Filem ini adalah antaranya.
Filem ini dibuka dengan sikap "jauh melihat dalam" (
long take), yep, kita, penonton, seakan "memerhati dari jauh". Kita sebenarnya sekali lagi dibawa masuk dalam suatu "realiti"
visceral seperti mana yang ada dalam
... Dalam Botol. Kita merupakan "si pemerhati" yang mana memahami ini bukan filem "hiburan semata-mata" tetapi refleksi kebenaran hidup. Perhatikan betul-betul, mengapa latar bawah jambatan ini diambil. Pertama, kita lihat Ad (Syafie Naswip) dari belakang (atau memang mula-mula kita tidak tahu siapa dan mengapa dia di situ, membawa persoalan, sekali gus, memahami imej ini negatif) yang mendekati dua pasangan yang "gundah". Kemudian "pekerjaan memberi bayi haram" itu berlangsung.
Sedikit demi sedikit, kita nampak wajah Ad yang "kosong" melakukan kerjanya, memberi surat beranak (palsu) dan menerima habuan. Soalan: berapa kali dia melakukan kerja ini? Sanggup dia? Di sini, kita menemui satu lagi klu buat mereka yang ingin "menelaah" mengapa Eizlan dan Lisdawati di situ. Mereka memakai baju kelabu (sepertimana jambatan: penanda mereka tiada kena mengena dengan dunia Ad dan apa yang Ad akan tempuhi), dan kelihatan sungguh gembira bila mendapat "bayi". Cerita mereka berhenti di situ. Titik. Mereka adalah penonton dan segala jenis filem hiburan, cerekarama dan Metrowealth yang kita tonton (rujuk bagaimana tidak naturalnya dialog mereka, dan cara mereka yang canggung dan sangat keterasing daripada segala seterusnya filem ini). Titik. Ia berhenti di situ. Kita tidak mengikut mereka tetapi mengikut jejak Ad (masih hanya belakangnya). Ad sampai ke abangnya Am (Saheizy Sam) dalam kereta. Barang bertukar tangan, Am bagi duit tapi Ad bengang, pintu kereta ditampar. Kita sedari, dalam misteri, Ad, sedikit demi sedikit mula "membenci" kerjanya, dan di situ, dia mahu "memilih jalan lain".
Hal ini amat-amat menarik bagi aku. Satu perkara, aku sedari, selalunya, dalam nahu filem, apabila watak membelakangi kamera, suatu "sial" akan berlaku, kematian atau perangkap. Dalam filem ini, disengajakan, watak-wataknya membelakangkan kamera. Tetapi semua tempat "dibelakangkan" itu bukan penanda kematian buat mereka, tetapi penanda pilihan di persimpangan (watak akan buat pilihan) buat babak seterusnya atau bermakna "jalan cerita mereka panjang lagi". Hal ini sangat penting. Kita akan dipaparkan dengan beberapa "bahagian" filem ini yang memaparkan wataknya membelakangkan kamera. Banyak kali kita melihat Ad (kerana watak beliau yang paling banyak berkecamuk pilihan untuk membebaskan diri daripada konflik perangkap hidupnya) membelakang kamera, kemudian Ad dan Hawa (Hawa mengambil pilihan mengikut Ad) dan akhirnya(
spoiler!:), Am pada akhirnya. Aku menyedari, ramai penonton Melayu yang "bebal" (dan sehingga kini masih berbicara) bagaimana tergantungnya pengakhiran filem ini. Babak akhir Am yang berlari dari belakang itu semacam bicara "habislah mamat ni", tetapi tak, ia penanda paling optimis buat Am, kerana "cerita" adiknya iaitu Ad "sudah selesai". Kamera merapatkan fokusnya kepada Ad, Ad mendepani kamera. Ceritanya sudah selesai (detik ini mengambil semangat filem-filem neo-realisme awal walaupun kita tidak tahu apa yang akan berlaku di Kuantan). Syot ini penting. Rujuk
Midnight Cowboy. Pengakhiran filem itu dibuat dengan tangkapan "sisi" si pelacur lelaki dengan kawannya yang mati di sebelah, kemudian bas bergerak terus memasuki Florida. Dalam filem itu, ketidaktentuan akhirnya jelas, malah sedu kerana ironi "gol" yang dipaparkan. Dalam filem ini, pengakhirannya jelas optimis. Am mungkin masih tercari-cari pilihan hidupnya, tetapi Ad, sudah dewasa dan matang dan kini mendepani pilihan dan dirinya (mendepani kamera).
Ini sebenarnya sebuah filem yang senang ditonton, tetapi kerana isu yang diutarakan amat menyakitkan, malah dibikin dengan amat gelap, ini yang membuatkan penonton yang terbiasa dengan bumbu formulaik Disney-Hindustan melodrama Melayu (ini termasuk
happy ending Ombak Rindu), menonton filem ini semacam mengeluarkan gigi berlubang dari gusi.
Bahkan inilah yang biasanya diagendakan oleh suami isteri Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak, yang pernah membawa sebuah filem remaja
angst gelap,
Kami. Malah isu yang diperkatakan dalam filem ini juga amat-amat menyakitkan, seperti mana dengan
Anak Halal, yang mana persoalan anak gelendengan, pengambilan dadah, anak luar nikah, menjual bayi seludup, sindiket menyeludup wanita, sumbang mahram, pelacuran, dan buang anak. Bagi aku, inilah sepatutnya
Anak Halal.
Aku suka kekuatan mereka yang mana, satu-satu babak itu boleh sahaja berlaku "pelbagai perkara" yang perlu ditonton dua kali untuk melihat "ketelitian" ini (rujuk kepelbagaian drama dan detik yang berlaku pada babak-babak tempat judi). Inilah kekuatan yang wujud dalam filem luar dan kini diguna pakai dengan baik dalam filem ini.
Berbalik kepada jambatan itu tadi, anda akan memahami hal "kecil" ini apabila menyedari mengapa Ad tiba-tiba marah (protes terhadap abangnya secara diam) selepas melakukan hal itu (kita faham di sini, Ad sudah serik berada di bawah jambatan itu). Dan sebab itu, "jambatan" itulah juga (yang berkemungkinan menjadi tempat mainan Ad dan Am masa kecil) menjadi tempat "terakhir" Ad mendepani Am (rujuk perubahan kata nama yang dipanggil oleh Ad terhadap abangnya). Hal-hal
subtle sebeginilah yang melantun aku untuk menutup mata dan merasa betapa indahnya filem ini.
Bagi aku, babak Hawa (Sara Ali) yang dirogol oleh ayahnya lalu mengandung anak luar nikah adalah cerita yang paling berkesan dan emosional. Kita dititipkan hal ini satu per satu dengan paparan klu dialog dan imej sahaja. Apabila adik Hawa, Razak menyatakan kepada Ad berkenaan "Hawa macam kakak yang tak pernah ada", kita faham bahawa Hawa "selalu lari dari rumah". Mengapa? Klunya jelas, kerana Hawa "dinafsui" oleh ayahnya sendiri (Abdullah Omar). Kini, Hawa "disimpan" kerana mengandung. Kita akan menyedari lagi satu kesakitan yang paling menakutkan, ayah Hawa "tidak mahu" anak itu dan menyedari akan "membuangnya". Di sinilah mengapa Hawa perlu mendepani ayahnya (dan dia tidak suka mendepani hakikat) dan bertanya "Siapa anak ni ayah?"
Dengan cerita Hawa menyoal ayahnya, di sini ikatan yang turut disiarkan indah iaitu Ad dan ibunya seorang pelacur (Norma Damanhuri). Inilah kesengajaan dua pengarah ini menonjolkan bagaimana dunia kemiskinan dan penzinaan memecahkan "kasih-sayang" dengan suatu penelitian yang bukan senang. Kaitan terkuat ialah Ad apabila bertemu dengan ibunya, ibunya "tidak kenal" anaknya lantas sanggup memberi tubuh untuk anaknya main. Di sini perkaitan Ad untuk perlu bersama Hawa (kerana Hawa juga mencari ketenangan dalam segala kegilaan ini). Dan sebab itulah, Ad, yang melihat ibunya dari jauh, dan masih "berjauhan" walaupun bercakap dengan ibunya, memekik, "Ini akulah, ini aku!"
Menyedari siapa diri adalah maksud pertama filem ini. Dari titik itu, kita bertemu dengan satu lagi makna kemanusiaan filem ini, kekeluargaan. Inilah yang "diberikan" oleh dua pengarah ini (makna yang sama wujud dalam
Anak Halal, penciptaan sebuah "keluarga baru" daripada keruntuhan keluarga biologi) apabila watak-wataknya menyedari siapa diri mereka sebenarnya dan yang mereka benar-benar mahukan daripada "hidup". Oleh sebab inilah aku menyatakan mengapa Ad pada akhirnya menjadi "matang" mendepani hidup (dia duduk tenang, tidak berganjak lagi, walaupun separuh dirinya hancur kerana kata-kata abangnya), sedang Am masih tercari-cari" makna sebenar untuk hidup di kota (dia memikirkan, duit adalah segalanya). Maka tersonglaplah jiwanya, inilah yang lebih menyakitkan daripada duitnya dikebas.
Lakonan dalam filem ini memberangsangkan. Semuanya aku suka malah Sarah Ali mengejutkan. Dia diam tetapi penuh memahami perwatakannya. Saheizy Sam mempunyai watak yang menarik, seorang "fallen fool" yang tidak menyedari kebenaran di depan mata, malah wataknya mempunyai "depth" yang menarik dan tidak pernah dibikinnya. Tetapi filem ini kepunyaan Syafie Naswip bagi aku. Dia mengangkat sakit, tuli, marah dan sayang Ad dengan suatu emosi minimalis yang amat-amat menakutkan tetapi turut menunjukkan
vunerability. Babaknya dengan ibunya merupakan babak-babak paling terkesan dengan mood yang sungguh Wong Kar Wai. Para pelakon lain turut menunjukkan kehebatan walaupun watak sampingan, Abdullah Omar, Hasnul Rahmat, Fauzi Nawawi dan Norma Damanhuri.
Aku menyukai runut bunyi filem ini. Suntingan juga sangat ligat dan sinematografinya indah, walaupun ada beberapa yang sedikit bercelaru dari segi teknikal. Babak cemas kereta berkejaran juga dibuat dengan baik. Filem ini kenal apa ertinya membikin sebuah filem yang baik, dan sememangnya pun, antara filem terbaik Malaysia tahun ini.
nota fadz: Pengarah 80-an hebat Nasir Jani turut mengambil peranan
cameo, sila lihat bahagian mana.
trivia: (
spoiler) Jika anda sedari, Ad menukar beg duit abangnya dengan kertas, Soalan: adakah benar-benar Ad menyonglap kesemua duit abangnya? Hal ini menarik untuk diperdebatkan, melihat kepada tahap kemanusiaan yang anda dapat lihat terhadap watak Ad.
klasifikasi: 18, dan sepatutnya kerana mengandungi babak dialog lucah, tema seks, keganasan dan adegan darah yang sederhana, pembunuhan haiwan, dan adegan melancap yang samar.