, seperti filem Frank Capra itu dijawab dengan satu 'pertolongan tuhan' (kelainan Capra ialah, mungkin yang diperlihatkan ialah imej masa depan, mengambil idea A Christmas Carol karya Charles Dickens), membawa idea Tuhan itu hidup dan memenuhi hajat-hajat anak-anak kecilnya.
Lagu dalam filem ini antara yang terbaik dalam filem Filipina, malah filem ini bergerak kerana runut bunyinya. Walaupun runut bunyinya kadang-kala terlalu 'formulaik emosional' dalam menggerakkan emosi penonton, lagu-lagu nyanyiannya menjerat jiwa untuk mengenali sekali gus kuasa Tuhan dan ketabahan manusia kerdil. Tanging yaman mungkin mengambil masa untuk diapresiasi sebagai sebuah filem yang baik, oleh sebab penonton sekarang yang sudah tersedia biasa dengan filem-filem 'feel good'. Percayalah, kalau ditonton sekali lagi dan sekali lagi, ada lapisan-lapisan tertentu yang baru, bersifat sosial malah estetik yang terkupas nanti, membuatkan filem ini antara filem komersial Filipina yang perlu ditonton walaupun pernah dilakukan.