"Sakit itu sementara. Kegemilangan itu selamanya."
Agak menarik apabila ada filem lokal kita yang memegang pada janji cogannya. Filem "inspirasi" dan "berdasarkan kisah benar" cikgu, atau dipanggil Teacher Cheryl Ann Fernando (ini memang kisah benar, malah "cerita asal" filem ini ditulis[wawancara?] oleh cikgu itu sendiri) di sekolah "ulu" Kedah, SMK Pinang Tungga"i" mempunyai magis. Dua detik senimanya menjadi kerana "truth to the word", yakni cogan Cheryl (yang dimainkan oleh Sangeeta Krishnasamy dengan berjaya sekali) kepada murid-muridnya disempurnakan (direalisasikan) dalam satu babak finale yang sangat indah, diambil oleh lensa Husni Abu Hassan: choral speaking berjudul "Superhero". Lihat, begini. Awal filem: Kita kenali Cheryl, dalam bajunya yang kekok bagi murid Melayu konvensional itu (babak awal itu, ada yang jelas-jelas memanggilnya "bukak aurat" dan "macam pelacuq"[!]) dengan imejan dia di depan papan hitam (Oh, sekolah Malaysia masih ada papan hitam) dengan murid-murid yang tidak peduli. Imej ini dibalas dengan imej "kemenangan" Cheryl (yang kita tahu, berkongsi "adiwira" murid-muridnya) dengan babak chrous speaking tersebut: layar putih, yang papan hitam itu tadi (yang kosong) digantikan dengan 35 muridnya yang bersemangat, tanpa kekok, bertutur dengan "perfect English", ditontoni oleh pelajar Kedah yang jauh lebih "elit" dan "moden" daripada mereka. Kini, mereka berdiri gah, menjadi "filem" tayangan kepada kita (kita yang duduk juga menjadi pelajar, ingat tu), yang sedang menyampaikan, bawah 10 minit, apa itu untuk hidup di pedalaman dan perlu berdiri di atas kaki sendiri untuk mengangkat cogan gurunya: "sakit itu sementara, kegemilangan itu selamanya."
Filem di dalam kelas, atau filem "sekolah" amat tricky untuk dibikin, kerana ia sangat-sangat jelas hanya bertujuan "untuk pembangunan insaniah" dan mencetuskan "inspirasi" (rujuk mana-mana, baik Dangerous Minds[1995], Dead Poets Society[1989], Music of the Heart[1995], Not One Less[1999] atau The Class[2008]. Sebagai pengecualian, mungkin If ... [1968] yang lebih bersifat memberontak dan antigolongan berkuasa dan mempunyai kritikan politik yang jelas). Kita sebenarnya sudah ada dua yang terkenal, Adik Manja (1980) yang sangat subversif (temanya seks dan feminisme) dan Baginda (1997) yang amat dekat dengan semangat filem ini. Masalahnya ialah klise, ketetapan struktur filem sebegini sudah ditentukan, kebanyakannya memang ingin mencerminkan "kepincangan dan masalah sistem pendidikan kita sekarang" dan selalunya, mahu tidak mahu, mendidik sesuatu (sebab itu babak di dalam kelas) dan menghasilkan perspektif baharu daripada pengalaman menontonnya. Kadangkala pula, filem ini tidak dapat lari daripada menyatakan the obvious, moral, pengajaran, pembentukan nilai. Filem ini hidup jika ada sesuatu yang boleh dibawa pulang (jika tidak, ia hanya sebuah lagi filem di dalam kelas), nasib baik, kerana kerja "cuplikan daripada kisah benar" ini belum dibikin dari Malaysia, ada sesuatu yang kita berdaya juga bawa balik.
Kekuatan jelas datang jika percubaan Eric Ong sebagai pengarah mengarah-pelakon amatur pelajar menjadi satu wayang yang boleh dipercayai. Ini sebenarnya yang paling penting dalam filem-filem sebegini. Sebagai percubaan, Eric sudah mencuba dengan pujian, tetapi mungkin belum secemerlang "A+" dalam tradisi filem sebegini. Ini adalah kerana kita lihat ada bahagian, malah dalam banyak syot, lebih-lebih lagi dalam satu syot berkumpulan, gerak-gerinya sangat jelas dipentaskan, tidak berlaku secara natural dan bersahaja. Kita terasa ditekan-tekan (forced) lakonan dan persembahannya. Namun tunjuang sebenar tampak dalam Sangeeta sebagai Cheryl yang teradun lengkap, dalam keadaan gementar amatur pelakon pelajarnya, menyampaikan emosi dan gerak nuansa yang lancar dan betul, dan kita betul-betul percaya dia cikgu yang sedang membimbing dan berinteraksi. Hal ini mengeluarkan imej-imej klasik, yang menyentuh, seperti babak Khairi Mohd Kamal (antara murid yang paling aku senangi lakonannya), Faiz Khairil sebagai Iqbal (seorang yang sangat jelas jujur dan raw lakonannya), Irdina Tasmin, Ahmad Adnin Zidane, Wan Azlyn (Alia), dan beberapa yang lain.
Lakonan ini yang membantu dalam hal menghadapi monolog panjang-panjang filem ini yang dirasakan tidak perlu, menjela-jela, terlalu lurus, dan jelas, hanya ingin berkhutbah kepada Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan kita masalah sebenar yang sedang dihadapi oleh sekolah di pedalaman. Walaupun pada awalnya, monolog ini tidak terfokus dalam khutbah kepada dirinya (kalau sebut fasal SPM sekurang-kurangnya perlu tunjuk hasilnya, ini kesalahan yang sama dibuat seperti filem Baginda yang tidak selesaikan hal itu), malah suara latar mendatarnya tampak palsu pada imej yang dipaparkan, tidak dramatik. Namun begitu, monolog ini tetap berfungsi dan mempunyai gaya menarik dan menawan: yang awalnya Cheryl bertutur sangat formal, bersemangat, dalam bahasa Inggeris, bahasanya tiba-tiba berubah kepada bahasa Melayu (pada babak kisah anak murid di rumah kampung dipaparkan), dengan beberapa alun dan kefasihan sastera. Cheryl, waktu itu, kita sedar sudah "berubah", diubah oleh persekitarannya. Walaupun terdapat dialog-dialog bodoh yang menyatakan hal yang jelas-jelas, kita memaafkannya kerana perubahan yang berlaku pada Cheryl ini "benar" (yang dipanggil oleh Zaim sebagai sejati atau pure), dia sudah menjadi sebahagian daripada anak-anak SMK Pinang Tunggal, adiwira mereka.
Mungkin babak paling pemalas ialah babak cara Eric cuba memperkenalkan bagaimana "surat arahan" chorus speaking itu jatuh kepada tangan Cheryl. Babak lain, termasuk babak tiba-tiba di tengah-tengah yang jelas-jelas untuk paparan Kementerian Pendidikan, masih baik. Filem ini pun, terasa, memang, seperti filem yang dihasilkan untuk TV Pendidikan sewaktu aku kecil dahulu (kami ada TV Pendidikan, aku tak tahu sekarang), yang jelas dialog dan bentuknya, mengampu, menyampaikan "hal mendidik", amatlah pernuh nilai murni, semuanya untuk "belajar jadi baik" yang melemaskan. Semua ini dimaafkan kerana sekurang-kurangnya Cheryl di akhir cerita "berubah", dan Cheryl mendapat sesuatu daripada komuniti yang diajarnya. Dia belajar sesuatu. Kita belajar sesuatu.
Pelakon pembantu seperti Xavier Fong sebagai cikgu Constant Wong, ayah Kemboja(?), ibu Alia, termasuk pengetua, menyampaikan bantuan dan sokongan lakonan yang cukup dan bersahaja. Mereka turut menguatkan lagi kebenaran watak-watak pelajar yang kita lihat, dengan ruang latar seninya (di kawasan pedalaman petani yang ditangkap cantik) yang terpilih baik dan sesuai untuk imej filem.
Suntingan Alex Tang boleh tahan, walau mungkin memerlukan sokongan syot yang lebih baik daripada produksi Eric dan penolong pengarahnya. Aku tak berapa suka runut bunyi Shamsul Cairel yang mengada-ada, yang menggerakkan emosi kita, tapi aku terpaut dengan 10 minit lagu akhirnya, terikat baik kemudian dengan lagu tema yang akan dinyanyikan, kedua-dua dalam filem dan di kredit akhir filemnya (jelas-jelas sebagai dedikasi kepada Teacher Cheryl). Mungkin skrip Jason Chong, Eric Ong dan Yentanamera ada cacat-celanya dalam sikap terlalu menurut standard buku teks Kokurikulum Standard Sekolah Menengah oleh Bahagian Pembangunan Kokurikulum Kementerian, namun terdapat babak-babak berjiwa yang jarang-jarang menyapa filem kita. Malah, melodramanya boleh diterima dan dikawal baik tanpa perlu melebih-lebih. Begitu juga lawak selambanya. Suntingan efek suaranya terkawal dan runut suaranya cukup.
Setakat ini, tidak banyak filem yang baik dibikin di Malaysia. Filem yang kecil ini boleh dikira baik, malah menjadi surat dedikasi terbaik untuk guru-guru yang kita sayangi dahulu di sekolah. Filem yang kecil ini menjadi satu contoh bahawa kita boleh membikin filem (walaupun tidak sebaik yang aku harapkan), jika kita percaya, dan ya, filem ini satu hasil yang sakit dan ada cacat-celanya; namun sakit itu sementara, kegemilangan itu selamanya: suatu isyarat sebenar untuk masa hadapan wayang kita berjaya suatu hari nanti.
1 comment:
Salam bro..cerita ni memang best..mesti tengok...tumpang promote boleh?? ceritaberemosi.blogspot.my
Post a Comment