31 March 2010

Ulasan "Valentine's Day" Aku dalam Dewan Masyarakat

Yeah, sebuah lagi, tak lah, aku cubalah tulis untuk blog ini juga ...



Kira terharu jugalah, sebab bukan senang nak masuk Dewan Masyarakat ni, hehehe.
Untuk membaca petikan sikit, masuk ke sini.

16 March 2010

Akan Datang: The Malay Chronicles:Bloodline AKA Hikayat Merong Mahawangsa


Komplen aku? Satu saja, judul Inggerisnya:

"Bloodline" sudah digunakan berkali-kali dalam judul filem, malah, jika judulnya meletakkan Xxxx: Bloodline, sudah banyak filem seram yang mempunyai judul yang serupa itu.

OK, aku tak pernah seteruja ini menunggu Hikayat Merong Mahawangsa, seperti mana aku tunggu Puteri Gunung Ledang. Dulu, aku pernah berbalah dengan arwah Kak Min, menyatakan, sebuah industri/negara, tidaklah mencapai tahapnya jika ia tidak berjaya membikin sebuah filem epik. Kak Min amat-amat tidak bersetuju, kerana ada juga filem kecil yang boleh menjadi duta negara. Ya, aku kini lebih rendah diri dan menyanggupi kata Kak Min itu, tetapi aku dibesarkan dengan menonton serta menyukai filem seperti Ran, The Ten Commandments, Lawrence of Arabia, War & Peace, Gandhi, The Last Emperor, dan pelbagai lagi filem-filem berlanskap luas dengan syot-syot jauh yang aku kagumi. Heck, malah Indonesia sudah jauh meninggalkan kita dengan filem epik mereka seperti Tjoet Nja' Dhein, Saur Sepuh, Wali Songo dan filem propaganda epikal, G30S/PKI.

Jadi, betapalah aku bersemangat bila KRU hendak membawa filem ini ke layar. Mula-mulanya aku sangsi juga bagaimana mereka hendak gambarkan Garuda dalam CGI. Tetapi dimaklumkan Garuda itu merupakan lanun dari Pulau Garuda (mungkin Langkawi, atau kawasan berdekatan Segenting Kra) aku tersengih, bagus bagus, ada kreativiti dalam menurunkan bajet, malah mungkin lebih terikat cantik dengan plot (soalan: bagaimana para lanun di semenanjung Melayu tahu pihak Yunani membawa seorang tokoh yang boleh dibuat tebusan? Kuat benarkah pasukan lanun sampai habis tentera laut Yunani dihentam? Hal-hal ini mungkin boleh dijawab bila kita menonton nanti...)

Aku juga sedar sesuatu, KRU suka sangat ambil penulis/wartawan yang dekat dengan dunia hiburan/kewartawanan. Meor Shariman, mantan pengarang hiburan The Malay Mail serta novelis popular merupakan penulis skrip Cicakman. Kemudian KRU ambil anak murid/didikan Razak Mohaideen/Metrowealth iaitu Azhari Zain yang kalau aku tak silap, juga seorang wartawan. Azhari Zain banyak menghasilkan skrip untuk filem-filem Metrowealth, dan arahan Razak Mohaideen, dan kalau aku tak silap merupakan penolong pengarah bagi beberapa projek profesor itu dengan Metrowealth, antaranya Potret Mistik, Nana Tanjung dan lain-lain. Azhari Zain juga yang memberi kita filem seram-libur, Santau buat kita awal tahun ini. Azhari Zain telah menulis skrip Duyung untuk Razak Mohaideen/KRU dan kemudiannya menulis skrip dan mengarah Jin Notti. Buat Hikayat Merong Mahawangsa, aku semak, Amir Hafizi, penulis (aku hanya tahu dia tulis novel filem Susuk dalam bahasa Inggeris) dan wartawan merupakan pencipta skripnya. Jika ini Amir Hafizi yang kita kenal, aku punya semangat yang tinggi kerana:

1. Kritis dia amat teliti dan memahami ke mana gerakan filem itu (plot lubang dijauhi).
2. Mulut dia pedas bila mengkritik, orang-orang mulut pedas je pandai bagi dialog-dialog mantap. Filem memerlukan dialog mantap untuk kesesuaian cerita dan orang boleh ingat.
3. Dia pandai menulis (walaupun aku tak baca Susuk tu lagi, ramai orang kata best).

Jadi, tak mungkin, tak mungkin budak ni boleh fu**ed up filem ni (dari segi jalan cerita). Amir, jangan ko jadikan filem ni Solomon Kane sudah. Aku takkan bantai pengarahnya, aku cari kau dulu. Yeap, apa-apa pun orang akan kembali ke jalan cerita.

Beberapa benda lain yang aku teruja adalah, selain PGL, filem ini juga menggunakan okestra MPO untuk runut bunyinya, syabas! Dan aku dengar memang penggambarannya lancar dan kini hanya sedang dalam proses pascaproduksi, di mana suntingan, suntingan suara serta masukkan CGI. Aku dengar Yusri ambil seminggu untuk buat secantik mungkin satu babak yang mungkin beberapa minit. Takpe bro, buat perlahan-lahan, jika betullah 8 minit tu betul-betul berjaya menguja pembeli luar. Biar sakit sekarang, siap nanti, whooohh, rasa puas tu lain!

OK, sekurang-kurangnya sekarang aku optimis. Yusri, kau bagi yang terbaik ya!

06 March 2010

Festival Filem Frinjan(Pinggiran) KL, Para pengarah, Pengkritik dan Dewa

Seronoklah berfestival. Tahniah dan terima kasih buat Dr. Zul, BinFilem yang punya inisiatif membawa himpunan filem pendek (filek, filpen, yang mana-mana yang menarik anda) ke DBP, bukan senang tu nak menghimpunkan filem-filem pendek daripada pelbagai kalangan anak-anak muda, dan aku begitu kagum bahawa BinFilem boleh melakukannya dalam masa 2 minggu sahaja!

Satu perkara aku tabik BinFilem ialah, dia berjaya menghimpunkan pelbagai filek yang rata-rata semuanya bagus-bagus! Ini satu pengiktirafan. Walaupun memang, aku suka pergi ke sebuah tayangan filem dan mendapat ada beberapa yang aku tak suka dan aku suka (inilah makna festival, kepelbagaian), tetapi kiranya, buat malam pertama, realisasi BinFilem membuka mata aku, pilihan filem-filemnya. Mungkin juga, beliau sudah membuat kajian dan pemilihan yang terancang dengan penontonan dan pembacaan yang teliti untuk masuk dalam Frinjan KL kali ini (kalau aku, aku akan sengaja masukkan satu dua yang "punah" buat orang terkejut katak kejap). Tahniah.

Tahniah juga buat DBP, terutamanya A. Wahab Hamzah kerana memberi tempat buat anak-anak muda ini mengenali kembali pusat budaya yang dahulunya gah disertai oleh anak-anak seni. Sememangnya ramai yang memberi pendapat bahawa Dewan Kuliah itu mempunyai "feel" yang betul untuk tayangan filem, malah dimaklumkan oleh beberapa penonton tegar yang sudah menonton beberapa filem yang disenaraikan terdahulu, merasakan ada "rasa menonton" yang lain, yang lebih bersinema di Dewan Kuliah. Alhamdulillah (tak lah dewan ini jadi gajah putih bukan?) Jadi buat penuang semboyan-semboyan yang melempiaskan "buat apa buat kat situ" rasanya perlulah dipersoal kembali diri sendiri yang sedikit "bawah tempurung" itu.

Aku suka apa yang berlaku, walaupun mungkin kumpulan penontonnya masih belum boleh dibanggakan (sekurang-kurangnya, orang luar, maksudnya orang bukan filem yang datang memang hendak menonton filem sampai habis), tetapi kumpulan itu diberi tempat untuk menyatakan filemnya (walaupun ada yang tidak suka), tempat di mana adanya para pengajar filem (seperti Pak Wahab), adanya pengkritik (seperti Ajami yang turut menjual buku filemnya) dan anak gila filem dapat berkumpula dan berkenalan dan bertukar pengalaman dan cerita. Seperti yang dimaklumkan Razailsyam, sedikit demi sedikit, kumpulan kecil yang bermula pada akhir 90-an, akan mula berkumpul dan terlahir (dahulu, mereka tidak ada peluang ruang untuk menayangkan filem pun, sesuatu yang amat berbeza dengan Indonesia) anak-anak komuniti "suka filem" walau bagaimanapun bentuknya.

Di situ juga, aku tercari-cari mana Dewa. Aku rasalah, Dewa tu antara seorang budak yang sebelah Jhebat yang DIAM aje. Tapi ramai pula yang nyatakan pada aku, Faiq itulah Dewa. LinkIni satu hal yang menarik, dan bolehlah kita para pelayan maya boleh mula mainkan permainan teka-meneka ala Kucing cari Tikus.

Di sini merupakan senarai filem yang ditayangkan pada 5-6 Mac 2010:

Ronamaya (Peng: Amer Zaman)
Sudah aku tonton di FACT. Baru aku sedar air dalam gelas warna biru. Sedih sedikit sebab kualiti suara dan gambar terganggu kerana CD sedikit kotor. Di sini ulasan aku.

Kak Min (Peng: Ajami Hashim)
Aku lupa nak maklumkan kepada Ajami bahawa "filemnya" sedang berlawan untuk filem luar negara terbaik di Academy Awards 2009, taruhan Israel (hahaha). Apa-apa pun, filem ini sudah ditonton, ini ulasannya.

Tiada Judul/Rumah Ares (Peng: Ares Bahar)
Satu kuasa dalam pemahaman momen dan detik. Dimulakan dengan absurd di mana dua pasangan kekasih (pandangan belakang, ahhh, tragedi!) menonton filem HIndi di TV (mereka tidak faham bahasanya, kait filem hindi dengan "happy ending"). Ini bukan filem yang ceria dan bunga matahari, tetapi digerakkan dengan ketelitian humor dan sejati anak muda yang tiada ketentuan atau pegangan kuat (baca: eksistensial). Disusun dengan bibit-bibit yang terus membangun dan membangun dengan satu hentakan klimaks yang tegang tetapi tidak pernah terasa dibuat-buat. Babak pusingan 180 darjah dengan mainan lagu cinta rock yang mendayu amat melazatkan, merumuskan kuasa dan ketidaktentuan dan semangat berkobar (di sini: cinta) wataknya mendepani kegelapan. Kegemaran Sinaganaga malam itu.

Capal (Peng: Azizulhakim Salleh)
"Crowd pleaser" pada malam itu, dan sepatutnya pun. Lancar, tersusun dan mempunyai tenaga humor yang mencuitkan tanpa perlunya imbauan parodi ataupun slapstik, ianya satu tinjauan yang jujur, didaktik tetapi sungguh berkesan. Si remaja hilang capal selepas solat, mengambil capal orang lain, lalu dikutuk kerana capal itu, lalu dikejar juga kerana capal itu. Pemaknaan adab, kekeliruan/prejudis/salah tanggap dan ketelitian tentang pilihan (hal ini sangat lembut sufinya, tahniah Azizulhakim!) menjadi tema yang begitu bulat disampaikan. Seronok dan menghiburkan.

Sinkronis (Peng: Jaja Kadir)
Merupakan filem kegemaran peribadi aku malam itu. Perlahan, teliti, dan bergerak secara puitis. Secara bulat, filem ini berkenaan sinema dalam erti kata primitifnya (suatu medium yang ditonton dan dilepaskan, persoalannya, adakah kita mahu melepaskannya atau kita mahu mengingatinya?). Kaitkan filem ini dengan Cigarette Butt arahan John Carpenter yang juga berkenaan sinema pada keseluruhannya. Ramai yang menolak "jawapan" yang diberikan Jaja berkenaan putusnya Sofii dan Fadzleena, tetapi makluman "foolish" itu berkenaan juga dengan persoalan (seperti yang selalu Woody Allen bawakan dalam filem-filemnya): adakah kita sanggup mati kerana itu, atau ianya hanya sebuah detik dalam hidup (baca: adakah filem itu suatu detik yang kita lupakan atau kita akan terbawa-bawa selepas kita tinggalkan panggung, kaitkan ini dengan kesengajaan Sofii dimatikan [mati: mengakhirkan filem itu). Suka dengan Fadzleena. Adakah kehadiran Fadzleena ini dalam filem bebas tempatan kita seakan kultus Hope Davis terhadap filem bebas Amerika? Suka Sofii Jikan, malah babak-babak tanpa bajunya mengingatkan sengsara Jesus, tetapi secara seksual. Babak Fadzleen menari sambil dilihat Sofii merupakan babak magis yang paling menyengat, mengikuti pemahaman Woody Allen tentang filem (yang dibahaskan dalam Stardust Memories), dan pada babak ini aku menangis kerana ianya terlalu cantik untuk dinyatakan dalam bahasa. Malah selepas menonton beberapa filem yang juga kuat-kuat terpaksa aku tayang kembali DVD filem ini bila aku balik kerana mahu kembali "dihantui" oleh ruang, cahaya, detik dan aksi babak filem itu. Jaja boleh pergi jauh dalam sinema kita (mungkin seangkatan Wong Kar Wai?). Dan pemilihannya menggunakan 16mm kamera sangat-sangat aku kagumi.

These Odd Things (Peng: Halimi Hassan)
Sangat-sangat pelik, tetapi kiut. Penggunaan gaya melampaui isi tetapi dibikin dengan efek khas yang paling menarik pada malam itu, teknik yang berkuasa, efek suara juga. Malah ada beberapa babak mengimbau kuasa homoerotisme antara dua watak antagonis yang bergaduh (Kong dan Vader). Maka persoalan ini menarik: adakah pergaduhan itu satu alternatif dalam bersenggama?

Babi Itu Khinzir (Peng: Faiq Khalifa)
Paling pendek buat malam pertama tapi amat berkesan. Walaupun persoalan yang pengarah mahu bawakan masih boleh dibahaskan, tema dan isinya teratur dengan penggambaran dan pemilihan ruang, tempat dan situasi (di bawah jambatan, seakan kita dibawah pergerakan untuk maju ke hadapan). Malah lakonan yang gah dan menyeronokkan, malah amat selamba dalam tujuan politiknya, ini kekuatan Faiq (sebagai pelakon juga pengarah). Suatu sindiran pedas terhadap golongan kita yang masih "teraba-raba" dan bertegang tengkuk tentang istilah (termasuk mereka yang mempersoalkan penggunaan translerasi Bahasa Inggeris).

Pintu ke Pintu (Peng: Aliff Ihsan)
Sebuah filem yang amat bersemangat tinggi, bergerak organik dan kinetik dalam peninjauannya yang penuh imaginasi. Satu kuasa yang segar buat Aliff. Langsung tiada jejak linear (tetapi fluid), malah strukturnya aku rasa didapati sewaktu filem ini dibikin dan melalui proses pascaproduksi. Surreal yang amat dekat dengan mata Islam (sememangnya ada persoalan moral yang dibangkitkan, tetapi ia juga berkait dengan alam roh yang mana relevan dan sesuai dalam Islam) tetapi ia tidak susah untuk diikuti. Ini satu kekuatan tinggi buat pengarahnya (membikin satu filem berisu berat, dengan gaya yang berat tetapi disampaikan dnegan penuh berkesan dan senang dilalui, seakan air). Aku suka jika kita para penonton, dapat memilih, pintu yang mana yang kita mahu biarkan ia berkembang. Ini pilihan Aliff buat kita.

Sub Rosa (Peng: Nadiah Hamzah)
Ini satu lagi penemuan yang mengejutkan, seorang pelajar filem kita di Amerika, dengan pelakon-pelakon orang Amerika tentang seorang gadis Muslim bertudung keluar "dating" dengan seorang Mat Salleh yang terpesona dengan tudungnya. Persoalan feminisme, agama, dan silang budaya berlaku dalam pengolahan yang amat senang. Semuanya berangkat dalam tema "possibility". Garapan paling profesional, lancar dan tersusun pada malam itu (dibikin sekumpulan krew Amerika berserta teknologi mereka, jadi, jadi..) walaupun mungkin buat Amerika, hal ini sudah dibikin berbelas kali.

Awan Mendung Menanti Pelangi (Peng: Azri Abu Hassan)
Terus-terang, kami amat-amat terhibur dengan filem terakhir ini pada malam itu. Separuh parodi (apabila melibatkan dialog Dasar Ekonomi Baharu secara tiba-tiba dalam dialog) dan separuh penghormatan (tribute) kepada filem-filem "semalam", makna aku, filem-filem 70-80-an yang diperkenalkan oleh Jamil Sulong dan terutamanya Jins Shamsudin. Azri sungguh menyeronokkan sekali gus "geliga" dalam menyusun sebuah "sedutan babak" yang seakan-akan satu "klimaks" terhadap babak-babak mendebar, melodrama yang telah menyusul, seorang ibu yang "menyimpang" (Aminah Rhapor kau! Gila gaban!) telah cuba kembali, meminta ampun daripada suami dan anaknya. Sedu-sedan berlaku. Apa yang bagusnya, Azri tidak pernah sesekali mempermainkan "komedi" (komedi keluar sendiri jika kita dapat menjumpai rujukan yang dibikin, seperti lakonan Jins Shamsudin, Azean Irdawaty, kemunculan Jamal Abdillah, persoalan cinta segi tiga, rujukan Hapuskanlah Air Matamu dan Dia Ibumu) dan membawa isinya ini dengan serius sekali. Ia juga punya semacam semangat "cuba kembali ke nostalgia" yang sememangnya aku rasa, impian Azri. Malah, mengagungkan "yang lepas dan yang dilupakan". Secara mendalam, ia juga menyatakan dengan bersungguh tentang ketuanan Melayu atau identiti "Melayu Lama" yang sudah mula dilupai (kini) atas nama "pembangunan" dan "kemajuan". Tanpa sedar, ini disimboliskan dengan Aminah Rhapor sebagai tunjang utama, transformasi separanya daripada seorang wanita yang terikat dengan budaya patriach Melayu, dihentak dengan pilihannya memilih seorang yang luar agama, budaya, statusnya sekali gus, persoalan feminsime, perkelasan dan prejudis sekali gus dinyatakan (pilihan Aminah dinyatakan sebagai "melanggar" norma masyarakatnya zaman itu). Konflik dan intrig ketidakupayaan Aminah untuk melajak ke "impiannya" (bersama Raju) atau kembali ke keluarganya membuatkan momen yang ditayangkan "worth while". Lebih seronok dan mencengkam buat konteks tempatan daripada Far From Heaven arahan Todd Haynes yang punya tujuan dan tema konsep yang sama.

Tayangan Malam Kedua:

Maaf aku ambil masa sedikit untuk menyambung, atas kerana kesibukan kerja serta aku naik "blur" untuk ingat filem-filem yang keluar pada malam itu (oh oh, ini satu petanda yang sedikit tak elok). Tapi bila BinFilem keluarkan senarai filem yang ditayangkan, baharu satu-satu imej aku teringat, ha ha.

Sebenarnya, seperti Faiq maklumkan kepada aku, malam kedua "lagi best" sebab subjek-subjeknya lebih "keras", lebih "politikal" (dan mendapati filek adikaryanya terpaksa disiarkan pada malam pertama, ha ha). Ada benarnya, dan ada bahayanya. Mungkin, selepas ini, perlulah penganjur serta kurator memaklumkan tentang kesesuaian penontonan (memaklumkan jika ada keganasan, seks, dan isu politik yang tak melampau), atas kerana aku terlihat, ada satu keluarga datang (bawa anak kecil) menonton pada malam kedua, seakan-akan pergi berkelah di tepi pantai. Bukan apa bro, tempat tu, tempat gergasi tua, yang orang komplain kat gergasi, bukan bebudak, dan gergasi takut buat satu keputusan tak bijak, sepertimana yang berlaku terhadap teater Tanda di Aswara atas komplen-komplen orang yang meloncat cepat (alah, macam Vagina Monologue tu lah).

Memang, rata-rata, filek-filek tayangan malam kedua lebih berani. Tetapi, mengikut susunan, entah rasa macam sedikit janggal. Tetapi apa-apa pun, tetap, filek-fileknya ada yang mengejutkan, dan juga punya kekuatan yang aku suka (ingat, filek buat aku tetap aku mahu lihat sebagai filek, dan bukan filem perdana). Tetapi masih, Sinkronis berlegar dalam jiwa aku.

Destinasi (Peng: Tasyrif Tajudin)
Aku sedar sesuatu yang menarik, juga pelik. Sudah beberapa filek Aswara (selain pengarah Bennylita Nasution yang menarik sahaja garapannya) yang aku tonton, dan selalunya ia berlingkar dalam hal moral, obsesi terhadap kematian (Lubang baru ini aku tonton juga begitu), serta agama (baik dalam maya fantasi atau tema) selalu berlingkar dalam ideal pengarah-pengarahnya. Ini bukan satu masalah, hanya persoalan. Destinasi ini satu filek yang cuba menggarap satu "bulatan" tentang "detik-detik terakhir" seorang Datuk (lakonan Adman Salleh yang mencengkam) yang mana, suratannya tidak boleh dipusing balik kembali. Kekuatan menggunakan LRT sebagai "petanda ke satu destinasi" amat menarik. Perasaan "doom"nya ada, walaupun sedikit celaru waktu satu watak demi satu watak "menghantu" ke Datuk. Tasyrif hanya perlukan lebih masa untuk rakaman yang betul-betul tentang lelaki kotor, pemuda muntah duit dan wanita berbayi. Didaktik berstruktur yang menarik.

PERTA.M.A. (Peng: Halimi Hassan)
Haykhhhhh... Hmppphhhh... Ahhhhhh... OK, ini bukan sup aku, aku boleh kata dengan jujur. Ajami Hashim amat-amat menyukainya, dan kalau boleh, mahu pelakon lelaki filek ini berlakon dalam filemnya nanti (ha, budak, cepat contact abang Ajami!) Hayyyyyyyyyyyyyyyy...

Bila Gambus Tak Berlagu (Peng: Maszalida Hamzah)LinkLagu gambus sedap banget. Hanya imejnya cuba membawa satu suara Nasir Jani yang sedikit terasing dan dingin buat aku (buat apa ikat semangat filem ini dengan filem Siam tu?). Cuba membawa persoalan mursyid-murid (dalam penyataan tradisional Melayu, semua pengajaran perlukan guru) tetapi agak kaku, tapi itu pendapat aku.

Mautopia (Peng: Ridhwan Saidi)
Seronok tengok filek ini dimainkan di layar skrin yang jauh lebih besar. Jaga-jaga, ini macam Lost Highway David Lynch, ini ulasan aku.

Fuuuuhhhhhh, selepas tayangan Mautopia, ada rehat kejap (ramai orang macam blur, hehehe), si penonton ayah berserta anak-anaknya bergerak balik ke rumah, mungkin kerana tak tahan menonton banyak sangat filek memaparkan gadis merokok.

Session to the Womb (Peng: Sharifah Soraya)
Just plain weirdness. Kembali juga dengan hal politik (yang korup). Waktu "grafik" iLinktu, aku dan Mukhsen X meloncat-loncat (uh uh uh, Tuhan!), berani sih Sharifah! Ceritanya menarik, sekumpulan sperma yang "berlegar" di pintu ovum, melihat, menunggu, yang mana yang akan mencapai pensenyawaan. Pensatiraan sperma dengan pelbagai XY menarik, dengan watak-watak sehari-harian yang biasa tetapi punya subjek kenapa ia dipaparkan berlegar. Satu pemahaman yang menarik, jika kita kaitkan dengan "sejak azali" berkenaan "the nature of 'real' men". Wah, afsal kebanyakan pengarah muda Aswara ni bersemangat kritis dan dispotik eh?

Sujud (Peng: Muhamad Rahimi)
Dah ulas dah, kat sini.

Language Kebangsaan (Peng: Faiq Khalifa)
Faiq, boleh tak kau tayangkan filem ni kepada PM dan TPM kita, bior mereka sedar sikit. Propaganda yang amat-amat menjadi tentang anti-PPSMI.

The Colour of Ideas (Peng: Low Weiyan)
Filek yang sekali lagi politikal tetapi dibikin dengan amat kiut, menjadi "crowd pleaser" buat malam kedua. Persoalan propaganda dan "lompat parti" atau pengaruh amat kuat dalam filem ini. Janganlah tersentap melihat bayangan BN melawan DAP pada klimaks (opsss, Spoiler!) kerana idea Weiyan lebih daripada itu, malah persoalannya lebih humanis (lihat persamaan dalam diri kita, bukan perbezaan). Sebenarnya ini filem didaktik yang mengajar untuk kita saling memahami dan mencintai (sebagai manusia) tanpa perlu bertekak tentang perbezaan. Mesej terakhir Mahatma Gandhi menyatakan poin ini.

Konsekuensi (Peng: Razaisyam Rashid)
Whoohh.. Aku suka ah! Ini filek pilihan aku pada malam kedua. Walaupun dinyatakan filek ini cuba mengambil idea Run Lola, Run!, semangat muda, main-main dan urbannya mencengkam jiwa. Dan Razaisyam membuatnya dengan tujuan "berhibur" (persoalan akhir tentang filem itu amat menarik, menelanjangkan kenapa kita semua hendak bikin filem). Aku suka dengan babak yang mana Razaisyam "sengaja" mahu kita, penonton, jeda sebentar mendengar deklamasi sajak si antihero, ini momen paling mahal dalam filek ini, bukan sahaja sebagai pemahaman filek ini keseluruhannya (momen ini sahaja yang statik terus tanpa gerakan dan suntingan), tetapi filem keseluruhannya. Ini tujuan Razaisyam buat kita, anak muda, untuk ambil masa (ingat wayang-wayang dulu yang mengisi intermisi?), faham benda-benda yang cantik (di sini, sastera), dan reda serta menyanggupi hidup ini dengan seadanya (hal ini disengajakan bertentangan dengan gerakan, struktur dan qada' qadar filek ini). Momen ini sahaja membuat aku teringat, kenapa kita kadang-kadang datang untuk menonton filem.

Qalam (Peng: Hadi Koh)
Sebuah fabel/cerita teladan moden. Kesan satira pun ada (rujuk babak sami duduk tepi perkarangan surau). Aku agak suka dengan filem ini, yang cukup getir menyatakan pernyataan "keterbukaan" dan "pemahaman" dalam agama, dan berapa jauh kita kenal dengan agama lain. Semuanya berlaku dalam satu hari apabila seorang sami Buddha, apabila bermeditasi telah tiba-tiba "menjumpai" ucapan "Al-Lah" dalam lidahnya. Lalu sami itu mengambil keputusan untuk "mencari" dari mana perkataan itu datang. Ini sebuah filek yang benar-benar memahami prejudis yang berlaku dalam masyarakat. Sangat menyengat.

Begitulah, ia bemula, dan begitulah ia berakhir. Memang, malam kedua tayangan tampak filem-filem membawa "isu-isu berat" atau teknik-teknik persembahan "berat" yang tidak pula semestinya isi kandungan sama berat. Pun begitu, syabas buat semua yang berkecimpung. Kini, suara naka muda sudah bersuara dan mampu bersuara. Harapannya, suara ini tidak tersekat dan boleh terus sahaja beralun melantang kresendonya.

Nota: Laporan Pasca Tukang Tabir Belakang.

03 March 2010

Tentang Drama Bersiri TV3 dan Oskar Hujung Minggu

Hotel Mania ditayangkan setiap Selasa, 9mlm di TV3

OK, aku akan berkata jujur. Aku tak berapa layan drama bersiri melainkan jika aku ada masa. Masa aku duduk di Kelantan, aku ada masa, malah, oleh sebab kawan-kawan bujang juga ajar aku menonton Spa-Q (musim kedua, tulisan Rina Khan, habislah Spa-Q tanpa Norish Karman), aku bolehlah juga menonton filem yang sepantas dan mengancam bak telenovela Latin Amerika. Aku tahu, TV3, juga beberapa siri drama RTM 2 juga mengeluarkan drama-drama bersiri yang amat popular dengan massa, tetapi aku lebih senang dengan cerekarama/telefilem, seperti Tuan Guru (banyak potong sih! Kontreversi tu!) yang ditayangkan di TV3 pada 12 tengah malam Ahad kelmarin.

Hari tu, masa aku lepak baca buku, mak aku suruh pasang TV. Rupanya dia nak habiskan tengok episod terakhir Tari Tirana! Hah! Betul, Tari Tirana! Terkejut beruk aku, siap aku pulak yang tanya siapa tu siapa ni, dan sampai mak aku macam, "Eh, ni tak leh jadi, bukankah buah hatinya Neo?" Aku macam terpinga-pinga. Tetapi betapa berduka citanya mak aku menonton pengkahiran Tari Tirana (dan bukan seperti menonton cliffhanger Dallas bila J.R. ditembak atau BSG bila Captain Adama kena tembak) bila dia dapati Neo sudah mati. Aku baru tersedar, oh, Neo lakonan Amar yang wartawan sibuk-sibukkan tu sampai para wartawan hiburan macam zombi mengancam dan menyoal pasangan artis tu (serius aku tak tahu kenapa, wartawan hiburan Malaysia ada suatu "arrogance" yang agak memelikkan dalam dunia kewartawanan. Boleh tak ko bayangkan, bebudak wartawan ini mahu "dilayak baik" oleh penerbit/artis jika mereka datang untuk majlis sidang wartawan? Mungkin dalam satu dunia, ini hanya berlaku di Malaysia, sebab serius, kerja wartawan memang cari cerita, jadi kalau ditempelak, tidak dilayan, itu lumrah kewartawanan, barulah terbentuk "character", barulah keras sikit wartawan tu tu "cari cerita", serius, it's ok for an artist to be a bit shy on the camera, it's typical show biz, but for a reporter to deduct what an artist should be for them, that's a little bit weird). Barulah aku sedar sesuatu; Neo "ditiadakan" atas sebab-sebab kontreversi yang berlaku. Adakah drama bersiri kita (seperti yang berlaku dengan Norish Karman) punya dunia kontreversinya tersendiri yang mempengaruhi jalan cerita? Ini menarik, selain daripada ketagihan apabila menonton sebuah episod drama bersiri (seperti yang berlaku pada aku buat Spa-Q dan Kekasihku Seru. Fasal tu lah aku tak nak nonton, nanti terperap aje depan TV!)

Jadi, aku mahu ambil peluang untuk menonton drama bersiri arahan Nizam Zakaria, Hotel Metro yang menggantikan Tari Tirana. Aku tidak pernah menonton Glee (peduli apa aku) dan aku tak berapa suka High School Musical, tetapi aku cukup bersemangat hendak menonton buah tangan Nizam ini atas kerana dia seorang kawan novelis prolifik, serta ramai yang mengiktiraf beberapa drama bersiri beliau, terutamanya Anak Ponti apa-apa entah. Antisipasi tinggi tu. Malah aku katakan pada diri aku, mugkin ini drama bersiri yang akan aku ikuti sampai habis.

Hotel Mania bermula bagus, kredit awalnya maksud aku, sudah memberi ton dan ritma ke mana muzikal ini akan bawa kita pergi. Kemudian, kita nampak Anding yang terperuk sebuah di perhentian bas di Kg. Baru. Mula dari sini aku sudah menjumpai beberapa kejanggalan. Adakah ini kesalahan Anding, kesalahan syot, kesalahan dialog? Entah, aku pun tak tahu. Mungkin cara yang digerakkan oleh Nizam ini terburu-buru? Kenapa Nizam tak mulakan cerita dengan sedikit meyakinkan, ambil beberapa syot, mungkin intro muzik kedatangan Anding ke KL (kita tak tahu, tapi atas lirik lagu, kita tahu ke mana watak Anding ini), malah boleh tunjuk dinamisme pemandu teksi yang tka peduli dengan Anding serta semangat Anding untuk "mencapai harapan" yang masih disamar-samarkan pada awal. Ini tidak, bum, Anding macam terbuang di perhentian bas sambil ditegur oleh seorang mamat kopiah. Like, watever!

Kemudian Anding diperkenalkan kepada Hotel Mania di Putrajaya. Kenapa dia di sini? Kita tak tahu tapi jika kita sudah baca rencana temuramah Nizam, kita tahu Anding hendak mencari ayahnya yang dikatakan tauke hotel itu. Setakat itu, pergerakan Anding ke Putrajaya itu masih samar-samar, malah mengelirukan. Aku tak suka ia tidak diberi cue yang betul (sehingga pada pertengahan cerita) sebab kita masih hendak mengikut Anding sebagai watak utama (motivasi untuk terus melihatnya sudah berkurang, melainkan anda meliur tengok Anding atau anda Kelab Peminat Anding). Kemudian, whoah, Dafi datang. Dafi ni comel, dan pemilihannya baik sebab dia semacam lurus (dan mungkin tidak tahu apa yang cuba hendak dimainkan oleh Nizam). Bila dia kata dengan "bright eyed" (yang sepatutnya Anding sebegitu, bright eyed kid in a bis lost world yang mana kita tak nampak dalam Anding, sebab Anding terlalu misterius, terlalu terluka wajahnya) pada Anding: "Saya Girang." Aku hanya boleh terkekeh, nampak sangat Nizam menyatakan propaganda gaynya dengan terjemahan terus Inggeris: "I'm Gay." Siot je! Ha ha! Tapi tidak ada apa-apa yang menarik yang berlaku buat Dafi dalam episod 1 (mungkin sebab episod 1/pilot ini cuba membangunkan dan meletakkan watak Anding dan lain-lain pada tempatnya).

Kemudian kita bertemu dengan Marsha yang aku kira satu watak yang menarik (bitchy mouth), dan sebagai antagonis Anding (selain Adam nanti). Tetapi entah, beberapa penggambarannya mungkin dibuat dengan terlalu cepat, malah beberapa syot yang jauh dan tidak memberi "star shot" yang betul buat Marsha, kita tampak yang watak Marsha ini "jauh" daripada penonton. Ini aku tak salahkan Marsha (dia boleh berlakon) tetapi pengarah sinematografi drama bersiri ini.Link
Malah buat aku, suntingan, kareografi dan sinematografi drama ini gagal gagal dan gagal. Nizam perlu sedar, jika satu cerita tiba-tiba "burst into songs", dia perlu "mewarnakan" mis-en-scene itu dengan semangat yang lain dan bukan berharap pada kekuatan lagu dan liriknya sahaja. Seperti mana babak Marsha menyanyi lagu "Akulah Wanita", hanya satu syot yang panjang, bergerak ala hand held camera (dah terlalulah klise, ini bukan Once tapi High School Musical!), dan suntingan situ dan sini sahaja (pemalas!) Mana syot pandangan dari atas? Mana syot jauh, dekat, sisi, apa-apalah untuk menggerakkan cerita dan lagu. Ini tidak, hambar sehambar-hambarnya. Kajilah mana-mana filem muzikal yang bagus, jika lagunya bergerak di lokasi luas dengan orang ramai, tiba-tiba pelakon tambahan di tepi pun turut berentak dengan lagu. Malah satu "parade" akan berlaku (walaupun kecil, ini sepatutnya berlaku dengan watak Anding, kecuali Nizam mahu mulakan dengan not balada yangLink sememangnya sayu, lihat pembukaan Mamma Mia!), atas sekurang-kurangnya pergerakannya luas(!) dan tidak tertumpu pada satu tempat dengan penggunaan objek yang mengelilingi tempat itu (kenapa kolam, tuala, bar, pintu, pelayan, piano, tidak digunakan, INIKAN MUZIKAL weh!) Kalau mahu "bertitik" realiti, tengok sahaja babak Mamma Mia! sewaktu Meryll Streep menyanyi Mamma Mia! atas atap, dan apa yang dia lakukan dengan pintu, loteng, tali dan dinding untuk membuak "cerita" daripada lagu. Rujuk West Side Story yang amat kuat dalam hal ini. Malah buat aku tak perlu pergi jauh, garapan tempatan $ell Out! jauh lebih berjaya daripada garapan muzik dalam drama bersiri ini. Kalau Nizam mahu membuat satu babak lagu tertumpu, sila rujuk Funny Girl sewaktu Barbara Streisand bernyanyi atas kasut beroda atas pentas, lihat bagaimana dinamisme watak Barbara dengan watak-watak atas pentas serta tauke belakang pentas serta tuan kareografi. Seakan satu cerita berlaku. Ini tidak, Marsha diambil diambil dan diambil wajahnya. Ini juga berlaku dalam babak Dafi dan Anding di rumah sewa apabila tidak ada satu objek, kecuali SOFA yang digunakan (itupun secara tiada kreativiti) tanpa masuk campur Rizal (watak itu sudah diperkenalkan) untuk memberi "rasa suasana" atau "cerita pengenalan" yang mendalam tentang tiga watak itu. Hanya, waktu akhir, lagu Anding dan mungkin adik/aweknya di Kuching dapat kita lihat sesuatu. Ini benar sebab dalam mana-mana muzikal, kalau garapan lagu balada, kita hanya perlukan satu watak terpacak dna lihat kekuatannya menyanyi tanpa banyak penggunaan suasana dan objek (lihat balada "The Winner Takes It All" dalam Mamma Mia!, "People", "My Man" dalam Funny Girl!, "As Long As He Needs Me" dalam Oliver!, "Maria" dalam West Side Story, "I Am Changing" dalam Dreamgirls, dan "Suddenly Seymore" dalam Little Shop of Horrors. Encik Nizam, anda bukan Lars Von Trier yang membawa Dancer in the Dark, anda perlu lebih menjadi semacam Baz Luhrmann dalam Moulin Rouge!

Dalam kekurangan drama muzikal ini, ada beberapa hal yang menarik, seperti lakonan Rizal (yang melemparkan pisau tiba-tiba) tetapi kita tak tahu ia akan membawa ke arah mana (mungkin ini kesusahan Nizam, untuk memperkenalkan satu-satu wataknya dalam satu episod) serta "insights" yang Nizam bawa seperti babak Anding bertemu Abah (mungkin bapanya atau tak, ini satu hal pembukaan yang menarik) di mana Dafi memakai baju kartun Luke Skywalker (budak jauh dari rumah mencari harapan baharu). Ini semua semacam hiasan buat stik daging yang kita makan. Stik daging itu sepatutnya lebih menarik dan sedap daripada hiasannya.

Ada beberapa ton yang sebenarnya kita sedar, drama muzikal ini punya ton "sedih" dan "misterius", malah, buat aku, kalau drama ini bergerak dalam alunan "dreary", ia lebih mengena atas mood skripnya sebegitu. Akhirnya sendiri punya impian sebegitu, bila panggilan itu dibuat oleh ibu Anding.

Aku tak tahulah, tapi aku susah sikit untuk menggerakkan diri aku menonton sambungan drama muzikal ini, kecuali seseorang memaklumkan pada aku sesuatu yang menarik yang berlaku pada episod seterusnya. Untuk itu, mungkin kita boleh kembali pada beberapa filem muzikal pada 80-an yang mencapai tahap populariti tingginya atas bahu Ahmad Fauzee.

Un Prophete(2009) dan The Book of Eli(2010)

Uhh, Oskar dah dekat, tapi macam Pak Hassan kata peduli hapa. Aku tetap peduli, hehe..

Aku baru menonton The Book of Eli dan bagaimana terkejutnya aku menonton sesebuah filem yang sedikit-sebanyak dekat dengan novel aku tu, Saga Horizon, hahahahahah (kena mengena dengan amnesia anak muda mencari jati diri zaman silam, kemuliaan buku yang tidak dikenali lagi harganya, orang makan orang, air sebagai barang paling bernilai dalam pasaran, watak anti-hero yang akhirnya tanpa dia mahu mengaku, menjadi hero.. OK, yang terakhir tu sangat Mad Max). Filem ni tak lah hebat gila babi dan tak lah bosan nak mampus. Bayangkan hero koboi kita tiba-tiba Denzel Washington berkulit hitam (hah! Western!) yang cuba melalui daratan kosong menuju ke barat. Jikalau bukan kerana lakonan kuat para pelakon filem ini, babak-babak cantik yang betul-betul mewarnakan dunia pasca apokalips yang cantik (babi Hollywood!) tetapi terlalu picturesque, runut bunyi gila best, Gary Oldman, Ray Stevenson (daripada Rome, yey!) dan Jennifer Beals (rasa macam tengok drama Shakespeare pula sebab mereka ada), filem ini tidak ada apa-apa. Oh ya, plot dan pergerakan plot pun bagus, malah pengkahirannya bagus (kita sedari mukjizat yang ada pada Eli itu pada akhir filem berkait kerana dia tak mati-mati bila dicincang dan ditembak, kecuali secara dekat). Ini ada kena mengena dengan mata. Oleh sebab aku suka filem pascaapokalips jadi filem ni akan jadi filem simpanan aku pada masa depan nanti, tapi filem ni tetap tak dapat lawan filem yang sudah melampaui mesej "literasi" dalam The Postman, yang penuh intrig perjalanan dalam Waterworld, dan filem pascaapokalips terbaik dalam trilogi Mad Max.

Dan kemudian, aku menonton sebuah filem yang diberikan oleh AM Jarni, Un Prophete, arahan Jacques Audiard. Whooohhh.. ini satu genius sinema! Filem ini, aduh, susah untuk dinyatakan, tetapi bolehlah dikatakan antara filem yang faham tentang makna pergerakan dan pembangunan, walaupun tentang penjenayahan dan banduan. Ini bukan filem tentang nabi, dan mungkin amat kontreversial apabila memaparkan seorang Muslim yang sesat jalan menjadi ketua samseng terkuat, malah dianggap semacam "ajaib" untuk bersama mereka. Mungkin analoginya bergerak atas Rasulullah s.a.w. itu buta huruf, seperti watka filem, tetapi memang Audiard jauh daripada menyamakan si samseng itu dengan Rasulullah, malah kempen peperangan atau dakwahnya. Filem ini lebih berkenaan kemanusiaan, manusia dalam diri dan bagaimana manusia dalam diri itu boleh dibawa kembali (atau secara kompleks melalui evolusi) dengan situasi dan sebab akibat yang manusia itu tempuhi dengan reda dan sabar.

Filem bermula dengan sentuhan cahaya kelam, seakan mata yang terbuka sedikit. Watak samar-samar Tahar Rahim dipaparkan, penyendiri, keras tetapi lemah dan boleh dibuli. Tahar Rahim menemui "pencerahan" apabila berkawan. Satu teori sosial tipikal Peranchis (manusia tidak boleh maju tanpa bermasyarakat). Lalu cahaya melipahi Tahar, lagu runut juga berubah mendampingi watak Tahar apabila Tahar membaca, membuat kerja. Satu "pengharapan" sedang berlaku.

Apa yang menjadi kontreversi adalah bagaimana Audiard mengambil ideal keramat, seperti mengetahui sesuatu hal sebelum ia berlaku, dan dilawati "malaikat" atau "wali Allah" dengan delusi (atas penyendirian - Rasulullah s.a.w. menyendiri dalam Gua Hira' lalu Jibrail a.s. turun kepadanya membawa wahyu). Digambarkan secara psikologi dan sekali gus realisme magis, apa yang berlaku kepada Tahar sememangnya "kemurungan" lalu Tahar menampakkan imaginasi dan bayang-bayangan, menutup perasaan rasa bersalahnya membunuh. Malah, dalam "bayang-bayang" ini, Tahar di"gomol" oleh mangsanya yang menjadi "wali ghaib" yang mendampinginya. Ini menyebabkan filem ini kontreversial. Tetapi aku terpaksa akur, atas gaya ini, filem ini inovatif dan mempunyai kuasa sinema yang segar. Apabila watak Tahar hendak dibunuh, dan Tahar menyedari "Ada kijang di depan" lalu tiba-tiba kijang melanggar kereta, lalu lelaki Arab yang mahu membunuhnya menyoal, "Kamu ini sebenarnya siapa?" Satu adikarya daripada pengarahnya.

Audiard bukan sahaja cuba mencipta bagaimana satu legenda (atau sejarah kebesaran) boleh terwujud daripada satu watak (dengan berdasarkan budayanya atas kaca mata Barat), tetapi kecaman watak itu (di sini Islam) yang semakin hari memberi cahaya atau ketakutan buat masyarakat yang melihatnya "asing". Ini sesuatu yang menarik untuk dikaji, lebih-lebih lagi dalam pemahaman xenofobia (takut kepada sesuatu budaya dan orang yang asing). Kedatangan Islam dan orangnya pada bahu tanah Peranchis masih dianggap "asing" dan "terkeluar" daripada konsensus budaya Peranchis. Audiard secara halus (walaupun dianggap negatif oleh penonton Islam) memaparkan satu watak banduan yang mana humanismenya boleh dikaitkan dalam hal sarwajagat, walaupun dia bermoral buruk (malah bukan seorang Islam yang betul), amat menyentuh sanubari masyarakat Peranchis. Audiard semacam memaklumkan, adanya kemanusiaan dalam jiwa-jiwa orang Islam, walaupun seasing mana mereka kelihatan pada mata orang Barat, walaupun seorang Islam itu seorang penjenayah (ya, watak-watak anti-hero sebegini memang diminati Barat).

Semuanya sempurna dalam filem ini, walaupun kelihatan semacam bajet filem ini rendah, dengan banyak bermain dengan cahaya kelam dan ruang minimalis (penjara). Tetapi ingat, suntingan filem ini berpadu kuat, malah jalinan runut bunyi, efek suara, dan lakonan bersatu dalam ketentuan meyakinkan. Malah, jika ditonton sekali lagi, ia membuak makna-makna yang berlainan setiap kali.

Ini merupakan antara filem terbaik tahun lepas, walaupun aku tahu White Ribbon mungkin akan memenangi filem antarabangsa terbaik di Oskar, filem ini tetap satu batu loncatan sinema Peranchis. Bilalah kita dapat buat filem seepikal begini?