28 January 2008

Sweeney Todd (2007) Suatu Kejutan Tim Burton

Mungkin ramai antara korang tengah syok dengan filem Cloverfield(2008), Cuci(2008) dan Rambo 4 (2008) yang sedang ditayangkan (yang juga filem yang bagus buat permulaan 2008). Tapi aku perlu berterus-terang, Sweeney Todd arahan terbaru Tim Burton adalah filem kesayangan aku bulan ini sampai aku sudah menontonnya tiga kali!


Tim Burton adalah seorang yang seesentrik aku. Bayangan roh filem-filemnya selalunya sama, pendarahan atau sadis yang tinggi dalam latar romantisme (Gothic anyone?), mengeluarkan 'puitis' dalam kekalutan atau kegelapan manusia secara sengaja atau tidak. Lihat saja sebuah babak separa menyentuh dalam hentakan darah sewaktu Vincent Price dicucuk oleh Edward Scissorhand menembusi hati yang dibuat untuknya, atau babak manis Winona Ryder bersama penjaga hantunya sewaktu Bettlejuice ditelan ular, atau bagaimana dengan 'gloom' para penguin mengangkat Danny De Vito masuk ke dalam parit untuk hilang selama-lamanya. Ini adalah paparan-paparan hati 'indah-hitam' Tim Burton, semacam sebuah kartun Disney yang dipasang dengan awan hitam dan rumah kelam keluarga Addams.




Tim Burton sememangnya 'original' dan punya penggayaan yang tinggi dan tersendiri. Sebenarnya, kalau diteliti dengan betul, Burton sebenar-benarnya menerima pengaruh yang sangat kuat dengan Mario Bava, pengarah filem Itali seram (raja seram!) klasik, terutamanya Black Sunday atau The Mask of Satan(1960). Malah, Tim Burton sendiri mengaku telah sangat terpengaruh dengan filem pertama Bava itu. Filem itu memaparkan lanskap roman dan gothik serupa dengan filem-filem drakula Universal serta Hammer studio tetapi digambarkan dengan lebih teliti dan mementingkan 'picturistique' (elemen yang terutamanya kuat dalam filem-filem Burton). Malah, kalau diteliti, Black Sunday adalah filem pari-pari yang gelap, sebuah saga roman seorang hero untuk mendapatkan puterinya tetapi melalui satu kesusahan getir yang menakutkan dan boleh mengubah hero itu menjadi gila. Ini sebenarnya satu elemen kuat dalam mana-mana filem Tim Burton yang suka memaparkan 'dark fairytale'. Hanya beliau, Terry Gilliam atau Guillermo Del Toro saja setakat ini yang berjaya memaparkan satu penggayaan dan dunia pari-pari yang songsang.




Tetapi buat filem 'formulaik' ini, Tim Burton berani melangkau alam 'gelap'nya dengan lebih jauh lagi. Kini darah dalam filem Burton betul-betul darah, walaupun 'cartoonic', hentaman ganasnya ada dan melebihi mainan pancutan darah Zaitoichi ataupun Kill Bill. Malah darah dalam filem ini tidak ada gaya main-main seperti dalam Sleepy Hollow. Darah dalam Sweeney Todd merah dan pekat dan menghilangkan kemanusiaan. Sebenar-benarnya ini sebuah filem seram.




Ceritanya mengikut tradisi muzikal hebat Stephen Sondeheim yang mengadaptasinya daripada novel-novel murahan (siapa kata novel murahan takde kuasa sastera?) yang memarkan kajian obsesi, balas dendam serta kepunahan sistem pengelasan dalam sosio masyarakat terutamanya di bandar. Ceritanya sebenarnya itu, memaparkan ikan besar yang memakan ikan kecil dan ikan kecil yang terlepas dan sudah membesar (sekurang-kurangnya amarahnya dan bukan badannya) mahu cuba memakan tuan ikan besar yang membulinya dulu. Nampak senang bukan? Tetapi di dalam tangan muzikal yang lazat ini, ditambah dengan ikatan dan potongan yang rapi dan kuat serta gaya menyeramkan Tim Burton, filem ini berjaya memaparkan jiwa gelap manusia segelap-gelapnya asap hitam, walaupun dengan mengalun lagu dan mendetik harmoni dalam nada sumbing.




Ada beberapa perkara yang aku rasa, filem ini memaparkan masalah terhadap penonton. Pertama, penonton yang kebiasaan dengan genre muzikal ala-ala The Sound of Music akan sangat terganggu dengan masterpiece ini. Bayangkan dengan kekelaman latar London, dengan perasaan keinginan murni dua orang muda bercinta, dicampur dengan kelaran leher dan darah (walaupun sebenarnya dipotong dengan ganas sekali oleh badan penapis), mata anda, nak atau tidak akan berkenyit atau lari dari melihat layar tayang. Ini dikuatkan dengan lakonan-lakonan mantap Helena Bohamn Carter (aku suka benar lakonannya), budak kecil itu sebagai Tobias, Alan Rickman, Sacha baron Cohen (ya, dia berlakon dan memang seronok dan terkawal!) dan terutamanya Jhonny Depp. Watak Depp adalah watak yang susah. Bayangkan seorang lurus bendul yang menyayangi kehidupan ditransformasi dengan segala kemarahan dan kebenciannya terhadap manusia (ya, kesemua manusia). Hanya mungkin satu babak saja yang kita semacam terasa 'meloncat' apabila Depp melagukan balada selamat tinggal kepada anak perempuannya (memaparkan tutp hatinya terhadap manusia dan apa yang mereka pegang) dengan tidak memberi definisi terbaik 'mengapa'. Tetapi perkara-perkara lain yang dibikin oleh Tim Burton seperti babak Helena di tepi pantai dan harapannya, babak sekecil lelaki yang dicukur Depp berserta keluarga atau wajah anak muda yang terseksa akan cintanya tetapi tetap mahu memperjuangkan cintanya adalah 'inti-inti' kecil yang membuatkan segala kegelapan filem ini punya kehalusan budi yang asyik. Dan ini membuat filem ini manusia.




Ramai penonton terkasar dengan pengkahiran filem ini, tetapi buat aku, begitulah sepatutnya ia di akhiri (rujuk Pieta Michealangelo) di mana Sweeney yang 'mencari' akahirnya mencapai 'pencariannya' dalam lumur dan darah lelehan 'hatinya'. Imej yang sungguh puitis sekaligus gelap, antara imej-imej yang berjaya ditunaskan oleh Tim Burton dengan sangat baik sekali dan akan diingati oleh penonton seram dan peminatnya untuk masa yang lama.

2 comments:

Rebecca Ilham said...

Fadz,

setuju, ST sangat gelap dan reaffirms Burton's niche.
I watched it in the US, so no deleted scenes whatsoever. It was so gory! But the musics(and lyrics) are good, as usual, coming from Sondheim. What I like about it is that Burton makes it very daunting, and haunting.
Need to go see the original stage musical (if it' still running, which I doubt)and read the book so I could compare. =)

fadz said...

hehe, marhaban rebecca..! US, beshnya..!