"Haruan Oh Haruan,
Kenapa kau makan anak?
Kenapa kau makan anak?
Aku pun tak tahu ...
Aku pun tak tahu ..." - Cik Ikan
Filem ini merupakan sebuah filem berdurasi 71 minit lebih, dihasilkan oleh seorang pengarah muda, Razli Dalan (juga pencerita asal, penulis lakon layar dan penerbit eksekutif), untuk projek pengajian filemnya (untuk pengajian PhD) di UK. Lima minit awal filem ini merupakan pembukaan yang paling mengesankan, dibantu oleh sinematografi Courtney Sherives, pengarahan seni Kivi Larmola (juga suara Haruan), serta skor dan adunan suara Trabye. Aku seperti dibawa masuk dalam semangat gerak henti-boneka (puppeteer) dengan mood Lynch (babak kelahiran anak mengingatkan kita kepada Eraserhead) dan semestinya, suatu yang amat tempatan. Kita dipaparkan, anak-anak haruan menaiki anak-anak tangga rumah (premis cerita), "menyorot naratif" (pintu-bilik gelap), kemudian anak-anak haruan itu memasuki beg plastik sampah, yang dari kaca mata beg sampah itu (terlihat kaki bayi yang dibuang), kita memperlihat Ikan (Ahmad Dalan) sedang bermain wayang kulit, membuka cerita/panggung di hadapan kita. Paparan ini sahaja sudah menangkap "ringkasan" filem ini, yakni sesuatu yang dihimpun daripada "sampah" masyarakat kita, yang kisahnya dibisu-bisukan (Salomah/Cik Ikan lakonan Iqa Pqot yang dimaklumkan "membisu" oleh narrator Ikan dan kemudian si doktor sakit jiwa) lalu perlu di"wayang"kan untuk tontonan rakyat (kita).
Terdapat wacana yang menarik dipaparkan oleh Razli Dalan, bermain dengan hal-hal tradisi (wayang kulit, boneka dan lagu tradisional) melalui penyampaian media moden (sinema). Di sini sahaja kita sudah dapat menangkap, Razli "cuba" menyorot kembali "kisah lisan" (atau cakap-cakap di warung kopi?) tentang isu atau permasalahan tidak selesai-selesai bangsanya (Melayu), yang dikirakan "tabu", tetapi mungkin lebih ngeri di situ: tidak dinyatakan dengan benar (seperti mana naratif yang disengajakan memesong pada durasi 3/4 filem) dalam garapan yang lebih kontemporari. Apa yang ingin dijuangkan oleh Razli ialah pembinaan arketaip/mitos, dalam hal ini, arketaip pada ke"djahat"an masyarakatnya, yang jika Razli pandai: mampu melangkaui bukan sahaja secara kaca mata insan-individual, tetapi masalah besar sosiomasyarakat, sosioagama dan sosiopolitik.
Namun, kerana garapannya lebih tertumpu pada perkembangan (dan sedikit lembap dan mengambil masa) si patriaki yang mengahwini seorang janda, Deris (Megat Shahrizal), dengan meminjam dua tangan malaikat-syaitan The Night of the Hunter (1955), keadaan bicaranya terhala pada isu patriaki dan feudal lelaki-wanita dalam sistem strata masyarakat Melayu. Secara rumusnya, suatu garapan jelas akan penyakit patriaki lelaki Melayu yang tidak selesai-selesai, terikat dengan agama (lelaki sebagai imam keluarga) ekonomi (lelaki pembawa rezeki) dan keluarga (lelaki penyelesai masalah isi keluarga). Namun yang lebih menarik di situ ialah simbolisme ikan haruan sebagai punca naratif Ikan kepada "ayah"nya. Haruan ini disimpan oleh Ikan dan mampu berkata-kata (jika aku tidak silap, berbahasa Portugis-Brazil?). Haruan disampaikan, jauh lebih purba daripada kewujudan manusia, lebih awal tercipta daripada manusia. Secara pembacaan Barat-hukum pewarisan Mendel/evolusi Darwin, kita sudah dapat menangkap betapa haruan sebagai simbol id-superego yang jauh lebih lama daripada manusia. Yakni, tertanamnya "kekhilafan" manusia moden kerana "bilazim" yang diwarisi predecessor moyangnya, yakni ikan haruan (yang memakan anaknya sendiri). Namun hal ini juga sarwajagat pada pandangan Melayu tradisi Timur, yang mengungkapkan peribahasa "setua riwayat panjang lama Melayu" daripada pemerhatian tajam orang Melayu terhadap alam sekelilingnya dahulu kala, "Bagai haruan makan anak". Maka, haruan membawa dua simbol, kenyataan pedoman "didaktik" moral insan (menyimbolkan haruan, yang walaupun mempunyai pelbagai khasiat, sejenis haiwan yang jahat moralnya) dan seterusnya simbol makluk yang jauh lebih tua (dan bijaksana) daripada manusia untuk direnungi.
Mainan ekspresionisme cahaya yang berkesan. |
Id sang patriakh yang merah ditembungi superego atau suara anak muda yang memohon perubahan dalam limpahan bayangan warna hijau secara ekspresionis. |
Wacana inilah yang menjadi mainan dan perkembangan yang menarik, yang menyampaikan, secara seramnya, bagaimana insan lelaki yang terperap sistem patriaki dan kemenangan feudal masih menjalankan kejahatannya tanpa soal periksa sebenar masyarakatnya. Malah, suara orang muda (yang sepatutnya menyerang arketaip buruk ini) hanya mampu bernyanyi dan bersuara seperti bisikan si malaikat kepada hati nurani sang lelaki akan kesalahannya, tanpa mampu berbuat apa-apa keputusan yang konklusif mahupun progresif. Lantas, secara stereotaip, Deris pun "memakan" anak tirinya, Saloma/Cik Ikan. Lalu segala-galanya merah, kelam dan berdarah.
Dalam beberapa bahagian pula, kita dipaparkan dengan warna merah (djahat) yang memancar secara ekspresionisme Jerman, beberapa bahagian pula sangat jelas keamaturan lakonan dan garapan, dengan rasa seperti kita menonton filem underground Kenneth Anger. Semua ini disaluti dengan lagu klasik Zubir Said dan bayangan rasa filem Melayu lama (dengan efek lagu-imej), sekali gus menyatakan terperangkapnya (kita masih tidak dapat lari dengan struktur konvensional dan idealisme filem-filem Melayu Jalan Ampas) si rakyat dan terperangkapnya si penceritanya sendiri (pengarah) dalam stereotaip dan klise sinema asal (sehingga Cik Ikan sendiri, ala pendedahan The Cabinet of Dr. Caligari mengakui perangkapnya dengan menyatakan enigma takdirnya melalui lagu tradisi kanak-kanak, Bangau Oh Bangau yang diubah, rujuk di atas).
Lantas, Razli Dahlan hanya mahu menunjukkan, dan bukan hendak menyelesaikan, kerana mungkin baginya, sinema hanya bercerita bentuk dan rasa seadanya, dan takkan mungkin dapat menemui jawapannya.
Dalam cantuman boneka dengan manusia, yang purba/id merasuki insan untuk memilih jalan kejahatan. |
Filem eksperimental ini kini dipilih sebagai antara filem-filem tayangan Asian Movie Pulse (boleh tonton di sini).
ps: Saudara Razli sendiri telah menghubungi aku dan memaklumkan bahawa bahasa yang diutuskan oleh Haruan ialah Finnish.
No comments:
Post a Comment