Before We Fall In Love Again (2007)
Sebuah filem terbaharu daripada James Lee, pembikin filem 'surreal' Malaysia, Mesin Basuh Yang Ayu. Filem ini ialah bahagian pertama daripada trilogi 'cinta' (dua daripada filem ini, Before We Fall In Love Again dan The Things We Do When We Fall In Love akan ditayangkan di GSC Mid Valley bulan Mei ini) James Lee. Adakah filem-filem ini akan menjadi 'magnum opus' James sepertimana Kieślowski dengan Biru-Putih-Merah, atau Ray dengan Trilogi Apu, atau Mehta dengan Api-Tanah-Air atau Argento dengan trilogi 3 Ibu (sebuah lagi belum buat)?
Apabila semalam aku menonton filem terbaharu ini, aku tidak gusar bahawa James Lee sudah melakukan sesuatu, sesuatu yang sangat baik bagi sinema Malaysia.
Inilah filem cinta yang aku suka, yang aku boleh tonton dengan tenang dan tetap menyukainya (bukankah sejarahnya aku benci filem romantik?). Malah, ini menjadi filem 'kesayangan peribadi' aku, lebih-lebih lagi bila seorang daripada protoganisnya tidak boleh bawa kereta (macam aku)!
Malah, filem ini jauh lebih 'pandai' daripada filem-filem komersial tempatan yang aku tonton tahun ini (kecuali Mukhsin kot). Walaupun gaya filem ini semacam sebuah filem pendek yang diperpanjangkan, ia tetap menyengat dan kuat dengan 'reference' (orang tentu akan kata tentang sebuah babak yang akan mengaitkannya dengan Mesin Basuh Yang Ayu), 'wit' dan alunan yang seharusnya ada dalam sebuah filem.
Malah, menonton filem ini, kita akan sedar akan 'alegori' yang dimainkan oleh sutradaranya. Sememangnya, filem ini sebenar-benarnya tentang 'filem' dan kecintaan kita tentang filem. Banyak imej dan suara dalam filem ini memberi kuasa 'mainan' di mana orang-orang filem yang sayang filem akan tahu dan kenal dan ketawa, juga kadang-kala melihatnya dengan melankolik. Sebuah contoh (sahaja) sudah cukup: Bila si perempuan bertanya pada si lelaki (atau sebaliknya) filem jenis apa yang disukainya, kita tiba-tiba dibawa pada satu imej si lelaki sedang di atas perempuan, bercium atas katil (filem biru)- sangat menggelikan hati dan sekaligus melankolik.
Kalau kita perlihat dengan lebih dalam lagi, kita akan dapat sedar, bahawa filem ini bukan sahaja tentang filem, tetapi tentang 'filem-filem bawah tanah' atau filem bebas, di mana, seperti wanita dalam filem ini (seakan femme fatale dalam filem noir) sangat 'berbeza' dengan wanita biasa, dan tidak plastik seperti pak pacak yang menjadi juru jual tiket, mesin basuh dan bilik hotel (simbol komersial dan segalanya yang berkenaan dengan kapitalisme), malah seakan filem itu sendiri, boleh dirasa, diguna, dipandang, tetapi ia akan pergi dan hanya tinggal dalam memori (malah, dengan menyindir, siap mengatakan, "I like you because you are silly"- siapa, kitalah, para penonton). Filem ini ialah tentang bagaimana kita, penonton, merekonstruksi rasa ini, dan apa yang rekonstruksi ini akan lakukan terhadap perasaan kita pada akhir setiap sebuah filem.
Walaupun filem ini lembap (tetapi masih boleh tahan), ia adalah sesuatu, malah mungkin sebuah 'sleeper' tahun ini. Kalau Mehta, aku suka Fire, Argento aku pilih Suspiria, Kieślowski aku ambil Rouge sebagai filem kesayangan peribadi, filem ini sememangnya filem kegemaran peribadi aku daripada trilogi cinta James Lee, walaupun aku masih belum menonton dua lagi filem ikatan trilogi ini, yang aku dapat rasakan, akan sebaik filem cinta ini.
The Spirit of The Victim (2007)
Selepas menonton filem di atas semalam, aku dan Ted bergegas menonton filem Siam ini. Satu perkara- aku mahu menyumpah dan membunuh Edy kawan aku yang merekomenkan filem ini ditonton. Filem ini (walaupun hip dengan tema- filem seram Thailand terbesar tahun ini) ialah filem sampah sesampah-sampahnya, gaya melebihi kandungan tetapi bukan-bukan dan tampak, pengarah filem ini semacam terlalu banyak menonton filem-filem Shyamalan tetapi tidak berjaya melihat kenapa filem-filem beliau 'tick' (oh ya, gaya Six Sense sudah klise, jadi jangan ulang lagi, tonlonglah, kita dah bosan). Malah, aku sudah mengagak bahawa filem ini sebenarnya cerita Dendam Seorang Mak Nyah dan memang betul!! Apa ke benda tari Likei boleh dikaitkan dengan sebuah lagi filem Creepshow? (aku rasa, tengok main puteri dalam Jogho lagi menakutkan daripada filem ini) Bagi aku, kuda kepang PHSM 2 lebih mengikat dan memberi makna daripada tekstual Likei dalam filem ini. Apa-apa pun, malu, malunya apabila pada babak akhir, filem ini cuba memaparkan, 'hantu-hantu' yang berjaya dirakamkan di dalam filem ini (ingat Shutter?), seakan satu eksplotasi, semacam yang dibuat dek Terowong Casablanca yang juga tahun ini serta filem seram terbodoh Indonesia. Aku dan Ted selepas menonton filem ini, bersyukur, mentaliti pengarah dan penulis skrip kita masih 'sane' dan tahu menghiburkan kita.
Cannibal (2005)
Bukan, ini bukan filem Rohtenberg tentang Armin Meiwes (http://www.imdb.com/title/tt0448400/) yang kontreversi itu. Ini Cannibal, (http://www.imdb.com/title/tt0910548/), sebuah filem yang sangat menyeramkan, diarah oleh Marian Dora.
Ini sebuah filem seram-eksplotasi paling ekstrem yang pernah aku tonton. Gayanya melebih kandungan cerita, tetapi gayanya, gaya yang kuat disampuli sureal, roman, real-horror, gothik dan secubis cerita pari-pari. Korang tak akan suka filem ini. Tetapi aku, ini adalah antara filem 'hightlight' bagi aku tahun ini.
Aku menontonnya semalam, selepas senja. Selepas habis menontonnya, aku, dengan menggeletar cepat-cepat ambil sembahayang dan baca Yassin. Serius, seteruk itu! Ceritanya diambil daripada jenayah sebenar, Armin Meiwes yang memakan mangsanya (aku rasa, tidak patut dipanggil mangsa, tetapi di'dapat'kan dengan sah dan persetujuan si 'dimakan' itu). Penceritaan 'apa yang akan berlaku' diselitkan dengan kisah Hensel & Gretel, idea yang sangat bagus (ingat anak-anak, kita sedang menonton sebuah 'fairy tale') dalam memahami kenapa manusia membunuh dan memakan mangsanya.
Ada satu babak yang sangat mengejutkan pabila anu si 'dimakan' dipotong depan mata kita! Waktu itu, aku menggelupur atas kerusi sambil terbatuk dan loya dan muntah air liur. Kepala aku bergetar-getar. Pengalamannya sangat menakutkan, kalah segala babak snuf yang aku pernah tonton selama ini!
Malah, ada beberapa babak yang sangat kuat, memaparkan si pembunuh, kerana ini pertama kali dia membunuh ("Ini adalah impianku"), dia sendiri 'siksa' melakukan kerja ini, memaparkan bagaimana lainnya seorang yang diberi kuasa membunuh tetapi tidak pernah mengalaminya dengan pembunuh bersiri yang melakukannya dengan bersahaja seperti mana dalam filem-filem Hollywood. Malah, ini bukan sahaja satu kajian penting bagi memahami tingkah laku seorang pembunuh atau kanibal seperti Jeffrey Dahmer (kita hanya tahu, seperti kanibal Jepun itu atau Lecter, si kanibal itu 'cold', tidak punya hati, tegas dan kejam; membunuh kerana seakan memakan semangat orang yang dimakannya) mungkin salah, malah memaparkan, manusia mungkin 'tersiksa' melakukan pembunuhan (mereka terpaksa melakukannya dengan nafsu). Perkara kedua, idea manusia mengambil semangat manusia lain dalam memakan daging mangsa, dipaparkan dengan jitu dalam filem ini- ia tidak menjadi. Manusia itu tetap manusia. Dan mangsa yang dimakan hanya 'sebuah makanan' yang secara 'accidental'nya seorang manusia. Ini memaparkan, pembunuh bersiri jadi kejam membunuh bukan kerana mereka perlukan darah, tetapi nafsu dalam diri mereka untuk membunuh dan mungkin, godaan syaitan- langsung tidak ada kena mengena dengan 'membaharui kehidupan dalam badan'.
Cannibal ialah sebuah filem yang terlalu ganas. Tetapi setelah menontonnya, kita akan merasai satu kemanusiaan baharu dalam diri kita. Filem ini juga sebenarnya, secara pra sedar, satu mesej anti keganasan dan anti perang yang sangat kuat. Dan juga, akan memberi korang igauan untuk beberapa hari.