"Life is like a film, it always has a happy ending and if there is no happy ending it means that the film is not done yet."
- Om Kapoor
Kalau korang mengikuti blog ini, korang sudah tentu tahu bahawa aku memang anti filem Hindustan (oleh sebab klise yang diulang-ulang dan kebanyakan filem-filem Hindustan yang meniru filem-filem Hollywood dan Eropah). Tetapi aku mengaku, hal ini berubah apabila aku berada di Kota Bharu. Histeria orang Kelantan terhadap filem-filem Hindustan ini sangat ekstrem, dan boleh dilihat dalam pilihan reka bentuk rumah sehingga kepada fesyen ibu-ibu dan bapa-bapa serta lagu-lagu dikir barat yang meminjam lagu-lagu popular daripada filem-filem Hindi. Fenomena ini begitu serius sehingga aku menyoal diri aku, kenapa Hindustan sangat digemari sampai sekarang, terutamanya orang Melayu? Pada tahun lepas, aku ada menonton filem Om Shanti Om di TV2 dengan kawan staf aku di sebuah hotel di Sabah (dalam urusan pekerjaan di sana) pada bulan Aidilfitri.
Pada mulanya aku memang menolak menonton filem itu, tetapi kawan aku (dari Selangor) yang menggilai filem Hindi mengatakan ianya sebuah filem yang "unik" dan tentu akan membuat aku terpesona. Aku menonton dengannya, dan aku memang tergamam, jalan cerita filem itu sangat baik dan penuh garapan teknik yang bermutu. Lakonan Shah Rukh Khan berserta Shreyas Talpade sebagai sahabat sedarah sungguh mengkagumkan. Malah filem ini mengenalpasti genre Bollywood pada zaman kegemilangan awalnya (komedi dan melodrama) dengan perkaitannya terhadap popularitinya sekarang (adunan pop dan unsur budaya Barat), berserta inti falsafah India sebagai negara berbilang agama dan bangsa (multiculturalisme).
Filem dimulakan dengan watak Shah Rukh Khan dan Shreyas Talpade (unsur Rama dan Hanuman dalam Ramayana) bercita-cita untuk menjadi bintang pada era 70-an Bollywood, yang pada masa sama, Deepika Padukone (pelakon muda yang sangat memberangsangkan bakatnya) seorang bintang zaman itu menjadi idola dan "impian" buat Shah Rukh Khan memilikinya (ideal Rama menyunting Sita). Shah Rukh Khan berjaya mendekati Deepika apabila berlaku satu kemalangan di set dan Shah Rukh menyelamatkan Deepika daripada disambar api yang marak. Shah Rukh mendekati Deepika dengan berlakon sebagai pelakon terkenal Tamil(!) yang membawa diri ke Bombay. Deepika menyukai Shah Rukh, malah bernyanyi-menari satu atau dua lagu (dalam filem Hindustan, tari-nyanyi antara dua jantina berbeza adalah semacam acara pantun memantun sepasang kekasih Melayu, yang kadang-kala boleh diertikan sebagai simbolisme fantasi "rating U" persetubuhan antara pasangan kekasih itu). Pada suatu hari, Shah Rukh terdengar di balik dinding bahawa Deepika sudah berkahwin secara rahsia dengan Arjun Rampal, watak penerbit kacak dan kaya studio besar bintang itu yang ingin merahsiakan perkahwinan mereka dan sanggup "kahwin lain" untuk projek perfilemannya dengan seorang mogul filem. Shah Rukh pecah hati sedang Deepika ingin membocorkan rahsia perkahwinannya kepada dunia.
Sebenarnya, filem ini sangat sesuai sebagai filem yang memperkenalkan dunia Hindustan kepada penonton barat. Segala yang ingin kita fahami dan lestari tentang Hindustan ada dalam filem ini, dna kesemuanya dipersembahkan dengan dos yang cukup dan sangat menarik. Malah, ini kali pertama aku menonton sebuah filem Hindustan yang mana aku rasa adegan tari-nyanyiannya sangat bersesuaian, padat dan sangat seronok untuk diikuti. Seperti filem Kandukondain Kandukondain(2000) (nota fadz: buat aku, filem Tamil atau Kollywood lebih jauh hebat daripada Hindustan. filem yang aku nyatakan di sini adalah contoh filem Tamil yang sangat baik, diadaptasi daripada sebuah novel Jane Austen!), acara tari-nyanyinya terikat cantik dengan adegan cerita, malah, seperti Braodway, melampirkan fantasi, rasa dan falsafah wataknya yang "benar" terhadap konflik dan tujuan cerita dan langsung tidak meleret. Malah, ada satu adegan perkenalan bintang-bintang hebat Hindustan dengan lagu "Om Shanti Om" merupakan satu kumpulan Felinesque sekali gus homaj terhadap kuasa tari-lagu dalam Hindustan, malah ia bersesuaian dengan pergerakan plot. Malah adegan itu sangat mencuit perasaan, lebih-lebih lagi kepada peminat filem Hindi yang memahami siapa dan mengapa aksi para pelakon yang menari, mencemik dan berlaga bontot dengan Shah Rukh Khan dalam babak itu (para pelakon yang pernah berganding dengan Shah Rukh Khan).
Filem ini juga tentang harapan dan bagaimana jika Tuhan memang memberi peluang terhadap seseorang (dengan penggunaan unsur penglahiran semula Hindu) untuk merealisasikan harapannya. Idealisme ini sendiri ialah tujuan filem Hindustan ini: bagaiaman jika "fantasi" tari-menari-drama-cinta yang diharapkan itu "benar-benar" dikabulkan dalam realiti seseorang (ini adalah antitesis terhadap filem "pengejutan realistik" fantasi Hindustan oleh Ram Gopal Varma dalam Rangeela(1995) yang mengatakan fantasi hidup filem Hindustan itu "palsu" atau tidak boleh direalisasikan). Malah "penghidupan semula" Shah Rukh Khan sebagai Om Kapoor(!) (dalam adegan era lampau, Shah Rukh Khan ditegur kerana namanya tidak sesuai sebagai pelakon, lalu Tuhan merealisasikan "doa" sahabatnya apabila Shah Rukh benar-benar menjadi Om Kapoor dalam kelahiran semulanya!) bertujuan dua: merealisasikan harapan watak (simbol ordinary man of India, Shah Rukh Khan seperti Cary Grant, dikenali sebagai pelakon yang boleh membawa watak manusia biasa yang mendepani hal-hal yang luar biasa, dalam konteks Hindustan, dalam perjalanan menyunting cinta) yang ditolak impiannya (secara tragedi) pada masa era lama, dna kedua, memberi "keadilan" dan "pengisian harapan" kepada menonton yang mahukan "harapan" Shah Rukh Khan dan Deepika Padukone dikabulkan.
Ini adalah kemahuan sebenar pengarah dan penulis skrip filem ini, Farah Khan dalam merumuskan filem Hindustan. Malah, dalam satu lirik filem ini, Farah Khan menyatakan idealisme filem Hindstan dengan "benar" terhadap apresiasi penontonnya: walau bagaimana tersiksa dan hebatnya perjalanan watak hero, para penonton menunggu untuk "happy ending" heronya di akhir cerita. Maka itu yang direalisasikan dan dirumuskan oleh Farah Khan dalam satu talian plot yang sangat terjaga. Inilah tema falsafah Hindustan yang tidak boleh diubah dan akan sentiasa wujud, Farah memahami tujuan eskapisme Hindustan (dipertayangkan dengan angan-angan Mat Jenin Shah Rukh menjadi bintang terkenal dan memiliki Deepika - yang berlaku dalam babak-babak tari-menyanyi) terhadap penonton dan menyatakan kenapa ia diperlukan tanpa kompromi. Ya, tragedi boleh berlaku (dengan unsur melodrama yang tinggi - simbolisme Kiron Kher sebagai ibu Shah Rukh Khan) dalam filem Hindustan tetapi ia memerlukan "penyeleraian harapan" untuk mengimbangi jiwa penonton yang menontonnya. Malah dengan ekstrem, Farah menandakan, hanya dengan filem, tujuan ini boleh diperolehi.
Filem ini juga benar dengan idealisme tari-menyanyi sebagai bentuk "ibadat" orang Hindu terhadap dewa mereka apabila pemaknaan "Om" itu yang bermakna "Tuhan" dan "Shanti" yang bermakna "Cahaya" di mana Shah Rukh Khan ditandai sebagai "Om" dan Deepika sebagai "Shanti", maka percambahan kedua-dua watak ini menjadi satu mencipta kilauan, penanda makna filem dalam hidup orang Hindu: meraikan kehidupan, dan dalam konteks filem ini, mengilaukan perayaan tentang kehidupan. Ini kita fahami apabila Shah Rukh pada awal filem ditandai dengan simbol Hindu "Om" (nota fadz: kita faham di sini, unsur sakral dalam setiap jasad manusia mengikut falsafah Hindu, juga unsur pluralis agama dalam budaya India, Shah Rukh sendiri memakai kalung bersimbol Tuhan Islam-Krisitian-Hindu sekali gus) yang "menyemarak" jiwanya apabila bertemu "Shanti" ("jiwaku bersinar" kata Shah Rukh Khan dalam satu adegan). Ini juga bersangkutan dengan idealisme Rama-Sita, sebagai pasangan terbaik falsafah India yang mempamerkan yang terbaik dalam pasangan-pengibadatan seseorang Hindu dalam kehidupan ini.
Om Shanti Om ialah filem homaj tentang segalanya Hindustan dan apa yang membuat filem Hindustan digemai. Dengan filem ini, aku semacam memberi satu pengharapan baru terhadap filem Hindustan, malah aku sudah mula menjenguk filem-filem Hindustan kotemporari dan kemungkinan menonton kembali Kuch Kuch Kota Hai(1998) yang pernah aku tonton sebelum ini dan sangat tidak aku gemari itu untuk mencari jiwanya.
Buat rujukan penonton yang tidak memahami fenomena filem Hindustan sebelum ini, sila ke: http://www.bollywhat.com/
3 comments:
"...malah aku sudah mula menjenguk filem-filem Hindustan kotemporari."
Dunno if you've watched this this. Try Dil Chahta Hai, my fave contemporary Bollywood movie of all time.
Aku dah tgk yang ini sebab ada jual kat kedai dvd cina aku tu, dekat rumah. memang best, cite tu. Ghanjini pun kalah, have you seen Amir by Amir Khan? Semalam kat bus stand Johor memang banyak cite hindi ni tapi tak tahu nak mula kat mana?
Ghanjini isn't that good.
Post a Comment