Em, kalau ada sesiapa yang sudi nak tumpang, errr, tolong sangat... wa dok Gombak ler..
31 January 2008
Tayangan Perdana Dunia Baru(2008)
Subjek/Pengarah
Iklan,
Tayangan Perdana
28 January 2008
The Birth of a Nation (1915) Sebuah Filem Sangat Penting
Berapa kali saja dalam hidup kau, kau dapat menonton sebuah filem landmark? Filem ini adalah di antara (atau satu-satunya) filem bisu dan hitam putih yang memaparkan filem boleh dibikin dengan sangat panjang dan tanpa kacauan suara (walaupun ada runut bunyi) tetapi masih boleh menarik daya tontonan penonton untuk mengikuti cerita sehingga ke akhir.
Buat mana-mana pembikin filem, mereka harus kenal akan akar umbi perfileman. Di Russia, kita kenal sangat dengan Sergei Esenstein yang buat aku, jauh lebih kehadapan dan lebih 'benar' menyatakan kehidupan dalam kamera daripada DW Griffith, malah garapan-garapan imejnya lebih menyentuh dan gemilang.
Sebenarnya DW Griffith sedikit lain daripada Esenstein kerana latar belakang Griffith. Memang kalau dikira secara andaian, sinema 'tercipta' kerana Esenstein dengan teori montaj dan cantuman fungsi dan makna imejnya terhadap keseluruhan filem (bukan cerita) itu. Tetapi Griffith memaparkan tiga revolusi yang dikira penting dan mempengaruh arena perfilemn sehingga sekarang dan terikut falsafahnya dalam mana-mana pembikin filem dokumentari atau komersial.
Pertama, DW Griffith adalah pembikin filem yang pertama mementingkan penggarapan realiti yang ditangkap lalu dicerminkan dengan persis sekali di layar (proses pengangkapan realiti). Ini adalah penting kerana jauh dalam hati Griffith, beliau sebenarnya bukan sahaja sedang mencipta sebuah 'cerita' yang lengkap di layar tetapi sebuah 'cerita yang betul' (di sinilah ia menjadi satu kontreversi kerana mengangkat satu idea yang dipanggil propaganda kerana kebenaran realiti yang dipersembahkan). Segala gambar sewaktu era Perang Saudara Amerika serta zaman pascanya diambil, diteliti dan 'ditiru' oleh para pengarah seni filem ini (termasuk usaha Griffith) . Maka mereka cuba mencipta 'realiti tipu' sepersis mungkin di layar. Filem Griffith seakan satu hasil seni lukisan romantik 'yang bergerak'. Bayangkan satu medan pertempuran yang sama seperti tangkapan foto, tetapi kali ini, gambar itu dengan ajaib BERGERAK dengan askar menyerang kubu musuh dan meriam meletup dan asap. Tonton saja satu babak 'bersejarah' pembunuhan Presiden Amerika Abe Lincoln (dibikin di sebuah pentas terbuka!) dan kita seakan terasa semacam menonton sebuah dokumentari daripada sebuah filem fiskyen.
Tujuan Griffith ialah, filem yang dipaparkan itu, walaupun sebuah filem 'lakonan semula' yang sedikit fiksyen adalah garapan "sebenar-benarnya berlaku sewaktu dan selepas Perang Saudara Amerika". Ini penting dan juga menjadi elemen sejati dalam filem propaganda, baik filem dokumentari. Malah, kebanyakan drama realiti seperti Rescue 911, Hauntings, Wanted: Murder telah mengambil penggayaan ini walaupun sudah mencapai modenisme yang lebih tinggi dari zaman Griffith (tangkapan 'realiti' zaman sekarang terikat pada tangkapan kamera video, di mana kita boleh melihat revolusi terbaharunya dipaparkan dalam Cloverfield).
Maka di sini yang menjadi persoalan 'diskriminasi' dan 'perkauman' di dalam filem ini apabila melakarkan golongan hitam, terutamanya dari Utara Amerika adalah manusia yang memperlekehkan kemurniaan kuasa dan keturunan orang puteh terutamanya golongan Selatan Amerika. Tetapi buat aku, perkara-perkara ini yang ditonton dengan teliti (walaupun aku tidak menafikan kuasa 'propoganda'nya punya dakwah berkesan dalam bentuk cerita) masih dapat mengeluarkan pelbagai pendebatan dan garisan nipis tentang tujuan politik dan kuasa pada zaman itu.
Perkara kedua yang aku sedar bila menonton filem ini, watak-watak yang berlakon dalam filem ini mendahulukan 'standard' buat pelakon bisu lain mengikut bila berlakon dalam filem bisu. Griffith datang dari latar orang teater. Maka jika diteliti, kesemua tangkapan watak di dalam studio kelihatan seperti paparan statik (kebiasaan dalam filem Melayu Jalan Ampas kita pun yang berlatar belakangkan orang bangsawan) dan watak perlu bergerak dan bermimik dengan gaya yang 'exaggerated'. Sekali sekala saja wajah pelakon difokus untuk mengambil efek ekspresi wajah. Paling penting, walaupun kini penonton moden akan merasakan gaya lakonan pelakon itu 'sumbing' kerana lakonan 'terlalu' mereka (kadang-kala seakan penari di sebuah pentas), ianya sebenarnya satu lakonan berekspresi yang sangat terjaga dan teliti. Di sini sebenarnya Griffith mengambil penting setiap wataknya seperti mana Dickens atau Austen melakarkan 'kebiasaan' atau 'trademark caricature' wataknya, lalu satu pergerakan itu perlu konsisten dengan satu-satu watak, supaya perkara ini 'diingati' oleh penonton (walaupun wajah dan fesyen pelakon itu menjadi tanda). Idea penjagaan 'konsisten' ini dipegang sehingga wayang suara keluar. Dan perkara baik tentang Griffith ialah, beliau berjaya menyatukan tiga hingga enam pelakon dalam satu masa, dengan pergerakan mereka yang berlainan diharmonikan dalam satu-satu babak, dan kemudian bila babak berubah dan melanjut, watak-watak ini masih 'tertacap' di dalam fikiran dan menjadi antisipasi kuat penonton untuk mengikutinya sehingga akhir. Inilah kekuatan Griffith. Seperti filem ini sahaja, terdapat 12 watak penting yang mempunyai cerita tersendiri yang perlu diikuti penonton. Dan ini dipaparkan dengan bersahaja oleh Griffith (dengan penyediaan yang sangat teliti).
Dengan itu, bolehlah kita katakan, Griffith adalah bapa pada filem saga berlanskap luas (yang memaparkan kekuasannya lagi dengan Intolerence). Dan inilah kekuatan sebenar Griffith. Bayangkan, dalam filem ini sahaja, terdapat pelbagai subcerita yang dijalin, baik berbentuk detik sejarah sehingga yang berbentuk drama individu, dan dengan kepandaian Griffith, beliau mengikat adegan-adegan ini seakan satu 'novel saga' yang panjang dan berlapis-lapis, menampilkan suatu perkembangan cerita yang sangat tersusun, penuh drama dengan pengakhiran dan klimaks yang sengaja dibuat dengan besar-besaran. Inilah 'benchmark' buat filem-filem epikal.
Sememangnya, menonton filem ini suatu pengalaman yang besar buat aku, memaparkan betapa hebatnya harapan dan mimpi seorang pengarah zaman dahulu dengan kekurangan yang beliau ada, tetapi dengan cita-cita dan kesungguhan, beliau akan sentiasa diingati sebagai pembikin filem yang pertama memberi sebuah cerita yang benar-benar penting dalam sejarah perfileman dunia.
Subjek/Pengarah
DW Griffith
Sweeney Todd (2007) Suatu Kejutan Tim Burton
Mungkin ramai antara korang tengah syok dengan filem Cloverfield(2008), Cuci(2008) dan Rambo 4 (2008) yang sedang ditayangkan (yang juga filem yang bagus buat permulaan 2008). Tapi aku perlu berterus-terang, Sweeney Todd arahan terbaru Tim Burton adalah filem kesayangan aku bulan ini sampai aku sudah menontonnya tiga kali!
Tim Burton adalah seorang yang seesentrik aku. Bayangan roh filem-filemnya selalunya sama, pendarahan atau sadis yang tinggi dalam latar romantisme (Gothic anyone?), mengeluarkan 'puitis' dalam kekalutan atau kegelapan manusia secara sengaja atau tidak. Lihat saja sebuah babak separa menyentuh dalam hentakan darah sewaktu Vincent Price dicucuk oleh Edward Scissorhand menembusi hati yang dibuat untuknya, atau babak manis Winona Ryder bersama penjaga hantunya sewaktu Bettlejuice ditelan ular, atau bagaimana dengan 'gloom' para penguin mengangkat Danny De Vito masuk ke dalam parit untuk hilang selama-lamanya. Ini adalah paparan-paparan hati 'indah-hitam' Tim Burton, semacam sebuah kartun Disney yang dipasang dengan awan hitam dan rumah kelam keluarga Addams.
Tim Burton sememangnya 'original' dan punya penggayaan yang tinggi dan tersendiri. Sebenarnya, kalau diteliti dengan betul, Burton sebenar-benarnya menerima pengaruh yang sangat kuat dengan Mario Bava, pengarah filem Itali seram (raja seram!) klasik, terutamanya Black Sunday atau The Mask of Satan(1960). Malah, Tim Burton sendiri mengaku telah sangat terpengaruh dengan filem pertama Bava itu. Filem itu memaparkan lanskap roman dan gothik serupa dengan filem-filem drakula Universal serta Hammer studio tetapi digambarkan dengan lebih teliti dan mementingkan 'picturistique' (elemen yang terutamanya kuat dalam filem-filem Burton). Malah, kalau diteliti, Black Sunday adalah filem pari-pari yang gelap, sebuah saga roman seorang hero untuk mendapatkan puterinya tetapi melalui satu kesusahan getir yang menakutkan dan boleh mengubah hero itu menjadi gila. Ini sebenarnya satu elemen kuat dalam mana-mana filem Tim Burton yang suka memaparkan 'dark fairytale'. Hanya beliau, Terry Gilliam atau Guillermo Del Toro saja setakat ini yang berjaya memaparkan satu penggayaan dan dunia pari-pari yang songsang.
Tetapi buat filem 'formulaik' ini, Tim Burton berani melangkau alam 'gelap'nya dengan lebih jauh lagi. Kini darah dalam filem Burton betul-betul darah, walaupun 'cartoonic', hentaman ganasnya ada dan melebihi mainan pancutan darah Zaitoichi ataupun Kill Bill. Malah darah dalam filem ini tidak ada gaya main-main seperti dalam Sleepy Hollow. Darah dalam Sweeney Todd merah dan pekat dan menghilangkan kemanusiaan. Sebenar-benarnya ini sebuah filem seram.
Ceritanya mengikut tradisi muzikal hebat Stephen Sondeheim yang mengadaptasinya daripada novel-novel murahan (siapa kata novel murahan takde kuasa sastera?) yang memarkan kajian obsesi, balas dendam serta kepunahan sistem pengelasan dalam sosio masyarakat terutamanya di bandar. Ceritanya sebenarnya itu, memaparkan ikan besar yang memakan ikan kecil dan ikan kecil yang terlepas dan sudah membesar (sekurang-kurangnya amarahnya dan bukan badannya) mahu cuba memakan tuan ikan besar yang membulinya dulu. Nampak senang bukan? Tetapi di dalam tangan muzikal yang lazat ini, ditambah dengan ikatan dan potongan yang rapi dan kuat serta gaya menyeramkan Tim Burton, filem ini berjaya memaparkan jiwa gelap manusia segelap-gelapnya asap hitam, walaupun dengan mengalun lagu dan mendetik harmoni dalam nada sumbing.
Ada beberapa perkara yang aku rasa, filem ini memaparkan masalah terhadap penonton. Pertama, penonton yang kebiasaan dengan genre muzikal ala-ala The Sound of Music akan sangat terganggu dengan masterpiece ini. Bayangkan dengan kekelaman latar London, dengan perasaan keinginan murni dua orang muda bercinta, dicampur dengan kelaran leher dan darah (walaupun sebenarnya dipotong dengan ganas sekali oleh badan penapis), mata anda, nak atau tidak akan berkenyit atau lari dari melihat layar tayang. Ini dikuatkan dengan lakonan-lakonan mantap Helena Bohamn Carter (aku suka benar lakonannya), budak kecil itu sebagai Tobias, Alan Rickman, Sacha baron Cohen (ya, dia berlakon dan memang seronok dan terkawal!) dan terutamanya Jhonny Depp. Watak Depp adalah watak yang susah. Bayangkan seorang lurus bendul yang menyayangi kehidupan ditransformasi dengan segala kemarahan dan kebenciannya terhadap manusia (ya, kesemua manusia). Hanya mungkin satu babak saja yang kita semacam terasa 'meloncat' apabila Depp melagukan balada selamat tinggal kepada anak perempuannya (memaparkan tutp hatinya terhadap manusia dan apa yang mereka pegang) dengan tidak memberi definisi terbaik 'mengapa'. Tetapi perkara-perkara lain yang dibikin oleh Tim Burton seperti babak Helena di tepi pantai dan harapannya, babak sekecil lelaki yang dicukur Depp berserta keluarga atau wajah anak muda yang terseksa akan cintanya tetapi tetap mahu memperjuangkan cintanya adalah 'inti-inti' kecil yang membuatkan segala kegelapan filem ini punya kehalusan budi yang asyik. Dan ini membuat filem ini manusia.
Ramai penonton terkasar dengan pengkahiran filem ini, tetapi buat aku, begitulah sepatutnya ia di akhiri (rujuk Pieta Michealangelo) di mana Sweeney yang 'mencari' akahirnya mencapai 'pencariannya' dalam lumur dan darah lelehan 'hatinya'. Imej yang sungguh puitis sekaligus gelap, antara imej-imej yang berjaya ditunaskan oleh Tim Burton dengan sangat baik sekali dan akan diingati oleh penonton seram dan peminatnya untuk masa yang lama.
Subjek/Pengarah
Tim Burton
15 January 2008
2 felem seronok
Kala (2007)
OK, filem ni memang buat aku dengki besar kat Rewan sebab dia secara invitation dapat gi Jakarta untuk menonton filem neo-noir Joko Anwar yang terbaru ini. Lagi satu, filem ni dah tentu jadi antara filem paling modcod (rujuk entri Anak Halal(2007) aku pasa pos lepas) benci kerana 'sheer extend on style rather than message' atau 'sheer gay agenda'.
Serius, filem ni ada sesuatu. Filem ni ada semangat neo-noir yang jarang-jarang kita nonton. Tapi kalau aku bandingkan Kala Mamat Khalid dengan Kala Joko Anwar, aku terpaksa mengaku, aku lagi prefer Kala Mamat Khalid, sebab Mamat Khalid tak menipu aku (dia bagitahu awal-awal yang apa yang kita tonton itu hanya sebuah filem dan jangan ambil serius walau bagaimana seriusnya persekitarannya, atau bagaimana pun seriusnya pengkahiran filem itu) dan Mamat Khalid tahu macam mana nak cuit hati orang. Kala bagus, jangan kau tak tahu, lebih-lebih lagi segi teknikalnya, tip-top. Aku suka feel filem ni, aku suka suaranya (macam tengok beberapa babak dalam filem David Lynch, cth. Lost Highway), aku suka budaya dan reka bangunannya (noir feel filem Joko Anwar terletak dalam penggayaan menggunakan kos rendah dalam mengambil bangunan-bangunan lama serata Indonesia, malah aku sedar beberapa babak dalam filem ni dekat kepada 'murahan' tetapi kerana gaya tangkapan yang penuh stylish, ia menjadi sangat mahal) dan orang-orang esentrik yang tinggal di dalamnya. Apa yang aku tak suka ialah, cara 'penipuan' pada pengakhiran Kala, semacam mahu mempersenda THE ONE dalam THE MATRIX tetapi sebaliknya mempersendakan diri sendiri.
Pengkahiran filem ini mungkin tak terlalu terlajak dalam satu sudut. Tetapi kesalahan besar Joko ialah, bila kita sudah diberi satu pengharapan yang 'serius' dari awal filem ini hingga ke akhir (lebih kita masuk ke dalam dunia Kala, lebih kita sedar ia sebuah satira terhadap sejarah dan perjalanan politik Indonesia), tetapi apabila Si Wanita Dengan Pedang (ingat simbol wanita berpelir aku dulu?) muncul, lalu tiba-tiba berperang ala-ala Kill Bill dengan penggunaan efek CGI yang sungguh murah, segala pengharapan kita pada saat itu hancur. Kalaulah saja Joko 'menjaga' filemnya tanpa membawa masuk unsur 'comical' ini dengan memaparkan kewarasan imej dalam bentuk 'stark horror' dalam pembunuhan lelaki di bukit itu, mungkin segala yang kita tonton waktu itu masih boleh dimaafkan. Tetapi tak, perjalanan yang dibawa setakat itu dipesongkan (mengikut agenda 'pesongan' Joko terhadap apa-apa yang 'lurus', and I mean that in a very literal way) dengan satu 'lawak' yang sendirinya memakan antisipasi kita. Ini saja kelainan Kala Joko dan Kala Mamat Khalid.
American Gangster (2007)
Aku tak tahu lah korang, tapi buat aku filem ini adalah antara filem terbaik buat tahun lepas, malah aku iyakan bila ia termasuk dalam nominasi filem terbaik Golden Globe.
Mungkin ramai yang tak suka filem ini sebab filem ini tidak men'glorify' mafia/samseng seperti yang mana dilakukan dalam The Godfather, Goodfellas dan Scarface. Itu bukan 'point' Brian Grazer, Steve Zallian dan Ridley Scott. Filem ini lebih dekat dengan formulaik dan kebiasaan filem polis, seperti yang terbaru, The Departed, L.A. Confidential atau yang dahulu, French Connection (antara filem kegemaran aku). Bentuk cerita ini terbahagi kepada dua, si Richie yang polis dan si Frank yang samseng. Idea filem ini ialah, walau bagaimana kelabunya manusia tu (kajian terhadap dua watak ini), satu nilai yang dipegang dan diperjuangkan ialah amanah dan integriti dalam manusia menjaga amanah itu.
Mungkin ini yang menyebabkan pengkritik agak tidak suka kerana memang, idea ini sangat moralis (malah, sangat nilai baik dapat menandingi nilai jahat yang tidak terbiasa dalam filem separa hitam samseng. Contohnya filem ini berdakwah: sewaktu Frank bersama meraikan krismas dengan keluarganya, kita dipertunjukkan adanya manusia marhaen yang ambil dadah lalu merana dan merosakkan keluarganya). Tetapi, kita perlu ingat sesuatu, Ridley mahu menunjuk, menjadi tak kalau si Frank (lakonan meletup Denzel Washington) seorang samseng diberikan lebih banyak humanisme melebihi gaya 'wise guy' atau stylish genre gangster terdahulu. Sebenarnya, kalau diperlihat, penggayaan ini lebih 'kontreversi' kerana kita memberi 'wajah manusia' buat seorang penjenayah besar. Kalau kita tonton The Last King of Scotland, filem ini memaparkan efek 'seram' sedikit demi sedikit terhadap wajah kemanusiaan Idi Amin. Dan perkara itu 'konsensus' terhadap tanggapan penonton. Tapi bayangkan seorang lelaki seperti Frank, seorang lelaki biasa yang 'dinaikkan', dan atas cita-cita Impian Amerikananya (dia sendiri menyahut: "Aku mahu jadi sekaya Donald Trump, jadi aku buatlah!") mengambil segala risikonya untuk naik ke atas puncak. Dan itulah yang dipertontonkan, tanpa penjelasan gaya yang berjela-jela, hanya cerita dan harapan Frank (dia terpaksa bersamseng untuk kaya). Dan gaya itu sungguh 'real' walaupun Frank diperlihatkan moralnya 'terseleweng' atas kehendaknya.
Maka kerana itu aku suka pengakhiran filem ini. Ia membuka satu 'persoalan' (sepertimana Ray Liotta 'menyesal' dalam Goodfellas di akhir cerita) bila pintu jel terbuka. Persoalannya, jika kehendak kita melawan segala moral yang diikuti oleh komuniti, adakah kita akan mengambil peluang itu jika kita diberi peluang? Frank sudah melakukannya dan sudah melaluinya. Anda bagaimana?
Subjek/Pengarah
Joko Anwar,
Ridley Scott
14 January 2008
Sebelum itu
Ada dua buah filem yang aku baru tonton, Kala(2007) dan American Gangsters(2007). Kedua-duanya filem yang baik tetapi aku malas sikit nak tulis, nantilah aku tulis. Kali ni aku nak bagitahu 2 perkara yang aku sempat ingat, satu, pada hari Ahad pagi, Selamat Pagi Malaysia ada menyelit program bersama pembikin filem atau pelakon buat filem-filem baharu. Agak baik dan seronok. Seperti Ahad lepas, ada dua pelakon Cina yang berlakon drama tempatan di mana para pelakon Cinanya berlakon dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Lelaki Cina itu siap menerangkan "Gunalah bahasa Melayu untuk membudayakan bahasa Malaysia". Ternaik kening aku. Tapi dah tentulah, aku pun respek kat dia lepas dia kata bahasa ibunda juga janganlah dilupakan.
Keduanya, Mamat Khalid dan pelakonnya datang mempromosi Kala Malam Bulan Mengambang. Seronok tengok perangai orang tua tu, heheh.. Oh ya, aku teringat satu perkara yang Mamat Khalid bagitahu The Malay Mail baru-baru ni. Dia memberi pendapat bahawa beberapa pengkritik (aku lah kot?) tersilap bila menyelar hantu zombinya naik atap rumah. Alasannya: manalah dia tahu zombi boleh naik atap dan salah ke, sebab semuanya filem.. semuanya melihat kekreativiti sang pengarah melakukan keajaiban.
Tapi ini jawapan aku: atas kerana kreativitilah juga kita kena kreatif memikirkan satu perkara yang tidak menjerat penonton mengutuk kita. Ada dua masalah besar dalam adegan zombi naik atap (walaupun secara simbolisme kita faham akan adegan itu). Pertama ialah, jika zombi boleh naik atas atap, kita, para penonton memerlukan 'initial shot' yang menunjukkan betapa jauh si zombi ini boleh melepasi 'kehebatan' sebegitu. Mungkin Mamat Khalid pada awal frame boleh memaparkan penduduk kampung suka naik atas atap (betulkan antena TV) atau panjat pokok kelapa, maka 'intial shot' ini dah establish apa yang perlu kita 'anticipate'. Kerana memang, zombi NAIK atas atap ialah satu 'kehebatan' yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana pengarah zombi lain. Dead Alive, Resident Evil atau 28 Days Later pun walaupun zombinya antara zombi terganas pernah ditayangkan di filem, tidak memaparkan zombi boleh naik atas atap. Ada yang memanjat, tetapi logik seperti zombi dalam Resident Evil 3: Apocolypse, di mana zombi yang terjadi, secara logik memaparkan ada manusia yang bermutasi seperti raksasa dan boleh melakukan pelbagai adikuasa, maka kita boleh 'anticipate' zombi yang memanjat antena dalam satu babak.
Contoh lagi, bila Neo dalam Matrix Reloaded boleh mematikan bugs begitu sahaja dengan kuasa telekenetik, perkara itu sudah kita jangkau kerana Neo sudah 'naik' satu tahap apabila duduk dalam matrix. Perkara-perkara inilah yang penting untuk diketahui oleh sang pengarah bila memberi sesuatu yang 'out of this world' kepada penonton. Contoh, kalau Romero mengarahkan filem Zombi Kampung Pisang, Romero akan memaparkan dua bentuk babak sekurang-kurangnya, pertama babak bagaimana zombi itu bersatu dan membikin satu piramid untuk naik ke atas atap. Kedua, dua jenis babak berlainan di mana ada dua buah rumah yang zombinya naik atas atap, lalu satu, rumah rukun tetangga itu dapat dibedal oleh manusia, dan kedua, sebuah rumah (tuk penghulu atai surau) berjaya dimasuki zombi. Ini memaparkan bahawa zombi dalam filem ini memang ganas dan membunuh (they meant business) dan bukan saja-saja meneropong atap rumah orang.
There, ive stated my case mr. Mamat Khalid.
ps: btw, do u guys realized dat my tontonfilem.blog-city.com dah takde? huhu, dah jadi lagenda dah tu...
Subjek/Pengarah
Mamat Khalid,
RTM
11 January 2008
Dr. Rushdi & Noir
Nota fadz: Yeay, malam ni nak tengok filem neo-noir yang juga ada perkataan ‘Kala’ (i wonder what’s Kala got to do with noir), seperti yang dipaksa oleh Gaia dan Intaglio(depa kata best giler). Memang, pelik, bulan ni atau setakat ni, minggu ni adalah minggu noir (tapi mungkin bukan noir tulen). Tapi sebelum tu, biaqlah aku hantar entri kali ini yang aku letak dalam esastera, yang serius, aku ingat, macam takde nyawa je. Dan ya, sangat sopan kan entri aku kali ni? Oh ya, jangan lupa Jarum Halus dan American Gangsters lepas ni..!
Lihat: http://www.filemkita.com/filem/d/dr_rushdi_01.html
Tahun ini, Tayangan Unggul dan Mamat Khalid sibuk mempromosikan Kala Malam Bulan Mengambang(2008) sebagai sebuah filem Melayu noir pertama secara rasmi. Jika anda sudah menonton filem itu, dan jika anda seorang 'kipas mati' noir, anda akan sedar, walaupun filem itu banyak mempertaruhkan ironi (ironi adalah kebiasaan filem noir) dan sinisisme terhadap 'noirish' filem itu, anda akan sedar sebenarnya filem terbaru Mamat Khalid itu lebih bercirikan sebuah filem neo-noir (seperti Chinatown atau L.A. Confidential) atau pendekonstruksian terhadap segala yang 'noirish' dalam filem noir.
Ini sebenarnya kebiasaan dalam mempromosi, lebih-lebih lagi filem yang 'akan muncul' di pawagam. Sehinggakan, Mamat Khalid dan Tayangan Unggul menidakkan filem-filem Melayu lepas yang turut mencirikan unsur noir tetapi jarang diperkatakan oleh orang filem. Yang paling tampak ialah antara filem Allahyarham P. Ramlee yang terakhir, Dr. Rushdi(1970), yang sememangnya dikaitkan oleh P. Ramlee sebagai sebuah filem 'gelap' yang bercirikan genre 'ngeri'(thriller) mengikut pengaruh Alfred Hitchcock. Filem ini selalu disalah tafsir sebagai antara filem terlemah Allahyarham (yang sememangnya betul dalam beberapa perkara) dan yang paling 'terlanjur' daripada kegeniusannya. Memang secara strukturnya filem ini banyak tersasar, malah jalan ceritanya sangat ‘corny’, kita mengingatkan P. Ramlee sudah nyanyuk. Kita tidak sedar, walaupun mungkin belum dibualkan secara rasmi, P. Ramlee telah memperkenalkan unsur 'noirish' di dalam kemelayuan Dr. Rushdi tanpa disedari.
Sebelum kita bergerak ke arah mencari unsur 'kelam' di dalam Dr. Rushdi, baik kita kembali ke zaman 1946, zaman istilah noir diciptakan.
Pada 1946, seorang pengkritik filem Perancis telah menamakan filem-filem keluaran Hollywood pada masa itu sebagai "noir film" atau 'filem hitam'. Ini adalah kerana kebiasaan pembikin filem Hollywood pada zaman itu menggunakan latar malam dan lokasi luar studio merakam sebuah adegan filem. Ini adalah kerana penerbit filem tidak dapat berbelanja tinggi (merakam filem pada waktu malam dan mengambil shot di luar studio lebih murah kerana tidak banyak menggunakan ruang yang luas, dan gambar dirasakan lebih terhimpit, klaustrofobia) kerana tidak cukup bajet, memandangkan kebanyakan pasaran Eropah tidak menerima filem-filem Hollywood pada waktu itu.
Apa yang diperkenalkan oleh pengkritik itu menjadi sebuah gaya yang baru, dan disanjung tinggi selepas itu kerana kedalaman tahap kreativiti yang tercetus di kalangan para pengarah, penulis skrip dan pengarah fotografi secara tidak sengaja.
Selepas itu, macam biasa, seperti mana-mana pengaprisiasian karya seni, berlakulah 'penciptaan' hukum hakam, dan di sini, hukum hakam noir, atau apa yang menyebabkan filem itu dipanggil sebuah filem noir yang tulen. Ramai peminat dan pengkritik akan berbalah tentang perkara ini, tetapi elemen yang pasti, seperti yang disyaratkan di dalam The Rough Guide To Cult Movies, terdapat tujuh konsensus yang 'disukai ramai':
- Unsur 3B: Balam, Bayang, dan Bertentangan. Imej di dalam sesebuah filem noir mesti gelap (balam), penuh dengan figura dan pencahayaan yang berbayang-bayang, dan menggunakan imej yang kontra (bertentangan) antara satu sama lain. Oleh itu, kebiasaan buat filem noir menggunakan warna hitam dan putih yang saling bertentangan.
- Filem noir mempunyai ciri watak yang sinikal dan delusi terhadap persekitarannya (termasuk watak-watak yang mengelilinginya) tetapi selalunya ia kental dan disukai penonton.
- Hero (atau anti-hero) selalunya mengalami dilema moral atau menghadapi bahaya demi bahaya.
- Terdapat seorang "femme fatale" atau 'wanita durja' (wanita yang menyebabkan duka) yang seksi, yang akan dan boleh menyebabkan kejatuhan terhadap heronya.
- Terdapat unsur persekitaran seakan menekan dan memerangkap hero, ini disusuli dengan gaya naratif suara (voice over) hero yang sinikal terhadap persekitaran.
- Banyak bermain dengan adegan imbas kembali (flashbacks).
- Tiada pengakhiran yang baik, atau klimaks yang pesimistik.
Jika dilihat daripada ketujuh-tujuh unsur di atas, kesemuanya terjalin kelam di dalam Dr. Rushdi. Dr. Rushdi menceritakan sebuah filem separa melodrama dan separa ngeri tentang Dr. Rushdi yang tidak dapat melayan nafsu seks isterinya kerana kesibukan kerja (ya, filem ini seksual) di kliniknya. Dr. Rushdi sebenarnya mencari sesuatu yang lebih dari hidupnya yang biasa (mundane), lalu pada suatu hari, kawan baiknya, Alimin (dilakonkan oleh Ed Osmera) yang romantis telah meninggal dunia, lalu Dr. Rushdi, oleh kerana kecewa besar dengan isterinya yang berfoya-foya dengan lelaki lain telah membawa dirinya ke banglo Alimin yang kosong dengan melakonkan sebuah insiden yang menyebabkan orang ramai mengesyaki bahawa Alimin mati kemalangan di sebuah gaung di tepi bukit.
Kalau dilihat daripada sinopsis (separuh siap) di atas, kita sudah mengesyaki, terdapat beberapa unsur 'noir' yang wujud di dalam Dr. Rushdi. Kemestian balam, bayang dan bertentangan memang sudah jelas dalam imej hitam putih filem ini, babak-babak malam di banglo Alimin, mainan bayang-bayang dalam watak dan latar rias, dan paling nyata, mainan hujan, kelam, sepatu dan lokasi hutan pada shot akhir filem ini.
P. Ramlee sebagai Dr. Rushdi sendiri sinikal terhadap isterinya, dan kemaruk delusi terhadapnya (terjawab pada akhir cerita). Ciptaan identitinya yang 'kedua' pada pertengahan cerita adalah hasil delusi yang dicipta oleh Dr. Rushdi pada awal cerita, walaupun unsur ini lebih terarah kepada melodramatik (yang sebenarnya, unsur biasa dalam filem noir yang tulen, oleh kerana pada waktu itu, kebanyakan penonton filem Hollywood di Amerika ialah wanita, para isteri/kekasih yang tinggal di rumah semasa perang). Malah, jika ditonton dengan teliti, P. Ramlee dengan berani mewarnakan Dr. Rushdi sebagai 'mandul' terhadap isterinya dan memerlukan 'identiti lain' atau 'hidup lain' untuk berfungsi secara seksual. Dr. Rushdi di sini mengalami dilema moral, apakah dia patut tinggal dengan isteri cantiknya yang sah yang kini sudah menyebabkan nafsu seksualnya dingin, atau dia patut mengikut 'hatinya' dan tinggal bersekedudukan (walaupun di dalam filem ini secara nyata menafikan) dengan simbol berahinya, si jururawat lakonan Sarimah?
Cetusan pilihan 'salah' yang dilakukan oleh Dr. Rushdi di dalam filem ini bukan saja mengejutkan para penonton pada waktu itu yang 'melampaui batas' tetapi memilih melakukan satu terjunan paradigma daripada kebiasaan 'romantisme' filem Melayu.
Begini. Jika dilihat dengan teliti, P. Ramlee menggambarkan bahawa dalam Dr. Rushdi, semua 'romantisme' sudah mati, atau menjadikan filem Dr. Rushdi sebuah filem pertama Melayu romantis seram. Alimin, kawan Dr. Rushdi adalah simbol nyata romantisme yang dipegang oleh Ghazali dalam Antara Dua Darjat(1960) atau Amran dalam Penarek Becha(1955). Unsur hero yang romantis adalah seorang watak 'wira' yang mengalami satu pengembaraan yang penuh halangan untuk mencapai sesuatu yang murni (selalunya, yang murni itu ialah si wanita yang dicintai yang mesti didapatkan). Si wira itu mesti mendapat ciri murni itu akhirnya setelah segala yang ia lalui (seperti membunuh naga). Tetapi, Alimin yang romantis 'mati' kerana romantis (diceritakan kembali dengan gaya imbas kembali), seorang hero hindustan yang kecundang (pilihannya mencapai sesuatu yang murni dihalang sehingga menyebabkan maut). Kesalahan Dr. Rushdi ialah, memilih untuk meniru identiti Alimin kerana buat Dr. Rushdi, sifat Alimin itu 'murni' dan lari daripada delusinya terhadap isterinya yang sundal.
Sophia Ibrahim yang berlakon sebagai isteri Dr. Rushdi bukan femme fatale yang tunggal dalam filem ini. Terdapat tiga 'wanita durja' di dalam filem ini sebenarnya. Wanita yang dicintai oleh Alimin dan diabadikan dalam sebuah potret adalah 'wanita durja' terhadap Alimin, membawa penyebab kejatuhan Alimin, dan kemudiannya mempengaruhi 'moral' Dr. Rushdi. Sarimah adalah "the fallen women" yang ketiga secara tidak sengaja. Setiap langkah dan pilihan Sarimah secara kebetulan telah menyebabkan bahaya dan perangkap terhadap Dr. Rushdi, walaupun bukan salah Sarimah seratus peratus. Sebenarnya, apabila Sarimah mencintai Dr. Rushdi sudah sendirinya 'salah', dan ini menyebabkan pemilihannya menjatuhkan status Dr. Rushdi. P. Ramlee sengaja mahu memaparkan 'kejatuhan' seorang doktor oleh tiga orang wanita ini kerana mempamerkan seorang individu yang dihormati dalam masyarakat Melayu pada masa itu boleh saja buruk martabatnya oleh kerana mengikut perasaan mereka yang 'murni' atau memilih pasangan yang salah. Walau melodramatik kedengarannya, inilah pesimis sebenar yang mengaburi romantisme garapan P. Ramlee, sekali gus menjadi 'prophecy' P. Ramlee terhadap 'kejatuhan' filem Melayu pada tahun-tahun berikutnya kerana pemilihan pembikin filem waktu itu yang terlalu 'romantis'. Malah menakutkan, pada saat-saat 'duka' hidup P. Ramlee, P. Ramlee telah menggambarkan 'hiba' hatinya terhadap sisa-sisa hidupnya yang berlari mencari tempat berlindung, melarikan dari aib dan bahaya yang mengejarnya dan cuba melingkupkannya, di dalam babak akhir filem ini.
Filem ini agak pelik bila ditonton pada awalnya. Ini adalah kerana, kita tidak jumpa P. Ramlee yang pernah kita kenali sebelum ini (dan kita jumpa sekali lagi pada filem terakhirnya, Laksamana Do Re Mi(1972) ). Latar lagunya tampak sama, melodi yang beralun-alun dengan gaya romantis tetapi dibisukan dengan pengakhiran yang 'kelam' lagi suram. Pencahayaannya lebih gelap, walaupun penggambarannya berani mengambil cahaya kulit wanita terang-terangan. Dialognya tampak baku (dan diikuti oleh pembikin filem sampai sekarang seperti Yusof Haslam) tetapi jelas berani dan tidak berlindung, melawan segala tatasusila kias dalam adab kata orang Melayu (dan diikuti sekarang dalam filem-filem neo-realis pembikin orang muda). Suntingannya mungkin agak lama, tetapi tepat dengan teknik zaman noir yang diperhatikan. Memang, kadang-kadang, filem ini juga membuahkan banyak persoalan, banyak pertanyaan logik akan pilihan watak-wataknya terutamanya Dr. Rushdi. Tetapi persoalan ini kembali membentak penonton untuk lebih banyak bermuhasabah diri, apakah yang sebenarnya murni dalam kehidupan, dan apakah yang real, dan apakah yang kita mahukan sebenarnya dalam hidup real ini untuk mencapai kemurnian? Kerana P. Ramlee sudah lebih awal melontarkan soalan-soalan ini, khususnya tentang unsur kelemahan di dalam jiwa manusia yang akan diterokai oleh Mamat Khalid sekali lagi di dalam filem terbarunya. Maka inilah unsur noir yang sebenar-benarnya di dalam jiwa mana-mana manusia.
Subjek/Pengarah
Mamat Khalid,
Noir,
P. Ramlee
Subscribe to:
Posts (Atom)