03 June 2008

Apa Kata Hati (2008) Ada Cerita Baik


Filem perdana kedua Saw Teong Hin. Memang filem romantik-komedi Saw kali ini, atau lebih dekat kepada sebuah 'chic-flick' ini ada dan kena kepada penjurusan filem-filem segenre ini. Malah, hasil idea Meor Shariman ini bolehlah dibanggakan kerana mempunyai struktur awal-pertengahan-pengakhir yang konsisten, bulat dan mengikut tradisi mana-mana penceritaan filem romantik komedi. Idea wanita urban, dicampur dengan kepelbagaian dan kemakmuran tradisi lwn. moden, serta apa-apa masalah dan isu yang berkenaan wanita Melayu/Malaysia moden disampaikan dengan baik oleh peneraju filem, mewakili (kononnya) segolongan besar masyarakat urban Melayu di bandar (yang terletak pada watak Raja Farah, Dynaz, Awie(!) dan Kartina Aziz).

Ada beberapa perkara subjektif yang 'berani' dan liberal yang dibawa, membuka mata dan sangat memberangsangkan (sekurang-kurangnya buat sebuah filem Melayu). Ini terletak kepada perwatakan Awie yang berkeinginan wanita, Raja Farah yang feminis telus dan jujur terhadap dunia di sekelilingnya (kadang kala disengajakan naif), Dynaz yang melakukan segala-galanya tanpa sempadan tetapi masih 'mempunyai hati', dan akhirnya Kartina Aziz, seorang andartu kekampungan yang berbaur dengan arus kemodenan, mencipta satu suara kampung-urban yang baharu dan terwujud cantik.

Empat watak ini pula diadun baik dengan perjalanan cerita yang 'mencari kata hati' iaitu cinta, satu harapan yang memang menjadi cita-cita klise wanita Melayu/Malaysia dari zaman dahulu hingga sekarang.

Semangat dan percubaan baharu ini yang menyebabkan Apa Kati Hati segar. Lebih-lebih lagi, penghasilan perwatakan yang bulat dan punya psikologi yang terjaga, walaupun kadang-kadang watak-wataknya (termasuk watak sampingan) bergaya sketsa (terdapat sekurang-kurangnya lima watak sampingan tambahan yang mempunyai tindakan-pengaruh tersendiri terhadap empat watak teraju tadi), ini boleh dimaafkan kerana keadaan chic-flic filem ini yang membenarkannya.

Ceritanya senang, campuran What Women Want yang pernah dilakonkan oleh Mel Gibson serta filem Freaky Friday (dalam 'sentuhan magis', adanya kelebihan, adanya sumpahan) di mana Ely lakonan Raja Farah yang tulus, naif dan berhati baik diberi kuasa oleh 'bomoh sakai' lakonan Ac Mizal untuk mendengar kata hati lelaki. Lalu kelebihan, efek humor dan bencana melanda Raja Farah. Di sini, kita melihat bagaimana Raja Farah bertindak pada awalnya terhadap 'kata hati lelaki', lebih memahami sikap lelaki, dan akhirnya memilih jalannya mengikut semangant individual kewanitaan yang dia pegang dan percaya.

Tiada sebarang kejutan yang terlalu, semuanya disusun baik oleh Meor Shariman dan Saw Teong Hin. Malah, beberapa subplot yang kita kira tidak perlu pun dikawal dengan susunan baik agar penceritaannya memberi 'makna' kepada watak Raja Farah. Pun begitu, aku sedikit mempunyai masalah dengan subplot ibu bapa Raja Farah (Harun Salim Bachik dan Ogy, ya Ogy!) yang mana terdapat beberapa persoalan besar yang mungkin boleh dibaiki.

Ketulusan seks dan ghairah wanita yang dibanding oleh watak Dynaz serta Raja Farah merupakan kekuatan sebenar filem ini. Dynaz dan Raja Farah semacam Yin dan Yang, mereka sangat berlainan. Watak Raja Farah jenis percaya terhadap seks selepas kahwin, walaupun kita tidak diberitahu akan ini, sedang Dynaz tidak, dan Dynaz melakukan yang mana boleh terhadap lelaki, maka sebab itu, dia kononnya lebih pakar memahami lelaki luar dan 'dalam', sedangkan Raja Farah mempunyai hati tulus dalam mempercayai ketaatan teman lelakinya (lakonan Farid Kamil yang sedikit miscast). Apa yang menarik, walaupun ketidakupaya mereka berdua mempunyai kesamaan (Dynaz tidak percaya dengan teman lelaki Raja Farah) mereka tidak menggunakan isu ini sebagai konflik, seperti mana yang biasa akan dibuat dalam filem-filem Melayu. Ini boleh dilihat dalam sahutan 'bitchy' antara dua watak ini setiap kali Dynaz atau Raja Farah balik dari dating.

Ada sesuatu dalam runut bunyi Apa Kata Hati, ada beberapa bahagian latar moodnya berjaya mengangkat adegan filem ini, kadang-kala pula ia sedikit kekok (buat aku secara peribadi), mungkin kerana 'suara baharu' yang digemblengkan dalam pembikinan runut bunyi filem ini. Ini terletak dalam beberapa lagu kumpulan Rock filem ini. Lagu "Apa Kata Hati" Jaclyn Victor terkecuali. Masalah ini sebenarnya terletak di atas bahu pengadun bunyi yang buat aku gagal menyelaraskan lagu dan suara dalam filem ini dengan baik. Kadang-kadang kita terasa filemnya terlalu 'diam' dengan dialog, kadang-kadang terlalu muak dengan bunyi-bunyi slapstik. Bunyi-bunyi awal slapstik yang wujud pada awal filem sangat menggoyah pemerhatian, lebih-lebih lagi kerana idea filem ini menyangkal kebiasaan slapstik Razak Mohaideen. Filem ini wujud kerana wit dialognya serta aksi wajah dan bahasa badan pelakonnya, maka efek-efek bunyi terlalu itu tidak perlu.

Masalah kedua yang paling tampak ialah penjagaan 'fluidity' yang mengejutkan, tidak ada masalahnya langsung dalam Puteri Gunung Ledang tetapi membuak banyak dalam filem Saw kali ini. Penggambarannya malas (seakan tidak ada bajet dan dibuat dengan sungguh murah) dan suntingannya tidak ada daya. Kadang-kadang satu adegan itu mengambil masa yang sangat panjang untuk habis, dan penyambungan antara satu shot dengan shot tidak seimbang dna langsung rasa terpotong-potong tanpa konti. Kita boleh lihat kelemahan ini dalam babak nyanyian "Sekadar di Pinggiran" yang sebenarnya mempunyai potensi pembuakan idea harapan fantasi-realiti-muzikal yang mencuitkan, tetapi tidak disampaikan dengan baik. Ini termasuk dengan babak luahan hati Farid Kamil yang telah menyebabkan Raja Farah marah. Ia dibuat dengan sangat lemah, idea 'salah faham' itu tidak sampai kepada penonton.

Raja Farah memeranjatkan aku. Aku maafkan dia kerana kerosakannya dalam Salon, dan kemudian dia hebat dalam Anak Halal. Di dalam filem ini menunjukkan, Raja Farah ialah seorang pelakon wanita yang perlu diperhatikan. Dynaz juga baik, malah antara yang terbaik dalam filem ini. Dynaz mengada-ngada tetapi mengada-ngadanya perlu. Awie buruk, dia tidak boleh langsung berlakon sebagai mat lembut, lakonannya sangat satu sisi. Tiada dimensi langsung. Harun dan Ogy OK walaupun Ogy agak keterlaluan dalam beberapa babak. Yang lain semuanya sederhana.

Apa Kata Hati ada sesuatu. Ia memang tidak sempurna, malah masalah ia memberi tarikan kepada penonton untuk menunggu sehingga ke akhir cerita itu ada, hanya terdapat banyak kecacatan yang menyebabkan aku sedikit terasa hambar. Pun begitu, para pelakonnya cuba sedaya upaya untuk menaikkan keinginan kita menontonnya sehingga habis.

4 comments:

Anonymous said...

slow phase la editing die bro, idea fresh tp olahan lemah sket. dynas good, farah xkonsisten, ogy kadang over. tp agak feminist. cite ni ok je, xbegitu mengujakan.

Anonymous said...

mmg sloe phase pijan.. mmg olahan dia lemah.. i felt farah dinamisme rosak fasal konti tak betullah.. yg nampak sgt, pemilihan editing waktu2 conflicting scene (tak terjaga). yeap, tak begitu mengujakan.

Anonymous said...

nk tnya la,siapa nnyi lgu yg bez 2??bkn meet uncle husin..ms farah kt klcc lps dier jmpa ngn awal..bez gler lgu tu...

fadz said...

anon, ohh ok.. meet uncle hussain mmg best