Pertama, ada pelakon baharu bernama Andrea Abdullah yang diangkat namanya oleh pengulas Berita Mingguan, menyatakan lakonannya memberangsangkan. Aku suka jenguk pelakon-pelakon baharu.
2: Aku suka Marsha dan dia memang menunggu untuk disunting dalam sebuah filem komedi yang baik.
3: Aku suka Nizam Zakaria dan dia selalu memberikan sesuatu.
4: Aku suka Fairul Nizam Ablah (penulis skrip) yang aku kenal tentu akan membawa sesuatu.
Hampanya, dalam keempat-empat ini, filem ini menjurus kepada suatu telefilem klise yang amat longgar dan telah mengambil banyak cabang perfileman yang salah dan tidak sepatutnya. Patutkah aku ceraikan keempat-empatnya daripada hidupku selama-lamanya? Tolonglah aku buat keputusan.
Nizam pernah katakan kepada aku tentang filem ini menghomaj Madu Tiga. Ah, inilah yang menyakitkan jika kita memberi penghormatan kepada sebuah filem unggul yang betul dan diingati. Ini bukan pertama kali berlakunya "salinan" ataupun percubaan merekayasa filem P. Ramlee (sebelum ini, Sumpah Semerah Padi, Bujang Lapok Kembali Daa ... [filem ini yang paling berjaya walaupun tidak sebaik arahan P. Ramlee], dan Anaknya Sazali). Semuanya terperuk mendepani gagah perkasa karya seniman agung tersebut.
Penyalinan, bisem (bikin semula), homaj dan rujukan (mahupun spoof) tidak salah jika ianya dilakukan dengan betul. Salinan dilakukan bukan sahaja kerana pembikinnya terpesona dengan bahan rujukan itu (sepertimana Gus Van Sant melakukannya terhadap Psycho, yang hancur) tetapi percaya bahawa ada suatu "agenda" ataupun niat yang hendak disampaikan (aku tidak mahu gunakan istilah "mesej") yang relevan dengan zaman itu.
Dari segi premis, filem ini "mendapat tangkap" hal itu apabila dengan sengaja, empat wanita dalam hidup Usop Wilcha dipecahkan kepada warna hijau (Islam/PAS), merah (keturunan/UMNO), biru (ekonomi/KeAdilan), dan merah jambu (manja/muda/ceria/Puteri UMNO). Hal ini mencuitkan jika difikirkan, membawa makna dan falsafah mendalam terhadap pemaknaan "madu", lebih-lebih buat orang Melayu yang "berniaga", yang memerlukan "kawasan jajahan" dan sebab itu mereka "kahwin" untuk menguasai satu-satu tempat (tetapi perkara ini tidak berlaku dalam filem ini, dan ditunjukkan secara kulit). Ahli ulama dulu melakukan ini untuk membina cawangan pondok-pondoknya di serata Nusantara, bukan sahaja menyebarkan keturunan tetapi "agama".
Pemahaman ini memberi suatu semangat semacam sifat pasifis terhadap Ucop Wilcha bersama-sama empat isterinya. Hal ini bukan sahaja menyampaikan maksud positif tentang poligami (secara sindir, orang Melayu boleh berjaya ekonominya jika dia kahwin empat dan pandai mengurusnya!) tetapi bermaksud melihat paparan luas politik yang "menyatu" dalam kalangan Melayu "di bawah satu rumah". Hal ini mengejutkan terhadap realiti sifat politik sekarang yang bertegang leher dan panas. Patutlah orang Melayu sekarang susah berbini dua, seorang tu mesti nak minta cerai, macam PAS keluar UMNO, Anwar keluar UMNO dan bina Keadilan. Dan kitaran syaitan ini berterusan, mungkin sampai kiamat.
Maka tentulah antitesis ini menarik jika premis di atas diolah dengan seteliti mungkin. Tetapi hal itulah yang tidak berlaku malah diperlecehkan dengan satu plot ringkas berkenaan dilema Usop Wilcha yang dipaksa mengahwini Anzalna budak Johor.
Awalnya sendiri panjang, dengan satu percubaan penulis "memperkenalkan" watak-watak dengan amat panjang sekali. Aku boleh maafkan jika dalam penungguan kita ke persoalan plot, kita dibumbu dengan kesan lawak dalam perkenalan itu. Yang berlaku berlaku hanyalah suam-suam kuku. Lihat, contohnya filem komedi berjaya seperti Tootsie (1982), berapa minitkah yang dibuang untuk bergerak ke motif plot? OK, kita kita tengok As Good as It Gets (1997) yang mana turning plot hanya berlaku tika 25 minit filem itu, tetapi pada awal detiknya sehingga ke-24 minit, kita sudah disajikan dengan kecelotehan dinamisme "panas" antara Jack Nicolson-Greg Kinnear-Cuba Gooding Jr dan akhirnya Helen Hunt. Semuanya mempunyai konflik dan pendirian yang bergeser, yang menumpahkan "komedi".
Tonton sahaja Madu Tiga, lihat bagaimana P. Ramlee menghidangkan pembukaannya, bagaimana plot yang bergerak pada awal cerita (ingat lagi babak isteri pertama mengejar suaminya?) yang kemudiannya menjadi "dilema" yang menyampaikan tindakan absurd P. Ramlee "ana kahwin tiga!"
Twist filem ini ialah, keempat-empat cawangan itu telah diisi (hint: selain menyampaikan "resepi" perkahwinan bahagian terhadap simbol empat wanita itu, secara menyindir ia menyampaikan pemaknaan "Melayu" yang disatukan ini, baik politik ataupun kepelbagaian sifatnya tidak boleh goyang jika "bersama") dan tidak mungkin Usop Wilcha "kahwin lima" (suatu persoalan absurd). Hal ini sudah menarik jika penulis skrip Fairul dan Nizam (kerana ditulis penulis Lakon Layar) memberikan kita komplikasi demi komplikasi selepas sahaja Usop dipaksa oleh Sofii Jikan mengahwini Anzalna, adiknya.
Perkara yang berlaku adalah sesuatu yang berbeza. Berlakulah satu "drama radio" yang cuba dipersembahkan secara kreatif, memperkenalkan "kisah cinta" Usop terhadap keempat-emat isterinya. Sampai pada tahap itu, do we care even a bit about them? Serius pada babak-babak Fizz Fairus berdialog dengan Usop, aku teringat dengan adegan duduk Max von Sydow dengan malaikatulmaut. Tetapi kali ini, tidak ada papan catur (tidak ada kebijakan). Mereka bercakap untuk "habiskan masa", sehingga pada satu babak memandu pada waktu malam yang amat cantik, serius(!) tetapi menyedarkan aku: "Im watching a comedy here, right?". Babak itu mengimbau satu suasana kerinduan, kehilangan dan murung berpanjang dalam limpahan cahaya lampu, tiba-tiba kita dengan dengung runut bunyi "kelakar". Mis en scene ini amat janggal.
Dan bila pula sebuah komedi mudah punya monolog-monolog panjang?
Usop Wilcha boleh pergi jauh, dan tampak dalam filem ini beliau berbakat. Beliau mempunyai mimik yang mempunyai karisma Rowan Atkinson dengan matanya (lantas menjadikan filem ini slapstik) dan mempunyai fokus baik. Dia telah melakukan yang termampu. Andrea Abdullah lantang dan menyeronokkan. Dia punya semangat dan gerakan untuk pergi jauh, dan dia tahu membawa dialognya. Di pawagam, celotehnya paling diketawakan penonton. Oh, aku memang suka Marsha, dia membakar layar setiap kali dia di dalamnya, dan seorang yang memang dinamis dan boleh "mendepani" Andrea dengan kelasnya tersendiri. Malah aku lihat kesemua pelakon filem ini boleh berlakon dengan bersahaja, termasuk Dian P. Ramlee (kecuali dengan Norish Karman yang kelihatan tidak menyukai wataknya) jika diberi peluang dan tumpuan skrip yang betul. Ini suatu penyesalan.
Sinematografinya mencuba, walaupun terdapat beberapa syot yang baik. Babak-babak awal dengan percubaan syot panjang menarik (dan susah), tetapi tiba-tiba apabila Usop duduk dan syot menjadi "statik" (atas tripod) ia mengganggu perjalanan emosinya kerana "statik" sepatutnya berlaku apabila kamera "merakam" rancangan di TV. Malah ada ruang yang kelihatan gelap pada awalnya, pencahayaan yang buruk (ini filem komedi). Suntingannya bergerak dan membantu apa yang perlu. Paling baik adalah reka letaknya yang cuba memberi "warna" dan sifat betul kepada keempat-empat isteri Usop, dan hal ini boleh dipuji. Beberapa sentuhan tanda dan penanda juga menarik (rujuk sahaja tayangan TV sebagai latar, atau gajet yang merujuk kepada setiap watak), tetapi hal itu hanya menjadi "bahan tocangan" penonton tegar.
Suatu hit and miss. Boleh pergi jauh waima jauh memalukan untuk menjadi homaj Madu Tiga.
Ok, aku dah buat keputusan. Aku nak minta cerai fasakh bersyarat!
7 comments:
At least filem ni adalah homaj kepada filem Madu 3 oleh Tan Sri P.Ramlee.Buang yang keruh ambil yang jernih.Teruskan menyokong industri,insyaallah.
jika ada nama lain bagi banal maka kahwin 5 adalah gantinama yang paling sajak.
Adrea Abdullah, bang. Akhbar mana pulak Berita Mingguan tu?
Berita Minggu tambah Mingguan keww?
Jangan marah, gurau manja. Ha ha ha
3 anon atas ni orang yang samakah?
Windu kat Fadz...huhuhuh
Windu kat Fadz...huhuhu
Betul juga, I pun don't care mengenai masalah 4 wanita ni.
Post a Comment