24 July 2017

Kerja Kahwin (2017)

"Bunga telur tu menunjukkan supaya dua pengantin tu suburlah hendaknya" - Mak Tok

Filem bermula dengan begitu bergaya sekali, sebuah syot yang panjang, tanpa pemotongan, mempertontonkan wajah dan gerak orang perempuan (kebanyakannya) di dalam sebuah rumah, sedang menyiapkan "barang kahwin", hantaran, bunga telur, dekorasi meja makan pengantin dan pelamin. Syot bergerak dari satu bilik ke satu bilik. Nampaknya, Anwardi, pengarah filem ini yang pernah memberikan kita fantasi-advencer Tuah (1990) memberikan sesuatu yang jelas bahawa: dia serius kali ini.

Syot penataan sinematografi Mohd Noor Kassim yang teliti itu kemudiannya menangkap wajah Rosnani Jamil sebagai Mak Tok, induk (adat orang Minang) keluarga tersebut yang ingin mengahwinkan cucu kesayangannya, Farah (Janna Nick), anak Shaharuddin Thamby. Syot awal yang mengujakan ini, sedikit demi sedikit membina semangat penonton untuk masuk ke "rumah baharu" atau "kenduri" yang Anwardi sediakan kali ini, sebuah skrip yang ditulis olehnya berserta penulis skrip Anwar Idris (ini kira dah lejen ni). Kita kemudian menyedari kerisauan Shaharuddin Thamby yang merasakan "ada yang tidak siap ni nanti" dan disampaikan maklumat bahawa Farah berkahwin di rumah itu atas mengikut permintaan Mak Toknya yang inginkan sebuah perkahwinan Melayu di rumah kampungnya sendiri, bukan di bandar, dan bukan berbentuk moden.

So far so good kata orang puteh. Aku mulalah mengimbau filem Asia tentang kahwin yang amat terkenal itu, Monsoon Wedding (2001) serta sebuah filem pelajar, 3 Budak Melayu. Niat/agenda Anwardi untuk filem ini mungkin lebih murni, yakni ingin mengambalikan citra/imej "asal" bagaimana sesebuah rupa kenduri kahwin Melayu tradisi yang sebenarnya. Jika kita perhatikan pun, mengikut penelitian kebanyakan filem Melayu (yang tidak lari juga beberapa filem Hollywood dan Asia lain), walimatul urus perkahwinan itu merupakan sebuah "acara" yang bukan calang-calang. Secara simbolisnya pun, kenduri kahwin menyerupai pembikinan sesebuah filem, ia memerlukan orang (pasangan kahwin dan keluarga dan yang lain - watak-watak), latar (pelamain dan segala set berkaitan, seperti latar tatahias yang digunakan dan kemudian disimpan setelah selesai) teknik (suara, muzik, dan sudah tentu untuk filem, kamera, pencahayaan, suntingannya dan lain-lain) dan pengarahnya yang mengikat setiap satu kolaboratif/sumbangan setiap kepakaran orang itu pada satu bentuk "persembahan" atau perjalanan kenduri yang "utuh". 

Metafora baik ini, yang kita bayangkan akan dapat menyampaikan sesuatu, rupa-rupanya kecundang di tengah jalan kerana sikap lewa Anwardi terhadapnya, memberi suntikan-suntikan yang tiada "hantaran terbesar" yang ditunggu-tunggu. Ada intrig yang hendak dibina, dengan gaya ensemble ala Robert Altman, apabila kita kenal, bukan sahaja Farah dan Mak Tok di sini, tetapi sedikit isi hati ayah Farah, kemudian seorang janda yang kembali membantu, si pemasak yang didatangkan khas dari Singapura (yang sebenarnya mempunyai pertalian utuh dengan induk rumah tersebut), si kontraktor Tamil yang membantu hal perkakas jamuan di laman, dan beberapa lagi. Masalahnya di sini, entah salah skrip atau aplikasi Anwardi, tidak ada satu "cerita" pun yang kita peduli! Semuanya hanya tiang-tiang yang mengisi latar, sebuah imej catan tanpa watak yang hidup. Hanya di situ untuk "memeriahkan" latar tangkapan. Kononnya, terdapat satu "petanda" bahawa perkahwinan Farah akan "bermasalah" apabila solekan "pelangi" daripada mak andam Farah menjadi isu besar, malah inilah yang disuarakan oleh ayahnya, tetapi konflik tinggal konflik. TIDAK ADA apa-apa yang berlaku melainkan "the show just moved on" dengan beberapa suntikan "orang sekarang dah tak buat" Anwardi kepada penonton yang kononnya hendak mengajar penonton apa itu adat istiadat kahwin orang Melayu yang tradisional, tapi tetap dibuat dengan cita rasa yang tawar (satu babak yang sangat mengganggu, apabila si pemasak yang terkenal itu sendiri memasang radio, alat moden dan teknologi untuk mengajar pembantunya mendapatkan jiwa dalam masakan kahwin! Malah, secara tipikal sebuah filem kenduri [rujuk Fanny and Alenxander atau Eat, Drink, Man, Women sebagai contoh] atas persediaan makanan kenduri [di namakan "masakan cinta"?], mengapa imej makanannya sendiri tidak dipaparkan dengan jelas, tersiap dihidangkan?) dan tidak menjadi.

Lakonan para pelakonnya biasa, juga menjadi hambar kerana ketiadaan "fokus" daripada skrip. Seorang pelakon berkaliber seperti Shaharuddin Thamby dan Rosnani, terbuang dan menjadi biasa, malah terasa terpaksa dibuat-buat dengan dialog yang diulangkan berkali-kali. Walaupun boleh dipuji dengan sikap Anwardi mahu pelakonnya melakukan impromptu dan beraksi natural, namun rangka skripnya tidak menghidangkan apa-apa "isi" untuk dijamah oleh pelakonnya, bergerak lalu begitu cepat seperti hujan pagi menjelang tengah hari.

Mungkin hanya runut bunyi mainan biolanya yang mengancam, dan mainan kompang budak-budak kampung yang begitu hidup, serta babak lawna pantun yang mengujakan. Itu sahaja cuplikan sumbangan kepakaran dalam imej latar yang dapat aku bawa balik daripada keseluruhan filem yang mendatar tanpa makna.

Jelas, filem ini dibikin oleh Anwardi, sebagai suatu "rakaman nostalgia" yang amat peribadi kepadanya (terdapat satu babak imbas kembali yang jelas berhubung dengan impian/mimpi ibunya, Rosnani pada hal nostalgia zaman dahulu. Dialog "Orang sekarang dah lupa" berulang berkali-kali), namun jelas, tanpa bumbu dan lauk yang betul, kendurinya hanya sebuah kenduri yang menempel dan tawar tanpa rasa.

1 comment:

Anonymous said...

drama tv2 /tv1 dia , bilik no 13 best, genre misteri ala2 twilight zone