10 November 2010

... Dalam Botol (2011): Kecelaruan Yang Indah dan Hodoh Sekali Gus

Terima kasih JAS Production dan Amy Ikram Ismail (Finas) kerana menjemput aku menonton filem kontreversial ini tadi.

Pertama sekali, nama filem ni ANU DALAM BOTOL, there, get use to it people!

Tadi, aku entah kenapa berani, GATALnya mulut Ajami Hashim, memohon aku diinterbiu oleh pihak BBC lantas bertanya akan filem ni.. Aku nak lari-lari pun tak boleh dah, Nazim Masnawi siap ambush aku kat tengah jalan. Habis berterabur speaking London aku tadi...

Tapi aku dengan berani menyatakan begini, Anu Dalam Botol ialah sebuah filem anti-gay (mungkin sebuah subgenre atau subversif genre dalam Queer Cinema?) Filem ini mungkin tidak "menghukum" para homoseksual secara terus, khusus transgender terhadap "pilihan" mereka, tetapi memberi satu tanggapan yang amat negatif terhadap mereka, bahawa golongan ini celaru dan keliru (dan hal ini dipaparkan dengan baik oleh Arja Lee). Ini benar-benar mencela golongan ini di akar tunjangnya, menyatakan dunia dan diri mereka "tiada roh" (tonton babak sewaktu Ruby buka peti ais yang kosong dan hanya dua biji telur yang ada), tidak ada identiti (rujuk bagaimana celaru dan gelapnya paparan dunia Arja-Wan Raja dan bagaimana tidak ada rujukan, personafikasi atau identifikasi terhadap mana-mana tokoh atau imej, mereka hanya "terpinggir" dan "sesiapa" dalam dunia urban serba moden), dan paling teruk, tidak ada signifikasi (dalam Malaysia). Begitulah yang dinyatakan, digarap dan dipaparkan secara penuh dan bulat.

Filem ini akan dipersoal dan mungkin akan dicerca oleh pemerhati antarabangsa, terutama peminat Queer Cinema.

Lebih-lebih lagi, "suara" Arja Lee (Ruby/Rubidin) di"mati"kan. Kita tidak tahu kenapa dia "bertukar" (hal ini samar) dan untuk apa dia berdiri (dia tidak berdiri untuk haknya), kenapa memilih mencintai Diana Danielle (walaupun hal ini "believable" dalam filem ini) dan kenapa dia memilih untuk melakukan klimaks di akhir cerita. Semua ini di"samar-samar"kan, disunyikan dengan sengaja. Apa yang kita rasa ialah "menipu" (deceptive), Kehadiran Arja Lee ialah "menipu."

Menipu ialah "ilusi" yang digerakkan oleh Khir Rahman dalam memahami Arja Lee. Hal ini sangat-sangat ditentang dalam dunia filem gay (kerana seorang watak yang tidak mahu menerima dirinya, atau menerima dirinya dengan cara yang amat negatif dan memalukan sekali).

Tetapi "ilusi" ini perlu, malah secara halus, "signifikan" dalam tata, aura dan jati filem Melayu.
Ini adalah kerana, mahu tidak mahu, filem ini "mengaku" akan hegemoni "Islam" dan adat "Melayu" kotemporari yang jelas-jelas menentang watak-watakl seperti Arja Lee dan Wan Raja.

Maka di sini, idea filem ini digerakkan. Aku terus-terang, ada ruang yang dimainkan dalam filem ini yang bagi aku, mencipta satu jalur yang indah. Paling utama, filem ini hanya "menunjuk" tidak pernah menghukum, Khir Rahman sebagai pengarah hanya merakam "dunia terpecah dua" Arja tanpa apa-apa campur tangan, malah kadang-kadang seakan menyatakan testimoni peribadi si Arja buat tatapan masyarakat (hal ini mengecilkan filem ini, dan menolak filem ini menjadi filem berlapis). Di sini, filem ini menjadi filem berlandas forum sosial, filem yang mana menjadi petanda untuk diperbincang dalam masyarakat berkenaan "benar" "salah" atau memahami pilihan-pilihan "celaru" Arja Lee itu. Ini yang menarik.

Secara teknikal, beberapa babak yang dibikin Khir agak celaru dan kelihatan janggal, serta beberapa babak tampak panjang. Tetapi Khir juga berjaya mencipta beberapa babak yang benar-benar memaut cantik. Lebih-lebih lagi dengan babak "kahwin" yang bagi aku dibikin dengan teratur dan lancar sekali, ditolong juga oleh Ogy Ahamad Daud dan Diana Danielle sebagai pemancar babak klimaks yang sungguh indah (pautan terakhir mereka sungguh indah, menjawab persoalan "sumpah" Diana yang awal, juga persoalan Ogy dan Diana yang ditinggalkan). Sememangnya, keseluruhan filem ini (dan sudah dapat ditangkap, kerana bagaimana watak utama dipaparkan kepala belakangnya) sebenarnya merupakan sebuah Tragedi Greek yang tersusun. Kerja Arja hanya "menyentuh" watak-watak yang mengelilinginya dengan pasif (kita tidak jumpa, satu pun babak yang mana dia betul-betul melakukan keputusan yang berjustifikasi atau berjaya, kecuali membayar hutangnya) dan watak-watak inilah, yang berkait dengannya yang akan bereaksi. Menariknya dalam hal ini, watak-watak yang dekat, dan disengajakan banyak berinteraksi dengan Arja merupakan watak PEREMPUAN, ibu Arja dan Diana Danielle. Hal ini menarik, kerana kita memahami, filem ini bukan sahaja hanya kerana Arja, tetapi orang-orang yang mengelilinginya. Ini merupakan filem berkenaan mereka yang "tidak memahami"nya (penonton majoritinya tidak akan memahami Arja).

Secara sayu juga, filem ini dengan "sengaja" tidak memberi kebahagiaan terhadap tiga wanita utama dalam filem ini. Adakah ini disengajakan? Hal kesayuan inilah yang mengherdik "masyarakat" untuk memahami "dunia lain" ini dan mengapa mereka berdiri di garisan "antara wanita" (dia wanita tetapi tidak diberi peranan menjadi wanita dalam dunia mereka). Hal ini sengaja mungkin, kerana "tragedi" sang wanita ini dipaparkan "terjadi" kerana menyentuh "tragedi besar" watak Arja Lee. Kehancuran tidak boleh membaiki kehancuran (nilai ini amat negatif). Pengkaji teori seks tentu akan mendapat makanan enak untuk menganalisa hal ini.

Suatu lagi hal yang menarik berkenaan filem ini ialah berkenaan ruang "kampung" dan "kota" yang dimainkan sekali lagi, tetapi bukan secara stereotaip. Di sini, ruang "kampung" disengajakan memberi personafikasi "penyucian" bagi watak Arja, atau normalisasi (tetapi kita tahu, ianya sesuatu yang sementera, lihat sahaja babak dalam dewan awam). Aku suka dengan babak "terasing" Arja yang "lupa" dengan hidup mudanya di kampung, menyatakan dia sudah "jauh songsang" atau "kotor" dalam arus kemodenan bandar (bandar selalunya personafikasi dunia berdosa). Hal ini menarik secara ironi (tetapi ingat, watak Arja dimusykilkan "kesahihan"nya, seperti mana pilihannya dalam erti kata pemahaman konsensus Islam-Melayu sebagai "palsu"), dengan memaparkan seseorang yang meninggalkan dunia "kota"nya untuk mendakap dengan penuh hati akan dunia "kampungnya" tetapi "melupainya".

Kehadiran Diana sebenarnya berperanan sebagai pembantu Arja untuk "mengenal kembali" atau "disucikan kembali" kepada dunia konsensus budaya dan agama Arja. Di sini, kita akan selidiki, jika benar-benar Arja akan "disucikan" atau menerima dunia "indah" itu secara hipokrit. Paling nyata, kehidupan kampung yang "indah" ini dipaparkan seteliti mungkin, malah memenuhi filem ini, melebihi dunia "kota" (yang kelam dan tragik). Kita sekaan mempercayai dunia kampung yang "hegemoni" mendominasi kesedaran kita dan "tentu" kesedaran Arja. Hal ini menjadi "turning point" filem ini.

Lakonan dalam filem ini baik, malah semuanya memiliki kekuatan yang sempurna. Aku amat menyukai runut bunyi filem ini, disusun pada detik dan babak tertentu dengan betul sekali sebagai filem, malah banyak membantu menyatakan hal berkenaan sesuatu babak.

Memang filem kecil ini mempunyai peranan untuk berilusi (watak Arja sendiri, terlalu misterius), dan dari ilusi ini, isu-isu "penipuan" itu dimainkan. Tetapi hal ini, walaupun indah, hanya dapat disanggupi dan difahami secara "jahat", dengan memahami kenapa "ilusi" itu dilakukan. Inilah kecelaruan yang indah yang dicipta Khir, sekali gus juga amat menghampakan.

fadz: baca reaksi aku terhadap reaksi Ajami terhadap ulasan aku. Jawapan anak seorang ustaz yang bagi aku agak adil mengulas filem ini. BTW, Lut, felem ni keluar 2011, bukan 2010. Ni lagi satu yang bagus daripada Nazim Masnawi. Jadi, Paan, ko wajib tonton!


09 November 2010

Membina Dinasti Bernama "Estet"



Haykhh, kadang-kadang aku rasa lesu, sebagai penonton untuk berjuang menghargai filem Melayu. Serius, mungkin lepas ni (tahun depan, azam aku), kalau filem tempatan yang keluar yang dibikin main tibai bohsia tepi jalan, aku hanya akan nyatakan dalam entri aku begini: Sorry your film SUCKS! Tak yah lagi aku tulis entah apa-apa analisa berjela-jela, lagipun korang bukan baca pun kan (dan entah apa-apa alasan nenek atuk yang depa bagi, fahami 2 Alam dengan menonton Momento, thats the most priceless of all!) Selepas lapisan asas inilah baru aku masuk ke lapisan "analisa", dan di sinilah, yang selalu korang suruh aku "tengok" filem dan "bagitau apa ko dapat" kepada aku berlaku. Itu pun, jika aku melepasi lapisan asas itu tadi.

Aku macam ni. Mula-mula, sebuah filem tu mesti tarik aku kerana "cerita"nya, atau kalau tak pun, IDEAnya (cth. Idea Magika ialah mengadakan satu alam CGI yang mana semua watak-watak dongeng Melayu boleh meloncat-loncat, ceritanya fasal dua budak yang tersesat dalam alam tu). Kalau itu dapat aku layan, aku akan tonton filem itu secara "satu lapisan" iaitu lapisan yang paling-paling penting dalam mana-mana filem bila orang menonton, iaitu faktor "tarikan". Penonton biasa panggil "hiburan", penonton lain pula "X Factor", ada yang panggil "babak lucah", ada pula "bogel-bogel", atau "power" atau "berhantu", dan ada pula puak yang memanggilnya "tak bosan" (ni mazhab Dr. Yusseri Yussoff) atau "engaging" (dalam bahasa buku: readable). Tarikan ini sebenarnya nafsu paling rendah korang untuk buat korang boleh "stim", "stay tune" atau "bantai" dan paling teruk, "mengamuk" pada filem tu.

Setiap orang, kriteria "tarikan" mereka lain, tetapi hal ini selalu atau asasnya berkait dengan ruang dan masa. Kadang-kadang ada orang yang boleh terhibur tonton ruang dan masa yang panjang (yeap, fasal tu ada Tsai Ming Liang dan Ho Yuhang), dan ada pula yang akan melalak marah bila menonton aksi statik awal dalam Humanite. Dalam "tarikan" aku, yang paling-paling penting ialah bagaimana pengarah membuat aku "percaya" pada karyanya, ini lagi kompleks sebab ruang dan masa ini berkait dengan segala yang ada dalam babak itu (ini dipanggil orang mis en scene) yang diikat untuk terikat pula dengan babak-babak sebelumnya dan selepasnya (dan kadang-kala melangkau hal-hal lain seperti rujukan genre, mencari isi cult dan lain-lain, tetapi hal ini berlaku secara spontan dan susah hendak berlaku selalu). Ya, sebuah filem lawak macam Adnan Sempit boleh buat aku jatuh cinta kerana kejayaan garapannya, walaupun betapa mengarut temanya. Dan filem yang tampak besar dan gah pun aku boleh terpinga-pinga jika aku tersesat dalam garapannnya, macam PALOH atau Sayang Salmah. Dan lagi satu, ada pula filem, yang terlalulah pelik dan menariknya, aku mahu menontonnya berkali-kali. Setakat ini, filem Man Laksa Mamat Khalid berjaya mencipta estetika sebegini bagi filem Melayu.

Kenapa aku tulis hal ni berjela-jela dan langsung tak bercakap fasal Estet? Begini, aku sebenarnya mahu sangat "membantu" Estet, kerana aku suka dengan nawaitu Mamat Khalid dan penerbitan filem pertamanya ini (bersama isterinya), tetapi aku merasakan betapa "tertipu"nya aku bila menonton filem ini yang gah diperkatakan (1) filem terbaik malam FFM (2) filem hiburan yang dapat diikuti dan dilayan oleh sesiapa.

Secara terus-terang, aku tidak terhibur.

Kalau lihat pada lapisan "tarikan" yang aku kata kat atas, secara cerita, filem ini "dah lepas", malah memang aku SUKA dengan skripnya (rujuk ulasan pendek aku tentang buku skripnya di sini), malah aku merasakan filem ini cukup serba-serbi sebagai alat pengasung 1Malaysia, serta mempunyai nilai-nilai komerisial yang cukup; malah inilah filem paling komersial yang pernah dibikin Mamat (maknanya, tak banyak main simbolisme kerana semuanya disampaikan secara terus).

Tetapi garapannya?

Inilah yang membuat aku menggeleng kepala sambil merasa kecewa. Aku tidak akan menyatakan di sini, apakah hal-hal yang membuatkan filem ini "hancur" garapannya, tetapi jelaslah, seperti awek aku di sebelah menyatakan, "Afasal banyak babak filem ni melewah tak tentu fasal?"

Mungkin persoalan belanja, masa dan tempat akan diberi alasan sekali lagi dan sekali lagi. Bagi aku senang je: kalau ia tak memuaskan, jangan keluarkan!

Tak usahlah aku nak "selidik" beberapa hal "sublime" yang sengaja dimasukkan oleh Mamat, macam kenyataan U-Wei atau gambar Pak Hassan, atau filem Kollywood yang ditayangkan pada awal filem, bila lapisan pertamanya tak lepas.

Serius, aku ingin menolong Mamat dalam hal ini kerana bakti dan kejujurannya. Tetapi aku merasakan filem pertamanya telah membina sebuah istana yang banyak tiang yang rosak, sepertimana Mamat sendiri sudah nyatakan dalam filem Man Laksanya berkenaan "rumah tak siap pahat berbunyi". Kekuatan yang kita jumpa, hanyalah Shashi Tharan (yang sememangnya patut memenangi Pelakon Lelaki Harapan Terbaik), beberapa babak CGI bola, dan babak mak nyah dengan semangat sukannya.

Yang lain-lainnya? Dinasti Mamat tidak dapat bermula dengan Estet.