24 February 2014

Tiada Esok Bagimu(1979): Legenda atau Larut?

"Amy sanggup datang menyambah mak, menghambakan diri Amy untuk emak ... Sampai hati emak halau Amy." - Noorkumalasari

Memang mungkin filem ini besar zaman dahulunya, siri kedua dalam tetralogi Jins untuk filem weepies "esok" yang membayangkan kisah suka duka sosial dan pertembungan golongan kaya-miskin dalam keadaan yang tidak terbayangkan.

Filem ini sendiri memenangi beberapa hadiah mengikut maklumat filemkita.com, berserta filem terbaik. 

Mungkin kerana peredaran zaman, aku terasa banyak perkara yang filem "esok" Jins ini ketinggalan kalau hendak dibandingkan dengan filem P. Ramlee dan Husein Hanif yang masih diperkatakan orang sekarang. Bayangkan sahaja babak MTV panjang (walaupun lagunya amat mendayu, nyanyiah Salmiah Hasan, kita akur gaya ini popular zaman dahulu kerana orang dulu tidak cukup duit mau beli piring hitam, bukan seperti sekarang - namun perhatikan, mungkin di sini Osman Ali mengambil kefahaman mengapa pelakon wanitanya perlu menepek di tepi batu, dan hal ini pernah juga dibuat oleh beberapa pengarah), si abang yang tak nampak adiknya di disko, dengan ucapan penuh mendayu Noorkumalasari selepas dirogol kepada perogolnya, dengan satu dialog ayah-anak tentang fungsi pembangunan arkitek yang sungguh superfisial (pada era itu tentu hal ini kelihatan sofistikated dan elit). Hal ini tentu terperangkap dalam keadaan dan ruang masa itu, era itu sebagai sesuatu yang memecah kebiasaan dan kemunduran filem Melayu. Namun menariknya, filem Tontonan Umum ini (kalau diteliti katrun Lat, Keluarga si Mamat) berjaya melanggar tabu (atau orang lebih terbuka zaman dulu) menampilkan Noorkumalasari mendedahkan seluar dalam kuningnya dan adegan dedah bahu yang menyamai kontroversi Marsha dalam Laga. Satu lagi, Jins sendiri memenangi aktor terbaik buat FFM tahun itu, dan ini mengejutkan, apabila kebanyakan babak awal apabila Jins buta, Jins hanya perlu menjerit dengan keadaan "buta" memandang dengan blur lensa kamera yang merakamnya: "Aaaaammmmyyyyyyyyy!!!" 

Jeritan "Amy!" berkali-kali berlaku, di dalam bilik doktor, di tepi pantai, di dalam rumah. Begitulah ditekankan untuk menampilkan watak romantis Jins yang pernah hidup dalam era Jalan Ampas dahulu memasuki era 1970-an moden itu.

Namun filem kecil ini mempunyai dua bayangan imej wayang yang menarik, yang dibuat oleh Jins dengan penggayaan yang mempunyai harapan untuk sesuatu yang lebih baik (tapi alas, beliau sudah tua). Pertamanya ialah permainan imej kereta api, yang seeloknya pun berdiri dalam filem tipikal melodrama ini (melodrama kerana seseorang yang kematian anak boleh buta kerana teringatkan anaknya). Idea ini menarik sebagai penyatuan maksud "kebetulan" yang kebetulan biasa dalam filem Melayu. Dalam filem ini, secara kebetulan, Jins dan Sarimah menaiki tren yang dibawa oleh si pemandu yang tinggal di Taiping. Di Taiping, isterinya sarat mengandung anak kembar yang kemudiannya akan diberikan kepada Jins dan Sarimah atas sebab "sial".

Lalu landasan kereta api itu berjaya dijadikan bukan sahaja laluan pengalaman yang akan menemukan dua kelas keluarga (ada beberapa kali imejan dua rel kereta api dimainkan) tetapi ruang masa lalu-masa sekarang yang akan dilalui sekali lagi oleh Noorkumalasari untuk mencari kebenaran dirinya.

Hal ini menjadi lebih menarik apabila keadaan dia dibuang, yakni kerana "sial", suatu pantang larang lapuk yang masih diikuti orang Melayu era itu. Sifat mundur ini ditampilkan masih wujud dalam keadaan ruang orang kelas bawahan atau dari pedalaman, berbanding sifat maju orang elit/bandar/profesional yang menderita secara moden (namun ini ironinya apabila si kaya moden tetap menimpa sakit gaya lama). Secara ironi lagi, "sial" yang berada dalam si anak "pungut" Jins-Sarimah menyerlah pada waktu dia gadis (Noorkumalasari), yang tiap kali menimpa bencana (dirogol/difitnah), menyusahkan keluarga angkatnya. Namun Jins menolak segala itu (tanpa perlu diutarakan) dan hanya menyayangi anaknya atas nama anaknya.

Lalu berlakulah suatu babak yang sangat menarik dan berkuasa, pada bahagian akhir, apabila ibu Noorkumalasari tiba-tiba mengimbau "sial" anaknya. Lalu anaknya "dihalau" sekali lagi. Dan inilah bahagian paling mendebarkan, menjadi suatu kritikan sosial yang menarik: si Noorkumalasari yang diberikan material/moden/ilmu moden oleh ibu bapa moden/kayanya menolak semua itu dan sanggup kembali pada ruang sosial miskin/lama/tradisi ibu kandungnya atas sebab yang lemah dan emosional, seakan-akan ilmu dan material daripada keluarga kaya tidak dapat mengubah keadaan asalnya! Lalu berlakulah keadaan tragik-statik apabila si ibu yang menyayangi Noorkumalasari tidak sanggup menerimanya, walaupun si anak yang pernah kaya itu sanggup turun pada ruang miskin-daif ibu kandungnya. Keadaan serba tidak kena ini menghimpitkan lagi perasaan Noorkumalasari.

Lalu seperti mana-mana filem didaktik, Noorkumalasari menemui Tuhan. Ini dilakukan dengan penuh debaran, secara tiba-tiba, apabila Jins ingin membuat makan malam sesama keluarga (tanda tradisi universal untuk penyatuan sosial). Pada masa itu, si ibu kandung (dengan mengejut) pun tiba dari Taiping. Yang menariknya, Noorkumalasari menemui kebenaran (dan langsung mengucapkan bacaan tafsirnya dengan memegang buku tafsir Quran itu seperti seorang rahib yang mendapat pencahayaan) kembali di dalam rumah kelas tinggi itu, bukan di rumah ibu kandungnya. Dan kebenaran yang dia terima itu disampaikan terus-menerus kepada ibu bapa angkat serta ibu kandungnya sebagai gaya lembut menembak balik ibu kandungnya yang terjerat dalam pantang larang purba.

Hal ini tentu menarik sebagai suatu renungan transisi zaman era 1970-an apabila keadaan moden sedang berlangsung dalam keilmuan, pencarian rezeki, gerakan sosial, dan pandangan alam, tetapi terdapat segolongan manusia yang masih terperangkap dalam keadaan alam lama yang tidak membawa perubahan positif terhadap mereka. Menariknya, keadaan ini masih berleluasa pula dalam kehadiran "bomoh moden" dalam hidup masyarakat moden. Lantas tragik-statik ini masih berlaku, walaupun sekarang.

Noorkumalasari merupakan antara ratu tangis yang hebat pada era dahulu, yang menampilkan kekuatannya untuk berdiri dengan seniwati Sarimah (yang kelihatan kuat dalam filem ini walaupun berwatak sampingan). Kuat lagi watak ibu kandungnya yang dimainkan oleh Mahyon Ismail, si wanita yang terperangkap dalam kerinduan kasih anak dan ketentuan sial yang perlu dipatuhinya. Aku juga seronok dan terkejut melihat Meor Hashim Manaf, orang hebat teater (beliau berlakon dalam teater Salina sebagai Hilmi) berlakon sebagai adik kembar Noorkumalasari, dan Zulkifli Zain yang amat muda, yang akan digunakan dengan lebih baik lagi oleh Rahim Razali selepas itu. Terdapat juga Yusof Haslam yang kuat sex appealnya, serta Normala Omar dengan gaya rambut fesyen Pengantin Frankenstein era itu.

Aku menyukai gaya syot luas dan sederhana filem ini oleh Johan Ibrahim, malah lebih kuat ialah suntingan Johari Ibrahim yang memahami gerakan saspens dan dramatik yang perlu, khususnya pada bahagian ketiga filem ini yang lebih menarik daripada bahagian pertama dan kedua. Runut bunyinya juga lebih menyeronokkan daripada runut bunyi kita sekarang, walaupun tiba-tiba pada bahagian tengah, Biduanita besar era itu, Sharifah Aini menyanyi "Bunga Tanjung", seakan-akan menjadi petanda babak seterus Noorkumalasari yang akan di"sunting" di katil Mahmud June. Ya, aku masih tidak dapat lupa, dengan kehebatan Jins menggerakkan permulaan filem dengan gaya "self-confession" di hadapan pengarah yang tiba-tiba membawa kita pada babak Jins berambut palsu, tinggi di dalam kantor moden, melihat peta seni bina dengan keadaan gelojoh lalu mencampaknya seakan-akan ia membawa maksud tertentu. Babak-babak seperti itu mencacatkan filem yang seharusnya menarik ini, yang seharusnya boleh pergi lebih dalam lagi jika Aimi Jarr dan Jins Shamsudin (penulis skrip) bukan terperangkap untuk menulis sebuah kisah air mata, tetapi kisah yang lebih jauh bermakna dalam penggunaan mesin air mata Noorkumalasari.

17 February 2014

Cuak(2014): Representasi Refleksi Diri

"Adik aku, dia bernasib baik." - Tony Eusoff



Mungkin, ada perkara-perkara yang kita perlu tonton filem kita dalam kaca mata tempatan. Pak Hassan pernah mengajar aku bahawa dalam bahasa filem, apabila watak dalam sesebuah filem merenung cermin, itu petanda buruk yang akan berlaku terhadap watak itu (rujuk yang paling menarik, Taxi Driver, atau dalam filem kita, Chermin). Namun apabila aku tonton beberapa filem Melayu, aku menyedari ada pandangan yang berlainan yang lebih khusus dalam alam keMelayuan. Melayu sentiasa mementingkan sikap mengenal diri sendiri. Refleksi diri. Dalam Femina, watak Erma Fatima merenung cermin, bercakap dengan bayang-bayangnya, dan tiba-tiba, bayang-bayang cerminnya bercakap-cakap dengannya. Suatu "refleksi" disampaikan, lantas Erma mempunyai kekuatan pendirian. Optimisme dan harapan berlaku. Jika kita tonton Songlap, ada suatu babak cermin yang sangat menarik, Norma Damanhuri yang berlakon sebagai "ibu" Syafie melihat dirinya dalam cermin tetapi tidak pernah benar-benar memerhatikan dirinya dalam cermin. Cermin itu menjadi ruang imbasannya untuk melihat Syafie. Watak Norma menolak untuk merefleksi diri, dan secara ironi, Syafie melakukan hal itu untuk ibunya (babak ini semenarik babak gelap East of Eden apabila James Dean menghadapi ibunya).

Mungkin manusia Malaysia banyak memerlukan muhasabah diri untuk bergerak seterusnya dalam kehidupan.

Aku suka filem ini kerana memainkan persoalan besar ini. Satu lagi ialah persoalan kahwin. Kahwin ialah suatu metafora yang amat penting dalam filem Malaysia (rujuk The Journey untuk ini). Tragedi dan pencapaian klimaks kebahagiaan amat mendekati fenomena ini. Aziz M. Osman sudah cuba melakarkan maksud besarnya dalam beberapa siri filem "pengantin"nya (yang terbaik ialah Gila-gila Pengantin Remaja). Perempuan, Isteri & .. serta ... dalam Botol melakarkan situasi tragedi apabila keadaan ke jinjing pelamin itu tidak berlaku. Filem sekecil Tuan Badul pun faham apabila kenduri kahwinnya menjadi suatu farsa yang besar.

Dalam filem ini, "perkahwinan" itu dalam beberapa minit/jam akan berlaku. Adam (Ghafir Akbar) memandang cermin (wataknya akan memerhatikan cermin dalam dua babak berbeza) lalu bermonolog tentang pilihannya. Dalam masa sama, Brenda (Dawn Cheong) sedang disolek, juga memerhati cermin, tapi Dawn tidak bermonolog. Kelihatan, dia sudah bertekad. Hanya, kawannya, Nurul yang mengganggu kesedarannya.

Filem ini tidak bergerak klise, seperti sebuah filem garis lurus "nak kahwin" dengan kebiasaan struktur tiga arca (walaupun kehadirannya jelas ada). Filem ini ditonton seperti menonton 12 Angry Men, suatu kes dihadapkan, dan kes itu dibuka dalam beberapa persepsi, seperti suatu peta minda yang besar tentang satu kata kunci. Dalam filem ini, terdapat lima peta minda yang mengikat persoalan pilihan Adam-Brenda. Setiap persepsi ini ialah suara psikologi dan kecelaruan Adam-Brenda untuk meneruskan perkahwinan. Kenapa persoalan kahwin sekali lagi? 

Di sini, aku melihat, kehadiran Khairil dan kawan-kawan pengarah-penulis skripnya (setiap satu menggerakkan sebuah segmen, yang juga menulis skripnya) menggarap suatu metafora "kahwin=kebahagiaan" yang lebih besar daripada maksud sebenar. Kahwin di sini bermaksud memasuki alam kematangan, melangkaui proses kematangan diri (watak refleksi Abdul Qahar[?] yang dikatakan lelaki bosan selepas berkahwin menyampaikan maksud ini, yang akan menjadi Obi Wan Kenobi terhadap watak Adam nanti). Apakah kematangan yang diperkatakan. Apakah Adam dan Brenda dapat hidup aman selama-lamanya, dengan cabaran generasi baharu, dengan isu sekitar yang makin moden dan mencabar? Hal ini sendiri merefleksi bukan sahaja keadaan sekitar dan bagaimana anak muda seperti Khairil (dan aku?) boleh cuba mengubahnya, atau beroptimis dengannya, tetapi sikap industri filemnya sendiri yang makin mencabar orang sepertinya untuk membikin filem. Refleksi ini dilakukan agar Khairil, Lim, Manesh, Tony, dan Shaimaine melakukan suatu proses muhasabah tentang perlu atau tidak perlunya mereka untuk mematangkan diri, untuk membikin lagi filem. Hal inilah dengan sengaja, Adam dan Brenda akan bersemuka, tetapi suatu persoalan besar akan dibiarkan. Persoalan ini sebenarnya diletakkan di atas bahu penonton untuk "menjawab" jika Adam dan Brenda perlu kahwin, jika Lim dan kawan-kawannya perlu ada dan dapat menikmati "kebahagiaan" di persada wayang. Dengan dua tangan aku, aku melambai dengan thumbs-up, silakan, datang ke layar kami dan teruskan perjuangan itu, Lim, Khairil dan kawan-kawan!

Ini kerana terdapat beberapa isu semasa Adam-Brenda yang mencuitkan, khususnya segmen "pergaduhan" antara Adam-Brenda yang aku kira paling baik dilakukan. Dua watak itu bukan hanya dua watak talking heads yang kita tonton dalam drama, tetapi terasa gerakan cerita, syot dan naratif yang bersepadu. Kita teliti betul-betul bagaimana dekat, dan kemudian merengganggnya sosok Adam dan Brenda. Paling menarik, isu azan yang dikumandangkan menempelak sikap golongan liberal Melayu terhadap hal keterbukaan! Dan untuk hal ini dibuat, aku dan kawan aku menepuk tangan kuat-kuat kerana pembikin berani mengutarakan isu berat ini dengan selamba tanpa perlu dibuat-buat. 

Babak footaj dijumpa yang drakamkan oleh Adam juga menarik untuk memasuki sisi gelap psikologi Adam-Brenda-Nurul. Perhati betul-betul dan kita akan menyedari watak Nurul (Ani Juliana Ibrahim) sengaja membenci kamera. Adam dan Brenda menghadapi atau melepaskan pengakuan mereka seperti air (di sini sahaja sudah ada tanda tentnag perhubungan Adam-Brenda-Nurul bagaimana yang akan berlaku). Menarik di sini, kamera juga "cerminan diri". Nurul sekali lagi sedang menggosok gigi dengan tidak bermaya, memarahi Adam. Dalam babak klimak segmen ini, kamera tiba-tiba secara falasi merakamkan Adam membelakangi cermin. Dan Nurul menghadapi cermin tetapi tidak merenung cermin. Jiwanya sampai, dan Adam memerlukan "ruang" lain untuk diisi. Maka berbaloikah Brenda?

Segmen bersama-sama Pratrick Teoh merupakan segmen kelakar bodoh yang menyeronokkan, yang mana kita sudah tahu apa pilihan dan tekad Adam.

Aku agak terganggu dan tidak menyenangi babak percubaan noir Tony Eusoff sebagai abang Adam untuk merefleksi pilihan Adam dan kesilapan dirinya sendiri membuat pilihan. Aku tahu, mungkin semua yang kita tonton itu hanya sesi terapi Tony yang "hilang akal" maka beberapa keadaan sengaja celaru, namun gerakan ceritanya yang menghampiri klimaks, malah klimaks Tonylah yang sebenarnya menjawab kesudian Adam-Brenda bertaut dilakukan dengan sangat picing, ia kelihatan "palsu" dan dibuat-buat. Ini agak menyedihkan kerana percubaan cerita ini yang sudah membina intrig yang menarik untuk diikuti digagalkan kerana suatu klimaks yang tidak berapa menjadi. Nasib baik, klimaks Patrick menyeronokkan.

Suara filem ini berbunyi indie, dan filem indie seharusnya sudah mula berubah dengan teknik yang lebih baik. Sinematografinya menarik dan memahami bentuk dan gaya warna filem. Penyuntingan juga baik, dengan membuatkan kelima-lima segmen filem ini tidak kelihatan plastik atau merenggang, dan memautkan penceritaan naratifnya dengan baik. Penonton yang tidak biasa, seperti mereka yang tidak biasa dengan Cloud Atlas yang melompat-lompat bercerita tentu kurang enak dengan pengalaman ini. Namun pengalaman ini suatu pengalaman wayang yang menarik untuk sesebuah filem Malaysia, berani melangkau sesuatu yang segar.

Kehadiran teraju Ghafir dan Dawn amat dipuji, menyampaikan dengan baik beberapa sudut lakonan yang matang dan selamba. Aku lebih-lebih lagi menyenangi Dawn yang memahami gerak watak dan kelebihan lakonannya. Dia telah menyampaikan suatu dinamisme sudut emosi yang pelbagai dalam keadaan dan konflik tertentu. Dawn merupakan pelakon yang perlu dilihat pada masa hadapan. Pengarah yang pandai akan dapat membentuknya sebagai Meryl Streep kita suatu masa nanti. Ghafir menarik, dan ada babak-babaknya, lakonannya sungguh mengagumkan, namun ada babak yang Ghafir memerlukan sedikit faktor-X.

Secara keseluruhan, filem indie ini antara filem Malaysia menarik yang keluar pada tahun ini.

Dan ya, jangan lupa selepas kredit terakhir buat mereka yang menunggu untuk suatu kejutan menarik.

Klasifikasi Cuak: 18, Terdapat dialog lucah dan sikap kebaratan yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak.
DITONTON DI TGV, Wangsa Walk. 

13 February 2014

Kami Histeria(2014): Suam-suam Kuku Langsuir

Jossie and the Pussycats bertemu Wishmaster versi Rafidah Abdullah.

Shamyl merupakan orang baharu yang banyak menghasilkan telefilem dan drama untuk Red Communications. Seperti yang kita sudah sedia kenal dengan filem titipan Rafidah, dengan bantuan Shamyl, membawakan filem berkenaan anak muda yang cuba meletakkan diri mereka di atas peta, melalui cara-cara (yang mungkin) salah.

Gaya pembawaan Shamyl baharu dalam dunia tempatan, dengan tempelan bunyi dan CGI yang tiba-tiba, mengingatkan kita dengan gaya pop-maya Edgar Wright, atau adik tiri Joseph Kahn. Efek ini sudah tentu mengikut "fokus penonton", yakni budak-budak universiti dan sesiapa yang suka warna-warna cantik atau perempuan muda-cantik (termasuk lesbian) dan lelaki muda-cantik (yakni Izzue Islam). Cerita senang ini bermain dengan moral zaman tuk kaduk dahulu tentang, "Jangan main benda yang kita tidak tahu."

Benda yang kita tidak tahu menjelma dalam bentuk Nur Fazura yang sungguh menggiurkan, kita tidak risau jika Fazura (atau Cik Lang) nak buat apa dengan kita. Fazura memberikan suara soprano (ini siulan orang Barat yang tiba-tiba tersesat dalam filem Melayu, nice job guys) paling tasteful dalam sejarah filem Melayu, kalah Azman Abu Hassan dalam Femina. Suara "berhantu" itulah yang membuatkan grup muzik lima gadis Melayu itu "meletop" tiba-tiba. Kelakar dan kekalutan menyirap sehingga akhir.

Filem ini filem "bertih jagung", seronok, cepat, ringan, dan rangup. Aku mempunyai syak bahawa Rafidah sengaja buat filem bodo-bodo sempoi ini untuk menyelar keadaan industri filem tempatan sekarang yang kehausan mencari penonton (seperti girl band ini mencari penonton) dan terperangkap dengan janji-janji manis seekor hantu (pembikin memilih untuk membikin filem hantu-tahyul) untuk cepat dikenali. Menariknya, terdapat perlambangan yang jelas dalam empat orang itu (yang nama pembikinnya tak elok disebut) dan lebih penting, terdapat semangat tinggi untuk mereka menghasilkan seni (perlambangan pembikin filem muda) yang mahu tidak mahu, terpaksa terperosok menyunting unsur populis (atau disyakki popular) untuk mempopularkan diri. Alah, perlambangan ini sahaja amat berkaitan dengan perangai ahli politik kita.

Afdlin Shauki menjadi "berhala" yang disembah pula oleh Cik Lang, membawa suatu persoalan paradoks yang menarik. Adakah Afdlin jawpaan kepada pautan filem lama (gaya Cik Lang) dengan filem baharu (gaya band itu) atau Afdlin terbikin filem hantu bodoh (maaf Afdlin) atau Afdlin kelakar atau Afdlin gemuk? Perkara ini sesuai dianalisis oleh anak-anak murid filem kelolaan Prof. Razak Mohaideen dalam suatu wacana akademik yang serius.

Runut bunyi Loque dalam filem ini membawa sinar yang mensirna semua bentuk lagu entah apa-apa yang berlaku dalam industri kita. Loque ialah cahaya harapan industri kita, harapan yang dulu aku letakkan kepada M. Nasir, nampaknya pancarannya di situ (Songlap juga dia sudah membuktikannya).

Kesemua pelakon melakukan peran sebagai yang sepatutnya untuk watak, khusus lima watak utamanya yang mencuit dengan pelbagai karakter dan sisi yang dijelmakan. Persoalan wanita berdiri atas kaki sendiri (untuk menyelesaikan masalah) dengan mengheret seorang lelaki "besar" memang kelakar dan menarik. Izzue biasa dalam filem ini (namun entah berapa banyak perempuan di kelilingku yang mencuit-cuit baju kurung kawannya di sebelah setiap kali dia muncul) dan Diana Danielle menyelerakan (ops, isteri orang).

Filem komedi remaja yang ringan dan menghiburkan.

Klasifikasi Kami Histeria: P13, Terdapat babak "seram" dan ganas yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Mid Valley. 

04 February 2014

The Journey: Perjalanan Yang Menjanjikan

Melihat pada peratusan filem tempatan Cina Malaysia yang keluar beberapa tahun kebelakangan ini, para pembikin berbahasa Melayu seeloknya bermuhasabah diri dan meneliti jati diri dan makna diri "kenapa aku bikin filem", kerana hasil mutu jika hendak dibandingkan, bermula era seawal filem-filem James Lee dan Ho Yuhang, dan kini kita jumpa pembikin seperti Aniu dan Chiu, amat jauh lebih baik berbanding dengan keseluruhan peratus yang keluar daripada pembikin Melayu.

Aku ramalkan, dalam lima tahun ini jika filem-filem Cina tempatan terus diberikan galakan baik oleh penerbit dan terus mendapat sokongan penonton, serta mengekalkan mutu cerita dan persembahannya, Malaysia tidak lama lagi akan dikenali sebagai filem berbahasa Mandarin-Hokkein-Hakka-Melayu-Inggeris, dengan penglibatan filemnya dalam Golden Horse (dan memenanginya) dan tidak mustahil, akan mendahului pasaran luar negara serta anugerah berprestij, jika para pembikin Melayu masih terngiang-ngiang dalam alam mimpi dan melolong jerit setiap kali dicubit oleh pengkritik dan pengulas media massa mahupun maya.

The Journey, filem ketiga Chiu membuktikan hal ini. Walaupun aku tidak berapa bersetuju dengan sikap didaktik Chiu menyampaikan tugas Confucius, serta beberapa imej yang disalut dalam filem secara tiba-tiba (belon panas itu, contohnya), namun aku tetap mengangkat filem ini antara filem yang menarik keluar dari Malaysia tahun ini, serta dapat disandarkan antara yang terbaik (dalam entah berapa banyak yang sederhana dalam timbunan filem perdana kita) dari segi lakonan dan sinematografi.

Sikap dan budaya Cina yang indah, dan sudah tergaul kukuh dalam suasana kemelayuannya menyampaikan betapa sejagat suatu pelakuan manusia tersebut. Chiu juga tidak terlupa untuk melakukan kritikan, bukan terang-terangan, tetapi sindiran (aku teringat arwah Kak Min bila beliau mencubit bangsanya, dan begitulah Chiu mencubit bangsanya juga) dan tidak tertinggal pintu humanisnya. Lebih menarik lagi apabila kesemua ini dipandang daripada mata seorang Mat Salleh. Lalu kata-kata patriotik (yang dikira murahan jika tidak dibendung dengan hujah) yang berlaku dalam babak sekolah apabila si guru Cina menyatakan: "Malaysia sebuah negara yang indah", tersampai dan diperakui oleh si Mat Salleh itu.

Bagaimana Chiu dapat melakukan hal ini yang selalu sahaja tersilap langkah oleh sahabat-sahabat Melayunya?

Ceritanya bergerak dengan seorang Mat Salleh, Benji (Ben Pfeiffer) yang perlu bertemu bakal ayah mertuanya, Chuan (lakonan cemerlang Sal Peng Lee) untuk mendapatkan "restu" berkahwin dengan anaknya (lakonan Joanne Yew). Ayah mertuanya (yang dipanggil si Lembu dalam kelas, atas zodiak haiwan Cina) yang terganggu dengan sikap anak muda Cina sekarang yang menolak budaya tradisi telah bersumpah, "Dipanah petirlah aku kalau anak aku kahwin tak buat kenduri." Benji yang bersikap terasing terhadap orang tua (ibu bapanya bercerai) dan setentunya, tradisi, dengan sikap rasional dan pragmatik Inggeris mudanya telah mengambil keputusan "mengembara" dengan Chuan yang cukup kritis terhadapnya. Yang benci boleh jadi suka, yang meroyan, tertawa, yang hitam, cinta.

Chiu melukiskan filem ini dengan pelbagai tempelan dan sketsa yang akhirnya menjawab persoalan perhubungan dan manusia yang dikerat oleh sempadan dan bahasa, yang akhirnya, dapat bercantum, BUKAN kerana kefahaman budaya dan bahasanya semata-mata, tetapi cinta. Cinta yang tersingkap menjadi suatu perbualan yang tidak terlingkup dan statik, tetapi beredar dan berlapis terhadap strata keluarga, yang kemudiannya kawan dan saudara, kemudian penerimaan orang baharu. Hal ini penting sebagai imejan suatu keluarga yang besar yang diikat dengan cinta, yang tentu sahaja berhubung dan berinteraksi. Hal ini menarik dari segi patriotisme apabila Chiu menggambarkan kesatuan "keluarga" ini dalam sebuah kenduri besar kahwin anak Chuan sebagai suatu "negara". Aku tidak mahu bersikap terlalu mengada-ngada dari segi nasionalis, tetapi jelas Chiu mengajar sesuatu di sini (latar sekolah itu sudah cukup menyatakan pengalaman seawal kecil yang mengajarnya menjadi dirinya sewaktu dewasa), namun menariknya, kekeluargaan erat di sini tersampai bukan sahaja dalam unsur fizikal (negara) ini tetapi tersampai dalam sikap spiritual Chiu yang melihat keluarga (tradisi Cina yang menghormati mendiang nenek-moyang sedari Confucius) terbentuk sehingga ke ruang "akhirat", dan hal ini disampaikan dengan indah dengan persoalan belon panas sebagai tunai janji terakhir kepada seorang kawan.

Yang menariknya, dalam sikap tulus dan kadangkala bendul Chiu ini, Chiu memberi ruang untuk wataknya (dan kita) membuat perbincangan, khusus dalam pelbagai perbincangan tentang pertentangan bangsa (Barat lawan Timur) dan falsafahnya. Menariknya, Chiu melakukan hal ini tanpa benar-benar tampil tetapi tersirat dalam sebab akibat cerita.

Imejan demi imejan Chiu sungguh menarik, terdapat beberapa lapisan yang kemungkinan turut memperlekehkan budaya Barat yang kelihatan kosong dan punah. Imej ibu bapa Benji contohnya, menjadi tempelan menarik, dua individu yang tidak mempercayai perhubungan perkahwinan (mereka bercerai) dan memakai kostum Cina dalam sikap yang paling palsu (mereka memakainya hanya untuk hari itu demi anaknya, dan mereka memakainya seperti mereka memakai kostum Haloween, tanpa memahami rohnya). Dua pasangan ini bertembung dengan kekuatan tradisi (yang juga praktikal dan dinamis) Timur yang terjalin kukuh dan terus dijaga oleh orang-orang tua seperti Chuan (secara politikal, ini menjawab persoalan mengapa sekolah jenis kebangsaan harus terus diwujudkan). Yang benar-benar merah menjadi maksud cinta dan kekuatan, melanggar warna kemeja-T tidak bermakna Benji.

Lakonan Ben Pfeiffer dan Sal Peng Lee amat bermakna. Dinamis mereka menjadi kerana kedua-duanya menyampaikan kisah ini seakan-akan kisah ini kisah realiti. Sal Peng Lee menampilkan kelangsungan dan lazim orang tua yang hilang keadaan "berlakon"nya, maka konflik dan marahnya benar-benar disampaikan betul tanpa kecacatan. Ben, seorang pelakon baharu, turut mengejutkan. Watak yang awalnya cengeng dan tipikal mat bunga masuk kampung menjadi suatu watak yang mematangkan dirinya setiap langkah diambilnya bersama Sal Peng Lee. Dan akhirnya, apabila dia menyampaikan maksud atau kata-kata, terasa maksud kata-katanya berisi dan dewasa. Sikap dia melalui "rite of passage" sebagai suami dan ayah amat terasa.

Kepujian juga dapat diberikan kepada beberapa pelakon tua dan muda yang menyinari drama keluarga penuh ketawa ini, namun tidak begitu kepada Joanne Yew yang terlalu kaku dalam emosinya dan menyampaikan maksud dan katanya satu-satu tanpa memahami kompleksitinya. Amatur terhadap kehebatan Ben dan Peng Lee.

Sinematografi filem oleh Tuck Wei Yeong juga di atas aras filem-filem bermutu, dengan pengambilan warna dan pencahayaan yang adil terhadap cerita. Terdapat beberapa babak belon panas yang mengingatkan aku kepada animasi Totoro. Walaupun terdapat beberapa gangguan, keseluruhan konsep Wei Yeong yang memahami latar Cameron Highlands, kesibukan Tahun Baru Cina Pulau Pinang, sekolah Cina, dan rumah Melayu amat dipuji. Kepalsuan yang biasa dalam imej poskad sebegini tersirna.

Ya, filem ini mudah tapi berfalsafah. Walaupun terdapat beberapa gerakan dan mimik yang pelik, penyampaian maksud dan imej-imej itu sahaja, dengan dialog bersahaja dan sungguh lucu menampilkan kekuatan auteur baharu seperti Chiu untuk diraikan.
Klasifikasi The Journey: P13, Terdapat babak "kata kesat" dan berbau "seks" yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI TGV, KLCC.