07 March 2008

Anak(2008) Melodrama Sejenak

Kejutan filem ini bukan datang daripada efek atau suntingan filem yang sinonim dalam filem-filem seram, tetapi kuasa dan dinamisme lakonan dua pelakon utama filem ini, Ida Nerina dan Erra Fazira.

Ya, tuan-tuan dan puan-puan, Erra Fazira boleh berlakon.

Aku baru sedar sesuatu, sebenarnya, pelakon kita boleh berlakon, hatta yang baru-baru (Dunia Baru sebuah contoh yang baik, sebuah lagi contoh, lihat pada lakonan Kefli AF dalam mini siri Lepaskan Aku Kembali Ke Laut, anda akan terkejut). Mereka hanya memerlukan skrip yang sekurang-kurangnya mempunyai intipati (membawa peluang pelakon mencari pergerakan, mencari dinamis pengembangan) serta pengarah yang tahu mengarah mereka.

Anak adalah sebuah cerita seram yang senang. Ceritanya lurus (seperti kata Ajami) tetapi dipotong dua (yang sebenarnya tiga) supaya penerangan diterangkan kemudian sebelum segala absurdis yang berlaku pada 30 minit awal untuk menarik perhatian penonton. Aku boleh katakan ini: jikalau bukan kerana kekuatan Erra Fazira yang simpatetik dan 'wide eyed innocence' (dia sangat hidup dalam lakonan ni, serius, inilah pertama kali aku jatuh cinta dengan Erra, ohhh Erra, i lup u..!) serta lawanan Ida Nerina yang galak (seperti kebiasaan, dia adalah pelakon terkini yang dapat menangkap isi hati gelap sebuah watak dengan pelbagai dimensi. Seperti Bette Davis, mengujakan!), filem ini tidak akan ke mana. Ini adalah kerana filem ini langsung tidak seram.

Buat kali pertama dalam hidup aku, kesan hantu budak dalam Ju-On di dalam filem ini tidak mendatangkan takut langsung. Ini ialah kelemahan yang nyata Barney Lee yang tidak tahu mengeksposisi bagaimana hantu itu patut muncul dan bergerak 'menakutkan' dalam erti kata jalinan skrin, suara dan pertukaran tangkapan. Contohnya, babak pertama kita melihat budak hantu itu di dalam bilik air dari mata Erra Fazira. Bila Erra melihat cermin (aku suka penggunaan ini, menggunakan simbol cermin sebagai perlakuan perasaan bersalah Erra yang meluap meletup kerana perbuatannya), hantu itu muncul, lalu dengan shot-shot tidak menentu, hantu seakan 'melompat-lompat' (peniruan The Ring versi Hollywood) lalu diambil shot panjang Erra menjerit tidak menentu. Salah main suntingan saja, babak ini langsung tidak membawa kekuatan. Hanya ada sebuah babak, bila Erra memasang kamera, merekodkan dirinya tidur, dan bila hantu muncul di sebelahnya lalu dia histeria, lalu kita dibawa lihat ke mata lekap kamera video yang kosong dan Erra menjerit, haaaaa, itu sebuah tangkapan yang sangat mengujakan, mungkin tidak takut, tetapi efeknya kuat dalam beberapa ekspresi emosi.

Sesuatu yang menarik (juga disentuh oleh Ajami) tentang Anak ialah, mainan juktaposisi antara dua perkara, Erra dan Ida, masa lepas dan kini, kekeliruan dan penjelasan, putih dan hitam, Mak Mek dan Mak Mah. Babak Erra meletakkan sabun ke muka untuk cuci di depan cermin lalu menunjukkan Ida meletakkan darah di muka depan cermin yang benyot adalah satu ekspresi menjadi.

Ada suatu kecelikan dalam pembikinan ini, meletakkan sekali gus mainan teknikal ekstrem ekspresi lembap dan laju dalam memperjalankan unsur cerita dan perkembangan watak, juga mainan perkembangan/perubahan emosi dan perwatakan Ida Nerina serta Erra Fazira yang berpusing-pusing dalam satu tarian tango yang mengujakan. Melihat dinamisme Erra dan Ida, aku teringat akan Bette Davis serta Joan Crowford dalam What Ever Happened to Baby Jane?(1962). Menariknya, kedua-dua filem membawa pergolakan pelakon veteren (satu unintentional in-joke serta mesin gerak lakonan buat kedua-dua pelakon handal ini yang sememangnya sudah 'lepas musim'), pengsatiraan tentang penuaan dan zaman berlalu dan bagaimana efek itu membawa pergolakan dendam dan lawan terhadap dua individu (lihat babak Ida yang sedar dia dah 'tua' tetapi bengang dengan Erra yang semakin 'molek', bandingkan dengan wajah Bette yang berlagak 'anak-anak' bengang dengan Joan yang masih 'ayu-keras' walaupun di atas kerusi roda- di sini, mungkin istilah 'drama queen' dan 'over' dilahirkan). Malah, di dalam Anak pun, penggunaan efek melodaram sangat menular dalam ini, mengambil efek sama dalam filem Hollywood itu. Hanya, efeknya kadang-kadang terlalu, tidak diseimbangkan dengan jalan cerita, lalu terus, dalam babak-babak akhir mengeluarkan terus-terusan efek melodramatik yang terlalu (bermula pada peringkat Ida sedar dia bersalah) mencacatkan keseluruhan filem yang sepatutnya menjadi sebuah mesin baik buat kedua-dua pelakon (aku salahkan pengarahnya yang sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu menutup cerita filem ini, bahagian akhir, termasuk babak 'mimpi' adalah bahagian paling tidak perlu dalam filem ini).

Suatu lagi gem dalam filem ini adalah lakonan-lakonan sampingan, baik yang lelaki dan perempuan. Tetapi yang paling mengejutkan datang daripada Azlina Mahzan yang berlakon sebagai Mak Mah/Mak Mek. Watak Mak Mah/Mak Mek adalah isi campuran id dan superego Ida Nerina, seperti mana fungsi 'lubang' dalam filem Onibaba(1964) dari segi psikologi (bukan estetik). Malah Azlina Mahzanlah yang mengikat dinamisme, menyatakan refelksi ego Ida yang mahu dengan nafsu dan kemudiaannya menyesal, walaupun babak ketiga filem, ideanya dilakukan dengan lemah (penerangan Mak Mah terlalu senang). Azlina Mahzan sememangnya diberi sekurang-kurangnya nominasi sebagai pelakon pembantu wanita buat FFM tahun ini.

Anak boleh pergi jauh. Ia boleh menjadi sebuah filem seram yang baik. Tetapi, oleh sebab perkara-perkara kecil, lebih-lebih lagi efek seramnya yang tidak menjadi, walaupun mempunyai tanda-tanda yang baik (mainan lagu "Tepuk Amai-amai" menarik sebagai fungsi intipati perasaan kemahuan Erra, juga mainan 'seram' anak kepada ibu dan yang mengelilinginya, juga 'penjelasan' terhadap perasaan 'anak' itu yang menjadi 'penunggu' ibunya), Anak sebuah filem seram sederhana yang banyak ditolong dengan kekuatan para pelakonnya yang handal-handal belaka.

5 comments:

Anonymous said...

azlina mahzan? @ azizah mahzan?...

terasa tetiba nak p tengok lak citer nie, ari tu ada org ofer tiket free, tapi mls lak nak tgk..

fadz said...

aduh salah lagi.. i seriously need an editor...

angel baik, kalau suka tgk lakonan, filem ni bagus, tapi seram dia mmg 0.

Anonymous said...

saya takut nak tengok cerita ni, takut berbakul lagi sumpah saya pada produser filem melayu..huhu. Saya dah agak ceritanya mesti tidak kemas, nampak poster dah tahu..haha, saya tak tahan kalau bila tengok cerita tu, baru mula atau pertengahan jalan dah rasa menyampah, saya akan keluar panggung, seriously. Dah banyak kali buat, terutama filem melayu, jadi taknak bazir tiket, saya pun amat berhati2 utk menonton filem melayu.

fadz said...

hehe, true amira.. itulah filem2 melayu ni kena dibikin sempurna semuanya, jadi bermula persepsi filem Melayu jadi baik.. ini, macam cicak man, efek gempak, tapi citer, alahai, itu yg, entah, rasa tak seronok tu.

Anonymous said...

Fadz. Aku nak invite ko dan rakan2 blogger dtg menonton special screening our indie feature, My Indie Rock Darling kat GSC Pavilion, 18th March, Tuesday 8.30pm.

Please email me your contact number: redeoscape@yahoo.com

Yang benar,
REWAN ISHAK