Hari tu, aku diminta bagi "talk" dekat sebuah seminar akademik gitu di Kota Kinabalu, Sabah: Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam ke-2. Bukan mainnya diri kecik ni berbaris dengan orang-orang kuat seantaro nusantara (Malaysia-Indonesia-Brunei-Thailand), kau bayangkan, dah lah pulak nak cerita fasal "Islam". Jadi aku teringat filem yang aku amat sayangi, Tsu Feh Sofiah, dan aku jadikan kertas kerjanya (yang entah apa-apa, hahahaha). Nasib baik, SM Zakir puji, "Bagus ni Fadz," dan Prof. Madya Arbak Othman kata, "Menarik u punya paper." Wow, Cloud 9 jap (perasan).
Ini buat sang pengarah yang paling aku sayang, Dato' Rahim Razali:
Pandangan Alam dalam Filem Melayu:
Pemerian Unsur Alam Melayu dalam Tsu Feh Sofiah
(1986)
Polemik filem Islam
di Malaysia masih berterusan dengan sikap para penggerak industri filem negara
masih tercari-cari dengan corak ataupun bentuk terbaik untuk mengilhamkan
“filem Islam” yang sebenar, sebagai suatu reaksi terhadap kerancakan filem
Islam komersial (turut dipanggil filem Islam pop) yang dikeluarkan saban tahun
oleh para pembikin di Indonesia, bermula dengan Kiamat Sudah Dekat
(2003) karya Deddy Mizwar, dan kemudian yang amat terkenal, Ayat-ayat Cinta
(2008) (satu-satunya contoh filem Islam pop yang jelas dan selalu dirujuk) dan
seterusnya 3 Doa 3 Cinta (2008), Ketika Cinta Bertasbih (I-II)
(2009), Perempuan Berkalung Sorban (2009), Sang Pencerah (2010) Dalam
Mihrab Cinta (2010), Di Bawah Lindungan Kaabah (2011) Negeri 5
Menara (2012), dan Sang Kiai (2013).
Persoalan antara tuntutan komersial dengan estetika seni dalam pembikinan
filem tempatan bercirikan Islam, khususnya dalam tujuan “berdakwah” dalam filem
serta pewarnaan naratif keislaman dibincangkan, dan masih menjadi polemik besar
kalangan pembikin dan penggerak industri.
Beberapa pengkaji sedari awal, seperti cadangan Hizairi Othman, dan
kemudian diperjuangkan oleh Dr. Abu Hassan Hasbullah dan Ku Seman Ku Hussein,
telah menawarkan formula naratif dan falsafah filem Iran sebagai bingkai
terbaik dalam membayangkan warna “filem Islam”. Pandangan ini jelas dijadikan
wacana perkongsian kontemporari apabila pengarah filem Iran terkenal, Majid
Majidi (dan filem-filemnya) dibawakan khas ke Festival Filem Islam Antarabangsa
sekitar bulan Disember 2007, anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama
Sekolah Animasi Darul Digital (diketuai Hassan Muthalib pada masa itu), dan
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
Suatu lagi wacana yang menarik berlaku pada 20 Januari 2011, dalam Wacana
Industri Lakonan dan Dunia Artis Menurut Islam di Dewan Masjid Sayidina Abu
Bakar As-Siddiq, Bangsar, Dr. Muhaimin Sulam, Ustaz Fadlan Othman, dan Erma Fatima.
Dalam perbicaraan ini, dengan jelas, moral dan didaktisme dalam Islam,
khususnya dalam konsep dakwah secara sedar dan prasedar dibicarakan. Filem
Islam dicitrakan “Islam” apabila wajah watak (pelakon) dibayangkan menutup
aurat mengikut landas-landasan Islam serta menyampaikan suatu maksud atau ilmu
Islam yang sarwajagat dan boleh dimanfaatkan. Hal ini diperjuangkan sendiri
oleh Erma Fatima dalam konsepsinya dalam teater muzikal Natrah (2009)
dan drama siri Tahajjud Cinta (2011). Namun konseptual yang diambil oleh
Erma masih lagi dalam sikap eksperimental. Terdapat beberapa drama dan telefilem
Erma yang juga mengikut acuan ini.
Pembikin Perdana
Mengadun Maksud “Islam”
Sebenarnya, dalam
sejarah perfileman Melayu, sudah ada beberapa filem yang dianggap mempunyai
unsur Islam yang jelas oleh para pengkaji filem. Filem era Jalan Ampas, seperti
Iman (K.R.S. Sastry, 1954), Semerah Padi (P. Ramlee, 1956), Isi
Neraka (Jamil Sulong, 1960), dan Noor Islam (K.M. Basker, 1960)
merupakan antara filem-filem Melayu yang memancarkan sikap moral dan bertujuan
menyampaikan amal makruf nahi mungkar terhadap masyarakat.
Filem Islam tiba-tiba “muncul” pada era pascakemerosotan filem Malaysia
pada tahun 2000. David Teo yang mula berkecimpung dalam dunia perfileman telah
menarik kekuatan populariti kumpulan nasyid Raihan lalu mewajahkan mereka
dengan suatu naratif Malaysia masa hadapan (tahun 2021), Syukur21
(2000). Filem ini sebenarnya melangkaui rekonstruksi filem “Islam pop” yang
diperkenalkan oleh Indonesia (filem ini turut ditayangkan di Indonesia). Dalam
filem arahan Eddie Pak ini, Malaysia digambarkan sebagai kaya dan dunia
pertama, tampil dengan bangunan dan teknologi tinggi. Kebanyakan
penggambarannya dibuat di Putrajaya yang belum dibuka waktu itu, serta sistem
transit aliran ringan PUTRA yang belum dibuka kepada umum bagi memastikan citra
futuristik itu dijelmakan.
“Pop” terhadap tema Islam ini didefinisikan kerana pengambilan kumpulan
“popular” Raihan pada waktu itu, dengan cerita yang “mudah difahami penonton
awam” sebagai tujuan komersial selain mendidik. David Teo dan para pengarah di
bawah MiG meneruskan formula ini dengan mengambil pelakon yang muda, segak, dan
popular sebagai teraju utama. Malah tahun ini (2013), Ustaz Azhar Idrus,
seorang agamawan yang populis telah diajak berlakon dalam sebuah filem
terbitannya, Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang dalam merencanakan populariti
pendakwah sebagai teraju dalam filem untuk tujuan melariskan filem.
Cita-cita besar Syukur21 tersungkur kerana kelemahan cerita dan
kecelaruan plot. Sikap klise dunia moden menghakis spiritual kaum Mukmin
dibayangkan dengan jelas dan didaktik tanpa maksud cerita dan penceritaan.
Sememangnya Syukur 21 kehausan struktur cerita yang bijak dan penandaan
filem yang jelas. David Teo masih menerbitkan filem-filem bertemakan Islam.
Tahun 2012 sahaja, David Teo telah memperkenalkan sebuah filem Islam pop, 7
Petala Langit, setelah membikin dua filem pop Islam sebelumnya, Syurga
Cinta dan Aku Masih Dara.
Erma Fatima sebenarnya mula mewajahkan pendirian “Islam” dalam filemografinya
apabila beliau membikin Perempuan Melayu Terakhir (1999). Wacana yang
wujud dalam filem itu meneliti persoalan sekumpulan Melayu yang mencari maksud
Melayu dan Islam dalam kerangka dunia moden dan materialis. Sikap Erma detik
itu masih membuka persoalan “perbincangan”, malah filem tersebut banyak
menyampaikan monolog-monolog panjang berkenaan “pencarian” hakikat yang paling
utuh sebagai makna diri Melayu dan Islam. Terdapat konflik yang disampaikan
dalam bentuk figura tokoh berserban Engku Leh lakonan Azri Iskandar. Engku Leh
seakan-akan memberikan simbol fundementalis Islam yang terlalu “melangkaui”
kesederhanaan dalam hidupan konsesi Melayu Islam Malaysia (pada era ini, banyak
bayangan tersebut memasuki filem Malaysia, seperti Fenomena [1990] dan Selubung
[1993]). Persoalan ini selalu sahaja menjadi tema dalam drama dan telefilem
Erma yang seterusnya. Persoalan wasatiyah (kesederhanaan) banyak dijelmakan.
Permasalahan filem dan drama Erma (walaupun terdapat beberapa yang amat
baik dari segi bentuk dan estetika) masih terperangkap dalam memberikan
“kata-kata” pada wataknya. Filem merupakan suatu medium yang bergerak dengan
imej. Imej yang bergeraklah yang berkata-kata. Apabila sesebuah filem yang
terlalu sarat mengutarakan kekuatan dialog yang panjang-panjang ataupun monolog
lalu mengabaikan gerakan imej (rujuk filem-filem Terrence Mallick sebagai suatu
perbandingan berlawanan), maksud bentuk filem itu sendiri dikhianati. Malah,
filem tersebut bukan lagi filem (imej bergerak) tetapi drama radio (kata-kata
yang bergerak). Malah persoalan ini yang masih menjadi perangkap terbesar dalam
konteks filem dan drama Erma Fatima, lebih-lebih lagi dalam kefahaman estetika
dalam perfileman dengan kefahaman estetika dalam Islam.
Namun begitu, Erma Fatima masih dikatakan menjadi antara “populis” yang
merakyatkan bentuk filem beracuan “Islam”. Erma sekurang-kurangnya mencuba, dan
sudah menambahkan nilai dalam hal mendepani dunia hedonisme yang selalu
dikaitkan dengan filem dan industrinya. Kini, beliau dan suaminya, Bade Haji
Azmi, berserta penulis Faisal Tehrani sedang menyampaikan suatu “gagasan
baharu” dalam seni penceritaan hal Islam dalam bentuk televisyen dan filem.
Faisal Tehrani terperosok dalam kancah
perfileman Islam setelah mengkritik Gubra (2006), karya arwah Yasmin
Ahmad (sehingga arwah membikin Muallaf (2008), khusus untuk mengusiknya
dan gaya perdebatannya). Faisal memperkenalkan revolusi "filem
Islam"nya dengan teliti dan revolusioner dalam Sebongkah Batu di Kuala
Berang, sebuah buku yang agak kontroversial kerana mengaitkan ideal dan
pengisian novel itu dengan pemahaman "Syiah” yang difahami Faisal. Manifestasi
Faisal mengibaratkan si pelaku di hadapan kamera sesungguhnya patut menampilkan
amal makruf nahi mungkar (di hadapan dan di luar kamera), sesuatu yang sama
dipinta oleh Erma Fatima. Faisal mendalami lagi maksud “filem bercirikan Islam”
dengan menyatakan filem, suatu hasil seni paling masyarakat seharusnya
menyampaikan “kebenaran”. Kebenaran dalam erti kata Faisal wujud dalam filem yang
seharusnya menangkap realiti (rujukannya, The Road to Guantanamo [2006]).
Filem “kebenaran” Faisal menyerupai maksud mimesis filem, ataupun sikap
benar cinéma vérité (menangkap yang sebenar-benarnya). Lebih baik daripada
itu dan dengan radikalnya, Faisal berani menjelaskan (dan hal ini melanggar
kelaziman wayang singkapan Dr. Anuar Nor Arai mahupun Hizairi Othman, walaupun
pernah cuba dimasyarakatkan oleh Mansor Puteh) kegunaan nahu dan istilah khusus
dalam bahasa Melayu terhadap teknik dan gaya pembikinan filem. Kata
"potong" menggantikan "cut" misalnya. Faisal
menakrifkan, permasalahan pandangan alam Melayu-Malaysia sudah terpesong lalu
mengakibatkan sikap pelakunya meminjam segala-galanya yang terwujud dalam
pandangan alam yang sedia ada dalam filem Barat. Dan hal ini termasuk juga
sikap terbuka secara fizikal dan pemikiran penggerak seni, yang dijelmakan
dalam sikap hedonisme mereka yang agak terkenal dalam dunia artis hiburan. Maka
bahasa Melayu yang sudah sedia tahu diislamkan (hal ini mengambil pendirian
Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas) dengan nahu dan pendirian asas yang
benar sahaja yang dapat menyampaikan maksud pandangan alam Melayu-Malaysia yang
benar dengan hakikat kotemporari hidup masyarakatnya. Sikap “sopan”, “beradab”,
dan “berilmu” dalam bahasa Melayu dapat memancarkan suatu bentuk teknik
pembikinan dan aspirasi baharu dalam perfileman.
Idealisme Faisal ini menarik tetapi
masih menunggu untuk direalisasikan oleh para penggerak industri. Pada tahun
2012, Faisal ada menghasilkan sebuah skrip telefilem untuk pengarahan Bade Hj.
Azmi, Pelangi Ada Tujuh Warna sebagai personifikasi idealisme tinggi
Faisal Tehrani.
Namun begitu, idealisme tinggal
idealisme. Telefilem tersebut cuba menyampaikan rentak dan ekspresi “Islam”,
namun tersungkur dalam sikap “bercakap-cakap”nya. Watak hanya bercakap dan
bercakap tanpa menyampaikan maksud imejan. Hal ini adalah kerana, filem bukan
novel, dan filem bukan radio.
Filem mempunyai nahu dan tatanya
yang tersendiri. Paling utama adalah imej, kemudian suara. Dalam imej,
pancarannya juga kompleks, pencahayaan digaul dengan latar yang dipilih dengan terancang
(ada yang tidak dirancang), meletakkan sudut letak yang betul buat watak. Kemudian
syot-syot pelbagai, setiap sudutnya mempunyai ceritanya yang tersendiri,
dipanggil tanda (sign), serta objek atau alat pelengkap (prop)
yang bersama-sama dengannya. Kemudian gerakan, cakapan, lantas imej-imej itu
yang pelbagai, disatukan dalam suatu suntingan yang membuat filem itu lancar
seperti sungai mengalir.
Pandangan Alam
Manusia Melayu
Bagaimanakah kita,
anak-anak Melayu mencari makna dalam simbolisme; tanda dan penanda yang boleh
dikait guna dalam filem? Tanda dan penanda penting dalam membayangkan kekuatan
imej yang dihidupkan dalam filem, tidak nampak dibuat-buat (pretentious),
tetapi wujud, indah, dan terselit secara tersirat (subtle) di dalam
filem, lalu memunculkan falsafah, pemikiran dan pemahaman yang berkait dengan
konteks Melayu yang Islam.
Menurut Prof. Emeritus Muhammad Haji
Salleh (2012), latar alam merupakan ruang paling jelas yang menawarkan suatu
latar bagi manusia untuk berbudaya dan mencari maksud falsafahnya dalam dunia.
Menurutnya:
“Manusia yang menghuni dunia ini mahu tidak mahu harus
membaca semua yang berlaku dalam alam – pada tanah, air, angin, langit, awan
dan sebagainya ... Secara tidak langsung manusia menjadi pemerhati yang menanda
dan mengingati fenomena atau perlakuan serta tabiat yang berlaku pada alamnya. ”
(Muhammad Haji
Salleh, 2012: 2)
Setiap perilaku dan gerak alam menjadi penting dan memberi makna terhadap
orang Melayu yang Islam. Unsur alam yang di”kutip” lalu diserta kaitkan dalam
penulisan, lisan bacaan (pantun umpamnya), dan ukiran menjadi wadah yang
membawa maksud-maksud tertentu. Dahulu (sebelum kedatangan Islam) kemungkinan
mengisi maksud ritual dan simbol keagamaan, namun dengan kehadiran Islam,
simbol alam menyampaikan metafora tertentu yang berkait kuat dalam falsafah dan
penyampaian maksud, yang berkias mahupun praktikal dalam kehidupan
masyarakatnya.
Dengan kedatangan Islam, kelaziman motif ukiran Melayu lama berbentuk
Garuda (yang berbekalkan pandangan alam Hindu-Buddha) di pangkal sampan nelayan
berubah bentuk. Tidak ada lagi mata dan paruh, hanya awan larat berwarna garang
berwarna-warni seakan-akan awan yang hidup dan tetap mengharungi angkasa dan
angin laut.
Simbolisme Prof. Syed Naquib
al-Attas terhadap tulisan jawi berbentuk tanda ayam jantan berkokok di depan
kulit buku-bukunya sendiri menawarkan maksud falsafah yang tertentu. Ayam
berkokok itu bukan sahaja menampilkan ayam mencari rezeki atau kisah ayam
melihat malaikat (dikatakan, kalau ayam berkokok, kerana memuji Allah kerana
dapat melihat malaikat lalu), tetapi penandaan kebangkitan pencerahan (yang
sepatutnya) dalam pemikiran, nafas, dan roh manusia Islam (Melayu). Malah ayam
berkokok adalah saintifik dunia Melayu melihat masa (rujuk berapa lama Puteri
Gunung Ledang yang sebenarnya Islam memohon janjinya ditunaikan mengikut
putaran ayam berkokok) - hal yang lagi mengikat dunia Melayu-Islam-Malaysia yang
amat organik, begitu menyatu sekali dengan alamnya yang luas dan terbentang
oleh Maha Pencipta.
Oleh sebab kegagalan para pembikin
kita memahami imejan yang sedia ada dan tersedia wujud dalam alam Melayu sedari
Merah Silu memasuki Islam (sekitar abad ke-11), menyebabkan mereka meminjam
imej dan bentuk filem yang alamiahnya lebih jauh daripada kita. Maksud imej
sebegitu hanya sesuai dilihat atas kaca mata Barat (yang kadangkala diangkat
sebagai universal atau plural) yang moden, tetapi jelas tidak membawa apa-apa
maksud dan roh terhadap jiwa Melayu. Mungkin sebab itu, pembikin filem kita
tidak tercapai akal, dan hanya dapat menampilkan Hang Tuah rebah bersalib dalam
Puteri Gunung Ledang (2004) dan wajah kacak Remy Ishak dalam Nur
Kasih The Movie (2011) dipukul badai pasir Sahara (dan sebelum itu, Jehan
Miskin dipukul pasir Pakistan dalam Qaisy & Laila [2005]) tanpa
apa-apa makna yang besar.
Tsu Feh
Sofiah (1986)
Pemerian Alam
Melayu dalam Tsu Feh Sofiah (1986)
Setakat ini,
sebagai rujukan yang boleh dimasukkan di dalam pancakarya (canon)
perfileman Malaysia berkenaan kekuatan memerikan Alam Melayu (Islam) dalam
filem Malaysia, kita bolehlah merujuk filem arahan pengarah yang selalu
dilupakan, Rahim Razali dalam Tsu Feh Sofiah.
Rahim Razali merupakan seorang pengarah serius yang melawan kebiasaan filem-filem pasaran Malaysia era 1980-an. Rahim yang mempunyai latar belakang drama pentas, telah membawa banyak bentuk pandangan alam yang jitu terhadap maknawi Melayu dan Islam. Tsi Feh Sofiah merupakan filem perdana beliau yang memenangi filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-6, dengan merangkul enam anugerah, termasuk filem terbaik, pengarah terbaik, dan lakon layar terbaik.
Rahim Razali merupakan seorang pengarah serius yang melawan kebiasaan filem-filem pasaran Malaysia era 1980-an. Rahim yang mempunyai latar belakang drama pentas, telah membawa banyak bentuk pandangan alam yang jitu terhadap maknawi Melayu dan Islam. Tsi Feh Sofiah merupakan filem perdana beliau yang memenangi filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-6, dengan merangkul enam anugerah, termasuk filem terbaik, pengarah terbaik, dan lakon layar terbaik.
Filem berikut membuka kisah seorang doktor wanita Tionghoa, Tsu Feh (Jacqueline
Mitchell) yang kembali ke pulau ibunya. Tsu Feh ke sana bukan sahaja kerana
mengambil cuti daripada kesesakan dunia material bandar, tetapi cuba
menyelesaikan wasiat yang diperturunkan oleh ibunya kepadanya, yakni mendalami
Islam dan meneliti maksud Al-Quran. Sewaktu di pulau itu (dibayangkan sebagai
Pulau Langkawi), Tsu Feh menyedari kedamaian dan ketenteraman yang pernah
dirasainya sewaktu kecil apabila menemani ibunya dirosakkan dengan sikap
politik dua kumpulan orang Melayu. Pada masa yang sama, Tsu Feh mengenali
seorang guru yang duda lakonan Rahim Razali yang membukakan matanya terhadap
politik di pulau itu dan cara terbaik untuk menyatukan kembali perpaduan orang
Melayu di situ. Dalam masa yang sama, Tsu terus tertarik dengan cikgu itu dan
memeluk Islam. Petanda keislaman Tsu Feh (yang kemudiannya dikenali sebagai
Sofiah) menyebabkan pihak-pihak tertentu yang cuba merosakkan perpaduan umat
Islam di pulau itu tercabar.
Pembukaan filem klasik itu sendiri dengan jelas menampilkan maksud tanda dan penandaan alam Melayu bercirikan Islam. Kita dipaparkan dengan suatu kemalangan (makna kemalangan dalam filem adalah fungsi menarik dramatik, serta memberi keterujaan persembahan kerana sikap "kejutan" tragedinya yang banyak dimainkan dalam filem melodrama, serta berkaitan dengan pengubahan susur plot lantas mendatangkan motivasi yang "mengejutkan" atas kemalangan). Pada masa itu, Tsu Feh yang mahu tidak mahu (selepas dia berasa kalut dan tidak dapat meneruskan tugasnya di klinik) menolong seorang wanita Islam di dalam lori untuk melahirkan anak. Babak ini sengaja di buat dalam suasana malam, guruh berdentum dan hujan lebat. Hanya cahaya lampu suluh menyuluh doktor itu membantu si wanita hamil. Kita faham sesuatu di sini. Kita tidak nampak imej "darah", suatu imej refleksi umum yang "menakutkan" dan alamiah. Kita hanya nampak cahaya kecil lampu suluh, suara hujan, suara bimbingan doktor itu mengarah si wanita untuk meneran. Lalu bayi itu terkeluar, terdengar tangisan bayi yang kuat. Kelahiran berlaku. Ciptaan tercipta. Hidup. Suara apa yang berlaku selepas itu di dalam gelap? Dalam ketertiban, bayi itu diberi kepada seorang lelaki tua berkopiah (lakonan Haji Arshad, yang kita akan kenal sebagai lelaki berpengaruh di pulau yang akan dijenguk oleh Tsu Feh) lantas suara Azan yang kuat dan berkumandang, mendayu berdenting di telinga Tsu Feh. Suara runut tiba-tiba berkumandang. Dalam mis-en-scne itu, kita menyedari, Tsu Feh terpampan.
Pembukaan filem klasik itu sendiri dengan jelas menampilkan maksud tanda dan penandaan alam Melayu bercirikan Islam. Kita dipaparkan dengan suatu kemalangan (makna kemalangan dalam filem adalah fungsi menarik dramatik, serta memberi keterujaan persembahan kerana sikap "kejutan" tragedinya yang banyak dimainkan dalam filem melodrama, serta berkaitan dengan pengubahan susur plot lantas mendatangkan motivasi yang "mengejutkan" atas kemalangan). Pada masa itu, Tsu Feh yang mahu tidak mahu (selepas dia berasa kalut dan tidak dapat meneruskan tugasnya di klinik) menolong seorang wanita Islam di dalam lori untuk melahirkan anak. Babak ini sengaja di buat dalam suasana malam, guruh berdentum dan hujan lebat. Hanya cahaya lampu suluh menyuluh doktor itu membantu si wanita hamil. Kita faham sesuatu di sini. Kita tidak nampak imej "darah", suatu imej refleksi umum yang "menakutkan" dan alamiah. Kita hanya nampak cahaya kecil lampu suluh, suara hujan, suara bimbingan doktor itu mengarah si wanita untuk meneran. Lalu bayi itu terkeluar, terdengar tangisan bayi yang kuat. Kelahiran berlaku. Ciptaan tercipta. Hidup. Suara apa yang berlaku selepas itu di dalam gelap? Dalam ketertiban, bayi itu diberi kepada seorang lelaki tua berkopiah (lakonan Haji Arshad, yang kita akan kenal sebagai lelaki berpengaruh di pulau yang akan dijenguk oleh Tsu Feh) lantas suara Azan yang kuat dan berkumandang, mendayu berdenting di telinga Tsu Feh. Suara runut tiba-tiba berkumandang. Dalam mis-en-scne itu, kita menyedari, Tsu Feh terpampan.
Lantas imej seterusnya, cahaya,
sinar, lautan luas dan bot yang melaluinya. Indah. Kuasa Tuhan, ciptaan-Nya.
Tanda awal ini, yang kita amat kenal, diikatkan pula dengan suatu babak
"kelam" warna biru, samar-samar yang menyingkap kisah lama Tsu Feh
kecil mendekati ibunya yang barah yang dalam diam, mendekati Islam. Dalam babak
(mendekati) klimaks, Tsu Feh masuk Islam sebagai Sofiah. Saat itu, Sofiah
dilimpahi cahaya, dengan tudung lintup putih, bersyukur. Babak kemudiannya,
Sofiah bersama Rahim Razali di tepi batuan, ombak menderu dan menghempas dalam
kegelapan malam. Saat itu, Sofiah berkonfesi, merasakan, buat pertama kali
dalam dirinya terasa sesuci seorang bayi yang dilahirkan. Kita teringat dengan
babak awal filem yang juga malam, bayi dilahirkan. Kelahiran "Islam"
Tsu Feh suatu misteri (penanda: gelap-malam), sebagaimana Tsu Feh/Sofiah
merasakan "kelahiran bayi" pada babak awal yang dilakukannya sendiri.
Paling menarik, kedua-duanya mendekati "air", yang awal, air hujan
lebat (dalam tanda Islam dapat disimbolkan sebagai rahmat Tuhan yang sebenar,
Kekuasaan Tuhan terhadap sesuatu yang dicipta-Nya, memberi rezeki), dan babak
klimaks itu, ombak menghempas batu tempat Tsu Feh meluahkan perasaannya kepada
Rahim Razali (kaitkan dengan babak keindahan tadi, Rahmat yang kini
menyelubungi dan menyentuh Tsu Feh/Sofiah).
Air menandakan suatu imejan yang
kuat di sini, menyampaikan maksudnya yang benar seperti ayat Al-Quran yang
berikut:
“Dia yang utuskan angin, membawa berita gembira di hadapan
pengasihan-Nya sehingga apabila ia membawa awan yang berat, Kami halau ia ke
tanah yang mati, dan dengannya turunkan air,
dan keluarkan dengannya segala buah-buahan. Begitulah Kami keluarkan orang yang
mati supaya kamu mengingati.” (Surah Al-A’raf:57)
Rahim Razali memahami sufisme Melayu
Islam dengan alam hakikat yang penuh misteri. Pulau yang dihirup udaranya oleh
Rahim Razali dan saudara-maranya adalah pulau sengketa (masa itu, parti PAS dan
UMNO bertelagah, era Anwar Ibrahim mula memasuki UMNO). Dua kumpulan, satu ekstrem
agama dan satu lagi moderat/sederhana saling bertelingkah. Sikap ketidakwarasan
orang kampung di pulau itu (lebih-lebih lagi sikap ekstrem mereka) menyebabkan
Rahim Razali ingin berbuat sesuatu (the voice of reason), namun
selalunya gagal. Dalam sebuah babak, sang ibu Rahim Razali berteleku dalam
tafakur diri di tepi pantai suatu pagi, memandang ombak. Si ibu seperti suatu kisah
lama si majnun yang merindui bunyi ombak. Si ibu berbicara tentang mimpinya
bahawa ada "wali" yang akan datang menyelamatkan pulau itu, keluar
dari perut laut. Rahim sengaja meletakkan si ibu di tepi laut, menandakan
signifikasi laut (air) sekali lagi (yang membawa ramalan kehadiran Rahmat ke
pulau itu).
Satu babak berlaku. Tsu Feh yang berenang seorang, tiba-tiba lemas kerana dihempas badai laut yang bergelora. Rahim Razali yang sedang memerhati pantai ternampak, lantas melompat masuk ke tengah ombak ganas. Tsu Feh diselamatkan. Rahim tidak menyedari, wanita itulah "penyelamat" yang dikatakan ditemui ibunya dalam mimpi. Misteri ini hanya "wujud" kepada mereka yang "yakin" dan percaya kepada "misteri" Kerja Tuhan, sepertimana kemisteriusan Khidir apabila Nabi Musa a.s. cuba berguru dengannya.
Satu babak berlaku. Tsu Feh yang berenang seorang, tiba-tiba lemas kerana dihempas badai laut yang bergelora. Rahim Razali yang sedang memerhati pantai ternampak, lantas melompat masuk ke tengah ombak ganas. Tsu Feh diselamatkan. Rahim tidak menyedari, wanita itulah "penyelamat" yang dikatakan ditemui ibunya dalam mimpi. Misteri ini hanya "wujud" kepada mereka yang "yakin" dan percaya kepada "misteri" Kerja Tuhan, sepertimana kemisteriusan Khidir apabila Nabi Musa a.s. cuba berguru dengannya.
Pada klimaks filem (yang antiklimaks
bagi ramai penonton), Tsu Feh yang kini Sofiah dicolek dan dibawa kembali ke
tanah besar oleh sekumpulan penjenayah yang merancang untuk memporak-perandakan
pulau itu. Sofiah hilang, lenyap tanpa jejak dan kejar Rahim Razali dan orang
kampung yang menyayanginya. Lantas laut terus membadai ombak besar, memukul tiang
jeti. Wajah Rahim Razali sedih, "kekasih"nya hilang (rujuk dengan
kita berkekasih dengan Tuhan). Benarlah, dia sedar, kata-kata ibunya, si wali
itu datang dengan misteri dan kembali dengan misteri, sepertimananya Islam.
Rahmat Tuhan yang misteri dan berkuasa, terus memenuhi imejan layar, tidak
memberi apa-apa jawapan tetapi wajarlah bertafakur kerana mengetahui setiap
ketentuan-Nya punya hikmah yang terselindung. Dan terselindunglah ia di balik
awan dan langit yang mula meremang. Lantas runut bunyi M. Nasir nyanyian Ramli
Sarip berkumandang: "Kaulah Maha Agung, Kaulah Yang Maha Mengetahui, Tuhan
dunia akhirat, tiada aku tanpa-Mu."
Kesimpulan
Penulis cuba
menitip sedikit titisan air yang dijelmakan dalam Tsu Feh Sofiah. Namun
dengan jelas, paparan pandangan Alam Melayu yang tersirat secara puitis dalam
filem itu memekarkan maksud-maksud yang tidak lari daripada kefahaman alam
Melayu yang Islam. Hal ini sewajarnya diteliti untuk menyedari, terdapat
beberapa filem, lampau mahupun terkini yang sebenarnya, tersimpan kod-kod
imejan yang menyenangi kesedaran dan pengalaman yang dirasai oleh orang Melayu
jika dibandingkan dengan kebanyakan filem kontemporari yang wujud sekarang.
Perkara dan unsur sehalus inilah yang harus didalami oleh para pembikin
Malaysia agar menyedari jambatan yang sekian lama dirobohkan, dapat
dicantumkan, agar penonton dapat mengikat maksud makna dirinya dengan pandangan
alam yang mewakili latar belakangnya. Jalan yang dahulunya sesat dengan
pelbagai bentuk “isme” dalam perfileman dapat dikembalikan dengan kefahaman
unsur tanda-penanda ini. Penulis skrip, pengarah, dan penerbit harus mengambil
serius perkara ini jika berkobar-kobar untuk memahami “misteri” keindahan filem
Iran, oleh sebab filem Iran yang ternampak mudah sarat dengan imej-imejan yang
tersirat halus membawakan makna dan pengertian. Yang sebenarnya, alam Melayu
kita juga tersarat penuh dengannya, hanya menunggu untuk disunting dan dijelmakan
dalam layar yang bermakna.
RUJUKAN
Buku
Fadli al-Akiti, 2013. TontonFilem, Kuala Lumpur:
Suara Kata.
Faisal Tehrani, 2012. Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan, Kuala Lumpur: Unit Buku Harakah.
Faisal Tehrani, 2011, Sebongkah Batu di Kuala Berang, Kuala Lumpur: PTS.
Hamzah Hussin, 1997. Dari Keris Filem ke Studio Merdeka, Bangi: Penerbit UKM.
Muhammad, Amir, 2010. 120 Malay Movies, Kuala Lumpur: Matahari Books.
Muhammad Haji Salleh, 2012. “Pandangan Alam Manusia Melayu”, Pandangan Melayu Pancaran Sastera, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pautan
Ibnu Hasyim, “PAS Akui Pengarah Abu Hassan Morad dan Erma Fatima”, Ibnu Hashim 22 Januari 2011. http://www.ibnuhasyim.com/2011/01/pas-akui-pengarah-filem-abu-hassan.html (26/10/2013)
Ku Seman Ku Hussein, “Poetic Justice dan Filem Melayu”, Utusan Online 30 April 1998. http://www.filemkita.com/maklumat/artikel/artikel_06.html (26/10/2013)
“Jadikan Filem Media Dakwah”, PASPB 21 Januari 2011. http://paspb2.blogspot.com/2011/01/jadikan-filem-media-dakwah.html (26/10/2013)
“Unsur Syiah dalam Novel Sebongkah Batu di Kuala Berang”, Suara Jagat: Membasmi Ajaran Sesat 19 Disember 2011. http://suarajagat.wordpress.com/2011/12/19/unsur-syiah-dalam-novel-sebongkah-batu-di-kuala-berang-bahagian-1/ (26/10/2013)
9 comments:
Wah! Begitu menyembah hormat buat penulisan yang menyengat!
Cuma, kata pun kertas kerja - tulislah oleh Fadli al-Akiti dekat bawah judul tu :)
Tidaklah hilang sumber sebenar penulisan - zaman plagiat, mereka copy paste tak ingat!
Apapun, tahniah Abg Fad! Nak lagi! :)
takpelah Zaim, ai pasrah pada ketentuan Tuhan kalau mereka nak plagiat (kerja gigih anak-anak universiti sekarang), siapa lah ai pun bila Harakah pun hanya angkat Dr. Muhaimin fasal forum ari tuh.
Pandangan menarik, namun begitu filem masih lagi dilihat oleh orang dakwah sebagai medium semata2 utk menyampaikan, bukan seni, sebab itu walau begitu bosan sesebuah filem dan telemovie "islamic" itu, namun sekiranya ada babak2 yg mengesankan maka tetap dipuji
namun begitu, peminat filem dan telemovie "islamic" ini kebanyakannya dalah orang dakwah, hanya sbg alat utk menyampaikan, bukan seni utk dihargai, sebab itu ramai yg menyambut baik usaha pembikinan filem yg patuh syariah, walaupun mungkin hasilnya boring
suka baca teks ni, huhu... saya memang minat untuk menceburi bidang perfileman dan bercita-cita untuk mencetuskan ledakan filem Islam yang benar-benar mendidik pemikiran masyarakat,suatu hari nanti . doakan saya. ^_^
:)
Tak sabar nak baca Fadz review filem PENANGGAL.
Laporan paper Utusan Malaysia semalam (15.11.2013) kata plot kabur dan mengelirukan...
Assalamualaikum mohon kopi n pasta untuk kajian sy ^_^ trma ksih
Saya mencari filem ini sampai skrg belum ketemu
Post a Comment