10 February 2009

The Night of The Demon(1957) Mengajar Beberapa "Kejutan" Asli Sebelum Ia Dipinjam Pembikin Seram Sekarang

Contoh sebuah babak:


Dr. Holden (lakonan Dana Andrews) dan Dr. Karswell (Nial McGinnis) di luar rumah, sedang berjalan-jalan di tepi pokok, lalu tiba-tiba, seorang budak dengan topeng Halloween mengacah Dr. Holden. Jeritan budak itu kuat. Wajah budak itu betul-betul di depan kamera. Penonton terkejut dan rimas.

Babak ini sebuah babak penting, perkara pertama, ia menunjukkan "origin" unsur/teknik kejutan sebegini dalam filem seram. Ya, bayangkan bila anda bermain nyorok-nyorok (sebuah mainan kanak-kanak yang sangat menakutkan buat aku, aku tak suka jadi pencari sebab selalu diagah-agahkan), sedang berjalan, mencari kawan-kawan yang menyorok di balik lorong-lorong kecil, lalu tiba-tiba sebuah tangan menggenggam kaki anda!

Kedua, Tourneur menunjukkan bagaimana hal di atas boleh digunakan dalam filem walau tiada "hantu" digunakan. Paling penting, pengalaman kejutan itu mesti tiba-tiba, berlaku dengan detik yang sangat cepat (suntingan dua hingga tiga shot - tapi jika anda Hitchcock, anda akan gunakan lebih dari 3 shot dan 2 kamera, seperti dalam Psycho(1960) ), dan antisipasi penonton akan "kejadian" itu sifar, walaupun penonton menangkap kelogikan kejadian itu (dalam babak kejutan filem di atas, budak-budak sedang menyambut Halloween di perkarangan rumah Dr. Karswell sempena hari lahir Dr. Karswell). Hal ini ditambahkan (tidak diduga) dengan kostum Dr. Karswell yang badut dan persekitaran luar yang terang dan "pagi". Ini adalah elemen "perlawanan" yang perlu untuk mengaburi motivasi penonton menjumpai "babak" itu (di dalam babak itu, Dr. Holden mencari Dr. Karswell untuk menemu ramah tentang beberapa perkara, maka antisipasi penonton ialah: mengetahui latar sedikit sebanyak akan Karswell dan apa yang dijumpai oleh Holden, tidak terlintas pada waktu terang sebegitu boleh menakutkan Holden).

Babak peranjat sebegitu banyak dalam filem seram klasik ini (yang tidak ramai mengetahui kewujudannya, Tourneur dikenali sebagai pengarah filem seram Cat People(1942) yang sememangnya menggunakan unsur "sublime" untuk menekankan efek saspens) dan babak yang dikupas di atas adalah di antaranya.

Malah efek "memeranjatkan" dengan menampilkan objek tanpa pengetahuan penonton ini dipinjam, pada awalnya oleh pembikin filem seram baik, dan kemudian, pada 60-an sewaktu membikin filem itu murah dan senang. Kehadiran filem-filem "drive thru" atau B-Budget di Amerika banyak menggunakan efek ini. Contoh terbaik boleh dilihat dalam filem seram Robert Wise yang terbaik, The Haunting(1963) yang sememangnya antara filem rumah berhantu terbaik pernah dibikin. Dalam babak filem itu, sekumpulan manusia sedang dalam keadaan kaget, saspens sedang terbina mencari "punca suara" dan gila-gila Eleanor Lance (lakonan spetakular Julie Harris) yang mengatakan "si hantu ada di tangga". Apabila mereka sampai di atas tangga, tanpa runut bunyi apa-apa, sebuah wajah yang herot-benyot tiba-tiba di depan skrin, keseluruhan wajahnya yang terbalik berserta matanya "memandang" penonton. Jeritan Eleanor serta cue suara "kejut" berlaku. Rupa-rupanya, wajah itu kepunyaan isteri profesor yang "tersesat di dalam rumah".

Begitulah pembinaan efek kejutan yang difahami diambil daripada Tourneur (walaupun hal ini boleh didebatkan kerana Robert Wiene dan Georges Méliès juga ada menggunakan efek ini, tapi bukan dalam filem bersuara). Sememangnya, filem ini sebuah filem "landmark". Malah, dua bentuk unsur yang penting dalam filem ini telah menjadi rujukan pembikin filem seram sampai sekarang, pertama, dalam penggunaan tahyul dalam filem seram. Kedua, filem-filem "wtichcraft". Sinopsis filem ini berlingkar dalam spektikisme Dr. Holden sebagai seorang profesor yang mengkaji paranormal (Scully zaman itu), menemukan kajian tentang ajaran sesat Dr. Karswell yang telah menyebabkan kebanyakan anak murid Karswell yang "gila", dipercayai telah di"rasuk" oleh "demon"/jin/syaitan. Hal kedua ialah bersangkut-paut dengan idea ketahyulan (seperti pantang-larang Melayu) dalam pemujaan syaitan dan tradisi pagan orang Barat, di mana Dr. Holden ingin menerapkan bahawa efek kepercayaan sebab-akibat tahyul itu (seperti kematian-kematian dalam filem ini) berlaku hanya dalam sudut kesedaran individu itu dari segi psikologi dan tiada kena mengena dengan kebenaran "kuasa luar" itu.

Jelas filem ini ingin menggambarkan kepada penonton unsur fantastikal (orang terbang, orang hilang sekelip mata) dan unsur realiti. Kita seperti Holden, skeptik terhadap magis dan ahli sihir. Tourneur juga menggambarkan bahawa hal-hal fantastik dan menyeramkan yang berlaku di depan skrin kita sememangnya pengisi eskapisme kita. Sememangnya apa yang "pelik" yang kita lihat itu kemungkinan "kebetulan". Ini disampaikan dengan tanpa prejudis oleh Tourneur dalam filem ini, memberi pandangan "kedua" tentang hal-hal fantastik yang terjadi. Kejadian kemalangan "fantastik-seram" sebegini dipinjam sekali lagi dalam filem witchcraft seperti Rosemary's Baby, The Omen, The Reaping, End of Days, Constantine, The Devil's Advocate, dan Angel Heart.

Holden di dalam babak akhir filem ini turut dalam keadaan "percaya-tidak percaya". Malah mengiyakan pandangan teman wanitanya, "it is better not to know". Ciri "mengenali" ini yang membuat orang terlibat sama, membuatkan orang "mempercayai halinusasi". Sebaiknya tidak tahu dan buat tidak tahu. Ini rasionalisasi paling logik. Ini digunakan terus dalam filem-filem sekarang, seperti pembinaan watak Scully yang (dipaksa untuk tahu) dan Mulder (yang tahu dan percaya). Tetapi Tourneur menyatakan dengan pasifis, lebih baik kita tidak tahu hal-hal yang tidak melibatkan kita.

Tetapi hal itulah yang diperkatakan, hal sebegini (sihir di Malaysia lebih-lebih lagi) terjadi dan berlaku dan memerlukan pengetahuan. Pengalaman kesedarannya sememangnya lain dan boleh diperlihatkan dalam konteks budaya kita. Mungkin oleh sebab itu, penonton kita "cepat percaya" apabila menonton filem tahyul/seram.

Filem ini sememangnya sebuah filem "intelligent" yang jarang-jarang dibuat. Malah dialognya antara paling witty yang pernah dikumandangkan. Perbalahan dialog antara Holden berserta mereka yang mengelilinginya sentiasa mencuitkan dan sekali gus mengesankan. Malah filem ini dibikin dengan ketelitian tinggi, setiap objek yang disampaikan "bermakna", baik dalam sudut pemahaman prasedar dan juga pergerakan plot, malah filem ini menggunakan penanda objeknya dengan sangat baik sekali, bukan sahaja untuk menggerakkan antisipasi penonton, tetapi juga saspens terhadapnya yang mengulit penonton untuk menontonnya sehingga akhir. 10 minit terakhir filem ini bergerak paling baik dan efektif. Malah, filem ini semacam sebuah keretapi, ia bergerak perlahan (tidak terlalu perlahan sebenarnya, tetapi berbentuk penyiasatan pada awalnya) dan akhirnya ia bergerak laju sampai kita rasa bergerak dan cemas sehingga klimaksnya. Babak tentang kot dan kertas mentera di dalam koc keretapi merupakan babak paling bijaksana yang menunjukkan kuasa saspens, kepandaian dan intrig drama berlaku dalam satu masa. Pengakhiran di rel keretapi juga merupakan highlight filem ini. Babak Dr. Karswell berlari sambil tiba-tiba keretapi merempuh (satu efek kejutan yang efektif) di tepinya adalah satu contoh baik. Bukan sahaja menepati semangat saspens yang dibawa tetapi metafora keretapi sebagai "pengubah nasib" dalam simiotik filem. Keretapi juga membawa maksud perjalanan - kaitkan dengan Anna Karenina dan Siput sarawak dalam Nasib(1951) di mana heroin akhirnya dilanggar keretapi.

Night of the Demon mungkin kedengaran janggal buat sekarang, tetapi ia tidak sepatutnya tidak dilawati oleh peminat filem seram

nota: antara filem yang aku selesai tonton di You Tube.

2 comments:

daryn said...

jarang org mude2 cm awk nie minat wayang kulit

fadz said...

wayang kulit? filem wayang tu akan ditayangkan di USM Kubang Kerian.. harap maklum