24 July 2017

Kerja Kahwin (2017)

"Bunga telur tu menunjukkan supaya dua pengantin tu suburlah hendaknya" - Mak Tok

Filem bermula dengan begitu bergaya sekali, sebuah syot yang panjang, tanpa pemotongan, mempertontonkan wajah dan gerak orang perempuan (kebanyakannya) di dalam sebuah rumah, sedang menyiapkan "barang kahwin", hantaran, bunga telur, dekorasi meja makan pengantin dan pelamin. Syot bergerak dari satu bilik ke satu bilik. Nampaknya, Anwardi, pengarah filem ini yang pernah memberikan kita fantasi-advencer Tuah (1990) memberikan sesuatu yang jelas bahawa: dia serius kali ini.

Syot penataan sinematografi Mohd Noor Kassim yang teliti itu kemudiannya menangkap wajah Rosnani Jamil sebagai Mak Tok, induk (adat orang Minang) keluarga tersebut yang ingin mengahwinkan cucu kesayangannya, Farah (Janna Nick), anak Shaharuddin Thamby. Syot awal yang mengujakan ini, sedikit demi sedikit membina semangat penonton untuk masuk ke "rumah baharu" atau "kenduri" yang Anwardi sediakan kali ini, sebuah skrip yang ditulis olehnya berserta penulis skrip Anwar Idris (ini kira dah lejen ni). Kita kemudian menyedari kerisauan Shaharuddin Thamby yang merasakan "ada yang tidak siap ni nanti" dan disampaikan maklumat bahawa Farah berkahwin di rumah itu atas mengikut permintaan Mak Toknya yang inginkan sebuah perkahwinan Melayu di rumah kampungnya sendiri, bukan di bandar, dan bukan berbentuk moden.

So far so good kata orang puteh. Aku mulalah mengimbau filem Asia tentang kahwin yang amat terkenal itu, Monsoon Wedding (2001) serta sebuah filem pelajar, 3 Budak Melayu. Niat/agenda Anwardi untuk filem ini mungkin lebih murni, yakni ingin mengambalikan citra/imej "asal" bagaimana sesebuah rupa kenduri kahwin Melayu tradisi yang sebenarnya. Jika kita perhatikan pun, mengikut penelitian kebanyakan filem Melayu (yang tidak lari juga beberapa filem Hollywood dan Asia lain), walimatul urus perkahwinan itu merupakan sebuah "acara" yang bukan calang-calang. Secara simbolisnya pun, kenduri kahwin menyerupai pembikinan sesebuah filem, ia memerlukan orang (pasangan kahwin dan keluarga dan yang lain - watak-watak), latar (pelamain dan segala set berkaitan, seperti latar tatahias yang digunakan dan kemudian disimpan setelah selesai) teknik (suara, muzik, dan sudah tentu untuk filem, kamera, pencahayaan, suntingannya dan lain-lain) dan pengarahnya yang mengikat setiap satu kolaboratif/sumbangan setiap kepakaran orang itu pada satu bentuk "persembahan" atau perjalanan kenduri yang "utuh". 

Metafora baik ini, yang kita bayangkan akan dapat menyampaikan sesuatu, rupa-rupanya kecundang di tengah jalan kerana sikap lewa Anwardi terhadapnya, memberi suntikan-suntikan yang tiada "hantaran terbesar" yang ditunggu-tunggu. Ada intrig yang hendak dibina, dengan gaya ensemble ala Robert Altman, apabila kita kenal, bukan sahaja Farah dan Mak Tok di sini, tetapi sedikit isi hati ayah Farah, kemudian seorang janda yang kembali membantu, si pemasak yang didatangkan khas dari Singapura (yang sebenarnya mempunyai pertalian utuh dengan induk rumah tersebut), si kontraktor Tamil yang membantu hal perkakas jamuan di laman, dan beberapa lagi. Masalahnya di sini, entah salah skrip atau aplikasi Anwardi, tidak ada satu "cerita" pun yang kita peduli! Semuanya hanya tiang-tiang yang mengisi latar, sebuah imej catan tanpa watak yang hidup. Hanya di situ untuk "memeriahkan" latar tangkapan. Kononnya, terdapat satu "petanda" bahawa perkahwinan Farah akan "bermasalah" apabila solekan "pelangi" daripada mak andam Farah menjadi isu besar, malah inilah yang disuarakan oleh ayahnya, tetapi konflik tinggal konflik. TIDAK ADA apa-apa yang berlaku melainkan "the show just moved on" dengan beberapa suntikan "orang sekarang dah tak buat" Anwardi kepada penonton yang kononnya hendak mengajar penonton apa itu adat istiadat kahwin orang Melayu yang tradisional, tapi tetap dibuat dengan cita rasa yang tawar (satu babak yang sangat mengganggu, apabila si pemasak yang terkenal itu sendiri memasang radio, alat moden dan teknologi untuk mengajar pembantunya mendapatkan jiwa dalam masakan kahwin! Malah, secara tipikal sebuah filem kenduri [rujuk Fanny and Alenxander atau Eat, Drink, Man, Women sebagai contoh] atas persediaan makanan kenduri [di namakan "masakan cinta"?], mengapa imej makanannya sendiri tidak dipaparkan dengan jelas, tersiap dihidangkan?) dan tidak menjadi.

Lakonan para pelakonnya biasa, juga menjadi hambar kerana ketiadaan "fokus" daripada skrip. Seorang pelakon berkaliber seperti Shaharuddin Thamby dan Rosnani, terbuang dan menjadi biasa, malah terasa terpaksa dibuat-buat dengan dialog yang diulangkan berkali-kali. Walaupun boleh dipuji dengan sikap Anwardi mahu pelakonnya melakukan impromptu dan beraksi natural, namun rangka skripnya tidak menghidangkan apa-apa "isi" untuk dijamah oleh pelakonnya, bergerak lalu begitu cepat seperti hujan pagi menjelang tengah hari.

Mungkin hanya runut bunyi mainan biolanya yang mengancam, dan mainan kompang budak-budak kampung yang begitu hidup, serta babak lawna pantun yang mengujakan. Itu sahaja cuplikan sumbangan kepakaran dalam imej latar yang dapat aku bawa balik daripada keseluruhan filem yang mendatar tanpa makna.

Jelas, filem ini dibikin oleh Anwardi, sebagai suatu "rakaman nostalgia" yang amat peribadi kepadanya (terdapat satu babak imbas kembali yang jelas berhubung dengan impian/mimpi ibunya, Rosnani pada hal nostalgia zaman dahulu. Dialog "Orang sekarang dah lupa" berulang berkali-kali), namun jelas, tanpa bumbu dan lauk yang betul, kendurinya hanya sebuah kenduri yang menempel dan tawar tanpa rasa.

03 July 2017

Evil Dead II (1987) Di Tengah Era Komedi Seram dan Jump Scares


Aku ada masalah besar bila ada pengkritik atau orang memperolok-olokkan unsur jump scare. Malah, seperti dalam perbincangan Facebook Movie Addict tahun lalu, ada yang sampai menyatakan, oleh sebab implemantasi unsur jump scare, sebuah filem seram itu menjadi sebuah filem seram yang murah.

Aku marah dengan komentar begini.

Ada dua perkara yang korang kena faham. Pertama, jump scare tak buat filem seram tu poyo, yang buat filem seram tu jadi poyo ialah penggunaan jump scare yang tidak efektif (a horror film becomes good when the jump scares are used effectively). Antara masalah filem seram Melayu contohnya dalam hal ini ialah menggunakapai jump scares berkali-kali (paling buruk ialah kemunculan hantu di tepi tingkap) sehingga penonjolan itu sudah hilang ritma dan hantu itu (yang ditonjolkan) sudah menjadi tidak menakutkan. Korang boleh tengok unsur ini digunakan dengan berkali-kali sehingga lemau dalam Pontianak Harum Sundal Malam (2004), dengan memaparkan wajah Maya Karin dengan solekan tebal dan mata terbeliak berkali-kali, malah kadangkala tiba-tiba tanpa tujuan menggerakkan naratif. Malah, jump scare sebenarnya merupakan antara teknik yang membuatkan sebuah filem seram itu "menjadi", malah azali dalam pembikinannya. Kalau korang tak percaya, tonton Haxan (1922), walaupun sebuah dokumentari, merupakan antara filem (proto-)seram terawal yang juga menggunakan unsur jump scare. Malah, secara klasik, antara jump scare filem klasik seram yang aku suka ada dalam The Haunting (1963) dan Night of the Demon (1957). Malah, "shower scene" yang paling terkenal itu daripada Hitchcock juga kiranya menggunakan gerak dan perilaku sebuah jump scare sebenarnya, malah memang pun sebuah jump scare (syot laju, potongan suntingan, skor tinggi, suara naik) ... yang aku akan bawa pula pada perkara kedua ...

Jump scares sangat-sangat-sangat berleluasa dalam filem slasher, baik kalau kita bermula dengan genre giallo dari Itali atau dari Hollywood dengan filem Pycho (1960) Hitchcock. Buku teks atau ibu rujuk filem slasher, yakni Halloween (1978) menampilkan hal ini dengan jelas, malah meletakkan "syarat" bahawa apabila boogeyman muncul, perlu dimunculkan dengan mengejut (rujuk kembali Psycho sebagai kemunculan awal pembunuhnya yang efektif). Oleh sebab kemunculan filem seram hebat ini di ambang memasuki era 1980-an, mula, beberapa filem (walaupun diketahui sudah ada beberapa filem slasher sebelum Halloween namun tidak mempunyai pengaruh sekuatnya) slasher yang "menyalin" syarat dan rumus filem John Carpenter tersebut, dan paling jelas ialah Friday the 13th (1980) yang mempunyai ikutan-pengikut yang agak besar (dan memalukan). Setelah filem itulah (yang memberanakkan sebuah lagi sekuel dan sebuah lagi sekuel dan sebuah lagi) penggunaan teknik jump scare ini, yang digunakan berkali-kali dengan keadaan yang sama (kemunculan pembunuh, pembunuhan ganas berdarah-darah ya amat), sehingga filem-filem ini membuang terus logik dan akal hanya untuk sebuah "kejutan" yang pasti buat "gadis sebelah kau di pawagam menjerit nakkan tangan kau" menjadikan jump scare itu nampak poyo. Malah, secara sejarah Hollywood, tahun 1980-an sememangnya zaman filem slasher berkumandang, malah banyak filem slasher dan sekuelnya yang poyo bertayangan di pawagam (dengan tujuan nak huntong), yang menyebabkan orang menghina-hina filem seram dan slasher, mengelaskannya sebagai filem-filem murah yang dibikin untuk para remaja buang masa dan akal supaya dapat memeluk awek mereka dan sekali-sekala meraba buah dada mereka bila perlu. Keadaan ini lebih jelas apabila pada 1970-an, kebanyakan filem seram, dihasilkan daripada beberapa tema dan kandungan yang amat original, berkesinambungan daripada tahun 1960-an (kemunculan Romero dengan zombinya), malah dipanggil era auteur seram kerana kemunculan beberapa tokoh pengarah ataupun penulis layar yang jelas-jelas mempunyai stail dan cara pembikinan yang tersendiri (muncul Brian de Palma, Dario Argento, Pupi Avati, Lucio Fulci, Roman Polanski, Wes Craven, John Carpenter, Tobe Hooper, William Friedkin untuk The Exorcist, Robin Hardy, Nigel Kneale, Richard Matheson, Narciso Serrado, David Lynch dan David Croenberg) malah masih berpengaruh sehingga sekarang. Sudah tentu, dengan karya-karya mereka yang unggul dan distinct menjadi perbandingan lesu dengan salinan demi salinan lesu slasher dan filem-filem seram formulaik, apatah lagi yang menggunakan jump scare dengan basinya. 

Hal ini menyedihkan aku sedikit kerana sebenarnya, zaman 1980-an, walaupun tampak seperti zaman main-main dan cari duit (malah ada yang menyatakan zaman kemunduran filem seram di Hollywood), muncul beberapa pengarah yang aku sayangi dan sudah menapakkan kehebatan mereka dalam genre ini dan sejarah sinema khususnya, yakni Sam Raimi, Peter Jackson, Clive Barker, John MacNaughton, John Landis, Joe Dante, Stuart Gordon, Tim Burton dan Brian Yuzna, malah beberapa filem seram yang hebat dan bersejarah muncul pada era 1980-an. Dan tentulah, pada era ini juga, muncul Evil Dead dan sekuelnya, Evil Dead II: Dead by Dawn

Jika kita lihat lagi, dengan pelik dan menariknya, 1980-an juga, selain kemunculan beberapa subgenre yang menjadi genre tersendiri yang kuat, seperti slasher, zombi (sangat terkenal dengan kemunculan The Return of the Living Dead [1985]) dan kanibal, serta beberapa filem yang mengembalikan falsafah HP Lovecraft (The Curse, contohnya), juga menampikan suatu kecenderungan terhadap filem seram Hollywood berbentuk komedi atau seram komik (pada era 1980-an, kita agak lewat menuruti pengaruh seram dunia, 10 tahun ke belakang malah, apabila dalam 1980-an kebanyakan pembikin kita cuba membikin filem seram yang serius, dan dengan kehadiran LPF menolak filem seram dan Hong Kong yang juga memunculkan filem seram komedi kerana dihalang oleh kerajaannya membikin filem seram yang seram, pada 1990-an banyak muncul filem seram komedi di layar tempatan kita). Aku tahu filem seram begini sudah muncul awal seawal Hollywood dibina, lebih-lebih lagi apabila Hollywood yang diwakili Universal waktu itu sudah mula kekontangan bahan seram (hantu Universal disertakan dengan pelawak Abbott dan Costello). Joe Dante, antara wunderkind era ini yang memberi kita The Howling, telah menonjolkan perkaitan komik(kartun) dengan seram dengan jelas dalam segmennya dalam Twilight Zone: The Movie (1983). Walaupun bagi aku secara peribadi, komedi seram ini mencapai puncaknya pada pembikin filem adikarya El día de la Bestia (1995) karya Alex de la Iglesia dan Braindead (1992) karya Peter Jackson, gerak cara, gaya dan kaedahnya sudah dimulakan oleh Sam Raimi dengan siri francais Evil Deadnya dengan berkesan.



Aku memilih meneliti Evil Dead II daripada Evil Dead, kerana walaupun kedua-duanya, seperti yang diakui oleh Sam Raimi dipengaruhi oleh celoteh gerak The Three Stooges, Evil Dead II lebih "ceria" dan mempunyai beberapa set adegan yang jelas-jelas geli hati dan sudah pun menjadi klasik: tangan Ash (Bruce Campbell) yang dirasuk yang melawan tuannya sendiri, bilik kabin yang tiba-tiba ketawa, dan pergaduhan dengan deadites yang lebih slapstik (bebola mata masuk ke mulut, slapstik ini lebih jelas dalam sekuel seterusnya, Army of Darkness). Poinnya di sini, walaupun dengan segala celoteh, slapstik dan tujuan humornya, Evil Dead tetap menakutkan (hal ini lari daripada tujuan komedi yang lebih jelas seperti Gremlins dan Beetlejuice, contohnya) dan memang mempunyai saat-saat desak yang mengganggu. Ya, kita tampak penggunaan fizikal untuk komedi dan seram dicampur aduk oleh Sam Raimi untuk menghasilkan geli-gertak, tetapi ada satu lagi kekuatan sekuel Sam ini, yakni tempo dan mainan kesunyian. Dengan mainan teknik ini, Sam berjaya membina beberapa jump scare yang sangat efektif malah mahal dalam sejarah sebuah filem seram.

Antara jump scarenya yang terbaik ialah babak bilik bawak tanah yang panjang yang Ash perlu berjalan untuk mendapatkan "helaian mantera" untuk mengusir deadite. Menariknya, Sam dengan bantuan sinematografi Peter Deming, beberapa syot "persediaan" dimulakan sebagai pembinaan mood. Babak ini mengambil gaya biasa teknik ini, yakni tiada runut atau skor di latar dan babak berjalan. Beberapa syot POV berlaku, memaparkan ruang-destinasi. Terdengar air menitik (babak ini mengingatkan kita dengan filem asalnya), kemudian, dengan tidak semenanya, syot menyimpang ke kanan, seakan-akan ke belakang, dan waktu itu sunyi sesunyinya, dan terdengar suara nyaring tinggi, lalu terpampang, Ash terlanggar tengkorak (yang seakan-akan hidup, dengan suara campuran/tidak diagetik - untuk mainan imaginasi penonton). Hal ini dibina dengan baik apabila Ash kemudian (sudah tentu!) menemui helaian manteranya dan apabila dia seakan-akan sudah "selamat", muncul si hantu dari balik tangga. 

Hentakan demi hentakan Sam sungguh menjadi, seperti satu simfoni yang cukup menyerang penonton. Hal ini ditambah pula dengan kekuatan jelas dalam penceritaan yang lebih jelas dan masuk akal (walaupun begitu, kita tahu filem ini lebih jelas menusuk gaya atau teknik daripada penceritaan, ini suatu eksperimen dalam tera atau terror kata orang Perak), dengan latar perhubungan dan perwatakan Ash dan aweknya yang jelas, dengan latar kabin tersebut sebagai tempat kajian seorang ahli akademi arkelologi dengan turutan apa yang sudah berlaku. Ketidakmampu keadaan malam seram yang difahami (terdapat percubaan Sam mengembalikan sifat seram kabin dan sekitarnya untuk menimbulkan efek psikologi terhadap watak yang terperangkap di dalamnya) menimbulkan lagi pelbagai perkara yang kelihatan tidak patut berlaku tetapi tetap berlaku, seperti kemunculan roh profesor tersebut di dalam bilik, yang sebenarnya suatu alasan pembikin untuk meneruskan motivasi wataknya.

Kira-kiranya, terdapat empat jika tidak silap aku,  jump scare yang besar, (1) serangan awek Ash dari balik pintu, (2) kemunculan empat orang ke kabin menyerang Ash, (3) Ash muncul semula sebagai deadite, dan (4) serangan hantu di bilik bawah tanah. Yang bagusnya akan Sam dalam hal ini ialah Sam menyusung tempat-tempatnya dengan betul. Bukan sahaja nada dan gerak itu jelas menimbulkan kejutan yang efektif, tetapi ruangnya, seperti bagaimana apabila seorang daripada lelaki yang tersungkur dekat dengan pintu bawah tanah, lalu si deadite datang menyakup kepalanya. Keadaan ini, dengan ruang kabin, seperti filem pertama, yang klaustrofobik (kali ini, pokok-pokok pun hidup dan memerangkap dan menutup ruang kabin di luar), menampilkan lagi keadaan ketidakdapat keluar watak daripada hutan "dirasuk" itu.

Oleh sebab itu, Evil Dead, dan penggunaan Sam Raimi terhadap tradisi turunan ritma dan hentakan fizikal slapstik untuk mendapatkan gerak laku yang efektif dalam seram terus-menerus menjadi suatu gaya teknik yang dirujuk, kerana sememangnya antara filem penuh jump scare (besar dan kecil) yang masih boleh mengganggu degup jalan jantung penontonnya, melangsaikan hujah bahawa jump scare, walaupun dalam sebuah filem seram komik atau komedi, boleh terus melestarikan keseramannya, malah terus-menerus menjadi teknik yang perlu dikuasai untuk menghasilkan sebuah filem seram yang unggul.