Aku tak peduli, aku nak celupar juga bulan-bulan puasa ni.
Tagline filem ini tertulis: SUSPENSE . HORROR . THRILLER! Biar aku tambah lagi satu: KIMAK!
Tidak pernah dalam hidup menonton aku di mana (Bjarne Wong tidak pernah mendapat penghormatan ini) sewaktu pertengahan filem, kesemua penonton keluar dari pawagam lalu tinggallah aku seorang. Ya, sewaktu menonton filem ni, ada lebih kurang tujuh orang termasuk aku. Tetapi apabila sudah sampai tahap babak-babak "apa yang kita tengok ni?", dengan sekali gus bersamaan 20 saat, kesemua penonton itu telah keluar dari pawagam.
Kesian M. Subash. Tapi padan muka dia juga. Kenyataan pertama: jika kau seorang pengarah "maverick" dan punya sentuhan artsy fartsy, jangan gatal cuba-cuba bawa gaya seni eksperimental lewah kau dalam sebuah filem genre seram yang mana sudah mempunyai ikatan komersial dan tatacaranya.
Untuk siapa yang tidak kenal M. Subash, dia sebenarnya seorang pengarah dan pelakon yang AMAT BERBAKAT dan sebenarnya, filem sulungnya, Pensil, mendapat tempat kebanyakan penonton yang menontonnya, termasuk pengkritik, lantas termasuk Faisal Tehrani pun! Mungkin kerana filem selepasnya merundum teruk, dan kemudian teruk lagi (dia juga membikin Sumpahan Puaka yang ramai juga yang memuji punya unsur gothic horror yang menarik walaupun teruk di pawagam), dia terus menghasilkan filem seram (kali ini dalam bahasa Cina) kerana "permintaan pemasaran".
Filem ini sendiri "ada cerita" tetapi masalah utama Subash, mungkin kerana kengkangan belanja, dia tidak mahu "keluar" dari ruang selesanya yakni: menangkap dunia marhaen, menangkap golongan marhaen. Aku tidak ada masalah dnegan itu, malah seorang auteur bekerja begitulah, tetapi jika UNSUR MELODRAMA yang digunakan jelas-jelas diambil dari semangat tema yang sama dalam susun atur bayangan sebuah filem seram, ini merundumkan! Penonton yang lain telah jelas, terlepas menonton bahagian PALING PENTING filem ini, yakni "penceritaan" kisah lampau "apa yang berlaku" terhadap si wanita dan "dosa yang dipikulnya". Ini filem jelas didaktik, ini tiada masalah kerana kebanyakan filem seram punya konteks didaktik (kecuali anda memang memenuhi semangat modenisme mahupun pascamodenisme), tetapi kenapa perlu mengalurkannya dengan babak lewah yang terlalu, contohnya, satu syot panjang lama percakapan dua wanita di balik-balik tingkap tanpa suara mereka pun dan hanya runut bunyi membingitkan! Ia tak menakutkan dan langsung membuang mood! Subash perlu terus cut the chase dan tayang, jangan sesekali buat hal sebegini (dia mula lakukan hal sebegini dalam Jomlah CIUM)! Kenapa dia buat korang akan tanya, INI ADALAH KERANA KISAH yang hendak diceritakannya PENDEK dan dia MELEWAH dengan penggayaan ala-ala bukan-bukan dengan kamera meneropong dan menerewang bukan-bukan hanya untuk mencukupi 120 minit!
Sebenarnya aku menyukai penggambarannya, ia sekurang-kurangnya bergaya, serius, Subash punya kuasa "stylish" dalam menangkap, dengan gaya kelam dan sudut syot yang pelbagai dan tidak bosan, malah amat eksperimental, runut bunyi berdengung, semangat ini kalah mana-mana filem gelap (contohnya 8 Jam sepatutnya mengikuti gaya ini), aku seakan-akan menonton Bruce la Bruce tanpa pasangan lelaki homoseksual bercium dan model wanita menayang teteknya. Tapi ini bukan Bruce la Bruce, ini Subash, dan dia tersalah sangka hal sebegini boleh dibuat dalam filem mendatar dan kisah linear yang terlalu senang (berkenaan karma dan dosa pelakuan sendiri). Malah bila tiba babak-babak pengenalan "si Gila" yang hebat buat sup, ia mengingatkan kita dengan kehebatan Pensil dahulu (tapi ini filem seram!), malah mengejutkan kerana para pelakonnya boleh berlakon dan mereka berlakon bersungguh-sungguh! Semuanya terbuang.
Ada satu babak, si lelaki tua/ayah termasuk "hantu" lalu mengucapkan, "Kau tak bagi aku belajar matematik!" Serius, babak "posession" tu berubah kelakar nak mampus! Inilah perkara-perkara yang Subash perlu sangat berjaga.
Secara rumusannya, aku dah tahap serik dengan hantu Malaysia, harap-harap Elly Suriyati dan Kabir Bhatia tidak akan mengecewakan aku lagi.
Klasifikasi: 18, entah aku pun tak tahu selain dialog klise orang Cina tak boleh kawan dengan orang Melayu.