"Nama mak-mak jangan main eh ..."
Mula-mula, aku nak bagi amaran kepada pembikin, jaga-jagalah hati "penulis skrip" yang sekarang rata-ratanya "tak jahil" macam zaman dulu, korang nak tunggu ada Writer's Guild macam di Hollywood dan jaga betul-betul hak cipta mereka baru korang nak tergolek? Aku syorkan, cepat-cepatlah para penulis skrip bersatu dan gerakkan satu "Writer's Guild", usah bermain politik bodoh dan berlegar hal-hal remeh tetapi bersatu bawah satu panji secepat mungkin kalau kalian betul-betul nak dapatkan pembelaan hak.
Ah, itu makluman pertama, makluman kedua, aku agak bengkek jugalah dengan laman komprehensif Sinema Malaysia yang perlu disemak bahan maklumatnya, contohnya filem ini, bukan "Dhojee" yang namanya Rosihan Zain sahaja pengarahnya, tetapi Brandon Lee, juga kalau boleh pemasuk data (kalau daripada produksi/ahli pemasaran/pegawai Finas) telitilah sedikit dengan maklumat lengkap ahli produksi sepertimana produksi luar negara lakukan terhadap imdb.com, barulah portal Finas yang bagus ni ketat dan berwibawa.
Ah, aku tak nak masuk campur dengan "bagaimana isu idea asal" filem ini (boleh dibaca di sini), tetapi Chow Kit, sangat-sangat raw, seakan-akan kita menonton sebuah cerita yang mengambil semangat Salaam Bombay bercampur gaya neorealis Itali suatu zaman dahulu. Tetapi, tak juga, runut bunyi dan kesan dramatiknya kadang-kadang mengingatkan aku kepada campuran kesederhanaan kamera dengan kesungguhan melodrama filem-filem tengah kota Lino Brocka, dan adunan itulah yang aku tampak cuba dibikin dalam filem ini, melodrama menyakitkan tentang insan-insan kecil di tengah kota.
Aku tak dapat menipu, walaupun, pengarahnya seakan amatur kerana kadang-kadang terlalu banyak bermain fade in untuk membuka adegan baharu dan memaparkan kementahan bermain mis-en-scene (ada beberapa bahagian boleh naik ke tahap puitis jika pengarahnya pandai bermain dengan subjek yang dipaparkan, malah cerita dan skripnya membawa ke arah itu, tetapi pengarah tidak banyak menggaulinya), ada bahagian-bahagian, kerana sheer franknessnya terhadap subjek, anak-anak gelendengan, si dara yang tiada masa depan, ia berjaya buat aku menangis (wopps, aku kan diva air mata).
Memang, budak-budak pelakon dalam filem ni raw, dikutip dari tengah jalan kota Chow Kit sendiri, mengambil semangat neorealisme itu, dan inilah yang menguatkannya. Ada satu bahagian "sindir" yang menyakitkan, si sukarela perwira anak gelendengan, si pembimbing lakonan Harith Othman memberi ceramah kepada empat anak gelendengan berkenaan menentukan kehidupan "yang lurus". Ah, di sini, penceritaan pula menindas empat watak anak-anak ini dengan ujian maha besar (Tuhan, aku tak tahu bagaimana mereka boleh hidup dalam persekitaran sebegitu), Tuhan, kekanak-kanak mereka dirobek dan dicepat matangkan dengan kehidupan kota. Mereka cuba "hidup" dengan matang dalam fizikal anak-anak mereka, sehingga sampai satu tahap, terpaksa mengambil undang-undang "darah dibayar darah" dengan tangan mereka sendiri.
Inilah yang Harith Othman, walaupun buat aku dia "wali Allah" terhadap kegilaan ini, masih gagal dan lagi menyakitkan, susah untuk menyelesaikan masalah sosial yang menimpa anak-anak tidak bersalah ini (menakutkan, anak-anak ini senang-senang boleh masuk sekolah Henry Gurney dan sepatutnya tidak). Aku mengesyorkan, filem dengan "mesej baik" ini dipaparkan kepada tipikal ustaz dan penulis yang sibuk mencanangkan "filem hidayah" yang mengajar, dan tampilkan BAGAIMANA mahu menyelesaikan masalah seperti di Chow Kit, barulah bercerita fasal "filem Islam" (walaupun proses ini mungkin sedang dilakukan). Filem ini juga sepatutnya disediakan tabung amal, setiap 15-20% keuntungannya pergi ke badan amal yang menjadi penjaga kebajikan anak-anak Chow Kit.
Aku suka kedua-dua segmen cerita filem ini, walaupun ada yang berani memanggilnya "Malaysia punya City of God", ianya tidak (filem ini langsung ketiadaan gaya dan semangat seronok yang diangkat dalam filem terbaik Brazil itu). Dua babak mengejutkan adalah babak budak-budak di bawah jambatan, babak curi kasut, babak si Dara cantik nak kena rogol yang jukstaposisi dengan si Dira (whooah, hebat cik kak ni berlakon, boleh tahan, patutlah dia tak sesuai untuk Melodi, hidupnya jauh sepatutnya ke dunia lakonan serius). Skrip dialognya agak lemah malah kadang-kadang janggal, seakan mengangkat "melodrama" dalam realiti, tetapi dek kejujuran lakonan pelakon (aku suka lakonan dara Cina tu, menjadi, walaupun dialog yang diberi lemah) ianya dimaafkan, kerana wajah mereka, wajah yang menginginkan "harapan".
Runut bunyi Loque, walaupun aku suka, dan penggunaan Mati Hidup Semula digunakan dengan betul, ada beberapa bahagian yang terlalu "eksperimental", memberi emosi yang susah hendak dicerna, tetapi bahagian-bahagian dramatik, Loque memahami penampilan melodrama dan mengalun emosi yang menyakitkan, sebaik mana-mana layar Lino Brocka.
Secara keseluruhan, filem ini mungkin susah "gah" buat aku secara jujur, kerana aku pernah menonton yang lagi menyakitkan dengan puitis yang betul dalam Daun Di Atas Bantal, yang lebih raw tanpa runut bunyi dalam Salaam Bombay!, malah ada bahagian-bahagian dalam filem ini tampil "bermain-main" dan hidup dalam dunia tersendiri, terkeluar daripada keserasian realisme filem, tetapi filem ini bukan mainan Anak Halal malah lebih baik daripadanya. Walaupun tidak berjaya mencapai puitis Songlap, filem ini antara filem "berdasarkan kisah benar" yang wajib ditonton tahun ini, hanya kerana kesedaran yang dibawanya, kejujuran anak-anak gelendengannya, perikemanusiaannya yang cuba digambarkan dalam setiap ketidaktentuan hidup dan masa depan.
klasifikasi: 18, dan sepatutnya kerana mengandungi babak kehidupan pelacuran, rogol (dua), keganasan dan adegan darah yang sederhana yang tidak sesuai bagi kanak-kanak.
5 comments:
Assalam Tuan,
have you considered the invitation? Appreciate if you can reply my email ...
Was Lana Nordin wasted?
bila dang dut, bakso dan aroma kretek dialpakan. Maka ia adalah Chow Kit 50480 Kuala Lumpur.
Penchinta Ruang Gelap
Somehow this film feels like a collage of videos (especially part 1). The stark difference of technique and maturity (of visual and director) between the two parts are quite telling. The first part has good script but suffers from unnecessary anecdotes and while the second part has weak script but better directing. Hairie's character coupled with Yasmin's are just plain questionable, one wonders what they are doing there, either to just fill in the story(or preach).
salam bro..
nak mintak tolong review filem mantera boleh tak?
Post a Comment