01 June 2012

Hoore Hoore(2012) untuk Agenda!

Ada dua tujuan filem ini ditonton, dan mungkin kerana tujuan itu tidak tercapai, filem ni ada masalah.

Aku menonton filem ni kerana aku mahu melihat, bagaimana pengarah Saw Teong Hin membawa genre muzikal dengan rendesi lagu Allahyarham Sudirman ke dalam filem. Ini suatu percubaan menarik, mengambil lagu-lagu popular dari seseorang (atau satu kumpulan) dan mengisinya dengan penceritaan. Yang aku boleh ingat dibuat baik oleh Hollywood adalah Mamma Mia! (ABBA weh!) dan Across The Universe (The Beatles!). 

Aku peminat Sudirman, dan tentulah aku mahu melihat bagaimana lagu-lagu Sudirman diraikan dalam filem ini. Itu tujuan utama aku. Kedua, aku mahu melihat bagaimana pengisian lagu Sudirman mengisi layar besar filem ini, tujuan utama filem ini.

Tujuan utama filem sebenarnya berkenaan hidup "bersatu" dalam masyarakat yang pelbagai. Secara halus, filem ini juga menampilkan "gerakan" ke arah masyarakat plural demi Wawasan 2020. Kenapa Sudirman digunakan? Kerana kesenangan melayan lagu Sudirman melampaui satu-satu etnik di Malaysia, mana-mana etnik di Malaysia, kalau tak kenal lagu-lagu Sudirman, pergi potong jarilah wei, malu je (ah, ini pendirian patriotik!) duduk Malaysia, ni aku serius. Kau tanyalah Namawee, tentu dia pun kenal Sudirman.

Lalu dipertontonkanlah. Menarik juga, dan kena, dengan rendesi awal "Bercanda di Pasiran Pantai" antara Akim AF dengan Farah Nazirah dalam alam mimpi (fantasi) yang kemudiannya dikejutkan. Ah, ini agenda Saw rupa-rupanya! Lihat: Kita memahami, jauh dalam jiwa dan seksual Farah yang gemuk, menyukai Akim, lantas mereka "bercanda" dalam mimpi, suatu fantasi. Farah bangun, dikejutkan oleh ibunya. Fantasinya terganggu. Realitinya, dia sedar, dia takkan dapat memiliki Akim. Tetapi twist berlaku, Akim dalam diam, turut "menyukai" Farah sehinggakan turut berfantasi berkenaannya dalam beberapa lagu Sudirman. Fantasi mendekati realiti! Strata terakhir, fantasi ini akan diuji, dan kemudiannya membuka pekungnya, lalu fantasi berjaya dicapai dalam realiti.

Ia nampak senang bukan? Ah, kau salah kalau kau ingat, itu sahaja yang Saw dan Shariman Wahid sebagai penulis skrip ingin paparkan. Berlaku persoalan politik, seks dan agama sebenarnya dalam filem ini, semuanya berkaitan dengan pemahaman yang kita tahu berkenaan "ke arah masyarakat plural" dan keterbukaan. Lihat, politik dalam filem ini ditunjangi dengan pemahaman permainan "populariti" yang Farah masuki, ya, berlakulah tarik-tarik ego, kuasa media dan pengaruh terhadap satu-satu kata, persembahan diri dan pilihan. Menariknya secara awal, Saw sudahpun memberi klu dengan satu petanda lambang UMNO merah dengan penulisan ILMU. Ah, ayah Akim merupakan superego filem (sepertimana ibu Farah), pengisian masyarakat yang "menentang" keterbukaan tersebut. The old-flacid UMNO? Mungkin. 

Kemudian seks. Whoaaah, sangat mengejutkan! Walaupun mungkin Jiwa Taiko lebih eksplisit menampilkan grafik seksnya, filem ini cuba memperlihatkan penentangan seks dan isu-isu seks yang sebenarnya buat aku, agak berani, khusus agenda "halus" Saw menampilkan golongan gay untuk "memasuki masyarakat" (ah, ini satu pemasalahan, kerana kita dipertontonkan, golongan ini yang diwakili oleh Afi Faris tidak pernah dicerca malah memasuki dunia lelaki-wanita di sekolah dengan penuh keterbukaan!). Ada dua bahagian yang begitu mengelirukan. Satu merupakan rendesi "Milik Siapakah Gadis Ini?" yang mana semua wanita tengah frust sebab sedar Akim minat Farah, tiba-tiba kita ditampilkan Afi yang turut menyanyi "gadis manakah yang kumiliki?" yang menampilkan enigma besar. Hal ini disambung dengan babak "out" Afi terhadap Akim apabila Afilah rupa-rupanya penulis blog "Maskulin Cinta" yang entah kenapa, apabila Farah mengetahui hal ini, menyatakan dengan yakin kepada Afi: "Walau apa-apapun, kita tetap kawan." Whoaah, WTF! Fag hag confess?!

Agama turut dibawa ke depan, yang mungkin membuatkan Irshad Manji turut syok mungkin bila persoalan "menjual agama" dan martabat dibawa ke hadapan. Ini suatu maksud kompleks yang dibawa dengan sungguh enak dan keremajaan dalam filem ini.

Masalahnya?

Aku menyukai beberapa pelakon dalam filem ini, yang bagi aku menyerlah. Fauziah Nawi memang hebat dalam filem ini, itu aku tak sangkal. Aku amat suka Farah dan beliau amat mengingatkan aku dengan watak heroin dalam Hairspray, walaupun tema revolusi dalam filem itu lebih menyengat. Aku sedih, kerana Saw dan Shariman terlalu bermain dengan emosi-emosi balada untuk perwatakan "terkurung" Farah, tidak memberinya banyak dimensi, walaupun kita boleh "merasakan" kekuatannya, khusus rendesi persembahan terakhirnya di pentas.

Masalah yang paling aku geram merupakan bagaimana Saw memotong pendek babak-babak lagu. Lagu Sudirman amat indah, dan mengejutkan bila lagu-lagunya dikumandangkan dengan begitu cepat, begitu pendek babak-babak muzikalnya untuk memberi sentuhan impak. Serius, kau tontonlah Mamma Mia! dan tengok bagaimana penonton gila muzikal macam aku, ikut serta dalam kegilaan menyanyi bersama dan merasai penceritaan gambar dan suara. Dalam filem ini, semuanya terlalu pendek untuk "dirasai". Ya, aku sudah mennyanyi mengikut rentak, tetapi CUT, terus ada potongan dan babak seterusnya berlaku. Ini mengecewakan.

Ya, sebenarnya filem ini boleh pergi jauh, kereografi tarian contohnya. Aku menyukai apa yang cuba dibuat oleh Saw, yang sekurang-kurangnya memahami "lively" muzikal dalam babak "lepas ujian" dan "balik kampung", tetapi ia masih boleh dipertingkatkan, khusus dalam babak-babak balada. Beberapa babak pun, kerana ketidakfahaman, membawa filem ini "tanpa arah" seperti secara tiba-tiba kawan-kawan baik Farah memulaukannya tanpa menampilkan imej kawannya yang turut meminati Akim. 

Runut bunyi? Ah, ini benar-benar menyelamatkan filem ini kerana runut bunyinya sememangnya antara yang terbaik pernah keluar dalam filem Malaysia. Dan ya, aku amat suka dengan lagu kredit akhir nyanyian Lan. Suatu lagu yang ikonik dan boleh diingati.

klasifikasi: U, ada beberapa isu akil baligh dan seksual yang boleh diperbincangkan buat remaja dan kanak-kanak bawah 18 tahun.

1 comment:

kyle said...

salam,

admin dh tgk 'the raid redempatio' x?? bg ulasan ckit

ni link muvi ni kat utube:

http://youtu.be/e_ICF4tw7x0