21 December 2017

KL Wangan (2017)



"Aku send location." - Ejay

"Dia cun sangat. Aku tak dapat tahan orang bawah aku." - Yudi

Ini adalah filem kedua Pekin, sebuah aksi drama. Peliknya, filem ini menjadi semacam surat cinta (dan benci dendam tak puas hati?) Pekin yang pernah berlakon dalam filem sulung Raja Mukriz, Ophilia (2014). Monolog awalnya (lakon layarnya ditulis oleh Pekin sendiri) mendekati rasa-rasa filem itu, kemudian, adakah ini disengajakan, babak semacam gerai baju bundle, mendekati sama juga babak Ophilia, dan menariknya, ada satu babak yang Lyna Ahmad, kembar aku yang tulis filem Ophilia kata patut hujan pada satu syot, hujan itu muncul dalam KL Wangan (kerana kali ini ada bomba mahu sedekah air pancur), dan hal ini, ditambah pula, semacam satu homaj, penampilan Raja Mukriz sendiri sebagai skinhead otai yang mendepani Pekin!

Memang, semua itu kiranya macam sampul duit raya (easter egg!) lah buat aku, melihat homaj, rujukan dan sentuhan Pekin yang mungkin sengaja menyeludupnya sebagai melakukan suatu "hantaran hormat" yang kelakar kepada filem yang dihormati/sukainya (Pekin juga menyentuh semangat KL Drift Syamsul Yusof dan Fast and Furious Justin Lin), filem lumba haram kereta di jalan raya. Ini semua seronok bagi seorang penonton, tapi macam biasa, aku yang tidak suka hingar bingar kereta di jalan, terpaksa menutup telinga dengan gegaran porno kereta lumba di jalan raya, subgenre yang masih popular dalam kalangan pembikin kita (selagi penonton kita melayan genre Fast and Furious), namun aku harus memuji dua perkara baik yang dilakukan oleh Pekin:

(1) Aku suka dengan set-up dan istilah jargon enjin dan segala kelengkapan dan teknikal yang terkait dengan dunia underground anak-anak muda kota ini yang dijelmakan dan didialogkan oleh Pekin. Ini baru terasa hidup dan betapa serius Pekin terhadap kraf permotoran dan subbudayanya, dengan injak, kuasa enjin, tekan minyak, kapasiti dan apa-apa lagi yang jelas hanya nerd kereta lumba yang akan faham semangat dan keseronokannya. Yang ini boleh dijual di luar negara.

(2) Pekin tampaknya ingin membina watak, dan terdapat aksi yang memikat dalam filem ini, lebih-lebih lagi babak klimaks pertembungan dua buah kereta lumba haram. Ada sesuatu yang Pekin belajar, mungkin daripada guru-guru dan idolanya. Kita dapat rasa saspens alat kereta yang tertanggal di jalan yang dilanggar oleh roda kereta, sipi antara kereta dengan kereta berlumba, kilat memercik apabila kereta menggilis jalan raya dan budak yang sibuk dengan mainan selular sewaktu memandu, semua ini terasa uja dan teliti. Hal ini kerana dibantu dengan ketelitian dan kemahuan Raja Mukriz untuk mungkin pergi lebih jauh daripada kebiasaan dalam filem-filem tempatan begini. 

Namun begitu, Pekin bukanlah seorang penulis lakon layar. Penceritaannya tidak terkawal. Pekin cuba bercerita, tetapi sentiasa sahaja tersilap langkah (contoh paling awal, apa perlunya monolog panjang di awal filem jika monolog itu tidak dapat membantu berkembang pada babak seterus mahupun klimaksnya, atau sekurang-kurangnya monolog itu diselesaikan/leraikan pada satu titik katarsis kerana membuka persoalan pada awal filem) dan tidak mengawal ke mana ceritanya akan pergi (kita terdengar beberapa motivasi watak dan dialog diulang-ulang beberapa kali, secetak itulah plot filem ini). Banyak yang kita mahu sorakkan (seperti bagaimana subplot Kodi Rasheed yang amat menyentuh dalam kelakarnya) tetapi pada struktur dan tulang belakang besarnya, ia tidak mampu menahan berat masalahnya. Hal ini pula tidak dibantu oleh suntingan Akashdeep Singh yang cuai, lintang-pukang (sengaja ambil semangat French New Wave, afasal? Apa alasannya?) dan kadangkala mengelamun (babak pertarungan awal dengan kehebatan liuk tendang Donny Alamsyah daripada The Raid 1 & 2 sepatutnya kental, tetapi dek suntingan yang tidak serius, ia terasa hambar).

Nasib baik Faizal Hussein, dengan perwatakan ala Steve Rubell dari Studio 54 ambik ketum 24 jam memberi satu lakonan yang santai tapi memberangsangkan (walaupun kita mahu tahu lagi, latar dan sebab mengapa dia begitu - ya, kita tahu kerana dia menyimpan suatu rahsia yang dia rasa salahnya) sebagai seteru kuat pada kawan Pekin (sebagai Ejay) dan majikan sementara "guru" lumba haram, Hong (lakonan tidak bermaya Kazuto Soon), yang mungkin juga watak Faizal mendekati watak Vin Diesel daripada Fast and Furious secara tidak sengaja. 

Penyeleraian dan akhir filem yang terlalu mendadak (ada Yusof Haslam secara tiba-tiba memberi dialog jawapan yang juga tiba-tiba) menambahkan lagi ketidakhirauan Pekin terhadap logik, janji semangat lumba haram kereta itu dapat membingit jalan raya Kuala Lumpur yang selalunya tidak tidur dan sentiasa menunggu untuk menerima jeritan warga kotanya. Ya, filem ini ada semangatnya yang tersendiri, hiburan, sedutan "sejarah benar legenda"  dan ketelitiannya sudah tentu mengujakan segolongan subbudaya lumba haram untuk menelitinya, tetapi untuk mendapatkan perhatian penonton aksi kereta laju lain, Pekin mungkin perlu cuba lebih daripada itu buat karya seterusnya.

1 comment:

Anonymous said...

Berterabur juga ulasan ni. Tak faham aku.