"Ha, inilah 'bapak ayam'!"
Sudin
Ini adalah filem raya aku pada tahun ini (jangan suruh aku tonton OTAI, walaupun filem itu sedang meletup di pawagam sekarang). Sebuah filem animasi Melayu terbitan Wafa dan skrip serta arahan Anwardi Jamil (anak kepada Jamil Sulong). Filem ini boleh lah diberikan tepukan kerana memasuki gelanggang pasaran animasi filem Malaysia yang sememangnya kecil (dan belum ditembusi dengan sewajarnya), tetapi itu sahaja. Aku tidak mahu mengatakan, "Takpelah, mereka dah cuba" atau "Sekurang-kurangnya mereka dah buat". Tak. Aku mahu lihat lebih dari ini, lebih baik dalam penceritaan, lebih baik dalam persembahan. sebenarnya terbitan sulung Wafa dan Anwardi ini boleh dipertingkatkan, dan aku nampak ada potensinya (ada sebuah babak mengambil betul-betul sebuah babak dari filem animasi Disney, Tarzan yang dibikin laju dan menyeronokkan), tetapi pembikinnya perlu lebih teliti, lebih rajin. Itu sahaja formula membikin animasi- teliti dan rajin. Buatlah sebuah filem animasi yang pendek seperti Snow White and the 7 Dwarfs tetapi buatlah dengan seteliti itu, cerita dan persembahannya.
Budak Lapok dibuka dengan memaparkan ikan kecil yang dikejar oleh ikan besar. Di sini, petanda 'berita buruk' sudah berlaku di mana Anwardi gagal memberi makna kuat (kawan yang aku pergi nonton dengan, Kekura, mengatakan babak itu untuk 'kill time', perkara yang sangat haram dibuat dalam hukum hakam filem lebih-lebih lagi filem komersial) ikan itu dengan Ramlee, Ajis dan Sudin selama 90 minit kemudian. Malah, filem ini (dengan mengejutkan) bermula agak lambat, mengambil masa memaparkan 'establishment' terhadap Ramlee yang sangat 'entah apa-apa' (kita kenal sedikit bahawa Ramlee mengikut kata sendiri, tetapi kita tidak jumpa semangat 'romantis' Ramlee pada awal babak ini). Hanya apabila Sudin, Ajis dan Ramlee bertemu, kita diperlihatkan dengan dinamisme perwatakannya, walaupun agak sedikit dan tidak benar-benar memberi manfaat dalam keseluruhan cerita. Sebenarnya, untuk menikmati betul-betul tiga budak ini, penonton perlu menonton dahulu filem-filem P. Ramlee yang lama dan baharu boleh dikaitkan dengan watak filem ini, di mana ia sepatutnya berdiri dengan sendiri lalu baharu memperlengkap filem-filem arahan seniman agung itu. Malah di sinilah masalah sebenar filem ini, memberi 'definisi masa' yang betul. Ia semacam sebuah dunia pascamoden Bujang Lapok, di mana tiga watak terkenal itu diberi 'sejarah budak-budak', seperti mana yang dibayangkan dengan 'kemasukan tiba-tiba' Pak Ajis dan Pak Sudin mengenalkan diri mereka. Tetapi ini pula kontra dengan 'milieu' yang sudah dibayangkan oleh P. Ramlee dalam filem-filemnya- Melayu Singapura dan sebelum kemerdekaan. Bayangan filem ini ialah 're-imaganing' Bujang Lapok yang lama dalam acuan generasi kini (Ajis mengatakan dia dari Singapura, tempat duduk mereka mungkin di Melaka bukan Singapura, cara mereka bercakap seperti orang Melayu moden, dan Joyah, sebuah watak teringat 'bujang lapok' yang 'silam') tetapi tetap memberi 'reference' (origin) kepada tingkah laku dan tempelan sekstsa yang dibikin P. Ramlee beberapa tahun dahulu. Mungkin inilah tujuan filem ini, memberi 'aprisiasi' terhadap penonton generasi muda untuk menyintai nukilan tetralogi (Bujang Lapok mempunyai empat siri, termasuk Ali Baba Bujang Lapok) seorang pelawak yang tersohor di tanah Melayu suatu ketika dahulu.
Gaya lukisan watak dan latar mengingatkan aku kepada animasi kartun Lat dan animasi kartun Peanuts (Bon Voyage, Charlie Brown). Jika diperhatikan, pengilmahan animasi-animasi ini senang dan tidak kompleks, kerana ceritanya yang mahu dibawa dan bukan kehebatan teknologi animasinya (jauh daripada ciptaan Pixar atau Disney). Budak Lapok agak berjaya mewarnakan pelbagai perwatakan dalam gaya ini, tetapi lukisannya perlu lebih tajam (sharp and edgy) kerana kita seakan menonton sebuah kartun TV yang 'dibesarkan'. Ada beberapa babak memaparkan pembikin animasi ini tidak teliti, dan kurang daya suntingannya. Ada beberapa babak yang terlalu panjang dan mengambil masa. Ada pula yang rosak penceritaanya. Contohnya ialah waktu perlawanan bola dan pada masa yang sama pertandingan teater antara sekolah rendah. Kita tidak rasa teruja dengan sepak tendang para pemain bola kerana pemainnya bergerak 'lembap', malah suntingan antara pertandingan dan bola itu tidak dibikin lancar. Kemudian, dalam perlawanan bola itu pada detik akhir, dengan campuran suntingan, imej dan suara yang bercelaru, menolak kemahuan penonton merasa gugup dengan kesuntukan masa. It's definitely a mess. Malah perkara yang aku paling benci ialah, sorotan mesej lagu MTV "anak-anak Melayu sekarang perlu bekerja kuat untuk mencapai kejayaan" di tengah cerita, yang sudah sepatutnya 'hilang ditelan zaman' dalam penggayaan filem sekarang.
Suara. Itu sebuah lagi masalah besar animasi ini. Anwardi, Pak Aziz dan Sudin sepatutnya memberi tumpuan penting tentang suara. Ada sebuah babak memaparkan dua budak perempuan terkikih-kikih tanpa makna di tepi sungai. Kita nampak sikap malas dan acuh tak acuh pembikin animasi dalam hal ini. Malah, kesemua persembahan suara si cilik dalam filem ini gagal, gagal membawa tugas besar menjadi 'Bujang Lapok Jr.' dan gagal memahami kehendak skrip. Kadang-kala kita perasan bulat-bulat bahawa budak-budak ini amatur dan lebih semacam membaca skrip daripada menghayati isi kandungannya kerana mereka bercakap dengan begitu tanpa emosional sebenar anak-anak, tetapi lebih semacam diarah. Sepatutnya mereka ini diberi bimbingan dalam masa yang panjang, mungkin setahun untuk benar-benar tahu makna isi skrip dan ton suara yang betul. Ini melecehkan, walaupun ia dibantu dengan baik oleh suara-suara pelakon veteren yang sememangnya profesional (suara Sathiya sebagai ayam Sudin adalah yang paling 'hillarious').
Tetapi bukan semuanya teruk tentang Budak Lapok. Beberapa babak yang dibawa oleh Anwardi, walaupun tampak 'spoof', memaparkan licik dan genius Anwardi bermain dengan idea-idea P. Ramlee. Ini boleh diperlihat pada babak teater Hang Tuah pada akhir filem, babak hantu dan belajar silat mengikut semangat Pendekar Bujang Lapok. Malah beberapa dialog Anwardi menyeronokkan dan kelakar (dan kadang-kala menjengkelkan kerana tidak dibawa dengan baik oleh suara latar kanak-kanak itu yang tidak faham dengan makna dan kekuatan komedinya), melakarkan 'innocence' dan kebendulan anak-anak. Perkara seperti "Bapak Ayam", "Gangsister", "Diplomatik- Diploma Plastik", "unsangkarable" dan pelbagai lagi 'puns' memberi warna dan kesegaran dalam cerita ini, malah dari sini, kita memahami dari mana idea sebegini datang bagi menyambung talian 'puns' dan gaya lawak P. Ramlee, Aziz dan Sudin, di mana gaya dan bentuk inilah yang ditiru dan guna pakai oleh pelawak dari zaman Badul sehingga Saiful Apek kini. Kita faham 'translerasi' lawak rakyat yang berlaku dan kita menghormatinya. Mainan campuran bahasa (selalunya Inggeris dan Melayu) dan melanggar kebenaran situasi (seperti Bapak Ayam) memaparkan kelurusan dan kebendulan, serta semangat main-main masyarakat Melayu kita. Ini yang unik dan dipertayangkan oleh Anwardi Jamil.
Filem ini tidaklah terlalu gagal dan tidaklah begitu hebat. Ia sederhana. Beberapa perkara teknikal seperti suara dan suntingan perlu diambil kira. Tetapi aku tidak akan berkata, "tidak apa, setakat ini", tetapi aku berharap Anwardi dan Wafa untuk "cuba lagi".
No comments:
Post a Comment