Filem pertama (Ola Bola dianggap separa biofil sukan kerana nama-nama tokoh sukannya diubah) yang menampilkan jaguh badminton negara kita, Datuk Lee Chong Wei, sememangnya suatu langkah pertama untuk filem-filem biografi sukan yang baik. Apatah lagi untuk sebuah filem aksi sukan yang berproduksi tinggi. Filem ini yang diadaptasi daripada buku biografi Chong Wei sendiri, Dare to be a Champion (dalam Mandarin, diadaptasi oleh Teng Bee, Luke Hwong, Tony Hu dan Wong Siew Chooi) ini menampilkan riwayat awal Chong Wei sewaktu membesar di kampung nelayan di tepi persisir Bukit Mertajam, Pulau Pinang, yang kemudian mengorak ke gelanggang BAM (Persatuan Badminton Malaysia) di Kuala Lumpur untuk menghala hidupnya untuk menemui pencabar utama dunianya, Lin Dan dari China.
Teng Bee dipuji untuk menampilkan hal-hal manusiawi yang dilalui oleh Chong Wei, dengan mengambil struktur biasa-klise dalam filem sukan - dari sifar ke perwira negara - yang sememangnya, amat berfungsi untuk tujuan pembinaan jati diri dan semangat patriotisme kebangsaan rakyatnya. Filem ini terletak sesuai bagi bangsa Malaysia yang mencari-cari semangat dan kejituan hala tuju untuk meniti arus pembangunan, lebih-lebih lagi pada era dirinya hendak cuba keluar dari darjat dunia ketiganya kepada negara maju (seperti Singapura).
Kekuatan ini juga tampak dalam keselesaan penulis skrip dan olahan pengarah untuk membentuk keluarga Lee Chong Wei dengan jelas, khusus pertalian ibu (lakonan Yeo Yann Yann yang baik), bapa (lakonan Mark Lee yang sangat baik) terhadap personaliti dan sikap Chong Wei, walaupun merenyehnya dalam takungan air mata dan simpati penonton (melodrama ialah Malaysia dan Malaysia ialah melodrama, kita, seperti Hindustan dan negara Latin, sukakan air mata dan derai emosi nampaknya). Ia menjadi.
Teng Bee bijak, malah jauh meninggalkan filem aksi-drama-jenayah Kepong Gangsternya dalam menimbang babak antara drama keluarga dengan aksi gelanggang Lee Chong Wei, dengan babak terbaik haruslah dianugerahkan pada tangkapan saspens dan drama terperangkap Chong Wei dan ayahnya yang terpaksa bermain di gelanggang "perjudian" badminton pada suatu malam. Lebih baik lagi, sinematografi Eric Yeong (yang dikenali untuk The Journey) yang mencari dinamisme sudut dan tangkapan aksi perlawanan badminton (daripada babak paras bumbung yang selalu kita tonton di televisyen) Chong Wei dan lawannya, yang berpecah pada beberapa bahagian dengan sedar (latihan, perlawanan rasmi dan perlawanan legenda) yang sekali sekala tidak malu-malu menangkap peluh, cahaya mata dan kerut dahi Chong Wei dan lawannya pada satu-satu perlawanan. Hal ini turut dibantu oleh suntingannya yang memadai untuk menajamkan gerak laku pemain atau melakukan kerja gerak perlahan (slowmo) yang tipikal dalam filem-filem sukan pasca Raging Bull. Semuanya mengundangkan degup jantung kencang dan keseronokan berpadu, seperti yang kita tonton dalam sebuah perlawanan sukan yang baik.
Lakonan perkumpulannya cukup sebati, dengan Rosyam Nor sebagai Misbun Sidek, jurulatih-mahaguru yang amat disenangi Lee Chong Wei. Baik juga lakonan utama pelakon baharunya, Tosh Chan yang benar-benar menangkap bukan sahaja aksi, tetapi jiwa dan perilaku Chong Wei pada bahagian-bahagian tertentu, lebih-lebih lagi pada beberapa persoalan konflik. Juga pujian buat Jake Eng, yang begitu licik di gelanggang tetapi berjaya merentap jiwa sebagai Lee Chong Wei semasa kecil. Selain kedua-dua pemain utama ini, kebanyakan pemain badmintonnya (yangs etentunya sudah dilatih bertubi-tubi) juga menampilkan ketangkasan yang begitu cemerlang sewaktu dalam perlawanan, kita mempercayai mereka benar-benar bermain badminton tahap profesional, membuatkan aku terasa ingin mengangkat raket aku kembali ke gelanggang. Runut bunyinya yang mengada-ngada Hans Zimmer juga berfungsi pada bahagian-bahagian tertentu, khsusunya pada perlawanan legenda Chong Wei dengan Ling Dan, menimbulkan dramatik dan unsur saspensnya dengan cemerlang.
Yang paling penting, Tee Beng tidak melupakan jarak jalan dan halangan yang perlu dilalui oleh perwira negara ini, membinanya sedikit demi sedikit, tidak merempuh sewenang-wenangnya, lalu dengan "usaha" dan perit yang dilalui itu, kita dapat mempercayai Chong Wei berjaya menjadi juara dunia dalam bidang badminton, dan memberikan secuit inspirasi untuk anak muda mengikut langkahnya.
Klasifikasi: PG, beberapa aksi ganas dan perilaku kurang berakhlak yang memerlukan bimbingan dan didikan penjaga dewasa.
MENONTON DI GSC My Town.
1 comment:
Fadz, ulasan ini menunjukkan, antara kesemua blog filem, (yang banyaknya dah tak aktif) kau masih masih menyengat dan paling penting dalam industri filem sekarang.
Post a Comment