Aku baru selesai beberapa hal di pejabat, huhu, memang akhir-akhir ni agak sibuk. Sebenarnya beberapa minggu yang lepas, aku dijemput oleh blogger terlampau bintang Ajami untuk menghadiri pelancaran Buku untuk Filem: ESTET yang beliau selenggarakan (bukan edit, hahahaha) di Istana Budaya. Di situ, aku ketemu dengan seorang wanita yang rendah diri serta baik hati dan senang berbicara denganku, Puan Maizura Mohd Ederis. Apabila Ajami memperkenalkan Maizura sebagai penulis skrip Nur Kasih, terus kawan-kawanku (ya, Kekure terutamanya) yang gilakan Nur Kasih terus datang dan berceloteh akan jargon dan slanga yang aku tidak faham lagi akan fenomena Nur Kasih (aku mengaku, aku tak tonton drama tu, apatah lagi TV sekarang ni, drama terakhir yang aku ikuti sampai habis ialah Spa-Q 2 [zaman dok Kelantan!] dan Kekasihku Seru). Baru-baru ini aku sedar fenomena gila-gila ni (tengok kulit majalah cukup), termasuk fenomena Tangisan Bulan Madu di Singapura, yang mana ianya sebuah drama adaptasi novel Shamsiah Mohd. Nor.
Ok, secara jujur aku memang tidak berpaut sangat dengan novel-novel popular untuk diadaptasi. Melihat pada Hollywood (sebab industri kita susah sangat nak buat bandingan sebab KITA TAK BANYAK YANG MEMBACA SASTERA = KITA CEPAT TIDUR BACA BUKU = KITA BUTA BUDAYA TINGGI = KITA BANGSA MINDA KELAS TIGA AKUT) era 30 hingga kini, kita sudah lihat betapa rakus dan rancak pembikin filem mereka memilih, mengadaptasi dan membikin filem-filem daripada novel-novel, baik popular, kotor, besar, adikarya, kultus dan bodoh/murahan (Hollywood sedar ini: untuk membina tamadun tinggi, masyarakatnya perlu budaya berselera tinggi untuk HI-BU-RAN). Daripada yang senang dibikin (Roman Polanski mengadaptasi perkataan demi perkataan novel Rosemary's Baby karya Ira Levin kerana paparan dialog dan visual novel itu yang sepenuhnya sinematik lalu senang diadaptasi) hingga yang amat susah (ketebalan Gone With The Wind Mitchell dijadikan epik 3 jam oleh MGM).
Tetapi aku faham dengan budaya dan mentaliti masyarakat kita (yang nampaknya sudah mula mahu bergerak, walaupun lambat), maka tidaklah menjadi masalah bila novel popular atau di Barat sekarnag, Chic Lit menjadi bacaan (ya, Chic Lit dan novel popular Alaf 21 dan Creative tidak banyak bezanya) dijadikan bahan untuk diadaptasi. Maka itulah, aku amat-amat menyanjungi usaha Maizura yang sememangnya ingin membawa novel-novel dan cerpen-cerpen kita untuk dikongsi oleh penonton. Hal ini membuat aku menghormati beliau.
Malah fenomena Tangisan dan Nur tidak mungkin berlaku jika penulis sepertinya tidak ada. Aku selalu tidak mempedulikan lentuk pinggul si pelakon wanita atau aksi hebat si pelakon lelaki, hal utama yang aku lihat adalah cerita dan bagaimana cerita diolah (novel kita banyak cerita yang sedap untuk diolah), maka sebab itu aku mengalu-alukan penulis seperti Maizura membudayakan penulisan adaptasi novel ke skrin. Di sini adalah beberapa persoalan yang aku tanyakan pada beliau:
1. Bagaimana dengan sambutan penulisan adaptasi karya (cerpen/novel) ke filem/drama oleh penulis skrip sekarang?
Kebanyakan penulis skrip berminat mengadapatasi karya dari medium lain kerana menganggap pasarannya sudah sedia ada (ready market) iaitu di kalangan peminat karya asal. Bagaimanapun, ada kecenderungan di kalangan penulis skrip untuk memilih hanya nama-nama novelis tertentu berdasarkan populariti mereka.
2. Bagaimana pula dengan produser/pembikin/pengarah serta sambutan penonton terhadap karya yang diadaptasi?
Sambutan penonton menggalakkan. Hal ini dapat diketahui melalui forum-forum di Internet dan blog tentang novel manakah yang pembaca mahu diadaptasi ke TV atau filem.
Bagaimanapun, di kalangan penerbit, terbahagi kepada dua – ada yang berminat, ada yang tidak. Tidak minat mungkin atas faktor “kerumitan” dalam membeli hak cipta, berunding harga atau harga terlalu tinggi, sedangkan stesyen membayar harga yang sama kepada penerbit tidak kira sama ada naskhah adaptasi mahupun naskhah asli (original works).
Pengarah juga berminat mengadaptasi sekiranya karya asal itu terbukti ada pengikutnya. (fadz: eh, aku punya ada, aku punya ada! Huhuhuhu)3. Apakah cabaran terbesar dalam mengadaptasi sesebuah novel, kenapa?
Cabaran terbesar ialah untuk “memaparkan/tunjuk” (to show) kerana skrip menuntut sesuatu ditunjukkan melalui aksi dan dialog. Malang sekali, banyak novel ditulis secara memberitahu (tell). Tetapi ada novelis cenderung menunjukkan, bukan sekadar memberitahu. Contohnya Habiburrahman El Shirazy, Stephen King, Ramlee Awang Murshid dan lain-lain. Novel mereka ada elemen sinematik. Tidak hairan lah nama-nama ini sentiasa mendapat perhatian pengadaptasi. Bukan pelik kalau terdengar penulis skrip menyebut Ramlee Awang Murshid apabila berbicara soal adaptasi.
Selain itu, novel adalah kerja bersendirian. Novel meruntun perasaan atau memancing pemikiran pembaca melalui bahasa yang baik berdasarkan pengamatan novelisnya terhadap sesuatu. Tetapi apabila berpindah ke TV atau filem, ia membabitkan kerja berkumpulan. Sejauh mana kemahiran penulis skrip memvisualkannya (show) di atas kertas. Pengarah memindahkan visual ke skrin, pelakon menyampaikannya (deliver) melalui aksi, mimik muka dan penuturan dialog, sinematografi, suntingan, muzik latar, lagu tema dan sebagainya . Dan di atas sekali adalah penerbit – sanggupkah penerbit berbelanja lebih (bermakna mengurangkan untung) demi mempastikan sesuatu maksud itu sampai kepada penonton dengan berkesan?
4. Kenapa pembikin filem malas sangat nak mengadaptasi novel? Kiranya filem adaptasi yang terakhir yang saya tahu (kecuali mokumentari Lelaki Komunis Terakhir terhadap buku biografi Chin Peng) adalah Bicara Hati arahan Rosnani Jamil (novel tulisan Khadijah Hashim). Adakah kerana kegagalan filem ini dipawagam produser takut menyentuh novel ke filem? Kalau begitu, bukankah agak kekok kerana novel itu tidak terlalu diketahui (bukan bestseller seperti novel Ramlee Awang Murshid, Ahadiat, Faizal Tehrani atau Aisya Sofea sekarang) atau terkenal klasik (seperti Salina, Ranjau Sepanjang Jalan, dll.)
Bukan soal malas. Tapi belum ada rezeki. Dalam genre novel popular, hampir kesemua tajuk paling laris (best seller) sudah dibeli hak ciptanya untuk diadaptasikan ke filem. Contohnya Ombak Rindu (Fauziah Shaari), Jibam (Ujang), Bukan Puteri Lindungan Bulan ( Liana Alfiera Malik), Lagenda Budak Setan (Ahadiat Akashah) ... dan banyak lagi...
Namun, ada di antara tajuk itu tidak muncul di pawagam setelah bertahun kita menunggu. Saya ada bertanya kepada mereka yang terlibat. Jawapannya, “tak tahu”. Novel Sehangat Asmara (Aisya Sofea) pula memang ada ura-ura untuk adaptasi menjadi drama bersiri televisyen tetapi terbengkalai juga akhirnya.
5. Tidak pernahkah ada Sasterawan Negara (SN) yang sanggup karya mereka diadaptasi?
Setakat yang saya tahu, Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad), Langit Petang (A Samad Said) dan Juara (S Othman Kelantan) diadaptasi ke filem oleh syarikat produksi swasta tempatan. Karya SN perlu lebih banyak difilemkan untuk tujuan mendidik masyarakat. Namun, kita tidak boleh mengharapkan syarikat produksi swasta kerana mereka lebih mementingkan keuntungan dari segi wang ringgit. Dalam hal ini kerajaan perlu memikul tanggungjawab sosial ini dengan mewujudkan geran atau dana khas perfileman. Masukkan syarat bahawa adaptasi novel SN juga layak memohon geran ini selain filem tentang sejarah, budaya, semangat nasional dan lain-lain yang berkaitan dengannya.
Di sektor televisyen, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pernah menunaikan tanggungjawab ini dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Menerbitkan telemovie adaptasi dari cerpen dan novel penulis sastera terpilih seperti Mufarakah (Rahman Shaari), Hujan Sudah Teduh (Zaharah Nawawi), Senjakala (Baharuddin Kahar), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (Keris Mas), Jaringan (Rosmini Saari) dan Cahaya Pada Jiwa (Faisal Tehrani). Di antara enam ini, Keris Mas merupakan SN.
6. Adakah penulis skrip memilih mengadaptasi novel popular daripada novel sastera oleh sebab keterbukaan penulisnya (untuk novelnya "dicincang") atau sebab ia lebih senang diadaptasi? Kenapa?
Saya rasa kebanyakan novelis dan penerbit novel – sama ada popular atau sastera - bersikap terbuka dalam soal adaptasi. Yang tidak terbuka , mungkin segelintir.
Soal susah senang pula tidak timbul antara kedua-dua genre ini. Susah senang bergantung kepada “visual” yang kita nampak ketika membaca. Dalam sesetengah novel popular, kita tidak nampak apa-apa kecuali buaian kata-kata rindu, sayang, cinta dan kecewa terhadap kekasih. Jadi, susah untuk diadaptasi. Atau sesetengah novel sastera, hanya leteran atau khutbah tentang isu sosial, masalah dunia dan falsafah kehidupan. Ini pun susah.
Bagaimanapun, seperti kata U-Wei (Pengarah filem), lagi susah, lagi mencabar, lagi lah memberi kepuasan. Masalahnya, stesyen atau tauke filem tidak mahu membuka peluang ini atas dasar "tiada pasaran" untuk cerita yang susah.
Novel popular menjadi pilihan hanya kerana sifatnya yang popular. Ini kerana filem dan TV merupakan medium popular. Sebagai contoh, sekitar Jun hingga Ogos lalu drama seram Keliwon mencatat rating paling tinggi. Manakala kutipan tiket tertinggi di pawagam setakat ini ialah Jangan Pandang Belakang (RM7 juta). Melihat selera penonton yang seperti ini, kita dapat rumuskan bahawa agak sukar bagi stesyen atau tauke filem untuk meluluskan mana-mana cadangan adaptasi novel sastera. Kita tidak wajar marah kepada stesyen atau syarikat filem kerana mereka orang berniaga. Adat orang berniaga, mesti mahu untung.
Jadi, tanggungjawab sosial ini perlu kembali kepada stesyen kerajaan dengan kerjasama badan-badan kerajaan yang berkaitan seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Setahu saya, RTM bersikap terbuka terhadap adaptasi. Malah cadangan adaptasi lebih mendapat perhatian berbanding cadangan karya asli (original works). Atas dasar itu lah agaknya RTM memperkenalkan slot Cindai yang merupakan slot adaptasi novel tempatan masa kini. Tema yang ditetapkan seperti cinta remaja, cinta romantik, komedi, kisah rumahtangga, persahabatan dan penerapan nilai murni.
Sebelum ini, seingat saya ada beberapa novel sastera diadaptasi ke drama bersiri seperti Julia dan Cinta Madinah karya Abu Hassan Morad yang memenangi Anugerah Sastera Kumpulan Utusan kategori novel remaja. Pei Pan karya Ramlee Awang Murshid yang menang Hadiah Sako bagi Novel Nasional. pada saya Cinta Madinah berjaya kerana turut ditayangkan di saluran TV Arab Saudi. Apabila karya tempatan sudah mula dieksport ke negara luar, tentulah usaha adaptasi novel sastera seperti ini tidak wajar dipandang ringan.
Sementara itu, saya baru selesai membantu seorang penulis sastera membawa cadangan adaptasi cerpen beliau ke sebuah stesyen TV swasta. Katanya untuk drama khas berbajet tinggi. Biarpun belum ada jawapan tapi reaksi awal menunjukkan stesyen berkenaan menyukainya. Peluang ini jarang datang. Biasanya, kita teruja dengan reaksi seperti ini tapi takut hendak berharap kerana takut kecewa. Setakat ini saya sudah membentangkan (pitching) beberapa cadangan adaptasi dan sedang menunggu kelulusannya.
7. Fenomena Tangisan Bulan Madu contohnya, adakah ia membawa pembaca novel popular (bukan penulisnya) itu naik geram terhadap "perubahan" atau "pemesongan" yang dibuat dalam skrip?
Soal penonton "geram" sudah dijangka dari awal lagi. Namun, perubahan dan pemesongan itu berlaku dalam bentuk penambahan banyak visual baharu bagi menyampaikan maksudnya dengan lebih berkesan melalui medium televisyen. Penambahan ini dibuat tanpa mengubah semangat atau “roh” asal Tangisan Bulan Madu. Termasuk juga penambahan bahan mentah (raw material) baharu sebagai plot sampingan (subplot) untuk mencukupkan durasi 30 episod. Selain itu pengembangan watak (character development) berbeza antara novel dan filem/drama atas sebab perbezaan antara “beritahu” (tell) dan “papar” (show) yang saya terangkan sebelum ini.
Bagaimanapun, ini lah risiko yang harus ditanggung oleh penulis skrip ketika membuat adaptasi.
8. Penulisan adaptasi ke filem, ada potensi?
Potensi itu terletak di tangan tauke-tauke filem. Jika mereka masih memandang ke arah filem-filem formula DY dan mengabaikan cadangan adaptasi novel, jawapannya tiada potensi.
Sementara itu, kita perlu menyelesaikan masalah filem adaptasi novel yang terbengkalai. Jika kewangan puncanya, kita mesti faham bahawa memang sukar mendapatkan pembiayaan (financing) untuk projek filem kerana risiko tidak pulang modal memang tinggi kalau filem itu gagal. Apatah lagi di saat keadaan ekonomi tidak menentu seperti sekarang. Kita perlu realistik dalam soal ini.
9. Saya ada menonton beberapa filem [seperti Berlin Alexanderplatz(1980), The English Patient(1996), Naked Lunch(1991)] yang diketahui susah diadaptasi tetapi telah dibuktikan oleh pembikin filem Barat ianya boleh dilakukan. Antara yang paling ambisi dan terbaik adalah Mishima: A Life in 4 Chapters(1985) yang diadaptasi oleh Paul Schrader daripada biografi mendiang sasterawan Jepun itu, memoirnya serta tiga novelnya, dan hal ini sudah kiranya cukup memberangsangkan. Kenapa tiada penulis skrip kita boleh mencapai taraf mengadaptasi sebegini?
Soalan ini sukar dijawab kerana saya hanya sempat menonton satu filem yang tersebut di atas, The English Patient. Tetapi tidak berkesempatan membaca novelnya.
Namun, apabila menyebut ‘ambisi’, saya rasa kebanyakan penulis skrip mahu terlibat dalam "ambitious project". Kalau pun tidak setaraf dengan yang saudara sebutkan di atas, sekurang-kurangnya biar lah ‘ambisi’ dalam standard Malaysia – mungkin yang lebih baik daripada apa yang kita lihat sebelum ini. Malangnya, peluang itu kurang muncul. Stesyen swasta terutamanya ragu-ragu hendak meluluskannya. Ini berpunca daripada tumpuan mereka kepada konsep rancangan yang lebih berbentuk hiburan dan bernilai komersil yang tinggi.
Seorang eksekutif saluran TV swasta pernah memberitahu bahawa 70 peratus daripada masa kerjanya ialah menghadap orang-orang atasannya untuk meyakinkan mereka tentang sesuatu konsep yang pada fikirannya berkualiti. Kerap kali si bos menjawab, “memang bagus” tapi selepas itu senyap sahaja. Hinggakan dia mengeluh kepada kami sambil berkata, “let’s open our own channel”.
Dalam soal ini, sekali lagi kita perlu realistik. Tidak boleh marah kepada para pembuat keputusan di stesyen TV kerana mereka bertanggungjawab kepada pemilik stesyen dan para pelaburnya. Kebanyakan stesyen adalah syarikat berhad yang disenaraikan di bursa saham. Sudah tentu lah keuntungan maksima dari segi wang ringgit menjadi matlamat mereka.
Bagaimanapun, saluran Astro Citra (131) kini memperkenalkan slot Suatu Ketika - drama bersiri mini yang diadaptasi dari peristiwa penting atau ikon negara. Setakat ini kita sudah menonton “Warkah Terakhir Rosli Dhoby” yang diangkat dari kisah benar seorang nasionalis Sarawak. “10” daripada lagenda bolasepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari. “Korban 44” daripada tragedi tanah runtuh di Kampung Orang Asli Dipang, Perak. Bakal tersiar adalah “Senoi Praaq” yang diangkat daripada kisah benar skuad polis hutan orang asli menentang gerila komunis. Drama ini pula diterbitkan seiring dengan genre bukan-fiksyen iaitu dokumentari topik yang sama yang disiarkan di saluran Astro Prima (105). Contohnya, dokumentari “Rosli Dhoby: Pejuang atau Pembunuh” disiarkan terlebih dahulu sebelum Warkah Terakhir Rosli Dhoby. Mungkin stesyen mahu menjadikan dokumentari sebagai bahan promosi drama.
Hasil perbualan dengan rakan-rakan penulis skrip, slot ini memang menjadi idaman mereka. Ini membuktikan bahawa penulis skrip kita bersedia melangkah ke tahap yang lebih tinggi sekiranya stesyen membuka peluang. Saya harap saluran TV swasta lain mengikuti langkah Astro Citra ini.
10. Apakah dia "loose adaptation", "inspired by a _____" berbanding dengan "close adaptation" atau adaptasi yang normal? Adakah penulis novel/cerpen tahu akan hal ini? Ini belum masuk lagi "response to a book" atau memparodikan atau mengreferensi sesebuah karya. “Loose adaptation” adalah adaptasi longgar. Ia sekadar mengambil semangatnya manakala plot, struktur, bahan dan visualnya dirombak semula untuk menyesuaikan dengan medium baharu. Sementara itu, “close adaptation” adalah adaptasi yang rapat - hampir menyamai naskah asal (walaupun tidak seratus peratus). “Close adaptation” mudah dilakukan terhadap novel yang mempunyai kekuatan visual atau ditulis dengan mengambil kira elemen sinematik.
Novelis atau cerpenis, ada yang tahu tentang ini dan ada yang tidak tahu. Yang tidak tahu perlu diberitahu supaya mereka faham dan tidak marah-marah bila mendapati adaptasi tidak sama dengan karya asal.
“Inspired by” bermaksud skrip yang diilhamkan daripada samada novel, cerpen, filem, teater atau apa sahaja. Dan ia perlu ditulis pada kredit pembukaan (opening credit) sebagaimana adaptasi juga. Setakat yang saya ingat, filem Indonesia Kahwin Lari (kalau tak silap tajuknya) diilhamkan daripada drama teater barat, The Glass Managerie karya Tennesse William.
Di peringkat tempatan, kita sudah ada slot Inspirasi P. Ramlee di saluran Astro Prima. Slot ini memaparkan drama yang diilhamkan daripada filem-filem terpilih Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Skrip asal filem berkenaan diolah semula dalam bentuk moden dan diberi tafsiran baharu yang lebih segar. Beberapa kejutan (twist) baharu juga ditambah kepada plotnya. Setakat ini kita sudah menonton beberapa tajuk seperti Babak Empat Madu Tiga, Orang Minyak Naik Minyak, Senandung Malam, Misteri Penarik Beca, Sonata Labu Labi dan sebagainya.
Sementara itu, TV3 memperkenalkan Slot Lagenda yang diilhamkan daripada cerita rakyat. Contohnya Akukah Tanggang dari kisah Si Tanggang, Batu Belah (Batu Belah Batu Bertangkup), Anak Betong (Anak Buluh Betung), Lara Rindu Mahsuri (Mahsuri), Merah Putih (Bawang Merah Bawang Putih) dan sebagainya. TV3 juga pernah menyiarkan drama bersiri Yusuff yang diilhamkan dari Surah Yusuf dalam al-Quran tetapi menukarkannya kepada latar dan watak zaman sekarang.
“Response to a book”, parodi, atau referensi adalah genre yang asing di Malaysia. Budaya ini belum ada. Saya tidak pasti samada filem Jangan Pandang Belakang Congkak (Ahmad Idham) atau Kala Bulan Mengambang (Mamat Khalid) boleh dianggap parodi. (fadz: ya, filem-filem itu adalah filem parodi, ataupun punya unsur homaj, setakat ini memang buku susah untuk diparodi atas dasar ianya belum dicuba, adaptasi pun tak banyak, inikan pula parodi kan?)
Namun sesekali, saya terlintas untuk menulis skrip yang diilhamkan daripada novel dan drama bersiri Tangisan Bulan Madu. Malah terlintas juga parodi atau spuf Nur Kasih (drama bersiri TV3) yang judulnya “Nur Kasihan”. Oleh kerana belum ada perlaksanaan, saya anggap ini sekadar cakap kosong. Pedulikan....
Sebagai kesimpulan, setakat ini, kita perlu menumpukan segala usaha dan perhatian terhadap adaptasi novel atau cerpen terlebih dahulu demi mempertingkatkan kualiti industri filem dan drama tempatan ke tahap yang lebih baik daripada yang ada sekarang.
fadz: Hah, penulis skrip kita mahu ke depan, sang penerbit, ahli korporat, badan kerajaan, bila lagi?
11 comments:
fadz: Hah, penulis skrip kita mahu ke depan, sang penerbit, ahli korporat, badan kerajaan, bila lagi?
tunggulah kita bila hari itu mau datang.. insyaalah
salam fazh:cuma nak ckap kita sebnar dlm filem atau drama boleh pergi jauh,kita bukan takder penulis krip ynag bgus n novel2 yang boleh di adaptasi kan tpi masalah nye si pengarah ni pulak takut nak buat filem yang lain.tapi kalu pengarah tu sanggup masalah dkat penerbit pulak. tu maslah tu....
bila seni buat atas nama duit bukan dr segi kepuasan tu bukan seni.tu sengal...
org kita takut nak kuar dr kebiasaan,sbb tu kita tak maju.
contoh org suka cita seram semua buat cita seram,katanya market lah, tu masalah tu..sebenar kita kena kretif..kalu kita kretif kita boleh berjaya..beberapa contoh cita luar aku ambil mcm slumdog milionier,aku teruja cita di sbb dia boleh jumpa idea dgn game show dapat buat movie yang menyayat hati dan banyak lgi tp tak ingt..tu aku ckp kita kena kretif dlm benda ni...
apa2 pun tu idea aku fazh.heheh
mungkin ko ada pendapat lain boleh kongsi heh..wokeh
Teringin nak lihat Saga Horizon diadaptasi ke filem, sama ada versi animasi atau live action, dan satu lagi, novel Di Ar Ti karya Rahmat Haroun, kalau diadaptasi ke filem boleh jadi filem sai-fai thriller Melayu yg best.
"saya hanya sempat menonton satu filem yang tersebut di atas, The English Patient. Tetapi tidak berkesempatan membaca novelnya."
dia pun tertidur kalau baca novelnya kot. kah kah kah.
fadz kerja dengan media prima atau rtm atau finas takpun astro lah senang nak cucuk dari dalam. kerja dengan dbp boleh buat penawar imsonia je.
Yeah saya memang peminat tegar Nur Kasih..
Temubual yang menarik! Saya suka :)
Menarik! i met kak mai personally and dia ada vision and mission dia, she just know what she wants in writing.
Anyway Fadz, bercakap pasal novel ke film, i dah pegang kuat manara gedembai sbb penulis yang tak dikenali tu dah bagi i permission tuliskan ke naskah script awal tahun aritu..tak tahulah dia masih ingat dan berminat lagi ;)
i likeee! event2 cegini yg aku suka bila dapat meng-kenen-kan kekawan utk networking!
wey! bila nak intebiu aku pulak???
kamal, yey! amin!
dakwat merah, ko mmg ada poin, itulah, halnya, kita nak juga tgk filem2 kita diadaptasi daripada novel2 kita, entahlah, mungkin kita macam Thai, mereka pun lembap nak adaptasi bahan novel mereka ke filem..
zul, ianya mungkin takkan berlaku, huhuhuhu, satu: sapelah yg baca Saga, hahaha, kedua, ada byk novel yg mereka boleh cuba sebab punya plot yg laju seperti novel2 Nazri dan Zehann Ur Rakhie. Tapis erius aku mmg rasakan JIAN boleh difilemkan sebab ia tak memerlukan efek yg terlalu, hanya komitmen yg bersungguh. DiArTi cantik, tapi perlu diubah2 sikit pengkahirannya, awal dan tengah dah ada cerita, pengakhiran kena cuci sikit.. tapi ya, rasanya tu pun takde masalah kalau penulis skrip nak cuba "menvisualkan" dna buat plot2 menarik.
anon, erk, tak leh takleh, serius, satu2 badan di Malaysia ni (termasuk ASTRO tu!) takkan berubah jika Lembaga Pengarah dan Pengarahnya tak mau berubah, aku tau sebab aku di dalam satu (opss, hohoho), jadi org di bawah atau dalamnya lagi takleh buat apa2, malah kadang2 kalau cakap, dituduh kurang ajar atau diherdik atau diugut buang kerja. Aku sendiri dah terkena bro.. jadi abang aku, memerhati badan profeudalis di Malaysia ni sedar, bahawa, untuk menghentak badan2 ni, ia kena org luar yg hentak, sebab mereka takde kepentingan... tgk ajelah apa yg berlaku pada tokoh hebat macam Naquib al-Attas bila mahu suarakan pendapat atau kononnya atas pengaruh menteri itu dan ini.. bodoh betul! hal macam tu, aku bersumpah aku takkan masuk Finas, RTM, media Prima atau Astro kecuali kalau mereka betul2 nak berubah.
miss brat, erk, terima kasih.. saya pun pandang tinggi kai Maizura ni.. nama pun heroin dalam novel Jian saya, hohohohohoho! (hint hint!)
kekure, eh, awak mmg fan tip top nur kasih, tabek!
ajami, tak leh! awak terlalu pop dan terkenal di media maya ni... line klise ttg ko: asyik2 ajami, asyik2 ajami... hahahahah
Anda salah eja nama maizura di bahagian title. :)
Post a Comment