DVD yang aku pinjam daripada Azwan.
Memang ada beberapa filem yang sudah aku tonton, Rambo 4 (perjalanan dalam bas ke Port Dickson, filem ini SERONOK dan sudah lama tak menonton filem 'senang' sebegini, kadang-kadang seronok juga), Match Point (filem Woody Allen yang aku tonton di Port Dickson. Berkuasa, seronok, pelik kerana rasa kehilangan Allen yang lama tetapi tetap efektif sebagai filem jenayah-sosial yang kuat dan terjaga) serta Shutter (aku tengok dengan adik aku: bodoh-bodoh-bodoh, aku patut tonton 10,000 BC walaupun aku tahu bodoh, sebab sekurang-kurangnya ada 'spetakular'). Tetapi aku malas nak tulis. Tetapi bukan filem ni, sebuah filem trilogi 'kehidupan' dari pengarah ateis-homoseksual Pasolini.
Ada sesuatu tentang Pasolini yang aku tampak, kuat dalam dirinya untuk memancarkannya dalam limpahan cahaya dan sudut. Dalam Salo'(1975), filem paling kontreversi Pasolini, aku sedar 'kelantangannya' ini 'tidak menjadi' (secara serius, kuasa keberanian yang lebih tampak dalam filem-filem separa porno-seni Tinto Brass lebih menguja). Ini adalah kerana kuasa imej neo-realis (kamera ditangkap dengan tangan, penggunaan para pelakon bukan profesional) yang mempunyai ketidaksedaran dalam Salo' cuba mengangkap drama kehidupan yang 'benar' buat memaparkan satu 'fantasi seram' yang menakutkan, tetapi apa yang terjalin (dan secara sedar ia memang kemahuan Pasolini) menciptakan satu babak yang 'sejuk', terasing dan tidak terikat kepada penonton (falsafahnya: keseraman manusia itu sendiri tidak pernah manusia).
Dalam Il Decameron, apa yang sebaliknya berlaku: kehidupan manusia ditangkap secara jujur, membentuk warna-warna yang sungguh hidup dan benar terhadap lanskap zaman pertengahan yang dicedok. Malah, secara sengaja, Pasolini sendiri berlakon (berpendirian) sebagai pelukis zaman pertengahan yang kita teringat akan zaman lukisan rennaisance (dan semangat humanisme yang dibawa). Apa yang menarik akan watak Pasolini ini ialah, beliau mengambil inspirasinya (imej-imej lukisan) daripada kebiasaan dan bobrok aktiviti hidup hari ke sehari manusia biasa (seperti istilah Shahnon Ahmad: The Little People). Lalu dari 'kebiasaan' ini terciptalah satu estetika agung yang dipamerkan di sebuah dinding gereja (satu sindiran kuat Pasolini yang begitu sosialis dan anti-agama). Persoalan yang besar ialah, seperti pelukis itu (yang datang dari kampung tetapi kemudian jadi genius, bukan anak bangsawan!) yang boleh melukis dengan indah (kita diyakinkan) dan dengan gaya neo-realis yang Pasolini rakam terhadap kebiasaan hidup golongan marhaen: adakah ini sebenarnya kecantikan dunia?
Perkara pertama: Pasolini, walaupun menggunakan gaya separa dokumentari, apa yang ditangkapnya berwarna-warni, imej-imej penuh warna, walaupun alam. Ini menguatkan kuasa puitisnya dalam sikap 'menangkap akan kebenaran'nya walaupun ia mungkin tidak boleh menjadi.
Apa yang kita dapat ialah pelbagai. Malah, separa dari kita, aku percaya tidak akan bersetuju dengan falsafah Pasolini ini (jika dilihat dengan betul-betul, gambaran Pasolini mengungkapkan bahawa alam ini sudah sebenarnya tulen dan suci dan tidak memerlukan ungkapan dan mantera untuk mempersucikannya, satu hentaman Pasolini terhadap sistem agama yang 'mengajar kecantikan' sedangkan 'cantik' itu sudah sejatinya tertusuk di kalangan alam. Di sinilah kuasa neo-realis Pasolini 'kena' dengan filem ini- penggayaan yang 'picturesque' tidak perlu bila menangkap realiti dan alam yang sudah selamanya cantik). Malah keadaan sumbang serta telanjang yang ditayangkan oleh Pasolini (ideal alamiah, maka manusia juga turut 'natural' dengan 'nature', maka tidak ada singkapan kontreversi terhadap tontonan yoni atau lingam manusia) adalah 'kebiasaan' dan alamiah terhadap mana-mana tangkapan kecantikan. Cantik yang diungkapkan oleh Pasolini ini tidak dipaksa. Ia datang sendiri tanpa malu (persoalan ini dikuatkan dengan dua babak statik bergerak yang sengaja diseparakan dengan ikon wanita 'suci', satu sewaktu si pelukis memandang karnival yang berjalan di pasar sebuah kampung, dan kedua apabila si pelukis memandang langit seakan 'ingin' berkata-kata dengan Tuhan).
Dalam ketelanjangan masyarakat Itali ini pun, walaupun secara mukanya adalah sindiran sang pengarang terhadap status dan sosial masyarakat Itali pada zaman pertengahan itu, Pasolini 'mengubah' konsep ini dengan mengatakan dalam keburukan manusia ini pun, mereka ialah manusia, dan mereka cantik. Bunuh-zina-kematian-penipuan-ketololan adalah kebiasaan manusia. Ianya penting buat manusia mendepaninya dengan rasional dan merayakannya sebagai isi hati kemanusian (suatu sikap ateis yang serupa De Sade). Pada mulanya, kita melihat mayat yang dibuang, yang kemudiannya beberapa perkara bobrok yang separa menyindir kebijaksanaan-kebodohan manusia di depan nasib dan harta. Tetapi, selama kita bergerak dengan gambar Pasolini, kita sedar, suatu 'kecantikan' sedang dicipta. Tapi kita sedar sesuatu- kecantikan yang dicipta ini tidak boleh terputus dengan sifat-sifat bobrok manusia, juga kesedaran biologi manusia iaitu manusia akan mati dan hancur. 'Hitam' manusia itulah yang dirujuk dan diikat serta bersama 'putih' manusia seperti cinta, menjadikan manusia itu 'cantik' seadanya. Ini yang ditekankan oleh Pasolini.
Cerita-cerita di dalam filem ini adalah tradisi cerita-cerita teladan Itali sepertimana Catenbury Tales buat Inggeris dan 1001 Malam buat Arab. Jalinan tapestri cerita-cerita ini tidak memeningkan, jauh daripada tampak kompleks, malah menyatakan suasana dan tempo yang terjaga menghiburkan sehingga ke akhir cerita. Cara Pasolini membuka ceritanya pun, walaupun tampak episodik (paling tampak pada babak persoalan seks), dijalin dengan begitu 'bersahaja', kita tidak sedar bahawa momen-momen dalam filem ini hanyalah kolaj-kolaj yang diikat supaya menjadi lukisan. Sebuah filem untuk dirayakan.
ps: Aku tak tonton Duyung. Aku bersyukur!
6 comments:
Aku ingat cerita ni gila babi, sekali aku tertengok Fellini's “Satyricon” itu hari... peh, LAGILAH gila babi.
nazim, aku seinci hati nak beli dah satyricon di Uk yg masa tu dijual murah, dlm 3 pound or so.. now dat i know ada jual di malaysia, aku beli di malaysia je lah, atau lagi sekali, pinjam ngan azwan, hehehe.
Aku jumpa a beautiful box set of "À bout de souffle"* kat SS2. Harga RM50. Dua disc. Dan kotak dia, ya rabbi, punyalah cantik. Maklumlah, Criterion Collection la katakan.
*Aku ingat nak sebut Breathless je, tapi... tsk, nampak macam philistine pulak nanti.
Ada satu kedai DVD kat Amcorp Mall (G Floor) yg banyak stok filem2 dari Europe.. kalau berminat boleh la cari kat sana.. harga RM15 sahaja..
duyung? mana ada orang mengaku diorang tengok filem duyung..kah..kah..kah, sekali tengok dah tahu..masuk ke koleksi filem sampah malaysia.
Nazim, u jerk!! hahaha, nak pinjam ahhhhh!!
takpe, u know wat im trying to get?: The Film of Kenneth Anger !!! BTW, just got The Day The Earth Sttod Still, nak pinjam?
nuppy, ada tak koleksi full version Twin Peaks? ari tu wa pegi, semua filem sama je, takde yg lain..
amira, well said!
Post a Comment