Kelmarin (11.5.2009), aku ditemu ramah oleh Aidel sessi Popradio, Bernama Radio 24 (KL- 93.9, ala-ala BBC gitu) pada 3.30 ptg tentang "Filem Kita Wajah Kita" - erk!
Tak tahu macam mana nak simpan bentuk digitalnya. Tapi, haha, memang gugup sih!
Terima kasih buat Radio 24 kerana memberi peluang memberi pandangan, dan terima kasih Zeera kerana membuat aku sakit perut satu hari, hahaha.
Ya, tengan tensen, hahaha, kerja belambak hari ni, untuk menghilangkan ketensenan yang melanda (sampai menonggeng) inilah lagu aku:
The sun'll come out Tomorrow Bet your bottom dollar That tomorrow There'll be sun! Just thinkin' about Tomorrow Clears away the cobwebs, And the sorrow 'Til there's none! When I'm stuck a day That's gray, And lonely, I just stick out my chin And Grin, And Say, Oh! The sun'll come out Tomorrow So ya gotta hang on 'Til tomorrow Come what may Tomorrow! Tomorrow! I love ya Tomorrow! You're always A dayA way! (video klip sangat menarik, macam kena dengan mood aku sekarang, haha!)
Ya, masih ingat lagu tu waktu balik dari Florida masa tengok kat pawagam, yeap Annie merupakan filem budak kecik aku. Lagu satu, ET. yup. Ye lah, ngan Star Wars dan Superman gak masa tu (sapa tak suka Superman zaman tu, kena kutuk creep). I was bloody 4 yo for god sake!
Anw, ni lagi satu filem masa kecik yang aku tonton dan "really freak me out".. dan sememangnya dah cult (first time tonton filem ada alien, boobs, sex (very mild ok!), kid hero and weird Tv fetish): TERRORVISION! Masih cari sampai sekarang. Ya, pengkahirannya sangat pelik!
"Why instigate the need to suffer?" Dialog watak dalam INLAND EMPIRE
"I love Hollywood!" David Lynch tentang pembikinan INLAND EMPIRE
Buat kali ini, filem Lynch yang terbaru agak panjang, tiga jam, walaupun lanskap dan imej-imejnya menarik (lebih-lebih lagi apabila Nikki/Susan/Wanita Sesat Itu) dan masih membuat mata anda bergegar, ia agak panjang walaupun buat aku. Dalam tempoh aku ambil untuk menonton filem ini (yang dihantar oleh Spiral yang baik hati), aku tertidur tiga kali dan mengambil masa tiga malam (campur pagi Jumaat hari cuti sebelum kawan rumah sewa bangun, ya mereka tak suka tengok aku tengok filem-filem "mengarut" macam ni) untuk menghabiskannya. Tetapi memang apabila menghabiskannya, anda seakan merasakan anda baharu mencapai satu klimaks seks yang paling seronok (dengan sesiapa, janji cantik) di katil anda lalu mencari rokok yang terletak tepi meja lalu menghisapnya dengan puas. Ya, begitulah yang aku rasa apabila selesai menonton filem yang panjang jadah ni.
Buat mereka yang menginginkan aku membuka kod-kod dan menterjemahkan setiap simpang-siur plot tak ikut hukum garis lurus (tapi buat aku, ia lebih senang diikuti daripada yang paling haram jadah iaitu Lost Highway) dalam filem ini, maaflah aku takkan buang masa korang untuk semua tu. Silalah buka dan baca http://www.imdb.com/ di Discussion Board di mana perbalahan dan perbincangan tentang plot dan subplot dan setiap ikatan simbol dalam filem itu disampaikan dengan teliti dan baik sekali (tetapi perlu juga sedikit ilmu tentang filem-filem Lynch yang terdahulu terutamanya Twin Peaks: Fire Walk With Me dan Mulholland Dr) dan terjemahlah filem ini sendiri. Buat aku, yang penting buat aku sekarang (ya lah, macam dah hebat lah tu) ialah menyelusur dan merasa sahaja filem-filem Lynch, seperti mana yang Lynch aku tahu sebenarnya mahu, untuk kita tersinggung/ suka/ gentar/sentak dan seronok dengan campuran visual-suaranya.
Seperti mana pada akhir filem Mulholland Dr, si penyanyi mengucapkan "Silencio". Pada awal filem ini pula, ditampakkan dengan perkataan "Absurda". Sememangnya Lynch semahu-mahu mengatakan, kegelapan dan cahaya yang anda akan tonton ini sebuah absurd. Beliau tidak pernah selurus itu. Ya, ramai para pengkritik mengatakan ini ialah 8 1/2 atau PersonaLynch. Kemungkinan itu ada. Apa yang lebih menarik ialah keinginan Lynch menyentuh spiritual (bukan secara literal, tetapi sekurang-kurangnya terhadap sinema dan pembikinan sinema) tentang sinema atau filem dan segala yang tersingkap tentangnya - paling utuh, filem dan pembikinannya terhadap seorang pembikin (pembikin di sini bermakna para produser, pengarah, pelakon dan kru) dan komunikasinya terhadap penonton.
Malah dalam filem ini, Lynch benar-benar mengatakan beliau "tuhan" (secara faktanya tidak, oleh sebab pembikinan filem ini berlaku secara rawak, dengan pembikinan skrip yang dicipta tiba-tiba mengikut mood Lynch, ini adalah pembikinan Lynch yang paling prasedar - semahunya menyeluruhi idealisme surrealnya) apabila memberi "cahaya" dan "lagu" kepada kita dalam gelap kredit awal. Kita diberi perkataan "INLAND EMPIRE" - empayar dalaman (nama lain buat Hollywood/Carlifornia). Filem ini semahu-mahunya menangkap prasedar Hollywood.
Apa yang Hollywood berikan kepada kita? Cerita. Paling penting cerita itu mesti mengkagumkan (walaupun realitinya tidak logik) dan akhirnya mesti membawa kelonjakan rasa tenang. Itu hukum klise Hollywood. Lynch memberi satu lagi klu, mainan piring hitam di mana jarum sedang "memainkan" cerita (cerita yang kita sedang tonton). Di sini Lynch menjadi "ahli falsafah". Hollywood menyampaikan cerita, cerita yang pelbagai tetapi sudah ditetapkan (rekod). Kadang-kadang cerita diambil daripada realiti/idea/sains. Lynch menyatakan ceritanya diambil daripada mimpi.. Mimpi yang sebenarnya menyampaikan cerita sebenar Hollywood oleh sebab semua mimpi akan ditemui di filem (kita sebenarnya tidur di dalam pawagam). Cerita Lynch ini sedikit menarik kerana, dalam watak dan ceritanya, ia harus "pernah berlaku" terhadap semua orang kerana semua orang akan "merasa" emosi yang akan disampaikan. Ini didaktik Lynch.
"Pernah berlaku" ini penting untuk ditafsir kerana, jika kita lihat perkembangan "doopleganger" atau transportasi perubahan watak (seorang watak A tiba-tiba jadi watak B, dan seterusnya) dalam filem-filem Lynch (sebenarnya, ada perkembangan lakonan transportasi watak secara eksperimen yang berlaku dalam filem Lynch, sila lihat perubahannya sedari Eraserhead, kemudian Blue Velvet, Wild At Heart, Lost Highway, Twin Peaks dan paling akhir Mulholland Dr), dalam filem ini, ia tampak secara sedar bahawa ide utama Lynch bahawa jika watak seorang wanita yang tersiksa batin boleh terjadi dan di"paksa" lakon oleh A atau B atau C, ia juga boleh "dilakon"kan secara prasedar oleh KITA SENDIRI (caps untuk mewujudkan kaitan dengan INLAND EMPIRE - empayar intradiri. Itu tujuan Lynch dalma hal ini, dan INLAND EMPIRE menyatakannya tanpa malu-malu lagi.
Berjaya atau tidak cerita dan emosi yang ingin Lynch sampaikan itu subjektif. Yang penting, idealismenya disampaikan (ini menyebabkan ada yang mengatakan filem terbarunya buat kali ini sangat pretentious kerana ada peranan memaksa). Dan kalau kita langkau satu lapisan lagi (berkenaan komunikasi pembikin dengan penonton), Lynch ingin menyatakan bahawa ada dua jenis cerita, satu adalah cerita sebagai cerita, ia disajikan hanya sebagai cerita, tak lebih daripada itu. Majoriti pembikinan filem memiliki idealisme ini (rujuk Nuovo Cinema Paradiso). Kemudian, ada sebuah lagi cerita yang "diceritakan" (dalam filem ini ada tiga simbolisme "cerita" sebagai budaya penyampaian manusia: piring hitam, tukang cerita dan filem) untuk mencapai satu "kepuasan spiritual" - memberi karma (point Lynch adalah tuhan) dan penyelesaian terhadap kekasutan (yang boleh jadi dalam realiti) atau kecelaruan, seakan dengan pembikinan INLAND EMPIRE, Lynch memberi "roh" baharu buat "imej yang tersiksa" dalam realiti (kita). Dalam filem ini, cerita berperanan melebihi konteks cerita sebagai cerita tetapi cerita yang melangkau tujuan fizikal kepada metafizikal. Di dalam filem, para hantu yang sesat boleh kembali ke cahaya Tuhan (imej terakhir filem, baik buat Wanita Sesat yang kembali kepada Suami dan Anak Dalam Kandungannya serta buat Nikki/Susan). Sebenarnya bukan idea Lynch ini bukan yang pertama, tetapi sebenarnya pernah digunakan dalam New Nightmare, The Adventure of Baron Manchausen, The Neverending Story dan Cigarette Burns.
Klu untuk ini boleh dikesan daripada penceritaan "sumpahan" dalam filem ini. Kita tahu, Lynch menolak "tahyul" (ya, beliau tidak percaya kepada Tuhan), malah tahyul ialah suatu alat plot (plot device) buat Lynch dalam filem-filemnya (point Lynch bahawa manusia tidak boleh lari daripada mengekspresikan simbol lalu simbol itu "dipercayai" fungsi/ertinya lalu dianuti). Simbol-simbol cult/agama dalam filem Lynch sebenarnya satu penanda psikoanalisis serta surreal tentang dinamisme cetusan perangai kita yang tidak menentu. Iblis dalam filem Lynch melangkau bilazim moral manusia (rujuk Bob-Leland-Laura Palmer dalam Twin Peaks). Lynch tidak mempersalahkan manusia ataupun tuhan dengan kebobrokan yang diadakan oleh manusia kerana manusia memang manusia, ketidaktentuan yang dilakukan menunjukkan mereka manusia, lalu dengan simbol yang dicipta dalam prasedar manusia disampaikan untuk memahami ketidaktentuan ini.
Ketidaktentuan dan alat plot yang digunakan dalam INLAND EMPIRE ialah sumpahan itu. SUMPAHAN itu yang menyebabkan Nikki dipaksa menjadi SUSAN yang sebenarnya adalah WATAK yang dimainkan oleh seorang wanita Polish (filem itu tidak siap kerana tiba-tiba dua pelakon utamanya mati). Sumpahan itu sememangnya dijadikan alasan untuk Nikki memasuki dunia ketidaktentuan (yang digerakkan oleh tanda AXXoNN). Yang memaksa semua ini sudah tentu Lynch, dan kali ini, Lynch ingin menyatakan hal ini hanya boleh "mengubati" roh Wanita Sesat itu dengan melalui (baik untuk Lynch sendiri, para pembikin filem yang diterajui oleh Laura Dern, serta watak Wanita Sesat yang diadakan) pembikinan dan kemudian tontonan filem ini (Nikki akan menonton dirinya).
Kuasa filem ini terletak semahu-mahunya pada Laura Dern yang (dipaksa) melakonkan watak Nikki/Susan/Wanita Sesat serta beberapa watak yang akan kita ketahui bila menonton filem ini. Ya, Laura Dern terpaksa membawa pelbagai watak dalam satu masa! Dan paling susah ialah, dalam satu babak, Laura yang kemungkinan Nikki, kemungkinan Susan, kemungkinan Wanita Sesat, kemungkinan FILEM INI SENDIRI. Tidak pernah aku tonton satu lakonan yang amat susah sebegitu dan Laura Dern berjaya menangkap dan menyampaikan dinamisme pelbagai watak dalam satu babak(!) itu dengan sangat-sangat baik. Sepatutnya, anugerah akademi buat 2008 jatuh ke ribanya.
Susunan runut bunyi dalam filem ini amat hipnotik. Kesemua lagu memberi kuasa gelisah dan seronok yang benar terhadap imej yang dipaparkan. Lagu terakhir Nina Simone menandakan perayaan pada jiwa yang puas dan menikmati hidup (sila lihat siapa di akhir filem, dan ingat Black Lodge Twin Peaks serta Pentas Blues Mulholland Dr: kita fahami ini bukan akhirat tetapi lebih kepada satu imej-suara imbuhan kelegaan dan cetusan kepuasan/keseronokan selepas ribut dalam filem Lynch. Ini aku dapati bila menonton Twin Peaks banyak kali. Black Lodge sebenarnya satu platform buat Lynch menyimpan plot baru atau merehatkan para pelakon/penonton/Lynch - to chill out, to have fun, to ponder) setelah apa yang kita lalui sama-sama dengan Lynch dan Laura Dern.
Penggunaan kamera digital oleh Lynch sangat revolusioner walaupun pernah dibikin oleh orang lain, tetapi suram dan ketidaktentuan di dalam tangan Lynch yang membuatnya menarik, pun begitu aku tetap meminati filem-filem yang menggunakan kamera filem yang betul oleh beliau. Lakonan para pelakon lain juga baik, dan amat seronok melihat Grace Zabirskie sebagai watak Tukang Tilik dalam filem ini, juga kemunculan Laura Harring di akhir cerita. Si Wanita Tanpa Kaki serta Monyet juga mencuitkan hati (menjawab persoalan jika anda mahu jadi detektif cerita, bahawa tempat di akhir cerita itu alam barzakh, tetapi aku tetap tidak menyetujuinya) dan memberi cerita ini satu kesimpulan yang menyeluruh. Dan, oh, hebatnya babak Rabbit itu!
Sememangnya filem ini, jika ditonton dengan enteng, kita akan memburukkan Lynch bahawa beliau kemungkinan main tangkap cerita dan tangkap apa sahaja yang beliau nak, dan ambil para pelacur dan model wanita lalu tangkap lagi suka-suka lalu buat suntingan dan jadilah sebuah filem. Tetapi jika anda "rajin", tanpa perlu jadi detektif cerita, anda akan mengalami sesuatu yang mengasyikkan dan tidak dapat anda lupa selepas menonton filem ini.
INLAND EMPIRE merupakan antara filem terbaik 2008 buat aku.