31 May 2012

Jiwa Taiko(2012): Kultus Emosi dan Tragedi Moden

"Pergi mampuslah dengan cinta!" - Lara

Filem ni senang, ia mengutarakan persoalan yang dasar dan paling universal dalam mana-mana cerita: cinta menghidupkan, juga memusnahkan.

Kenapa Osman Ali, yang kita sudah sedia kenal dengan Bukak Api, dan kemudiannya Anak Halal, memusing kembali tema yang beliau amat kenal, yakni melodrama roman, kepincangan sosial urban dan anak-anak gelendangan?

Buat Osman, inilah "masalah sebenar" yang dihadapi Malaysia, sekurang-kurangnya buatnya, ia masih "relevan", dan mesti disampaikan (melainkan dia dah takde akal nak buat filem lain).

Ah, kau sedar tak, tahun ini aja, ada pelbagai filem yang menangkap sisi gelap kota, dari Songlap sampailah Chow Kit, sekurang-kurangnya dalam tahun ni, adakah kita kini bukan sahaja hendak menjadi juara pembikin filem seram poyo tetapi juga aksi samseng? Boleh, aku tak ada masalah, malah ini genre yang menarik untuk dilangsungkan, sepertimana pengarah-pengarah yang melakukannya (malah vibe ini lebih mencanang selepas kegilaan penonton terhadap KL Gangster) dengan gaya penuh aksi, meta-romantis mahupun realisme pada tahap tertinggi. Kini yang penting (dalam menyelusuri genre ini) adalah bagaimana ia dilakukan, dan apakah ceritanya.

Cerita filem ini biasa, seorang bekas banduan/samseng yang menyedari kesilapannya, lalu bertaubat (70s melodrama anyone?), lalu menjadi sukarelawan dalam sebuah rumah kebajikan (ah, ini SUBJEK tipikal Osman Ali! Semacam kesinambungan terhadap Anak Halal yang dibiarkan tanpa bantuan mana-mana badan kemasyarakatan), lalu jatuh cinta, dan pada yang sama, si kawan yang kini dah jadi "taiko" mengajaknya kembali ke dunia penuh maksiat.

Macam pernah dengar kan?

Osman kali ini menyuntik sesuatu yang menarik, walaupun mungkin bukanlah pelaksanaan yang membanggakan seperti genre rekayasa silat di Indonesia sekarang, yeap, ada SILAT dalam filem ni. Aku menyukai tindakan Osman, tetapi bagi aku, Osman sedikit bercelaru, kerana SILAT yang diberikan kosmetik bunyinya, kita tak jumpa adab dan tertib silat sepertimana yang kita nafasi dalam Matinya Seorang Patriot. Sebenarnya, ini filem berkenaan dia yang menggunakan silat untuk "jalan putih" dan dia yang menggunakan silat untuk "jalan hitam", kedua-duanya "taiko" dalam dunia mereka tersendiri. Kita tampak Bront Palarae (cuba) membawa si hebat silat alam gelap (dia taiko samseng besar, jaga sebuah disko dengan anak ayamnya) dan kita mahu melihat Remy Ishak membawa tonggak "si putih" yang celaru membawa anak-anak di bawahnya menentang hitam Bront. Tetapi penampakan ini tidak berlaku, samar-samar malah (dan pengarahnya lebih seronok buat benda lain, yang nanti aku terangkan) kerana kononnya hendak mengkelabukan watak Remy yang sedia kelabu, tetapi ini masalah, kerana kita mahu dipertontonkan, bagaimana dengan kehadiran Remy, budak-budak di rumah kebajikan makin mantap silat mereka, yang mana Osman dengan gaya lazim mana-mana pengarah Malaysia yang tidak mahu bagaimana mahu menunjukkan "perkembangan pembelajaran" memberi kita MTV demi MTV yang psychedelic-rasta-silat-flower people yang aku yakin boleh keluar di Amerika jika Greg Ararki masuk Islam.

Yeap, filem ni, aku nyatakan, a cult flick at its best, dan begitulah, dan itu sahajalah. Aku domba dan meratap menunggu, bila lagi Malaysia mahu keluarkan sebuah filem yang betul-betul filem yang mempunyai pengisian yang mendalam dan lebih membesar? Oh, ada. Bunohan, tapi ramai yang tak faham kononnya. Serius, selain ketibaan Bront pada setiap babak dengan kereta hitamnya (empat kali kalau aku tak silap) di depan Remy dan kawan-kawannya seakan-akan hendak melanggar mereka (plot accident anyone?) secara tiba-tiba yang aku sah lazim dilakukan dalam filem Tamil (sekurang-kurangnya Osman perlukan satu syot yang menunjukkan anak konco Bront mengekori Remy sedari keluar penjara, ah, ini yang buat KL Gangster Syamsul lebih masuk akal), setiap selitan aksi silat dalam filem ini, jika kau teliti betul-betul, disusun begitu rupa semacam satu pembikinan porno yang boleh menang hadiah AVN kerana cukup rencah, tengok eh: pertama, kau dapat babak 2-some tipikal couple scene, kemudian beberapa lesbian scene, malah gay scene, kemudian ada 3-some, dituruti dengan satu adegan orgi besar dan berakhir dengan satu gay scene besar berserta klimaks ditunggu-tunggu 4-some yang gerenti tentu akan membahagiakan semua fetish dan fantasi semua orang. 

Tetapi ini tidak bermakna "cult" dalam filem ini tak menjadi, ia "menjadi" dengan gila gabeng, percayalah! Khusus susunan drama filem ini yang dapat memalukan mana-mana soap opera sinatron Indonesia mahupun Filipina yang berkumandang di TV kita setiap hari. Yeap, cult gila kan? Samseng dalam melodrama dalam cinta dalam aksi silat dalam tragedi, apa lagi yang kau nak? Ini dibantu dengan kehebatan para pelakonnya, yang walaupun sepelik mana kau rasa dalam alam psychedelic dunia lain ni, kau boleh "mempercayai" emosi pembawa wataknya yang "highly charge" setiap satunya. Pembawa emosi paling kuat, malah filem ini dibuat untuknya adalah Nadiyatul Nisaa, yang mana setiap babak yang dia ada menunjukkan petanda bagaimana pelakon ini boleh memalukan mana-mana Fasha, Rita dan lain-lain untuk menjadi pelakon yang berwibawa, gema pembawaan emosinya, fuh, menakutkan. Ini dibantu dengan kefahaman Remy, Bront, Fizz, dan juga Diana yang tahu di mana mereka berada.

Ada satu babak yang aku serius kemungkinan, entahlah, secara pelik, bernuansa kuat dengan simbolisme Mary (yeap, Mariam Ibu Isa a.s.!) ... Ah, Osman menyampaikan pendapatnya di sini! Holy Mother Mislina Mustaffa berdarah, srikandi yang jatuh (beliau pengusaha rumah kebajikan tersebut), pada masa yang sama, si reluctant harlot-innocent young mother Lara (Nadiyatul) melihat kejatuhan sang ibu sakral di depannya. Ah, itu satu babak yang begitu menarik dan indah. Di sini, Osman, walaupun filem ini "kecil" memberi penglibatan "emosi tinggi" dengan imej-imej sedemikian. Hal-hal sosial remeh tetapi amat serius seperti zina kalangan remaja, lari dari rumah, buang bayi, mengandung luar nikah dikaitkan dengan penglibatan emosional watak-wataknya yang "sesat" dalam dunia kesesatan lantas memerlukan pertolongan dan cinta (Mislina dan rumah kebajikan ala Islam-rasta-Indie-Undergroundnya, Wira Cinta). Babak yang berkuasa juga berlaku pada babak akhir yang berkaitan dengan kelahiran bayi dan wajah damai sang ayah tiba saat melihat anaknya lahir dalam detik paling mencemaskan. Aku meraba-raba mencari, dari mana babak ini didasarkan, aku cuba cari dalam dunia Melayu tetapi aku tak jumpa, aku menyedari tragedi ini amat "Yunani", dan ini menarik kerana menunjukkan penglibatan penarikan takdir antara manusia yang mana setiap saat tidak dapat menentukan di mana jatuhnya manusia itu ke alam laknat/kebaikan, hanya pilihan mereka, whoah, satu perkara besar untuk suatu filem yang hanya bermain dengan cinta dan pergaduhan putih-hitam.

Jiwa Taiko adalah permainan Osman dalam dunia yang dia amat kenal, dengan tujuan (murni) untuk anak-anak kota yang hilang jalan untuk mencari makna dalam hidup mereka, ya cinta menyakitkan, dan hal dasar itulah yang memerangkap mereka setiap kali. Tetapi mereka perlu belajar dari cinta, walau berapa dalam ia menyakitkan, ia tetap diperlukan. Filem ini sudah setahap lagi mahu mencapai lambang "wakil hidup" tragedi kota sekarang, sayang ia kekurangan beberapa ramuan untuk meyakinkan aku berkenaannya, walaupun ia menghiburkan.

klasifikasi: 18, dan sepatutnya kerana mengandungi beberapa babak separa seks, ganas, ciuman (tapi dipotong!) dan aksi laknat umat fasik di disko.

07 May 2012

Chow Kit(2012): Adoi, Sakitnya Hidup

"Nama mak-mak jangan main eh ..."

Mula-mula, aku nak bagi amaran kepada pembikin, jaga-jagalah hati "penulis skrip" yang sekarang rata-ratanya "tak jahil" macam zaman dulu, korang nak tunggu ada Writer's Guild macam di Hollywood dan jaga betul-betul hak cipta mereka baru korang nak tergolek? Aku syorkan, cepat-cepatlah para penulis skrip bersatu dan gerakkan satu "Writer's Guild", usah bermain politik bodoh dan berlegar hal-hal remeh tetapi bersatu bawah satu panji secepat mungkin kalau kalian betul-betul nak dapatkan pembelaan hak.

Ah, itu makluman pertama, makluman kedua, aku agak bengkek jugalah dengan laman komprehensif Sinema Malaysia yang perlu disemak bahan maklumatnya, contohnya filem ini, bukan "Dhojee" yang namanya Rosihan Zain sahaja pengarahnya, tetapi Brandon Lee, juga kalau boleh pemasuk data (kalau daripada produksi/ahli pemasaran/pegawai Finas) telitilah sedikit dengan maklumat lengkap ahli produksi sepertimana produksi luar negara lakukan terhadap imdb.com, barulah portal Finas yang bagus ni ketat dan berwibawa.

Ah, aku tak nak masuk campur dengan "bagaimana isu idea asal" filem ini (boleh dibaca di sini), tetapi Chow Kit, sangat-sangat raw, seakan-akan kita menonton sebuah cerita yang mengambil semangat Salaam Bombay bercampur gaya neorealis Itali suatu zaman dahulu. Tetapi, tak juga, runut bunyi dan kesan dramatiknya kadang-kadang mengingatkan aku kepada campuran kesederhanaan kamera dengan kesungguhan melodrama filem-filem tengah kota Lino Brocka, dan adunan itulah yang aku tampak cuba dibikin dalam filem ini, melodrama menyakitkan tentang insan-insan kecil di tengah kota.

Aku tak dapat menipu, walaupun, pengarahnya seakan amatur kerana kadang-kadang terlalu banyak bermain fade in untuk membuka adegan baharu dan memaparkan kementahan bermain mis-en-scene (ada beberapa bahagian boleh naik ke tahap puitis jika pengarahnya pandai bermain dengan subjek yang dipaparkan, malah cerita dan skripnya membawa ke arah itu, tetapi pengarah tidak banyak menggaulinya), ada bahagian-bahagian, kerana sheer franknessnya terhadap subjek, anak-anak gelendengan, si dara yang tiada masa depan, ia berjaya buat aku menangis (wopps, aku kan diva air mata).

Memang, budak-budak pelakon dalam filem ni raw, dikutip dari tengah jalan kota Chow Kit sendiri, mengambil semangat neorealisme itu, dan inilah yang menguatkannya. Ada satu bahagian "sindir" yang menyakitkan, si sukarela perwira anak gelendengan, si pembimbing lakonan Harith Othman memberi ceramah kepada empat anak gelendengan berkenaan menentukan kehidupan "yang lurus". Ah, di sini, penceritaan pula menindas empat watak anak-anak ini dengan ujian maha besar (Tuhan, aku tak tahu bagaimana mereka boleh hidup dalam persekitaran sebegitu), Tuhan, kekanak-kanak mereka dirobek dan dicepat matangkan dengan kehidupan kota. Mereka cuba "hidup" dengan matang dalam fizikal anak-anak mereka, sehingga sampai satu tahap, terpaksa mengambil undang-undang "darah dibayar darah" dengan tangan mereka sendiri.

Inilah yang Harith Othman, walaupun buat aku dia "wali Allah" terhadap kegilaan ini, masih gagal dan lagi menyakitkan, susah untuk menyelesaikan masalah sosial yang menimpa anak-anak tidak bersalah ini (menakutkan, anak-anak ini senang-senang boleh masuk sekolah Henry Gurney dan sepatutnya tidak). Aku mengesyorkan, filem dengan "mesej baik" ini dipaparkan kepada tipikal ustaz dan penulis yang sibuk mencanangkan "filem hidayah" yang mengajar, dan tampilkan BAGAIMANA mahu menyelesaikan masalah seperti di Chow Kit, barulah bercerita fasal "filem Islam" (walaupun proses ini mungkin sedang dilakukan). Filem ini juga sepatutnya disediakan tabung amal, setiap 15-20% keuntungannya pergi ke badan amal yang menjadi penjaga kebajikan anak-anak Chow Kit.

Aku suka kedua-dua segmen cerita filem ini, walaupun ada yang berani memanggilnya "Malaysia punya City of God", ianya tidak (filem ini langsung ketiadaan gaya dan semangat seronok yang diangkat dalam filem terbaik Brazil itu). Dua babak mengejutkan adalah babak budak-budak di bawah jambatan, babak curi kasut, babak si Dara cantik nak kena rogol yang jukstaposisi dengan si Dira (whooah, hebat cik kak ni berlakon, boleh tahan, patutlah dia tak sesuai untuk Melodi, hidupnya jauh sepatutnya ke dunia lakonan serius). Skrip dialognya agak lemah malah kadang-kadang janggal, seakan mengangkat "melodrama" dalam realiti, tetapi dek kejujuran lakonan pelakon (aku suka lakonan dara Cina tu, menjadi, walaupun dialog yang diberi lemah) ianya dimaafkan, kerana wajah mereka, wajah yang menginginkan "harapan".

Runut bunyi Loque, walaupun aku suka, dan penggunaan Mati Hidup Semula digunakan dengan betul, ada beberapa bahagian yang terlalu "eksperimental", memberi emosi yang susah hendak dicerna, tetapi bahagian-bahagian dramatik, Loque memahami penampilan melodrama dan mengalun emosi yang menyakitkan, sebaik mana-mana layar Lino Brocka.

Secara keseluruhan, filem ini mungkin susah "gah" buat aku secara jujur, kerana aku pernah menonton yang lagi menyakitkan dengan puitis yang betul dalam Daun Di Atas Bantal, yang lebih raw tanpa runut bunyi dalam Salaam Bombay!, malah ada bahagian-bahagian dalam filem ini tampil "bermain-main" dan hidup dalam dunia tersendiri, terkeluar daripada keserasian realisme filem, tetapi filem ini bukan mainan Anak Halal malah lebih baik daripadanya. Walaupun tidak berjaya mencapai puitis Songlap, filem ini antara filem "berdasarkan kisah benar" yang wajib ditonton tahun ini, hanya kerana kesedaran yang dibawanya, kejujuran anak-anak gelendengannya, perikemanusiaannya yang cuba digambarkan dalam setiap ketidaktentuan hidup dan masa depan.

klasifikasi: 18, dan sepatutnya kerana mengandungi babak kehidupan pelacuran, rogol (dua), keganasan dan adegan darah yang sederhana yang tidak sesuai bagi kanak-kanak.