Ini ulasan aku berkenaan
KL Gangster (2011).
Mungkin aku perlu mengulang buat filem ini: Formula Pop-Malaysia Cuba-cuba Bekas Bintang yang tentu dapat pencalonan Pengarah Harapan Terbaik FFM.
Selepas menonton filem ini, ada beberapa hal yang tidak terjawab, mengganggu aku untuk menyatakan filem ini "sempurna" secara cerita. Kawan-kawan aku siap marah, menyatakan The Raid tak mungkin sebegini. Mengatakan pelbagai hal yang tak mungkin aku dapat menjawab.
Sekurang-kurangnya dalam penelitian aku terhadap realisme samseng dunia filem Malaysia, aku menyanggupi pembawaan gangster Bintang Malam (1991), Sepet (2005) [yeap, punya alusi berkenaan polis/ahli politik sebagai "ikan besar"], dan Raindogs (2006), yang aku kira paling "dekat" mencitrakan golongan gangster tempatan.
Kawan aku bising, mengapa filem gangster Melayu, daripada tatu entah apa-apa dan rambut berwarna, mengapa bila mereka berlawan ataupun bercakap, perlu bertekak-tekak tak habis-habis (rujuk Khir Rahman dalam filem ini atau KL Gangster). Aku tidak boleh menjawab soalan itu (kerana aku tak lepak dengan gangster Malaysia). Tetapi aku pernah melihat orang bergaduh di kedai dan suara mereka memang lebih hebat daripada pukulan (nampak macam samseng). Aku juga teringat berita pergaduhan di kelab malam KL oleh kumpulan samseng yang agak hiruk-pikuk. Mungkin itu budaya "samseng" kita, aku tak tahu.
Ada seorang kawan aku pula menyatakan, filem ini mengambil semangat filem-filem gangster Korea Selatan. No nonsense punya. Aku tak pasti yang itu benar kerana aku tidak berapa mendalami genre itu dalam sine Korea, dan hanya pernah menonton Nameless Gangster (2012) yang aku kira penting dan bagus, dan sebuah filem genre gangster yang meniti pemahaman pengaruh dan politiking melangkaui sifat "kerja bawah meja" gangster.
Tetapi hal itu tidak ada dalam Langgar kerana Langgar dibikin hanya untuk suka-sukaan, hibur-hiburan dan jiwang-jiwangan. Itu tidak ada masalah kalau kau nak berlibur.
Yeap, filem ini sebuah filem bertih jagung eskapis, yang perlu aku nyatakan, sekurang-kurangnya mengalahkan mana-mana filem separuh masak gangster Metrowealth dari segi produksi. Hanya mungkin, Syed Hussein (Sein Ruffedge) menyentuhnya dengan cara komikal yang kadang-kadang terkawal, kadang-kadang bergegar entah ke mana. Komik ini jelas lagi dengan gaya Sein menggunapakai beberapa teknik Guy Ritchie pada awal filem, yang entah ke mana cetusan semangat itu. Pinjaman hanya pinjaman atas nama "suka" (rujuk Baik Bunya Cilok Afdlin Syauki yang sekurang-kurangnya melakukan rujukan yang mencuitkan).
Dari segi penceritaan, filem ini terheret daripada dua tema genre: filem balas dendam dan gangster. Serius, jika anda tiada masalah untuk dua genre ini bersatu dengan bermain-main dengan kesesuaian ruang plot, anda akan menerimanya dengan baik. Ini adalah kerana filem balas dendam tentu terdapat sikap moral "yang perlu dibalas", biasa dalam filem sebegini (rujuk francais Death Wish ataupun The Last House on the Left). Dan balasan terhadap "amalan jahat" itu ialah gangsterisme, suatu pencantuman genre yang mungkin boleh mencapai sesuatu jika dikawal dengan betul. Perbuatan Ady Putra itu sendiri (di mana tona drama dan konfliknya sewaktu bergangster, di mana refleksi diri, di mana perasaan terperangkapnya?) suatu mesin membawa penonton "menyetujui" eskapisme itu dengan sama-sama memasuki alam "gangster" dari kaca matanya. Suatu garisan antara didaktik penuh dengan kritikan sosial boleh ditelaah, hanya aku terkejut, dalam filem ini, garisan didaktiknya amat realtif tinggi. Serius, filem ini seakan-akan kita menonton seorang hero/anti-hero (Ady Putra) yang ditarik daripada alam romantisme untuk berlaku "adil" terhadap alam dekaden. Inilah yang komik (watak Ady Putra seakan-akan seorang vigilante dalam dunia gangster) dalam filem ini. Sedar tak Sein, aku memahami ini daripada pemahaman sastera? (mesej: pembikin kita perlu berjinak-jinak dengan sastera. Titik)
Komik tidak ada masalah jika ia dibikin baik dan terkawal. Ada hal-hal yang aku puji. Keganasannya, kerana aku kurang berpeluang menonton filem "ganas" dalam filem Malaysia, tahap Langgar ini boleh tahan juga keganasannya. Setakat potong kepala dalam Ringgit Kassorga pun aku dah terbeliak (zaman tu, darah susah nak melimpah, terus dipotong LPF), inikan pula Hans meremukkan kepala manusia antara pintu peti ais, yang bagi aku untuk sebuah filem Malaysia, agak grafik dan tidak elok bagi tontonan kanak-kanak.
Dialognya juga mengunyah dan munasabah. Sein dan Pierre Andre selaku penulis skrip sekurang-kurangnya bercakap dalam suara suasana real terhadap sekelilingnya. Penting untuk para pembawa wataknya membawa dialog-dialog tanpa mengada-ngada dramatik ini pada tahap yang logikal dan sesuai layar filem, dan bagi aku kebanyakan para pelakon filem ini, khususnya Natasha Hudson dan Nam Ron membawakan "realiti" ini dengan kunyahan sedap dan terasa. Sifat lawak yang tidak terlalu menonjol seperti yang dilakukan oleh Zizan dalam KL Ganster, kali ini dengan oleh sidekick Ady Putra, Bell Ngasri, aku puji. Ia tidak terlalu terbawa-bawa dan ia tidak pula terlalu lemau. Penonton boleh ketawa jika penonton mahu. Ia ternampak dibuat-buat.
Namun, terdapat beberapa hal yang melanggar beberapa hal (adakah itu tujuannya, "melanggar" seperti judul filemnya?) yang aku kira tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah filem. Isu pistol merupakan antaranya, beberapa babak yang "tiba-tiba" muncul secara mengganggu kefahaman logik plot (aku tidak boleh telitikan di sini, korang tak tengok lagi), babak imbauan kembali yang terlalu kontra dengan semangat real-time filem ini (dialog baku, sikap monotonous, gaya kilatan entah apa-apa, dan kadang-kala melodramatik yang tidak perlu), babak lepas gaduh barulah polis terhegeh-hegeh datang (masalah ini kerana mana-mana filem Malaysia, anggota polis tidak boleh diganggu, ianya sakral, tidak ada pelakuan "korupsi" seperti filem gangster satu dunia yang lain - ini satu signifikasi baik atau lemah buat kita?), runut bunyi tipikal filem Skop Productions, babak pergaduhan enteng-enteng (undang-undang filem aksi, rujuk Fight Club, The Raid, kalau tak pun, KL Gangster, kita perlu menyusun adegan lagak memukul dengan mula-mula minimum dan kemudian teruja dan terus mengujakan sampai pada tahap "lawan Big Boss" yang klimaks seperti alunan okestra yang mencapai puncak ) dan amat memerlukan kareografi aksi.
Aku menyukai Nam Ron dalam filem ini, dengan watak pembantunya Zul Huzaimy yang ganjil (dan amat Korea!). OK, apa-apa yang Zul Huzaimy buat aku suka, aku begitu prejudis! Apa-apa pun Nam Ron menyampaikan suara sang jantan yang berdengung walaupun penelusuran perwatakannya boleh saja satu dimensi jika diambil oleh pelakon separuh jagung.
Khir Rahman "gila" dalam filem ini, serius gila. Babak pukul bola golf tu memang tak boleh blah.
Ady Putra hanya mesin membalas dendam. Babak mula dia berjanggut dari bilik psikiatri pun aku sudah terjengkel, ini bukan salah Ady tapi pengarah dan penulis skrip.
Aku tidak suka dengan Hans Isaac dalam filem ini. Hans Isaac menunjukkan segalanya yang plastik dalam percubaan dunia gangster. Ini bukan filem Yusof Haslam, Sein kena faham.
Atau mungkin Sein sengaja memberi penghormatan kepada pembikin filem ganster sebelum kita? (rujuk: Castello).
Aku rasa, hal itu tidak perlu kerana pop yang Sein pegang sepatutnya asli, daripada jiwa dan pertunjukan baharu, seperti mana kehadiran sulungnya dalam dunia perfileman tempatan. Sein punya sesuatu dan boleh digemblengkan jika dia pandai mengawal ruang, masa dan syotnya. Aku percaya dalam masa-masa depan, dia punya sesuatu untuk ditunjukkan. Aku amat berharap Sein tidak mengecewakan aku.
Klasifikasi Langgar: 18, Babak ganas, lucah dan kata kesat yang tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur 18.
DITONTON DI Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara.