23 November 2011

Ombak Rindu(2011): Semuanya Kerana Kaki

"Dia sudah banyak stres, berilah masa untuk dia berehat..."
Dialog doktor peribadi memberi nasihat kepada Aaron Aziz, selepas beberapa adegan Maya Karin dijadikan hamba seks Aaron Aziz, whooooa!

Ah, aku mulakan penulisan ini dengan mengatakan, filem ini ialah sebuah filem Osman Ali dan diadaptasi daripada sebuah novel popular. Kenapa aku nyatakan dua hal ini? Ini adalah kerana mengambil rujukan Osman Ali, yang kita sedia tahu, amat-amat meminati novel-novel Melayu, termasuk novel-novel popular. Hal ini sendiri dinyatakan dengan imej dalam telefilem beliau yang sangat terkenal, Toll Gate Girl yang mana kita sedia maklum, watak Amy Mastura itu yang sibuk membaca dan berangan novel popular semasa bekerja di tol.

Dengan nasib yang baik, aku sedikit sebanyak sudah "cuba" membaca novel popular Alaf21 tulisan Fauziah Ashari yang laris 150,000 naskhah ini untuk dijadikan perbandingan terhadap skrip yang disediakan oleh Armantono dan Osman Ali. Kemungkinan (kemungkinan sahaja) persoalan beberapa hal yang diubah oleh Arman dan Osman tidak menyenangkan penulis novelnya serta peminat, khusus kepada penjalinan cinta Izzah (lakonan Maya Karin) dan Huzir (lakonan Aaron Aziz) serta perkembangan watak Izzah yang teguh sebagai wanita solehah yang berkeyakinan dan sabar dengan dugaan. Tetapi tidak mengikut verbatim teks Fauziah ini kemungkinan "tercalar sedikit" jika melihatnya kepada "pengadaptasian sepenuhnya", tetapi aku patut menyatakan kepada peminat ekstremnya serta Fauziah, bahawa Armantono dan Osman sudah melakukan justifikasi yang terbaik malahan "bijak" dalam mengadaptasi novel popular ini.

Sebab utama, ini sebuah NOVEL POPULAR.

Kau bayangkan sahaja: dalam bab pertama novel ini, Pak Taha, pak cik kepada Izzah menyatakan dengan terus-terang kepada Izzah tanpa segan silu:

"Izzah! Aku nak kau kerja di kelab malam tu! Kau dengar tak ni! Sama ada kau suka ataupun tak, kau mesti ikut cakap aku. Pendapatannya lumayan. Kau boleh kaya dengan sekelip mata sahaja." (hlm. 3)

Yang mana Izzah menjawab dengan bendul:

"Tak nak pak cik. Itu tempat maksiat. Izzah... Izzah tak suka. Izzah nak belajar lagi." (hlm. 4)

Duhh!!! Betapa pendirian teksnya pun sudah begitu "tak real" kepada realiti dan persekitaran. Atas sebab itu aku bersetuju dengan tindakan bijak Armantono dan Osman Ali mengubah babak lesu dalam pembukaan novel ini dengan babak-babak melodrama (walaupun tampak klise) yang tersusun, Izzah ditampilkan seorang ustazah muqadam di kampung, kemudian syot Izzah yang kita tahu sebatang kara dan menumpang dengan pak cik dan mak ciknya yang mana mak ciknya (lakonan mengesankan Delimawati walaupun pendek) menghidapi barah, sedang dimandikan Izzah. Lantas pak ciknya memaksa Izzah untuk mengikutnya "kerja di KL" agar Izzah dapat membantu mak ciknya (walaupun ditentang mak ciknya secara emosional). Plot ini sudah terbina kuat. Izzah lantas pergi, dan tanpa diduga, Izzah dibawa masuk sebuah kelab hiburan, lantas dijual kepada seorang bapa ayam, bermulalah kisah lara Izzah...

Dalam novel, kedua-dua mak cik dan pak cik Izzah "orang jahat" yang mana Izzah semacam dipaksakan ke dalam dunia yang dia ketahui kotor (lantas dibaham oleh Hariz). Jalinan plot Fauziah sebenarnya sebuah lagi dunia Cinderella (yang kotor) dengan ibu dan saudara tiri jahatnya dan diselamatkan oleh putera sejati untuk menjadi kaya dan bersih. Hmmmpphh.. Kerana itu aku lebih sanggup menggulati intepretasi sosial Osman Ali yang kelihatan lebih "tertanam di bumi" daripada tulisan Fauziah. Women, his doing you a favour here!

Secara ringkas. Filem ini menghiburkan. Well, what do u expect for a melodrama? A Malaysian melodrama to be exact. Aku boleh bayangkan, ibu-ibu dan kakak-kakak bertudung yang asyik terhayat dengan Tiz, Farah, Fasha, Aaron dan Shah di kaca TV dengan jerit dan rendam air mata akan mendapati filem ini memenuhi tanggungjawab dan fungsi sebuah filem "air mata" (weepies) yang pernah kita ketahui wujud pada suatu hari Esok Jins Samsuddin. Dengan mentalisme abad ke-21 dan teknik penggambaran terkini, filem ini kiranya dapatlah mengangkat sebuah filem kotemporari dengan saduran aksi dan runut klise melodrama yang punya jiwa rengek-tangisan itu, malah aku mengaku, lebih elok daripada plot tak masuk akal Lagenda Budak Setan (oleh produksi yang sama). Ya, sewaktu tayangan pratonton ini, seorang wartawan otai yang bersama aku "mencucuk sindir" filem ini dengan limpahan rujukan Ibu Mertuaku (babak hujan dan kilat, serta, ibu mertua dari neraka, hahaha) , Dia Ibuku (babak kampung aman lawan jahat bandar dan perbandingan orang kaya zalim dan orang miskin tertindas) dan Esok Untuk Siapa? (perkahwinan madu dua wanita berbeza, kaya dan sofistikated dan miskin sopan). Tetapi akhirnya, beliau juga tewas dengan sedu-sedan pada klimaks third act filem ini, sambil menyatakan "it's a well made soap".

Sebagai melihat tanda aras genre melodrama secara keseluruhan, yeap, ia memenuhi tindakan dan fungsinya dalam kotemporari Melayu Malaysia. Tetapi jika aku bandingkan apa yang sudah dilakukan di Indonesia (Di Bawah Lindungan Kaabah) dan Thailand (Love of Siam) dalam genre melodrama, banyak lagi lapisan tanda yang perlu kita tempuhi. Tetapi setakat ini, OKlah, aku gembiran dengan produksi ini.

Ini adalah kerana, sekurang-kurangnya ada tiga perkara yang aku suka akan filem ini.

Pertama, adalah lakonan. Sila lihat kehebatan Aaron Aziz, Lisa Surihani (bagi aku sangat-sangat berjaya membawa wataknya), Bront Palarae (sangat membawa watak seorang kampung berjiwa), walupun beberapa watak sampingan seperti dibawa oleh Julie Ziegler, Normah Damanhuri dan Zaidi Omar (ini antara lakonan terbaik Zaidi). Walaupun kita lihat Maya Karin sebagai pelaku utama agak "miscast" sebagai dara kampung kerana keurbanannya, aku memaafkannya atas kerana pernah melihat Deanna Yusof melakukan hal yang sama dalam Selubung dan Ringgit Kassorga (ok, aku sayang gila dengan Deanna, OK?). Hanya ada beberapa watak yang memerlukan "lakonan dalaman" Maya yang mana tidak dapat diyakinkan oleh Maya dalam beberapa babak. Tetapi para pelakon filem inilah yang membuatkan filem ini berbaloi untuk ditonton. (Watak Azizah Mahzan dipaksakan untuk melampau dan ikon ala Darth Vader melodrama, sedikit berlainan dengan perkembangan perwatakan watak lain malah sebagai tempelan kadbod berkuasa tipikal filem-filem melodrama sebegini dan mengambil homaj Ibu Mertuaku.)

Keduanya, ada satu babak yang sungguh meyakinkan, Osman mensengajakan ia tidak berunut bunyi untuk menyatakan "kuasa" babak itu. Ini adalah babak meyakinkan Aaron yang menunjukkan kerinduannya terhadap isterinya Maya di dalam rumah Pak Lah yang sedang buat kenduri doa selamat sebelum pergi Haji. Babak ini antara kekuatan filem ini, memaparkan kekuatan melodrama dan apa yang cuba diketengahkan dalam satu-satu filem sebegini. Beberapa nuansa kecil tetapi membawa lapisan berlaku apabila kita memahami nanti mengapa Pak Lah benar-benar menangis dan terharu. Ini sebuah babak sakti filem ini.

Ketiganya, aku suka dengan Osman yang meletakkan beberapa penanda, yang kita sedia maklum terikat kuat dengan budaya dan agama Melayu - Kaki (secara menariknya, petanda ini juga dimainkan dalam filem yang turut menghujah berkenaan politik dan kuasa pengaruh dalam Abuya). Rujuklah "kaki" dalam filem ini. Kaki dalam Islam mempunyai tanda pelbagai, tempat paling bawah/hina, termasuk antara petanda "bahagian" yang akan bercakap pada masa ditanya oleh Allah apakah si pelaku membawa ke maksiat/ibadat, serta istilah Melayu "syurga itu di bawah telapak kaki ibu - syurga isteri terletak di bawah telapak kaki suami". Tiga watak dibicarakan dalam hal ini mempunyai kaitan ini: Azizah (ibu Aaron) - Aaron (anak Azizah, suami Maya) - Maya (isteri Aaron, menantu Azizah). Kita dipertunjukkan pada awalnya bagaimana Maya dipaksa "sembah" kaki suaminya dalam beberapa babak. Kita menyampah dengan sikap patriaki Aaron mendominan Maya. Tetapi rupanya ini justifikasi dengan sikap Aaron yang mencari "pelepasan psikologi" kerana didominan oleh "ketua tak boleh disanggah" Azizah yang matriach terhadap Aaron. Secara agama pula Aaron "terpaksa ikut taat" kepada ibunya (syurga di bawah tapak kaki ibu). Ini kita sedari dengan kaki ayam Azizah yang berjalan merata rumahnya sedang Aaron banyak berdiri atau duduk bila berpandang mata dengan ibunya. Ini berbeza dengan Aaron yang berjalan bebas dengan kasutnya di vila yang mana Maya dikurung. Simbolisme ini jadi kukuh lagi apabila Maya dipaksakan mengurut "kaki" Aaron berkali, dan khusus satu babak yang mana Maya membuka kasut Aaron (petanda prestij Aaron dan kekurang ajarnya - Melayu tak elok berkasut dalam rumah). Secara "subtle", kita lihat dalam satu babak, Aaron "sudah mula jinak" apabila dia memakai stokin sahaja dan berbaring di sofa. Maya membuka stokin Aaron (petanda taat setia Maya, serta kesanggupannya kepada dominan Aaron yang menandakan kasih sayangnya juga). Ini juga simbolisme kesukaan "seks" Maya terhadap Aaron. Mainan dinamis "tarik-tarik kaki" inilah yang berlaku antara tiga watak, semacam satu mainan politik mendapatkan pengaruh secara prasedar. Ini menarik lagi apabila kita dipaparkan secara awal bagaimana "berkuasa"nya Aaron menguasai bapa ayam beretnik Cina pada awal babak (dominan politik Melayu terhadap etnik lain di Malaysia, walaupun bergelumang dengan maksiat, juga penanda bahawa Aaron menguasai kehebatan seks kepada wanita dan machoismenya). Kemudian, kaitkan hal ini dengan kaki patah Aaron (hah!) pada masa tiga watak ini mula mencapai kemuncak konflik! Ahh, kita tidak boleh lari dengan mengambil konteks feminsime dalam membaca sebuah filem melodrama (kerana filem sebegini dibuat untuk wanita khasnya), dan penanda kaki ini merupakan kata kunci terhadap memahami kuasa dan penguasaan sang wanita terhadap lelaki (lantas mengambil kata Dr. Zulkifli, ini sebuah pascafeminisme yang Islamisme-feminis kemelayuan), bagaimana politik, nuansa dan tindakan yang dilakukan terhadpa wanita untuk mendominasi, atau sekurang-kurangnya berdiri dalam dunia patriaki Islam/Melayu. Sekurang-kurangnya, filem ini menunjukkan hal itu.

Hal inilah yang dibawa dan diangkat oleh Osman Ali. Sebagai sebuah melodrama konvensional, ini sesuatu yang dialu-alukan dan dipuji dalam genre sebegini.

klasifikasi: Walaupun U, ibu bapa perlu khuatir dengan adegan ganas di antara suami yang memukul isteri, ada penampilan "ke arah" adegan seks yang walaupun tidak melampau (rujuk filem-filem melodrama 70-an dan 80-an) tetapi tidak sesuai diikuti oleh kanak-kanak (persoalan zina dan sexual molestation), beberapa adegan wanita tidak bertutup dan berkemban serta adegan Aaron Aziz yang erotis walaupun berbaju.

ps: Aku berharap sangat Osman Ali selepas ini ambil sebuah novel sastera untuk diadaptasikan.



17 comments:

zulazahari said...

Aku berharap sangat novel Senjakala Baharuddin Kahar difilemkan.

Anonymous said...

No komen.

Anonymous said...

Dah tengok tadi (30mins) kat Astro Ria. Are you for real bro? It's baaad. The story/dialogue tahap drama tv. Scene kat night club tu macam drama rashid sibir je...Dengan gangster yang begitu...fake. Sungguh melodrama melayu. The LOOK is good tho(which is more than what some "best" directors are capable of) I like Osman Ali, but this is not for me. CUN was a lot better. A romp. Fun. Maybe his hands were tied on this one?

fadz said...

i told u, its suitable for mak cik2 dan kakak2 tudung yg dok tunggu tv setiap malam..

didnt i?

i have stated my "level of melodrama" with those Thais dan Indonesians..

but as a movie that has that certain things we can consider interesting, esp within the boundary of foot fetish, its quite amusing to me!

baru 30 min dah bising? itu pun baru bikinan filem kan? bukan keseluruhan?

MasaMas said...

Fadz. Ada satu film yg mungkin bagus untuk direview. The Stoning of Soraya M. Mungkin ang dah tengok kot.

fadz said...

mas, akan ditayangkan di festival hak manusiawi di Annexxe dan aku MEMANG nak pegi..

Hans Hanis said...

aku pula harap novel karya Hlovate dan Ramlee Awang Murshid difilemkan :-)

Review Filem Ombak Rindu

Anonymous said...

Aku x pandai filem tapi ulasan filem oleh Hans membosankan..kenapa ekkk.. rasa macam selapis jerrrr

kak Jah said...

saya mahu Trilogi SAGA difilemkan!!!

(baru selesai menonton Ombak Rindu... oh..)

fadz said...

tropical jinggal, same here!!! I want Saga filmed!!!

Anon, erm, tu hang nyatakan sendirilah kat Hans....

Unknown said...

"Lisa Surihani (bagi aku sangat-sangat berjaya membawa wataknya)"

are u fr real? bg aku lisa buktikan yg dia mmg xboleh belakon esp. dlm film ni

fadz said...

hahaha, entah, aku suka macam mana?

aku suka bagaimana alunan emosi dia berubah, awalnya tipikal Maria Arshad wanabe yg gedik ngada2 (yg korang tak tahan bebenor tu) ala2 dalam melodrama 80-an tapi bukan bersama Badul (hello, Aaron, which is more handsome than her own bf! hahaha!) dan tiba- dia ott ala Ogy zaman 80-an Puteri, menjerit tak tentu fasal.. tapi ada bhg2 yg "diam" yg mana LS ticks bagi aku, esp in the ned bila dia confront Maya, mata dia panas dan hiba, tetapi dia faham dia kena berserah.. bagi aku, itu dah kira bagus. theres no minimalist in here, its all out melodrama, takkan nak main simpan celah kangkang kot?

fadz said...

ned = end, sowie

Centado said...

fadz,
pedulikan orang yang mengutuk filem ini.

saya tidak pernah membaca novelnya, tetapi saya sudah menonton filemnya, mulanya dengan niat utk membuktikan komentar di forum2 internet (yg entahkan depa memang sudah tonton ataupun tidak). setelah saya tengok sekali, lantas saya ulang tengok sekali lagi, dan saya setuju, Ombak Rindu sebuah cerita Melayu yang bagus.

pedulikan pada sebahagian besar rakyat Malaysia yg sememangnya suka memandang rendah pada sebarang produk tempatan termasuklah filem.

yg penting, kita tahu filem ini bagus, malah tidak keterlaluan saya katakan, antara filem melayu melodrama terbaik lewat ini.

fadz said...

Centado, trimas :)

hanaf_paka said...

How come certain people call it 'karya cinta teragung perfileman melayu'....wth!!..

Anonymous said...

pada saya lakonan maya karin jauh lebih cemerlang brbanding lakonan lisa surihani. bukan sbb sy meminati maya karin, tp kerana saya nmpak keikhlasan maya bawa watak izzah itu pada MATAnya